Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 13

Ummi menghampiri Abi yang sedang duduk di meja makan. Sikap dingin suaminya itu menimbulkan perasaan yang tak enak di hati. Dia tahu, dia perlu lebih berhati-hati, kalau tersilap cara pasti dia akan kena. Perlahan-lahan nasi disendukkan ke dalam pinggan, namun reaksi suaminya itu tetap tak berubah. Dingin dan kaku, tapi tenungannya sudah cukup untuk mencerminkan hatinya.

“Apa yang awak masak ni? Tawar. Apa dah tak ada garam kat dalam rumah ni?” bentaknya kasar selesai merasa sesudu kuah gulai yang sedia terhidang, sebelum pantas bangkit daripada kerusi yang didudukinya. Azizah nyata terkejut. Dia sudah menambahkan perasanya lebih daripada kebiasaan, takkan masih tak cukup, bisiknya sendiri. Muka abi merah menyinga sambil tangannya kuat mencengkam pergelangan tangan isterinya itu.

“Kenapalah susah sangat nak mengajar awak ni? Dah berapa kali saya cakap, saya tak suka makan makanan yang tawar. Dah tu kenapa awak buat jugak!” tuturnya lagi sambil menjolkan jarinya ke arah kepala Azizah berkali-kali.

“Fikiran awak ni di mana? Ke awak asyik terfikirkan kekasih yang terpaksa awak tinggalkan, sampai dah tak ingat hal rumahtangga sendiri? Awak jangan ingat yang saya tak tahu apa yang awak buat!” bentaknya lagi.

“Apa lagi yang Zizah buat? Apa lagi salah Zizah kali ni? Sejak kita kahwin, Zizah dah tinggalkan semuanya. Abang tahu tu, tapi kenapa abang tetap nak tuduh Zizah?”

“Memang, memang Zizah pernah bekerja di situ, tapi itu dulu. Zizah cuma bekerja dan setiap masa Zizah pastikan Zizah tak melampaui batasnya. Zizah bersyukur sangat bila abang sanggup ambil Zizah jadi isteri dan keluarkan saya dari tempat tu. Sampai sekarang pun Zizah masih berterima kasih, jasa abang takkan dapat Zizah lupa sampai bila-bila.”

“Tapi kenapa? Kenapa sampai sekarang abang masih tak boleh nak percayakan Zizah? Hati Zizah hanya ada abang.” tuturnya kesal. Sudah lama dia memendam rasa. Hatinya sangat terluka dengan tuduhan dan tohmahan yang tak pernah ada titik kesudahannya itu. Ya, dia bekas pekerja di kelab malam, tapi dia tak pernah menjaja tubuh badannya sendiri.

“Awak jangan nak menipu. Ni apa ni? Siapa lelaki ni?” bentaknya lagi sambil melemparkan beberapa keping foto isterinya itu bersama seorang lelaki yang berada di dalam kereta.

“Lelaki tu cuma tanya arah pada Zizah. Zizah tak kenalpun siapa dia.” balasnya tetap cuba mempertahankan diri.

“Tapi macam mana abang boleh ada gambar ni? Abang upah orang ikut Zizah? Kenapalah susah sangat untuk abang percayakan Zizah. Zizah hanya sayang abang.” tutur Azizah menerangkan. Dia tak mahu terus-terusan dipersalahkan atas perbuatan yang dia sendiri tidak lakukan kerana sikap cemburu suaminya itu amat mendera hati dan perasaan.

“Awak jangan nak bohonglah. Awak ingat saya tak tahu berapa ramai kekasih awak dulu? Berapa ramai jantan-jantan kat luar sana yang gilakan awak dan lelaki tu salah seorang daripadanya kan?” balasnya marah sambil menggenggam rambut isterinya itu kuat untuk melepaskan amarahnya.

“Ya-Allah, abang jangan buat Zizah macam ni. Zizah sakit bang. Tolonglah ingat tuhan.” rayu Azizah sayu. Dia tahu tubuh itu pasti akan disakiti seperti selalu. Hatinya sakit seperti dihiris sembilu memikirkan nasib diri yang sentiasa diragu.

“Kau tu yang tak ingat tuhan. Waktu kau melayan jantan tu kau tak ingat pulak dosa pahala? Kau memang isteri tak guna!” pekik Ehsan sebelum menghumbankan tubuh isterinya itu ke lantai. Tak cukup dengan itu, tubuh Azizah ditumbuk dan disepak sekuat hati sebelum dia berasa puas kerana amarahnya terbalas.

“Inilah balasan pada isteri yang derhaka!” tuturnya. Segala lauk pauk yang terhidang turut menerima nasib yang sama, bertaburan dia atas lantai setelah alas meja ditarik tanpa belas ihsan.

Razif dan Dian beriringan menuju ke rumah dengan perasaan riang. Perut yang kelaparan sudah mula berkeroncong kerana keenakan masakan ummi seperti sudah dapat dirasai di kerongkong. Seronoknya hari ni kerana dapat makan bersama dan mungkin penghijrahan ini dapat mengembalikan kebahagiaan yang sudah terlalu lama tidak menjengah. Dia tahu yang dia perlu optimis kerana Allah pasti akan memberi jalan keluar untuk mereka nanti. InsyaAllah, bisiknya di dalam hati.

Kurang seminit, mereka sudah tiba di perkarangan rumah. Bunyi riuh di dalam rumah sayup-sayup kedengaran di telinga, serentak Razif segera menarik tangan Dian menuju ke luar rumah semula. Dia sudah dapat mengagak apa yang terjadi kerana ummi dan abi pasti sedang bergaduh lagi. Dia tak mahu Dian turut sama menjadi saksi kehancuran rumahtangga keluarga mereka.

