“HELO... dah
berangan sampai ke mana? Kutub utara? Ke Antartika? Bulan? Bintang?” tanya
Thaqif sambil menempelak Shana. Tak pasti apa yang berlaku. Namun, sejenak tadi
dilihat Shana seakan-akan hanyut dengan dunia sendiri. Malah, sempat dilihat
kepala Shana menggeleng-geleng perlahan.
“Tak berangan pun. Cuma terkilan sebab abang tak nak suapkan
saya makan. Terus saya hilang selera makan yang tadinya membuak-buak. Kalau tak
licinlah nasi dalam pinggan tu,” kata Shana mengusik Thaqif. Bibirnya sengaja
dimuncungkan ke arah pinggan yang masih berbaki dengan nasi lemak kukus.
Hampir pitam Thaqif dengan jawapan Shana. Mahu saja ditepuk
mulut sendiri kerana ramah bertanya. Patut dibiarkan saja walau hanya sebutir
nasi yang masuk ke perut Shana tadi. Bukan urusannya, maka tak perlu terlalu
disibukkan. Yang perlu dilakukan, menyelesaikan apa yang patut dengan gadis
itu, kemudian balik semula ke pejabat dengan hati lapang. Esok, harinya tentu
akan ceria seperti biasa.
“Jangan nak berlakon sangatlah! Tak habis-habis nak
berdrama.”
“Kalau abang heronya, saya sudi aje jadi heroin walaupun
terpaksa berlakon untuk seumur hidup.”
“Awak ni kan, saya tak tahulah nak cakap apa lagi.”
“Cakaplah tentang ayat-ayat cinta!”
Serius, Shana terasa hendak muntah darah dengan sebaris ayat
yang disebut. GelI-geleman tekaknya. Demi lelaki itu, dia sudah melakukan
banyak perkara yang tak pernah dilakukan sebelum ini. Ayat-ayat merapu juga
mudah saja meluncur melewati bibirnya bagaikan air mengalir.
Tinggi harapannya, bila sampai masanya kelak, dia tak akan
dipertemukan lagi dengan Thaqif. Kata-kata dan tingkahnya yang memalukan diri
sendiri, biarkan tamat begitu saja. Tak rela diungkit, bimbang malunya hingga
tujuh keturunan pun tak hilang.
“Betul-betul boleh tak, Cik Melati?”
Melati? Shana sengih dengan panggilan Thaqif padanya. Nama
yang makin sebati di telinganya akhir-akhir ini.
“Tak payah panggil ciklah. Macam kat pejabat aje.”
“Peduli apa kalau saya nak panggil pun!”
“Tapi saya lagi suka kalau abang panggil saya sayang
daripada panggil Cik Melati. Janggallah...”
Meremang bulu roma Thaqif. Mati kemudian hidup semula,
selepas itu mati kembali, pun dia tak teringin memanggil Shana sayang. Kalau
tak mengenangkan sopan santun, mahu saja dipanggil ‘hoi’ pada gadis itu. Biar
Shana tahu betapa tak gemarnya dia terus diekori seperti bayang-bayang.
Seumur hidupnya, inilah pertama kali dia bertemu dengan
gadis yang tak malu seperti Shana.
“In your dreams!”
“Kalau abang tak nak panggil sayang, panggil honey pun okey. Saya terima!”
“Jangan harap!”
“Sweetheart
boleh?” Mata sengaja Shana kelip-kelipkan demi menarik perhatian Thaqif.
“Boleh blah!” kata Thaqif senafas. Hati Shana sebenarnya
diperbuat daripada apa sehingga langsung tak peduli dengan apa yang dikata?
Kalau perempuan lain, awal-awal lagi sudah meraung hebat agaknya. Atau,
cepat-cepat angkat kaki kerana tak mampu menahan malu.
“Jangan bongkak sangat. Karang abang menangis kalau
tiba-tiba saya hilang.”
“Eh... tak kuasalah saya! Kalau awak betul-betul hilang,
silap-silap saya buat kenduri pulut kuning tiga hari tiga malam. Kalau masih
tak cukup juga saya akan buat tujuh hari tujuh malam. Jemput orang satu
Malaysia.”
“Wah... ni yang saya makin suka abang ni. Dahlah handsome, pemurah pula tu.”
