Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 21

Azeem bergegas menuju ke arah keretanya sebelum memecut selaju mampu. Wajahnya terpalit perasaan bimbang. Panggilan telefon daripada opah sebentar tadi telah membuatkannya rasa tak senang hati kerana selama  ini opah tak pernah berkunjung ke rumah. Serentak dia teringatkan botol-botol minuman keras yang tersimpan di dalam kabinet dapur sebelum dia segera menggeleng-gelengkan kepala.

“Habislah hidup kau Azeem kalau opah jumpa. Mesti pening kepala nak menjawapnya.” tuturnya sendiri sebelum memecut lagi. Dalam kekalutan, dia cuba untuk menghubungi Dian, tapi malang tak dapat disambungkan.

“Kemana perginya? Time penting macam ni, tak angkat pulak?” bebelnya setelah menyedari panggilannya tak dihiraukan.

“Sakit hati betul!” gerutunya lagi sambil tetap juga berusaha mendapatkan talian.

 

“Assalammualaikum…assalammualaikum.” tutur opah yang baru tiba di halaman rumah.

“Waalaikumussalam. Sekejap…” balasnya sambil merapikan pakaian di badan dan mengelap tangan yang kebasahan.

“Opah!” ucapnya sambil tersenyum. Gembira bila ada yang sudi datang menziarah.

“Sekejap opah…sekejap.” tambahnya sebelum menuju semula ke dapur.

 

“Dian jangan lupa datang rumah nanti. Dian kena masakkan gulai tempoyak yang sama macam tadi. Sambal belacan tu terutamanya. Sedap, macam makan di restoran.” tuturnya memuji kerana kesedapan gulai ikan yang baru dimakan masih dirasai.

“Bila nak datang Dian bagitahu, bolehlah opah sediakan bahan-bahan.” tambahnya lagi.

“Dian nak bagi bawak balik opah tak nak, takpun sekejap, opah tunggu Dian sekejap. Biar Dian bungkuskan.” balas Dian, serentak opah menghalang.

“Dian tak payah, opah dah makan tadi. Alhamdulillah, dah kenyang perut opah.” balasnya menolak tak mahu menyusahkan Dian kerana dia sendiri telah melihatnya tadi, dah tak ada banyak yang berbaki. Azeem hanya melihat gelagat keduanya. Layanan opah terhadap Aida dan Dian berbeza. Paling ketara muka, asyik tersenyum je sepanjang masa.

“Tapi…” tutur Dian tetap mahu mengusahakan apa yang termampu sebagai tanda menghargai tetamu.

“Takpa, takpa. InsyaAllah, lain kali dapatlah opah makan lagi, tapi Opah nak tengok macam mana Dian masak. Nanti senanglah bila nak buat sendiri.” tuturnya sambil menuju ke arah kereta. Dian hanya mampu tersenyum nipis mendengarnya.

“Opah balik dulu. Dian jaga diri. Jangan lupa datang nanti. Azeem, nanti bawa Dian ke rumah.” ucapnya sambil berdakapan dengan Dian sebelum dituruti Azeem yang ada bersebelahan.

“Ok, ok, nanti kami datang.” balasnya pantas, lega kerana rahsia masih kekal rahsia.

“Assalammualaikum.” ucap opah mengakhiri lawatan setengah hari ke situ.

“Waalaikumusslam…” balas Dian dan Azeem sambil mata tetap memerhati, menghantar opah pergi.

 

Mereka sama-sama duduk sunyi di birai katil. Senyap tak bercakap buat seketika sebelum keheningan itu dipecahkan oleh Azeem yang sudah mahu bertanya.

“Mana kau letak benda tu? Kau buang ke?” soalnya sebelum mengalihkan pandangannya ke arah Dian. Perlahan-lahan Dian bangun dan menuju ke arah almari pakaian yang terletak berhampiran.

“Dian letak kat sini.” balasnya sambil mengeluarkan kembali botol-botol minuman keras yang disorokkan dalam lipatan pakaian. Mujurlah dia sempat menyembunyikannya, kalau tak opah pasti takkan balik dalam keadaan gembira tadi. Desis hati kecilnya.

Satu demi satu botol dikeluarkan daripada tempat persembunyian sebelum semuanya diraih oleh Azeem dengan tangan. Dian sedih kerana matanya terpaksa menjadi saksi pada semua yang terjadi. Azeem perasan wajah Dian yang keruh, lalu dia jadi tergerak hati untuk membela diri.