“Adik, abang bawa pergi main buai kat taman nak?” cadangnya tiba-tiba.

“Nak, nak, tapi abang kena janji jangan tolak kuat sangat. Adik takut.” balasnya pula.

“Ok, abang janji.” tutur Razif, lega kerana Dian memudahkannya.

 

Perlahan-lahan daun pintu utama ditolak. Suasana dalam rumah sunyi sepi macam tak berpenghuni. Razif pasti yang abi sudah keluar kerana keretanya sudah tiada. Matanya segera mencari sekujur tubuh ummi yang sedari tadi tak kelihatan.

“Ummi…” bisiknya perlahan tadkala terpandangkan keadaan dapur yang berselerak dan ternyata benar sangkaannya itu, abi buat hal lagi. Tentu ummi parah dibelasah kali ini, duganya sendiri.

“Dian nak makan kan? Takpa, Dian tunggu kat dalam bilik dulu. Nanti abang bawakan nasi dengan air. Dian tunggu sampai abang datang ya.” tutur Razif segera mahu menyembunyikan keadaan. Dian pantas menurut. Razif betul-betul lega kerana adiknya itu memang mendengar kata.

Belumpun dimakan, gulai ayam yang dimasak ummi sudah bertaburan di atas lantai. Serpihan kaca pinggan yang dikutip satu persatu. Jiwanya terluka memikirkan masalah rumahtangga kedua orang tuanya itu sebelum satu keluhan berat dilepaskan untuk mengurangkan tekanan yang turut sama dirasainya.

“Abi, sampai bila abi nak buat ummi macam ni?” tuturnya kesal. Hati kecilnya merintih. Airmatanya mula bergenangan sebelum jatuh berjuraian. Tiba-tiba dia terfikirkan sesuatu, dengan pantas dia menyeka airmatanya itu.

Dia sudah tak sanggup lagi melihat ummi menderita kerana layanan buruk abi pada ummi turut mendera perasaannya juga. Serentak dia meluru ke bilik ummi dan mengetuknya berkali-kali.

“Ummi…” tuturnya.

“Ummi… buka pintu ni ummi.” ulangnya lagi, tapi tetap tidak dibalas.

“Ummi, bukak lah pintu ni ummi, adik sakit.” tuturnya lagi dan kali ini dia terpaksa berbohong. Telahannya tepat, ummi sangat sayangkan adik dan tak mungkin ummi akan mendiamkan diri andai ada sesuatu menimpa adik.

“Kenapa dengan adik? Adik sakit apa? Apa jadi dengan adik?” soal ummi cemas kerana dia tak sanggup mengabaikan kebajikan anak-anaknya begitu saja.

Lidah Razif kelu untuk berkata. Wajah ummi yang bengkak di mata dan di pipi betul-betul membuatkan hatinya pedih. Tanpa dipaksa tangisannya berderai semula.

“Ummi, kenapa sampai jadi sampai macam ni? Kenapa ummi terima semua yang abi buat pada ummi…” tuturnya dalam tangisan yang sudah tak dapat dikawal tadkala wajah ummi dipandang. Dia sedih bila memikirkan hidup ummi yang sengsara bertemankan abi yang cemburu buta.

“Abi…” tuturnya sambil mengetap gigi menahan marah. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia melaporkan kejadian itu pada pihak berkuasa supaya ummi dapat bebas daripada abi, tapi dia telah ditegah satu masa dulu. Kata ummi, abi tak sengaja. Razif tahu ummi tak mahu memburukkan abi di hadapan mereka kerana ummi tak rela mereka membenci abi.

“Ummi ikut abang ya? Kita keluar daripada sini. Kita tinggalkan rumah ni.” tuturnya sambil segera mengesat air mata. Dia bertekad untuk membebaskan ummi daripada belenggu yang merantainya selama ini, biarlah abi tinggal sendiri. Getusnya di dalam hati. Namun ummi masih tercegat di situ.

“Ummi cepat! Nanti abi balik.” gesanya pula.

“Ummi kemaskan barang ummi, biar abang ambil barang adik.” arahnya, sebelum segera ke bilik. Dia pantas mengambil beberapa helai pakaian yang bergantungan dan menyumbatkannya ke dalam beg sekolah yang ada terdapat di situ.

“Adik, cepat, cepat. Kita kena pergi dari sini.” tegasnya yang sudah bergegas ke bilik Dian pula.

“Tapi kita nak pergi mana?” soal Dian tak percaya.

“Kita kena pergi jauh, jauh dari sini.” balas Razif yakin sambil dalam hati masih memikirkan arah tuju mereka nanti.

 

Wajah ummi ditatap dengan linangan air mata sebelum tangan ummi yang pucat dan kesejukan digenggam dan diusap lembut.

“Ummi maafkan Dian…Dian dah tak ada cara lain. Ummi tolonglah maafkan Dian ya ummi. Dian tak sengaja.” tuturnya sebelum mengucup tangan ummi yang dikasihi. Kata Dr. Rajan, pembedahan telah berjaya dilakukan, tapi ummi masih memerlukan proses pemantauan yang ketat.

Buat masa sekarang ummi ditempatkan di bahagian ICU hospital berkenaan sedang perkembangannya dipantau rapat dan waktu 24 jam yang berikutnya menjadi masa yang paling kritikal bagi ummi. Biarpun peluang ummi hanya 50/50, dia yakin ummi mampu untuk mengharunginya. Demi ummi dia sanggup melakukan apa saja, biarpun dia bakal mengorbankan dirinya sendiri. 

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.