Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 18

Masih segar di dalam ingatan, kegembiraan ketika mula-mula menjejakkan kaki ke situ. Ditemani ummi yang tak habis mengingati dan karipap lenyek ummi yang tak sampai hati untuk dibaziri. Permulaan yang sukar, bukan saja bagi dirinya, juga pada rakan-rakan yang lain, tapi demi janji, segalanya ditempuhi dengan sabar, berbekal tekad yang satu iaitu untuk menjadi insan yang berjaya. Kerinduan pada mereka yang ditinggalkan menjadi pendorong dan penyokong untuk meraih sebuah kejayaan yang lebih gemilang di masa depan.

Paling tak dapat dilupakan sesi orentasi yang tak ubah seperti di kem tentera. Segalanya berkisar tentang kepantasan. Semua pelajar di kerah ke sana-sini menggunakan kaedah kiraan yang mendebarkan. Dalam kiraan sepuluh mereka dikumpulkan dan dalam kiraan sepuluh juga mereka disuraikan.

Penat, memang memenatkan namun itulah cabarannya. Tujuannya untuk meningkatkan tahap jati diri keperingkat yang tertinggi dan bukanlah semata-mata untuk membuli. Segalanya dapat difahami setelah dia terlibat secara peribadi dalam program tersebut pada semester yang berikutnya. Dian tersenyum sendiri tadkala teringatkan peristiwa lalu. Bahagianya rasa bila berpeluang untuk menuntut limu.

Dia melangkah menyusuri jalan-jalan yang menjadi kebiasannya dulu. Berdedaian bersama rakan-rakan untuk melihat keputusan ujian coursework yang diumumkan setiap kali menghampiri musim peperiksaan. Penuh dengan debaran tak lupa juga keterujaan kerana itulah kehidupan sebab hidup memang takkan pernah sunyi daripada ujian.

Bilik Prof.Hjh.Halimah Adam, menjadi tempat yang ingin dituju. Pensyarahnya juga merangkap Pengurus Program di Fakulti kejuruteraan awan universiti tersebut. Seperti yang sudah dimaklumkan sebelumnya, dia mahu menangguhkan sesi pembelajarannya buat seketika untuk memberi fokus pada ummi. Ummi yang lebih penting daripada segalanya. Ilmu? Lebih baik jika ditangguhkan dulu.

Pintu bilik Prof. Halimah diketuk perlahan, sebelum dia mendapat kebenaran.

“Masuk.” arah Prof.Halimah daripada dalam.

“Assalammualaikum Prof.” tuturnya.

“Waalaikumussalam. Diana dah sampai. Masuk, masuk. Duduk.” arahnya.

“Kenapa Diana nak tangguhkan pengajian sampai setahun? Saya masih terkejut sebenarnya. Pensyarah-pensyarah lain pun sama. Betul Diana nak tangguahkan pengajian selama itu?” soalnya agak terkilan kerana Diana adalah pelajar cemerlang fakulti itu sejak di semester pertama lagi. Anugerah dekan yang di terimanya saban tahun turut sama menggembirakan hatinya selaku salah seorang tenaga pengajar.

“Betul puan. Macam yang saya cakap haritu, ummi saya masih di hospital. Saya nak jaga dia, lagipun ummi dah tak ada siapa-siapa. Saya nak cuba fokus untuk jaga ummi dulu. Saya takut saya tak dapat nak berikan tumpuan pada pelajaran. InsyaAllah, jika diizinkan saya pasti akan sambung semula pengajian nanti.” terangnya untuk mengubat kekecewaan pensyarah kesayangannya itu.

“Baiklah saya faham. Saya dah call dekan untuk maklumkan dan dia minta saya uruskan. Saya doakan ummi Diana akan cepat sembuh. InsyaAllah, kita doakan sama-sama. Diana kuatkan semangat. Saya nak Diana tahu yang Diana dah banggakan seluruh fakulti sepanjang tempoh ini dan Diana merupakan salah seorang pelajar yang paling cemerlang yang pernah ada dalam fakulti kita.”