Terjegil mata Thaqif. Ada-ada saja jawapan daripada Shana
yang menyakitkan hatinya. Kalau kurang sabar, memang Shana bakal dicepuk
tangannya. Niatnya mahu menyakitkan hati Shana, balik-balik dia juga yang
dikenakan.
Shana tergelak perlahan. Air di dalam gelas kembali disedut.
Sekilas, jam di pergelangan tangan dipandang. Masa rehat semakin berlalu.
Namun, dia tak perlu gusar kerana Madam Anne sudah memberi izin. Jika tak,
memang ditinggalkan Thaqif begitu saja walaupun urusan mereka masih belum
selesai.
Sebenarnya, memang tak ada apa-apa yang penting. Niat
bertemu muka dengan Thaqif sekadar mahu melihat lelaki itu jenis yang
bagaimana. Selepas tahu, barulah dia boleh menyusun langkah seterusnya. Bila
Thaqif bukannya jenis panas baran, itu bonus terbesar untuknya.
Selepas ini, tak perlulah dia berasa gusar kalau-kalau
dimaki hamun Thaqif. Lelaki itu bukan jenis begitu.
“Rasanya awak dah banyak sangat mengarut. So... apa tujuan awak nak jumpa saya?”
“Rindu!”
“Lagi sekali awak merepek-meraban macam ni, saya tinggalkan
awak. Daripada melayan awak yang tak berfaedah ni, lebih baik saya siapkan
kerja-kerja pejabat saya yang tertangguh sebab awak.”
“Kejaplah... bagi saya rehat lima minit. Saya rasa macam
penat sikit.”
Thaqif gigit bibir. Tak puas hati dengan permintaan Shana.
Gadis itu seperti sengaja bermain tarik tali dengannya. Dia tak suka! Namun
berterusan melihat Shana yang tersandar di kerusi, disabarkan hatinya. Memang
gadis itu nampak seperti letih walaupun sesudah makan dan minum.
Berjalan kaki sejauh satu km ke apa tadi?
Melihat peluh halus merintik di dahi Shana, dahinya
berkerut. Dalam keadaan pendingin hawa yang terpasang pun masih sempat
berpeluh. Kulit jenis apa dia ni? Namun, dihulurkan juga tisu pada Shana. Bila hulurannya
disambut berserta dengan senyuman meleret, sekali lagi dia terasa seperti mahu
menghantukkan kepalanya ke dinding.
Yang aku baik sangat, apa pasal?
“Terima kasih. Saya tahu abang baik.”
Tak seperti biasa, kali ini lembut saja nada suara Shana. Thaqif
terpana. Jika Shana baru muncul dalam hidupnya saat ini, bukan sejak
beberapa minggu lalu, tak juga sejak 30
minit tadi, tentu hatinya tercuit dengan kelembutan gadis itu. Mana ada lelaki
yang suka pada gadis yang berperangai tak semenggah. Sayangnya, imej gadis itu
sudah tercalar sejak hari pertama Shana menghubunginya dengan kata-kata,
“Assalamualaikum... abang!” Sejak detik itu, Shana di matanya sudah tampak
hitam seperti malam.
Walau hakikatnya, gadis itu hanya berkulit sawo matang.
Sesuai dengan bentuk mukanya yang bujur sirih.
“Maaf kalau abang rasa saya ganggu abang selama ni. Saya tak
simpan niat jahat. Hanya sekadar nak berkenalan dengan abang. Itu aje!”
“Saya tak percaya!” sangkal Thaqif.
Semata-mata nak berkenalan, Shana sanggup memalukan diri
sendiri? Memburu dirinya seperti dia perempuan dan gadis itulah si lelaki yang
berlagak berani? Sungguh... tak masuk akal! Barangkali, Shana lupa yang dia
seorang lelaki dewasa yang sudah tahu membezakan mana yang betul dan mana pula
yang salah.
“Saya tak tipu. Saya betul-betul nak jadi kawan abang.”
“Awak tak kenal saya kan sebelum ini?”
“Sebab tak kenallah saya nak berkenalan. Kalau dah kenal
buat apalah susah-susah nak kenal lagi. Buang masa aje, kan?”
“Macam mana awak boleh tiba-tiba nak kenal dengan saya?”
Shana senyum. Kalau dikhabarkan pada Thaqif cerita yang
sebenarnya, makin berantakanlah dunia ini jadinya.
“Itu rahsia yang tak boleh saya bagi tahu pada abang. Belum
sampai masanya atau masanya betul-betul tak akan sampai.”
