Loceng pintu ditekan berkali-kali. Hatinya jadi semakin tak tenang namun Azeem cuba untuk menyerap tekanan dan selang beberapa ketika, Robert muncul dengan hanya bersinglet dan berseluar pendek. Pandangan yang biasa dilihat, langsung tak ada yang pelik, tapi akan berubah sebaliknya andai Aida turut berada di situ.
“Azeem. Kenapa you datang sini?” soal Robert tergagap-gagap. Wajahnya berubah pucat. Azeem mula dapat membaca situasi yang berlaku kerana Robert dilihat seperti sedang menyembunyikan sesuatu.
“Aida mana, Aida? Aku tahu dia ada kat sini kan? Mana dia?” soal Azeem. Tanpa meminta kebenaran dia menerjah masuk ke unit apartment itu. Satu demi satu pintu bilik dibuka, sebelum dia menjumpai apa yang dicari. Benarlah kata opah, Aida rupa-rupanya mempunyai niat yang tersembunyi selama ini dan perancang utamanya adalah Robert, rakan karibnya sendiri.
“Honey apa yang you buat kat sini? You jangan salah faham. Biar I explain.” tuturnya kalut. Duit note RM 100 yang memenuhi beg segera dikemaskan.
“Rupa-rupanya betullah apa yang opah cakap, you hanya nakkan duit I. I tuduh dia curang, tapi sebaliknya you yang tikam I daripada belakang. Sampai hati you buat I macam ni. Selama ni I tak pernah hampakan permintaan you, tapi macam ni you balas cinta I.” tutur Azeem kesal.
“Mungkin ini balasan untuk I sebab curiga pada dia. But you know what? I rasa bebas.” tambahnya sebelum mula angkat kaki.
“You, please. Jangan cakap macam tu. I sayang you dan you tahu tu kan? I realy love you honey.” pujuk Aida sebelum merangkul tubuh Azeem daripada belakang. Robert terus menjarakkan diri bila mendapat isyarat mata daripada Aida kerana mereka perlukan masa untuk menyelesaikan segalanya.
“Apa yang you buat ni? Lepas! Jangan berani untuk sentuh I lagi. I dah jijik dengan you.”
“You betul-betul tak takut mati kan? I ingat selama hari ni you cuma mabuk-mabuk, tapi rupanya you buat kerja terkutuk. Dayus I sebagai suami kalau terima you semula dan I takkan sesekali rela pegang title tu. You betul-betul dah kecewakan I Aida.” balasnya marah sambil menolak tubuh Aida supaya menjauhinya. Rimas dan sakit hatinya memikirkan kecurangan si isteri.
“Ooo…mentang-mentanglah you dah dapat semuanya, sekarang you dah tak perlukan I lagi? You jangan buat lupa Azeem, kita yang rancang semuanya sama-sama. I pun nak bahagian I dalam saham syarikat. You kena ingat, kalau tak kerana I, you takkan dapat semua ni.” balas Aida sebelum mendengus marah.
“Apa perempuan tu dah cakap pada you, hasut you, sampai you boleh jadi benci macam ni pada I? Dia cakap dia sayang you? Ke you sebenarnya yang dah jatuh cinta pada dia?” soal Aida dengan senyuman sinis. Sakit hatinya ditolak seperti itu. Dia mula rasa tercabar kerana Azeem jelas sudah berubah, dah tak mudah mendengar kata.
“Apa bezanya perempuan tu dengan I? Diapun sama terkejar-kejarkan harta you. You dah lupa sebab dia kahwin dengan you dulu? You tak ingat? Sebab duit kan? So, apa beza dia dengan I?” sindir Aida lagi. Mereka baru memulakan rancangan, tapi Azeem telah dapat menghidunya pula. Dia masih belum puas kerana nilai RM 1 juta bukanlah nilai yang diidamkannya selama ini sebaliknya dia mahukan lebih banyak lagi.
“Jangan berani nak samakan dia dengan you sebab dia jauh lebih baik jika dibandingkan dengan you. Dia tahu jaga maruah I, tapi you tak dan I sendiripun tak pasti you tahu ke tak apa makna maruah tu.” balasnya dalam usaha membalas tohmahan yang dilempar pada Dian.