“Memang sukar untuk saya melepaskan, tapi atas sebab kecemasan, saya rasa tak wajar untuk saya halang. Saya harap, kita akan jumpa lagi.” ucap Prof.Halimah, sedar dia takkan tergamak untuk menghalang kerana niat Diana suci, untuk berbakti pada ummi yang dikasihi.

“Terima kasih Prof. Terima kasih banyak-banyak. Kalau macam tu saya minta diri dulu.” balasnya sebelum menghulurkan salam tanda perpisahan.

“Diana sekejap, sebelum saya terlupa. Ni ada sedikit sumbangan daripada pelajar-pelajar dan pensyarah-pensyarah di fakulti kita. Bila dapat tahu ummi Diana ditimpa kemalangan, kami dah gerakkan tabung untuk kumpul sumbangan. Kami harap sumbangan ni dapat meringankan sedikit beban Diana nanti.” terang Prof.Halimah. Dian seperti tak percaya, kerana ada yang lain turut sama mendoakannya. Lambat-lambat sampul surat itu dicapai.

“Terima kasih Prof, terima kasih. Saya tak tahu nak cakap macam mana. Saya janji, jika diizinkan, saya akan kembali. Prof doakan saya ya.” tuturnya perlahan. Cuba mengawal perasaan yang semakin bergelora. Serentak Prof.Halimah bangun sebelum mendakap tubuh pelajar harapannya itu sambil menepuk-nepuk belakang Dian lembut.

“Diana jaga diri. Kalau perlukan bantuan call saya. InsyaAllah saya akan buat apa yang termampu.” balasnya kerana perkara seperti itu jarang sekali berlaku. Diana telah membuka matanya untuk lebih menghargai insan yang tersayang.

“InsyaAllah Prof. Terima kasih sebab mengambil berat.” balasnya. Berkat bantuan dan dorongan daripada semua dia semakin yakin segalanya pasti akan dapat ditempuhi.

 

Yatt, Jan, Rozi dan Nora masih menanti ketibaan Dian sejak tadi, Yatt terutamanya. Wajah ummi yang terlantar masih jelas di mata.

“Korang, lepas habis paper kita pergi tengok ummi nak?” cadang Yatt tiba-tiba.

“Nak, nak.” balas yang lainnya sambil mengengguk-anggukkan kepala.

“Paper kita habis hari Jumaat kan? Lepas selesai kita terus gerak ke hospital, tapi jangan bagitahu Dian apa-apa. Kita buat surprise.” tambah Yatt lagi sambil tersenyum.

“Orait, aku tak ada masalah sebab kau tahu kan kat mana tempatnya.” soal Jan pula.

“Tahu, haritu kan aku dah pergi. Takpa, hal tu serahkan pada aku.” balasnya pula.

“Mana Dian Yatt? Kau kata tadi dia nak datang hari ni, tapi mananya? Dah lama kita tunggu kat sini, call pun tak jawap. Message apatah lagi.” ngomel Nora yang masih terjenguk-jenguk mencari Dian yang dinanti.

“Ya lah. Aku message pun dia tak balas. Betul ke dia bagitahu nak datang hari ni?” soal Rozi pula.

“Kau bukan tak kenal Dian tu macam mana orangnya. Dia kan jenis yang tepati janji. Pernah ke dia cakap tak serupa bikin? Tak pernah kan?”

“Tadi dia kata nak jumpa dengan Prof.Halimah dulu untuk postpone study, tu yang lambat sikit kot. Kita tunggulah sekejap lagi.” balas Yatt, merungkai kebimbangan sahabat-sahabatnya itu.

Walau ke mana mereka pergi, mereka pasti berlima. Hubungan mereka rapat sejak mengenali satu sama lain sejak di minggu oreantasi lagi. Ditambah pula dengan kedudukan bilik asrama terletak bertentangan, membuatkan mereka mudah mesra, sampailah sekarang. Biarpun sudah menyewa di luar, hubungan itu tak berubah. Tetap akrab seperti waktu dulu.