“Aku tahu apa yang kau fikir dalam kepala kau tu, tapi ni bukan barang aku. Semua ni Aida yang punya.” balasnya menjelaskan keadaan. Tak mahu dipandang rendah sebegitu. Serentak dia bangun dan meninggalkan bilik berkenaan dengan himpunan botol-botol minuman keras berkenaan.

“Alhamdulillah…terima kasih Allah.” bisik Dian perlahan. Lega kerana selama ini dia cuma berperasangka. Dia gembira kerana abang Azeem tak terlibat sama dan tanpa sedar dia tersenyum tanda bangga.

 

“Siap sekarang.” arahya pada Dian yang baru keluar daripada bilik selesai menunaikan solat Asar.

“Kita nak ke mana?” soalnya kurang percaya kerana mereka tak pernah keluar berdua.

“Kau ni, kalau aku dah suruh siap tu siap jelah. Kenapa banyak sangat soalnya?” balas Azeem pula kerana dia memang tak suka dipersoalkan.

“Pergi cepat siap!” arahnya lagi sebelum bergegas ke tingkat atas.

 

“Kau yang berjanji sakan nak masakkan untuk opah hari tu kan? Sekarang, pergilah buat.” tuturnya sesampai mereka di rumah opah. Dian mula rasa tak senang, kerana rasa macam ada yang kurang.

“Kita tidur sini ke malam ni?” soalnya pula.

“Tak tahu lagi.” balas Azeem pantas, malas mahu bersoal jawap sebelum melangkah keluar daripada kereta.

“Apa lagi yang kau tunggu tu? Turun!” arahnya kasar bila melihat Dian masih terpaku, dan serentak dengan itu Dian pantas bergerak.

 

Baju yang tersarung di badan dicium untuk memastikan kesucian sebelum dia menggeleng-gelengkan kepala setelah menyedari hakikatnya.

“Tak boleh macam ni. Dah berlengas sangat ni.” tuturnya sendiri sebelum dia didatangi Azeem yang baru selesai membersihkan diri.

“Apa yang kau tunggu lagi? Pergilah mandi.” arah Azeem selesai mereka menjamu selera dengan makan malam yang meriah. Mana tak meriahnya, opah betul-betul dah berubah. Opah dah jadi macam orang lain, tak pernah opah macam tu. Punyalah ramah, sampai semua hal-hal rumah diceriakannya pada Dian, dan tak terkecuali hal-hal pewarisan yang turut sama diterangkan.

“Tapi Dian tak ada baju ganti.” tuturnya perlahan menyatakan kebimbangan.

“Baju? Tunggu.” balas Azeem sebelum bergerak ke arah almari dan mencari apa yang dihajati.

“Nah, ambil pakai.” ucap Azeem sambil mengulurkan baju dan seluar yang difikirkan sesuai beserta dengan sehelai tuala bersih. Dian lega, kerana kebimbangannya berakhir juga.

 

“Kau nak ke mana lagi tu?” soalnya tak puas hati saat melihat Dian menuju ke arah pintu setelah selesai membersihkan diri.

“Dian nak sembahyang.” balas Dian pula.

“Sembahyang jelah kat sini. Kenapa? Tak boleh?” tutur Azeem sedikit tak puas hati.

“Tapi Dian tak ada telekung. Dian tak tahu yang kita nak bermalam kat sini.” balasnya, tetap juga perlahan, tak mahu mencetuskan pertikaian. Serentak dengan itu, Azeem menggaru-garukan kepala setelah sedar dia yang menjadi puncanya.

“Takpa, kau tunggu sini. Aku pergi minta dengan opah.” balas Azeem sebelum melangkah ke arah Dian.

“Abang Azeem, tak payah. Tadi Dian dah bagitahu Nek Yam nak tumpang sembahyang. Maghrib tadi pun Dian dah sembahyang kat situ. Abang Azeem tak payah susah-susah untuk Dian.” tuturnya menghalang sebelum dia bergerak ke tingkat bawah meninggalkan Azeem yang masih menggaru-garu dagu sendiri.

 

Opah dan Nek Yam sibuk menyediakan hidangan makan petang untuk tetamu yang bakal datang. Pelbagai jenis kuih-muih telah sedia terhidang diatas meja, hanya menunggu masa untuk merasmikannya.

“Dah sampaipun dia.” tutur opah tadkala terdengar bunyi pagar automatik dibuka.