“I mengaku I silap. I tak pandai nak bezakan kaca dan permata, tapi mungkin masih belum terlambat untuk I ucapkan terima kasih pada you. You betul-betul dah buat I sedar.” tutur Azeem tegas. Dia telah membuat keputusan dan keputusannya itu muktamat.
“Aida binti Jalah, aku ceraikan kau dengan talak satu!” tuturnya. Robert yang berada di luar segera mendapatkan mereka semula.
“Azeem why? Takkanlah sampai you nak ceraikan dia?” tutur Robert terkejut. Serentak Aida yang masih ternganga dirapati. Sukar untuk mempercayai yang rancangan mereka selama ini akhirnya terkubur dan hancur lebur.
“Such a nice couple. Sekarang barulah kau boleh ambil dia sebab dia bukan isteri aku lagi.” balas Azeem puas.
“You memang tak guna, sebab you dah ada dia, you nak tinggalkan I sekarang? You memang melampau!” pekik Aida geram kerana Azeem sudah terlepas daripada genggaman.
“You tak boleh tinggalkan I, you tak boleh Azeem. You tak boleh! You milik I!” pekiknya lagi seperti orang kena histeria. Robert sendiri terkejut melihatnya. Aida kemudiannya melepaskan beberapa tumbukan ke dada Azeem dengan kedua-dua belah tangan. Azeem mula naik angin setelah sakit dadanya diperlakukan begitu.
“Hei, hei, hei, you yang salah. You curang Aida. You yang bersalah. You jangan nak salahkan orang lain.” tuturnya sebelum mencengkam tangan itu kuat, mahu mempertahankan diri.
“You jangan ingat dia akan terima you Azeem. Dia dah janji untuk pergi dan I percaya pada dia. Dia sanggup terlibat dalam semua ni pun hanya untuk tampung kos rawatan dan bil-bil hospital umminya, itu saja. You jangan mimpi dia akan terima you dan I rasa I dah terlupa nak beritahu...”
“You nak tahu? Ummi dia dah meninggal semalam. I yakin, dia tak akan teruskan permainan ni lagi.”
“Poor you. Dia pun akan tinggalkan you, sama macam I.” sindir Aida sebelum ketawa berdekah-dekah macam orang gila.
“Apa kau cakap? Ummi dia ada dekat mana? Cakap, ummi dia ada dekat mana!” pekik Azeem kuat. Hatinya sudah jadi tak keruan bila mengetahui kebenaran. Aida terkejut kerana Azeem betul-betul sedang marah. Dia mula rasa takut dan akhirnya terpaksa juga dia menerangkan segalanya.
Bunyi pintu yang diketuk beserta dengan penggilan daripada Mak Andak mengejutkan Dian yang masih terlena. Perlahan-lahan dia membuka mata. Suasana di dalam bilik sunyi dan kosong, sekosong hatinya juga.
Walaupun sudah beberapa hari ummi pergi, namun kesedihannya tetap sama, masih tak berkurangan dan dia sendiri tak tahu mengapa. Dia sangka masa mampu mengajarnya untuk menerima, tapi dia ternyata silap. Entah kenapa peritnya masih sama. Ngilu seperti tertusuk sembilu atau dia perlukan lebih, malah lebih banyak masa untuk menyerap semuanya?
“Ya-Allah, redhailah aku.” bisiknya di dalam hati sebelum bangun dengan berhati-hati.
Mak Andak masih tercegat di luar pintu dan tetap menanti kehadiran Dian di situ.
“Dian, buka pintu ni sekejap. Mak Andak ada bawakan sarapan ni.” tuturnya pula. Tak berapa lama kemudian pintu akhirnya terbuka beserta dengan wajah Dian yang pucat dan tak bermaya. Mak Andak mula bimbang melihat keadaan semasa Dian itu.
“Maaf Mak Andak, Dian tidur tadi. Dian ni memang menyusahkan je kan? Dian dah buat semua orang susah.” tuturnya perlahan, serentak airmatanya bergenangan semula.
“Kenapa Dian cakap macam tu? Dah, dah, dah, jom kita duduk. Dian janganlah fikir yang bukan-bukan.” tuturnya sambil memimpin tangan Dian dan mendudukkannya semula, tak mahu Dian kepenatan.