“Korang ni, cubalah sabar sikit. Sekejap lagi dia sampailah tu.” balas Jan pula yang mula rimas mendengar rungutan semua.

“Ha tu, tu. Panjang umur dia. Dian dah sampai dah tu.” tutur Yatt tadkala terpandang Dian yang baru memasuki pintu kafe. Serentak mereka melambai-lambaikan tangan memberitahu lokasi.

“Assalammualaikum.” sapa Dian sambil tersenyum nipis, tanda menghargai keperihatinan semua sebelum mengambil tempat di situ.

“Waalaikumussalam.” serentak semuanya menjawap.

“Rindunya kami kat kau Dian. Dah sebulan dah kau tak datang kelas, tiba-tiba cakap nak tangguh belajar pulak. Terkejut kami tau tak. Ummi kau macam mana sekarang?” soal Nora.

“Macam tu lah. Ummi aku tidur lagi. Dia penat sangat agaknya.” balas Dian dalam senyuman yang nampak pahit dan kelat, dah tak manis macam dulu. Keadaan yang menimpa ummi betul-betul memberi kesan pada dirinya. Gembira hanya pada ungkapan kata, tapi takkan pernah lagi sampai ke jiwa, kerana kegembiraannya telah terhenti dan tertinggal bersama ummi.

“Ya lah Dian. Takkan sampai nak kena tangguh belajar? Kita tinggal dua sem je lagi nak grad.” tutur Rozi pula.

“Aku dah fikir lama sebenarnya, cuma sekarang baru aku ada kesempatan untuk uruskan. Aku tak rasa aku mampu untuk kejar semua pada satu masa. Kalaupun aku terpaksa memilih, aku akan tetap pilih untuk jaga ummi. Aku tak sanggup tinggalkan dia sorang-sorang kat hospital tu.”

“Lagipun aku memang dah tak boleh nak beri tumpuan pada pelajaran. Fikiran aku ni hanya ada ummi je. Setiap masa pun aku asyik ingat ummi. Sama macam sekarang, korang nampak badan aku kat sini, tapi hati aku kat sana dengan dia. Aku tak sabar nak tengok ummi aku sedar semula.” tuturnya perlahan.

“Doktor kata, ada yang sedar dalam sehari dua, ada juga yang makan sampai berbulan, yang sampai bertahun pun ada. Aku tak tahu aku kena tunggu berapa lama…tapi lama manapun aku tetap akan tunggu dia.” tuturnya sebelum ditemani perasaan hiba semula.

“Aku rindu sangat nak dengar suara dia. Korang pun tolonglah doakan ummi aku sekali ya. Doakan dia cepat sedar, nanti bolehlah kita study sama-sama lagi.” balas Dian perahan sebelum menyapu air mata yang mula menitis. Dia sangat sayangkan pelajaran, tapi sayangnya pada ummi melangkaui segalanya kerana hanya ummi yang dia ada. Semua yang lain terdiam mendengarnya.

“Dian sabarlah. Kau sabar ya.” pujuk Yatt sebelum mengusap bahu Dian lembut.

“Takpa Dian, kita doa sama-sama. Kami pun harap sangat ummi cepat sedar. Kau sabar ya. Memang senang nak nasihatkan orang, tapi sabar tu letaknya kat hati Dian, dan kau nak tahu satu benda tak?” soal Jan, tak tergamak melihat Dian yang sedang merana secara berterusan.

“Hmm, apa?” balas Dian perlahan.

“Antara kita berlima, kaulah yang paling baik hati dan yang paling sabar sekali. Aku yakin Allah akan permudahkan jalannya. InsyaAllah, semuanya akan pulih nanti.” tambahnya lagi.

“InsyaAllah.” balas semuanya meyakini kekuasaan Allah, kerana semuanya dari Allah dan padanya juga tempat berserah.

