Dian bangun dalam keadaan terkejut. Dia terkejut bila melihat Abang Azeem tidur di sebelahnya dan lebih mengejutkan lagi, bila tangan lelaki itu sedang merangkul pinggangnya. Seingatnya semalam dia tidur di bawah dan entah macam mana dia boleh sampai ke situ. Dengan berhati-hati dia cuba untuk melepaskan diri sebelum Abang Azeem yang masih terlena ditinggalkan sendiri.
Dia sudah biasa begitu, menyambung ilmu yang disampaikan oleh ummi padanya. Dia sangat sayangkan ummi kerana ummi telah banyak mengajarnya erti hidup. Tujuan hidup adalah pengakhiran dan demi pengakhiran yang baik dia perlu meningkatkan amalan.
Dia sayangkan ummi kerana ummi umpama lilin yang menerangi jalan gelap menuju keredaanNya dan sampai bila-bila ilmu yang ummi terapkan takkan dilupa. Dia akan sentiasa sayangkan ummi seperti mana ummi sayangkannya, dan dia sayangkan ummi kerana Allah.
Azeem sedang merapikan wajahnya di cermin. Kenangan malam tadi cuba untuk dibuang jauh, namun semakin dia cuba untuk melupakan, semakin galak bayang keduanya menerpa. Lebih menyakitkan bila terkenang perbuatan Aida yang sengaja mengambil pil pencegah kehamilan tanpa pengetahuannya sehinggalah membuat Dian terlibat sama. Dia betul-betul rasa diperbodohkan, serentak wajah di cermin dipandang geram.
“Kau memang bodoh!” tuturnya. Dia mula jadi benci pada diri sendiri dan dengan tak semena-mena satu tumbukan dilepaskan ke arah cermin, menghancurkan biasan mukanya yang terhidang di depan mata. Namun tusukan kaca di tangan taklah seperit tusukan duri di hatinya saat itu. Darah berlumba-lumba keluar daripada kulit yang terluka tapi wajahnya masih tetap sama, tidak memberi gambaran apa-apa.
Sarapan selesai dihidangkan sebelum dia bergerak untuk mendapatkan Azeem yang sudah berada di ruang tamu.
“Abang Azeem makan, Dian dah siapkan sarapan. Kalau dah siap, tinggalkan pinggan kat situ, nanti Dian kemaskan kemudian.” tutur Dian seperti biasa. Mereka memang kurang bercakap, namun mereka lebih selesa begitu bila tak ada apa yang perlu dibicara. Hujung minggu, Abang Azeem biasanya ada di rumah dan itu bermaksud tak dapatlah ummi dijengah, keluhnya di dalam hati.
“Tapi tak apa, ummi tunggu Dian ya. Nanti, insyaAllah, nanti-nanti kita jumpa.” bisiknya untuk menenangkan hati. Pantas kakinya diatur meninggalkan Azeem yang masih sunyi sebelum tiba-tiba dia menoleh semula ke situ kerana matanya seperti dapat mengkap sesuatu.
“Ya-Allah. Kenapa dengan tangan Abang Azeem? Abang Azeem tunggu kejap.” tuturnya bimbang sebelum kembali ke dapur untuk mengambil kotak alat pertolongan cemas yang terdapat di dalam kabinet. Seketika kemudian dia sudah berada di hadapan Azeem semula.
Azeem tak menolak, sebaliknya dia hanya menurut bila keperihatinan Dian berjaya melembutkan amarah yang bersisa. Hatinya mula rasa terpujuk dan terbela. Matanya tak lekang daripada memandang wajah Dian yang masih tekun merawat luka di tangan sebelum perasaan bersalah itu datang semula.
“Alhamdulillah dah siap. Abang Azeem pergilah makan dulu, lepastu rehat. Nanti Dian kemaskan semuanya.” tuturnya sambil mengemaskan kembali kotak alat kecemasan tersebut.
“Kau?” soal Azeem sepatah. Dian segera mengangkat mukanya kerana tak pernah-pernah perkara itu berlaku. Makan semeja memang tak pernah dibuat mereka dan langsung tak pernah diimpikannya. Cepat-cepat dia menundukkan mukanya semula, tak rela bertentang mata terlalu lama, kerana hatinya akan berasa tak selesa.