“Dekat dalam ni, Mak Andak ada bawakan bubur dengan sup ikan haruan. Ni, rendang bilis dengan lada hitam yang Mak Andak dah hancurkan supaya senang untuk Dian makan.” serentak dia membuka bekas-bekas makanan yang dibawa.
“Semuanya lauk-lauk untuk memanaskan badan. Waktu-waktu macam ni elok amalkan makan benda-benda yang dapat menghangatkan badan. Ini petua orang tua-tua dulu tujuannya untuk sembuhkan luka-luka di dalam yang kita tak nampak. Dulu masa Mak Andak bersalinkan Udin, ni jelah menu harian Mak Andak sampai habis pantang. Dian kena berpantang elok-elok, biar cepat pulih. Kat dalam botol ni air rebus biji kani, pahit sikit tapi mula-mula je, lepastu manis pula rasanya.” tutur Mak Andak menerangkan. Dian hanya tersenyum nipis mendengarnya kerana hidup mula terasa seperti tak bermakna.
Apa ertinya hidup lagi tanpa peneman setianya itu? Pemergian ummi membawa bersama semangatnya yang turut hilang. Hidup mula terasa goyah dan tak berhaluan, ibarat layang-layang yang dah terputus tali, terbang melayang dibawa pergi angin kencang ke daerah yang terasing dan sepi. Kesunyiannya kuat mencengkam sampai ke dasar jiwa kerana hati mula terasa hampir mati.
“Dian kena kuatkan semangat. Sentiasa ingat Allah. Ingat yang Dian tak sendiri. Dian masih ada kami. Jangan fikir yang bukan-bukan. Kalau Dian ingat dan rindu pada ummi, sedekahkan Al-Fatihah pada dia banyak-banyak. Surah Al-Ikhlas pun baik jugak. Baca dan niatkan untuk arwah. Jangan terbawa-bawa sangat perasaan tu.” tuturnya memberi semangat, sebelum dia menggenggam erat tangan Dian.
“Kalau Dian perlukan apa-apa, cakap dengan Mak Andak. Call je, jangan turun naik tangga tu, bahaya. Kalau jatuh nanti, lain pula yang jadinya. Tak dapat call Mak Andak, call Udin. Budak sorang tu memang takkan berenggang dengan telefonnya.” pesan Mak Andak lagi. Keadaan tangga yang tinggi dan curam sangat membimbangkannya. Dia tak mahu sesuatu yang tak baik berlaku pada Dian.
“Lagi satu, yang paling penting, dah lupa, maklumlah orang dah tua. Ni telefon Udin, dia dah tak pakai. Dian ambil guna. Ingat jangan cuba-cuba nak turun tangga tu sorang-sorang, bahaya. Mak Andak dah masukkan duit, Dian tak payah fikirkan apa-apa.” ucapnya lagi sebelum menepuk lembut bahu Dian.
“Hmm.” balas Dian perlahan menghargai keperihatinan yang diberikan.
“Tengah hari nanti Mak Andak hantarkan makanan lagi. Sekarang ni, Dian makan sarapan dulu. Ingat, kalau ada apa-apa call terus Mak Andak atau Udin, takpun call kedai. Dian jangan susah-susah nak buat apa-apa. Mak Andak nak turun dulu, orang tengah ramai dekat bawah, Dian makan ya.” pesannya sebelum bersedia untuk beredar dan serentak dengan itu Dian mengangguk lemah.
“Terima kasih Mak Andak. Terima kasih sebab sudi jaga Dian.” balasnya perlahan.
“Kenapa nak berterima kasih pulak. Dian dengan ummi dah kami anggap macam keluarga sendiri. Mak Andak ajak duduk rumah Dian tak nak. Tinggal ni jelah yang mampu Mak Andak buat, lagipun dah jadi tanggungjawap Mak Andak untuk jaga Dian bagi pihak ummi.”
“Dah la tu, Dian makan. Makan banyak-banyak sikit, biar cepat kuat, cepat sihat. Nanti Mak Andak datang lagi. Lepas makan Dian rehat. Assalammualaikum.” pesannya lagi sebelum meninggalkan Dian sendiri.
“Waalaikumussalam…” balasnya perlahan.