“Dian kau jangan lupa kami tau. Selalulah message. Kami nak kau tahu, walau apapun yang kau buat, kami sentiasa sokong kau. Kau buatlah apa yang hati kau nak. Aku takkan lupa doakan untuk kau.” ucap Jan, sedar yang hidup tak selalunya mudah. Cabaran dan halangan sentiasa datang bersama, menagih kecekalan hati dan kekuatan diri. Hanya iringan doa yang mampu untuk dikirimkan, buat peneman kehidupan seorang teman.

“Aku pun.” tutur yang lain serentak sambil mengangkat tangan, mahu menyatakan sokongan. Dian tersenyum, bahagia dikurniakan dengan teman-teman yang memahaminya.

 “Terima kasih. Terima kasih sebab faham aku.” balasnya, menghargai hubungan yang terbina.

“Dian tak payah ucap terima kasih. Selama kita kenal, kau yang banyak memberi dan kami yang sentiasa menerima. Aku yang nak ucapkan terima kasih sebenarnya sebab kau selalu ajar aku bila aku tak tahu apa-apa.” tutur Nora pula kerana jasa baik Dian takkan dapat dilupakan.

“Tapi kan, mesti tak seronok lagi nanti.” tutur Rozi pula.

“Kenapa?” soal Dian yang mula sedikit terubat laranya.

“Ya la. Kalau kau tak ada, tak adalah yang akan jadi supplier gula-gula dalam kelas. Lepastu tak adalah orang yang nak offer urut bahu lagi bila aku mengantuk nanti.” jawap Rozi, dibalas dengan jentikan oleh Nora di jari.

“Kau ni kan tak habis-habis. Masa macam ni pun masih nak fikirkan gula-gula? Nanti kau belilah sendiri, apa yang susahnya.” rungut Nora pula.

“Mana sama. Sebab yang Dian bagi sedap.” balasnya tak mahu mengalah.

“Sedap sebab free kan?” balas Yatt, sebelum disahut dengan deraian ketawa oleh semuanya. Dian rasa terhibur. Keseronokan yang bakal ditinggalkan, dan entah bila lagi masanya mereka dapat bermesraan sebelum dia menyedari sesuatu kerana sudah terlalu lama dia di situ.

“Korang dah lama aku kat sini. Aku gerak dululah. Entah apa yang ummi aku tengah buat kat sana.” tuturnya sebelum bangkit daripada tempat duduk. Dia mahu segera pergi menemani ummi.

“Cepatnya…ingat nak borak lagi.” ucap Rozi, kerana masih banyak yang mahu diperkatakan serentak mereka turut sama bangun.

“Korang, ummi aku…” balas Dian, ringkas tapi sudah cukup menggambarkan hatinya.

“Okey. Tapi janji tau, janji jangan sampai putus sahabat. Harap kita akan dapat berkumpul sama-sama macam ni lagi satu masa nanti.” balas Yatt pula tak rela perpisahan itu menjadi pertemuan untuk yang terakhir kalinya.

“Okey. Kalau macam tu kita janji sama sama, macam biasa.” ucap Nora sambil menghulurkan tapak tangannya. Serentak yang lain-lain menurut untuk memeterai janji seperti yang biasa dilakukan mereka sebelum ini. Belakang tangan teman-teman yang bertindanan digenggam erat, perkara yang biasa mereka lakukan untuk menyemarakan semangat.

“Dian kami doakan yang terbaik untuk kau. Moga Allah merahmati kau, ummi dan moga Allah temukan kita lagi.” ucap Jan.

“Amin.” balas semuanya sebelum mereka berkumpul dan mendakap Dian seorang demi seorang, berharap Dian akan tabah menghadapi ujian dari Allah. Dian sudah mula sebak. Kemungkinan pasti ada, tapi tetap juga tak tahu bila itupun andai keadaan kesihatannya mengizinkan. Hanya doa dan harapan yang dapat dipanjatkan agar segalanya kembali seperti sediakala, insyaAllah. Bisiknya di dalam hati, sedar yang Allah sedang menguji hamba-hamba yang Dia kehendaki.