“Tak apa, nanti-nanti Dian makan. Abang Azeem makanlah dulu.” balasnya. Dia mahu segera beredar kerana debaran di dada semakin kuat menghentam jiwa. Langkahnya mati tadkala dia terasa tangannya di capai.
“Tolong aku.” tutur Azeem sedang Dian masih terkejut dengan keadaan itu.
“Ha?” balas Dian tak tahu. Tanpa berlengah, tangan Dian ditarik, mengarahkan Dian duduk di sebelah sebelum dia merebahkan kepalanya di atas ribaan Dian.
“Stay.” arah Azeem ringkas dan Dian seperti selalu, takkan dapat untuk menolaknya.
Sudah dua hari dia tak bertemu dengan ummi. Rindunya bukan kepalang sampai asyik terbayang-bayang. Senyuman manisnya tak lekang terpamer di bibir. Pandangannya ditundukkan sedikit ke bawah, takut tersampuk pada mata tangga. Medan penglihatannya sudah mula manjadi semakin mengecil. Ubat-ubatan yang dibekalkan oleh doktor dulu dilihat sudah tak mampu untuk mengawal penyakit yang dihadapainya itu. Jangka hayat penglihatannya semakin menghampiri tarikh akhir bila tempoh untuknya menikmati nikmat cahaya yang percuma semakin singkat dirasa.
“Seperti yang saya jangka, cik menghidap penyakit gloucoma dan ia dah berada pada tahap yang agak serius.” tutur doktor yang merawatnya. Serta-merta berubah wajah Dian yang baru selesai mendengar.
“Glaucoma?” balasnya hairan. Buat pertama kali dalam seumur hidupnya perkataan itu didengar.
“Ya, glaucoma. Ia sejenis penyakit gangguan penglihatan akibat berlakunya kerosakan pada saraf optik kesan daripada tekanan yang berlaku dalam mata.”
“Saraf optik adalah bahagian yang sangat penting pada mata kerana ia merupakan laluan yang membawa imej sesuatu benda yang kita lihat ke otak dan jika keadaan ini tak dikawal ia boleh mengakibatkan buta kekal.” terang doktor berkenaan. Dian tetap diam. Dia masih cuba untuk memahami situasi itu. Buta? Betul ke kau akan buta nanti Dian? Duganya di dalam hati. Hanya ummi yang mampu difikirkannya saat itu. Segala janji-janji untuk membela nasib ummi pasti takkan dapat direalisasikan lagi.
“Tapi kenapa saya tak perasan selama ni?” soal Dian sedikit tak puas hati dan dia masih cuba untuk menidakkan realiti.
“Gejala glaucoma jenis yang cik hadapi selalunya berlaku secara perlahan dan penghidap biasanya memang tak terasa sakit. Tanda-tanda hanya akan mula berlaku bila keadaan glaucoma menjadi serius. Tanpa rawatan yang berkesan, glaucoma akan mengakibatkan kerosakan kekal pada saraf optik manakala medan penglihatan pesakit akan mula menjadi semakin sempit dan sampai ke satu tahap, pesakit mula melihat seperti menggunakan teropong.” tuturnya menjelaskan. Dian terus mendengar sambil berusaha untuk menerimanya.
“Seperti yang saya cakap tadi, glaucoma sudut terbuka akan menyerang pesakit secara perlahan tapi berterusan dan dalam kes yang paling serius, pesakit akan mengalami buta kekal.” tambah doktor berkenaan. Dian mula rasa pening. Dugaan Allah datang tinpa-menimpa. Belumpun selesai masalah biasiswanya, kini timbul pula masalah yang lebih serius. Dia bakal menjadi orang kurang upaya? OKU? Betulke semua tu? Adakah Allah mahu mengambil semula nikmat yang telah dipinjamkannya selama ni? Benarkah dia akan menjadi buta? Soalnya berulangkali pada diri sendiri.
“Ummi tolong Dian…” sayu hatinya merintih kerana dia sudah rasa tak tertahan.
“Berapa lama lagi masa yang saya ada doktor?” soalnya seketika kemudian. Walaupun dirasakan tak adil pada mulanya tapi dia akhirnya sedar semuanya datang dari Allah dan siapalah dia untuk membantah.