“Yam, semua dah siap? Airnya mana?” soalnya pula, tak mahu ada yang kurang.

“Ada, puan. Airnya pun dah siap, tinggal tunggu nak hidang.” balas Nek Yam sambil membawa teko air ke arah meja.

“Eloklah tu. Biar saya tengokkan mereka.” serentak opah menuju ke ruangan depan untuk mendapatkan Dian.

Entah apa ada pada Dian sehingga mampu membuat opah terpikat. Baru minggu lepas mereka ke situ, minggu ni dah disuruh datang lagi.

“Opah…opah.” bisik Azeem di dalam hati saat kenderaan memasuki perkarangan rumah sebelum dia memandang ke arah Dian yang ada di sebelah dan seperti minggu lepas, Dian masih kelihatan terkejut.

“Susahlah macam ni. Bila kita tanya bukannya nak jawap. Kalau tahu awal-awal kan boleh packing baju. Telekong pun tak bawa lagi.” bisik Dian didalam hati setelah tahu arah yang dituju. Serentak riak wajahnya berubah kerana dia mula kesal. Nampak gayanya terpaksalah dia menyusahkan Nek Yam lagi, getusnya sendiri.

“Nah, ambil pakai.” tutur Azeem tegas sambil menghulurkan beg kertas yang berada di tempat duduk belakang sebelum meninggalkan Dian yang masih belum bersedia untuk turun.

“Abang Azeem, apa…” belumpun sempat dia bertanya, Azeem sudah meninggalkannya.

“Apa ni?” soalnya sendiri sebelum memeriksa isi. Dia tersenyum setelah terpandangkan kotak kain telekung yang ada disitu.

“Abang Azeem…terima kasih.” tuturnya perlahan menghargai hadiah yang diberikan.

 

“Kak Ina, tolong buatkan saya kopi.” tuturnya selesai menekan butang interkom.

“Kak Ina…” panggilnya lagi, hairan bila panggilannya tak disahut.

“Patutlah, dah sampai waktu makan tengahari.” tuturnya setelah menyedari dia telah termakan waktu rehatnya sendiri. Perutnya masih berasa kenyang setelah menghabiskan sepinggan penuh nasi goreng yang disediakan Dian pagi tadi dan apa yang diperlukannya sekarang hanyalah secawan kopi. Setelah berfikir dia bangun dan berkira-kira mahu ke pantri.

Keriuhan yang melanda tertangkap di telinga, sebelum dia menghampiri tempat punca suara.  

“Apalah yang diborakkan tu?” soalnya pada pekerja-pekerja yang ada di situ.

“Tuan dah balik? Tuan dah makan?” soal Kak Ina tadkala terpandangkan kehadiran Azeem, hairan kerana waktu rehat baru saja bermula, dan kebiasaannya tuannya itu sudah tiada.

“Dah, dah. Saya dah makan.” bohongnya, tak mahu memanjangkan cerita.

“Tuan nak minum?” soal Kak Ina lagi.

“Hmm, memang ingat nak minum. Boleh akak buatkan?” soalnya pula.

“Boleh, boleh. Sekejap akak buatkan. Tuan duduklah dulu.” balasnya. Serentak itu, dia bergegas menyediakan pesanan. Azeem hanya mengangguk sebelum dia mula rasa kekok bila berhadapan dengan pekerja-pekerja wanita syarikat yang duduk tertunduk dengan tangan masih lagi meneliti kertas risalah barangan. Ingin disapa dia sendiri tak pasti akan namanya. Azeem mula rasa tak selesa, tapi mujur semuanya tak lama kerana kopi yang diminta siap juga akhirnya.

“Tuan dah siap. Kopinya.” tutur Kak Ina sambil mengulurkan kopi yang baru siap dibancuh.

“Ok, terima kasih kak.” balasnya lega. Lega kerana dia tak perlu berlama-lama.

“Tuan tak nak beli?” soal Kak Ina pada Azeem yang sudah mahu beredar.

“Tak rasanya, akak teruskanlah.” tuturnya sebelum membuka langkah. Dia tidak menghalang pekerja-pekerja syarikat mencari pendapatan sampingan selagi tidak mendatangkan kesan pada prestasi kerja. Boleh berniaga, tapi bukan pada waktu bekerja.

“Kak Ina telekung yang ni, ada banyak warna ke? Ke satu warna je?” soal seorang kakitangannya. Serta-merta langkahan kakinya terhenti.

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.