“InsyaAllah, berbekalkan doa daripada korang aku akan tabah.” balasnya penuh semangat, kerana segalanya terserah kepada Allah.

 

Daripada dapur dia bergerak ke biliknya untuk memulakan kerja-kerja mencuci. Beberapa helai baju kemeja yang sudah minta dicuci pantas dicapai sebelum dimasukkan ke dalam baldi. Perlahan-lahan dia menapak ke bilik Azeem untuk mengambil baju kotor yang berada di situ dan keadaan bilik yang masih gelap memudahkan kerjanya itu.

Ketika dia sedang membasuh Azeem turun untuk bersarapan. Mereka sempat berbalas pandang sebelum Dian bertindak menjauhkan diri dari situ.

“Apa yang kau masak?” soal Azeem ingin memulakan perbualan.

“Dian cuma masak lempeng bawang putih dengan sambal bilis sebab Dian tak sempat ke pasar semalam untuk cari barang.” balasnya sebelum menjauhkan pandangannya semula.

“Tapi kalau Abang Azeem nak makan yang lain, takpa, biar Dian keluar sekejap. Abang Azeem nak makan apa?” soalnya pula.

“Takpa, takpa, cukup la ni. Nanti tengahari kita pergi sama-sama.” balasnya.

“Duduk, makan sekali dengan aku.” arah Azeem serentak dia bartindak meraih tangan Dian.

“Takpalah, Abang Azeem makan dulu. Sekejap-sekejap lagi Dian makan. Dian ada kerja lagi.” balasnya segara menolak dan Azeem tak mahu terlalu mendesak. Dalam hati dia bersyukur kerana Abang Azeem memang tak cerewet dalam hal-hal pemakanan.

 

Azeem duduk sambil menggaru kepala yang terasa gatal. Daripada tablet, pandangannya beralih pula kepada Dian yang sedang sibuk menyediakan makanan tengahari di dapur dan daripada dapur, kembali semula pada skrin tablet. Gajet kegemarannya itu nampak kurang menarik hari ini kerana ada yang lebih menarik untuk diperhati.

Tingkah-laku Dian di dapur diawasi dengan penuh minat, dah macam tengok tv pun ada. Bunyi pisau berlaga dengan papan pemotongnya sama seperti yang ditonton di dalam rancangan-rancangan masakan dan yang paling penting Dian nampak gembira melakukannya. Serentak dia tersenyum tanpa perlu dipaksa.

“Betullah cakap orang, untung ada isteri dua. Bila sorang lari, ada sorang lagi buat ganti.” bisiknya sambil ketawa sebelum senyumannya mati tiba-tiba.

“Tapi betul ke di gembira?” soalnya pula bila dia hanya dapat meneka kerana kebenaran tiada padanya.

 

Dian tercari-cari telekung sembahyangnya selesai saja mengambil wuduk sebelum dia mengetuk kepalanya sendiri.

“Kan kau dah basuh telekung tadi.” tuturnya perlahan sambil melangkah keluar untuk mendapatkan kain telekung yang masih berada di ampaian. Namun, langkahannya terhenti bila Azeem terlebih dahulu muncul di sebalik pintu dan bertindak untuk merapatinya. Serentak dengan itu dia segara menolak.

“Sini, kenapa pulak kau nak mengelak.” tutur Azeem sedikit tak puas hati melihat apa yang terjadi.

“Abang Azeem, Dian ada air sembahyang. Dian nak sembahyang dulu.” tuturnya tegas, tak suka kewajipannya diganggu.

“Maaf, maaf, aku tak tahu. Kau sembahyanglah.” balas Azeem malu sebelum melangkah keluar dari situ.

“Kau memang memalukan. Siapa suruh gelojoh sangat, tengok apa kau dapat.” bisiknya di dalam hati sambil melajukan langkah kaki. Benarlah kata pepatah, kalau dah memang dasar buaya, takkan ada yang akan menolak bangkai, kucing kalau tengok ikan, mana yang tak penting misai.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.