“Mungkin setahun dua, kurang atau lebih sebab saya sendiripun tak dapat untuk pastikannya, tapi masih ada rawatan yang boleh dilakukan. Pada tahap cik sekarang, kaedah yang boleh dilakukan adalah menerusi pembedahan bagi buat satu laluan alternatif supaya cecair yang terdapat di dalam bebola mata dapat dikeluarkan seterusnya mengurangkan tekanan pada bebola mata.” jelasnya lagi. Dian jadi makin pening. Pembedahan pasti memakan kos yang tinggi, sedang status pelajarannya sendiri dah tak tentu hujung pangkalnya kini. Akhirnya cadangan doktor tersebut langsung tak diambil pusing. Dia tak mahu menambah kekusutan. Lagi difikir, lagi pening kepala dan serentak dengan itu dia menghela nafas panjang.
“Takpalah doktor. Nanti saya pertimbangkannya dulu. Terima kasih, assalammualaikum.” ucapnya sebelum melangkah meninggalkan bilik rawatan tersebut dengan perasaan yang bercampur baur, antara sedih dan kecewa, derita juga sengsara. Wajah ummi kembali terbayang di mata sebelum hatinya rasa hiba semula.
“Ummi, maafkan Dian. Dian tak dapat nak tunaikan janji.” tuturnya perlahan. Angan-angannya seluas dunia untuk membela nasib ummi, tapi semua itu dilihat semakin sukar untuk dikecapi.
Hilang pergi kenangan yang membebankan bila terpandang wajah ummi daripada cermin yang terdapat di bahagian atas pintu. Ketenangan yang dicari kini kembali. Ummilah segala-galanya yang dia ada dan hanya ummi satu-satunya teman yang diperlukan di dunia selepas Allah dan Rasulullah. Senyumannya mekar sampai ke telinga kerana dia sudah bersedia mahu melepaskan rindu pada ummi tercinta.
“Assalammualaikum ummi…” tuturnya sebelum menyalami tangan ummi yang tetap kaku biarpun sudah berbulan-bulan masa berlalu.
“Ummi…Dian dah datang ni. Dian nak minta maaf sebab dah dua hari tak datang tengok ummi.” tambahnya dan tanpa berlengah, tubuh ummi didakap erat.
“Ummi janganlah merajuk ya. Ummi tau tak, Dian rindu sangat dengan ummi. Rindu…sangat.” tambahnya sebelum mengucupi pipi ummi.
“Ummi macam mana? Ummi tak rindu dengan Dian?”
“Mesti ummi tak rindu kat Dian kan?” soalnya sebelum mengucup pula dahi ummi lembut.
“Kalau ummi rindu, mesti ummi dah bangun dah. Ini tak, ummi masih nak tidur lagi. Ummi seronok ke tidur lama-lama kat sini, lepastu biar Dian tinggal sorang-sorang macam ni?” serentak tangannya mengelus pipi ummi lembut.
“Ummi bangunlah…ummi bangunlah ya. Dian rindu nak dengar suara ummi. Dian dah rindu sangat dengan ummi, Dian sayang ummi.” tambahnya pula. Kali ini tangisannya tak dapat dikawal lagi. Berderaian air mata membasahi pipi. Ujian yang melanda adakalanya terasa sukar untuk ditempuhi, tapi dia tahu dia perlu sabar kerana sabar adalah sikap terpuji yang mampu membuatkan diri dikasihi Illahi.
Ummi sumber kekuatan, kata-katanya penuh dengan ingatan untuk diamalkan dalam kehidupan. Tak pernah lupa mengingatkan kerana tak rela dirinya menemui kesesatan. Dia takkan dapat membayangkan hidup tanpa ummi, tanpa penemannya yang setia itu.
Dia bersyukur, Allah masih memanjangkan usia ummi biarpun hanya dengan berbaring begitu, itu pun sudah lebih daripada memadai. Biarlah tanpa suara, tapi tubuh ummi masih dapat didakap serta dikucup mesra dan dia takkan sesekali putus berdoa agar ummi dapat sembuh semula.
Surah Yasin yang ada di atas meja dicapai sebelum dia membacakannya khas untuk ummi yang tercinta, dan sama seperti hari-hari yang sebelumnya ummi hanya mampu mendengar, tanpa ada sebarang balasan darinya.