Dian mensyukuri nikmat Illahi dan semangatnya mula kembali. Kata-kata Mak Andak sebentar tadi ada kebenarannya. Dia perlu segera pulih supaya dapat lah dia mengunjungi pusara ummi dan membacakan surah Yasin untuk ummi nanti. Tiada siapa yang mengetahui rahsia Allah, setiap yang terjadi atas perkenanNya kerana setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati dan tak sempurna iman dalam diri jika tak dapat membenarkan apa yang telah terjadi.
Allah sesekali takkan menguji hambanya dengan ujian yang tak mampu untuk mereka tanggung. Setiap ujian yang melanda semata-mata bertujuan untuk menghapuskan dosa serta memberi ganjaran pada hambanya yang sabar. Elakkan berperasangka buruk pada Allah, kerana ia hanya akan mendatangkan musibah.
“Sentiasa ingat, DIA takkan pernah bersalah, malah segala yang baik semuanya datang dari Allah, dan yang buruk tu daripada kelemahan kau sendiri Dian.” bisiknya di dalam hati. Serentak dia beristigfar berkali-kali kerana sedar dia juga pernah mempertikaikan takdir Illahi.
Bekas mangkuk tingkat yang dibawa Mak Andak diteliti. Dia tahu, dia perlu kuat untuk menempuhi kehidupan yang mendatang bila keadaan sudah berubah. Dulu dia ada ummi, tapi kini dia sudah sendiri. Dia perlu melipat gandakan usaha kerana dia tak mahu ummi kecewa. Kalau ummi tahu dia putus asa, pasti ummi akan jadi tak bahagia di sana. Dia berjanji untuk menempuhi hari-hari yang berbaki dengan sabar bertemankan semangat dan nasihat yang telah diterapkan oleh ummi padanya.
“Ummi…Dian janji dengan ummi. Dian akan teruskan hidup. Ummi jangan risau tentang Dian. Ummi boleh harapkan Dian, lagipun kan Dian anak ummi. Dian boleh, sebab Dian pun kuat macam ummi. Ummi tunggu Dian kat sana ya.” ucapnya yang sudah kembali sebak.
“Dian rindu nak jumpa ummi, tapi Dian tak tahu nak buat macam mana…Ummi kena janji, ummi kena tunggu Dian, sebab Dian nak jumpa dengan ummi lagi.” tambahnya dalam sendu yang cuba untuk ditahan. Wajah ummi jelas terpahat di minda. Serentak telapak tangannya dipandang sebelum digenggam erat dan dibawa ke dada.
“Dian janji dengan ummi. Dian akan sentiasa genggam cinta kita. Dian sayang ummi.” tambahnya sebelum menyeka air mata yang berjuraian sama. Perlahan-lahan sesuap bubur nasi tetap juga dimasukkan ke mulut. Tekaknya terasa sukar untuk menelan, namun dia terus juga berusaha. Tanpa dipaksa, airmatanya menitis lagi. Kenangan bersama ummi takkan pernah dapat dilupa kerana ia akan sentiasa kekal di hati, menjadi peneman dikala sendiri.
“Kau boleh Dian, kau boleh!” tuturnya perlahan sambil menyeka air mata yang terus jatuh berguguran.
Badan yang terasa lesu disandarkan ke arah dinding bilik sambil tangannya kejap mendakap bantal alas kepala ummi yang dirasakan amat berharga itu. Matanya memandang kosong ke arah ruangan bilik yang kekal sunyi dan sepi sebelum kehadiran seekor semut kecil yang tersesat dari kawanan berjaya menarik minatnya untuk melihat.
“Ummi, nampaknya musim dah nak berganti lagi.” tuturnya perlahan.
Lama dia memerhatikan gelagat si semut hitam yang mula kelihatan hilang arah, bergerak tanpa hala tujuan. Semakin lama, semakin jauh dari kawanan. Serentak dia menghampiri sang semut sebelum sehelai kertas dicapai dan digunakan untuk mengangkat semut tersebut.
“Kau pun dah terpisah dengan ummi kau jugak? Sama macam aku?” soalnya pada si semut.
“Tapi kita tak sama…sebab ummi kau ada kat situ, tak macam ummi aku…”
“Tapi takpa, aku ada, aku boleh bantu. Pergilah cari ummi kau semula ya.” tuturnya sebelum perlahan-lahan meletakkan semula si semut ke dalam kawanan.