“Tapi saya tetap nak tahu!”
Shana geleng. Kalau Thaqif acukan buku lima di mukanya pun
dia tak akan berterus terang. Amanah yang telah diberikan, akan digalas sampai
bila-bila. Kalau cerita terbongkar, biarlah bukan daripada mulutnya. Kalau
mulut yang lain, dia tak kisah. Ketika itu, mungkin keadaan sudah berubah.
Kalau pun tak lebih baik, mungkin akan jadi lebih buruk daripada sekarang ini.
Biarlah. Dia sudah berusaha dan selebihnya, biarkan masa dan
keadaan yang menjadi kayu ukur.
Apa yang dia tahu, kalau benar-benar berjodoh tentu tak akan
ke mana-mana. Halangan juga tak mungkin menjadi masalah yang besar.
“Maaf. Yang itu saya tak akan cakap pada abang walau macam
mana pun abang paksa saya.”
“Kalau macam tu, saya tak minat nak berkenalan dengan awak!”
Sakit pula hati Thaqif dengan kata-kata Shana. Jangankan
dengan Shana, dengan mana-mana perempuan pun dia tak mahu berkenalan. Hidupnya
sudah terlalu sibuk untuk disibukkan lagi dengan perempuan. Kalau pun dia mahu
mengubah statusnya, bukan dalam jangka masa terdekat ini.
Perempuan?
Ada jeritan lantang! Ada cubitan kuat! Ada bebelan yang tak
berhenti! Ada kemarahan yang menggila! Ada kesedihan yang seperti tak mahu
hilang! Ada segala-galanya hanya dengan membayangkan figura itu.
Thaqif geleng kepalanya perlahan. Tak mahu memikirkan soal
perempuan dan soal berumah tangga. Dia sudah selesa dengan hidupnya yang
sekarang. Hanya sejak munculnya Shana, keselesaannya sedikit berubah. Masa
rehatnya lebih banyak dicuri gadis itu daripada digunakan sendiri. Mahu menukar
nombor telefon yang lain, terasa seperti tak berbaloi langsung. Nombor itu
sudah digunakan sejak berbelas-belas tahun lalu. Semua kenalannya juga tahu
nombor itu.
Kalaulah dapat disingkirkan terus Shana daripada hidupnya,
alangkah bahagianya rasa.
“Abang janganlah sombong sangat dengan saya.”
“Jangan panggil saya abang!” larang Thaqif untuk kesekian
kalinya. Panas juga hatinya dianggap sombong.
“Saya nak panggil juga.”
“Jangan. Saya tak suka!”
Shana goyang-goyangkan kepalanya. Tanda tak mahu peduli pada
larangan Thaqif. “Saya tak ada abang, tak pernah pun panggil orang abang. So... abang tak payahlah nak kedekut
sangat dengan saya. Tak rugi pun kalau saya panggil abang dengan panggilan
abang. Tak akan buat sehelai pun bulu roma abang tu jatuh ke lantai. Rambut
jauh sekali. Lagipun dah memang abang tua dua tahun daripada saya. Eloklah
kalau saya panggil abang sebagai tanda hormat. Kan?”
“Tinggalkan saya. Berhenti kacau saya mulai daripada saat
ini!” Tegas Thaqif.
“Saya tak nak tinggalkan abang.”
“Saya tak sukalah awak kacau-kacau hidup saya macam ni?”
“Teruk sangat ke gangguan saya pada abang?” Shana tayangkan
rupa polos.
“Bukan aje teruk, tapi sangat teruk sampai saya rasa nak
pindahkan awak ke planet yang di dalamnya tak ada sesiapa. Biarkan awak hidup
sorang-sorang supaya awak tak kacau hidup orang lain lagi.”
“Kejamnya abang ni.”
“Awak lagi kejam sebab buat hidup saya yang dulunya tenang
jadi serabut.” Tajam mata Thaqif menyorot wajah mulus Shana.
Sedangkan Shana yang mendengar kata-kata Thaqif, hanya mampu
mempamerkan segaris senyuman manis. Sungguh... melihat Thaqif beria-ia minta
dijauhi, rasa simpatinya jatuh melimpah-ruah. Betapa dia sudah menghuru-harakan
hidup lelaki itu. Entahkan lena tidur Thaqif, entahkan tidak, dia benar-benar
tak tahu!