Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 36

Sepulangnya dari pejabat, Azeem tercari-cari Sofia. Dia menjenguk ke dapur, tapi dia hanya dapat melihat opah bersama Nek Yam dan Sofia tak ada bersama mereka.

“Opah, Sofia mana?” soalnya pada opah, tak sabar untuk meluangkan masa dengan kekasih hatinya itu.

“Ya-Allah, terkejut opah. Assalammualaikum.” tutur opah, sengaja mahu mengingatkan tentang adab yang seringkali dilupakan.

“Hee, sorry. Waalaikummussalam, api sebelum tu, assalammualaikum.” tuturnya semula. Opah dan Nek Yam menjawap selayaknya.

“Opah Sofia mana? Sofia?” soal Azeem semula. Tak betah menanti lagi. Sudah seharian dia menanti untuk bergurau senda dengan anaknya itu. Gelak ketawa Sofia mampu membuatkan hatinya ceria, seronok dan bahagia. Perasaan yang hanya dapat dirasai oleh seorang bapa.

“Sofia ada kat atas. Opah tinggalkan sekejap sebab dia dah terlena tadi. Tak sampai hati opah nak kejutkan dia. Kenapa Azeem balik lambat lagi hari ni? Dah mengantuk dia tunggu Azeem, kesian opah tengok, tu yang opah tidurkan  terus. Azeem jangan kejutkan dia, biar dia tidur.” balas opah pula.

“Okey.” jawap Azeem sebelum laju menuju ke bilik opah.

Perlahan-lahan pintu dibuka, takut anaknya itu terganggu lenanya. Sudah lebih jam 9.00, dia yang terleka, tak sedar hari sudah merengkak ke malam. Nampak gayanya tak dapatlah dia bermain dengan anaknya itu hari ini, tapi tak apalah, esok kan ada. Bisiknya pada diri sendiri.

Senyumannya datang dengan sendiri tadkala terpandangkan wajah Sofia, jantung hatinya itu. Dia benar-benar sayangkan Sofia dan kehadiranya kini menjadi pelengkap kehidupan, walaupun tanpa Dian. Dirinya mula tersiksa lagi setiap kali persoalan tentang Dian dibangkitkan hati. Serentak dia menghela nafas panjang sebelum kenangan lalu kembali tanpa perlu berusaha untuk diselongkari.

 

Setelah mengetahui kebenaran tentang Dian daripada Aida, Azeem segera memandu ke hospital yang dimaksudkan, hospital yang sama, tempat dia melihat Dian dan lelaki itu. Dalam hati dia tak henti menyumpah seranah diri sendiri. Sepanjang perjalanan hatinya rasa terdera bila perasaan bersalah itu tak pernah jauh daripada jiwa. Dia sangat sayangkan Dian malah cintanya juga dirasakan sudah mula beralih arah.

“Maaf cik, saya nak tumpang tanya. Boleh saya tahu di mana bilik Pn. Azizah?” soalnya pada jururawat tersebut.

“Pn. Azizah, sebentar ya.” balas jururawat berkenaan sambil menekan-nekan kekunci komputer yang ada di hadapan.

“Maaf encik. Saya nak maklumkan yang jenazahnya sudah dituntut oleh ahli keluarga.” balasnya. Azeem terkesima. Dia sedar Dian telah menguruskan semuanya sendiri malah dia kesal bila memikirkan Dian langsung tak memaklumkan tentang perkara tersebut. Tiba-tiba dia teringatkan segala tuduhan dan makian yang dilemparkan terhadap Dian. Serentak dengan itu dia pantas menyalahkan diri sendiri.

“Boleh saya tahu ke mana jenazahnya dibawa?” soal Azeem semula. Mungkin dia tak berpeluang untuk menghadiri pengebumiannya, tapi dia sudah cukup gembira andai diberikan kesempatan menziarahi pusara ibu mertua yang langsung tak pernah diambil peduli tentang kehadirannya selama ini.

“Maaf, saya tak tahu, sebab mereka guna kenderaan jenezah daripada luar dan kami tak ada record tentangnya.” balasnya kembali. Azeem sedar dia bakal kehilangan Dian untuk selama-lamanya kerana tiada satu pun perkara tantang Dian yang berada di dalam pengatahuannya.

“Tak apa lah kalau macam tu. Terima kasih.” ucapnya sebelum beransur pergi. Kekesalannya menggunung, kekecewaannya tak dapat nak dibendung. Segalanya berlaku hasil daripada perbuatan tangannya sendiri dan angkara tangan itu juga, kini dia sudah terlepas segala-galanya.

Sangkaannya meleset sama sekali. Dian bukanlah perempuan meterialistik seperti apa yang difikirkannya selama ini, malah lebih dikesali, bila mengetahui segala yang Dian lakukan hanyalah untuk seorang insan yang bergelar ummi.

“Dian kau kat mana?” rintihnya sendiri. Langkahan kaki terasa longlai tanpa mengetahui arah untuk ditujui. Jika diberikan peluang dia mahu menebus kembali segala kesalahan yang pernah dilakukan, dan jika diberikan kesempatan, sesekali tangan itu takkan dilepaskan daripada genggaman.

Dia mahu Dian sentiasa ada bersamanya setiap masa sebagai isteri, bukan hanya sebagai wanita yang dikahwini atas syarat seperti yang telah dipersetujui dan dia berjanji untuk sentiasa membahagiakannya nanti. Namun itu semua hanya akan terjadi jika Dian ada di sisi.

“Apa yang aku dah buat? Aku bersalah padanya Ya-Allah. Bantulah aku Ya-Allah…temukanlah kami semula.” tuturnya lagi, tanpa sedar air matanya mula menuruni lekuk pipi.

 

Azeem menapak menuju ke pejabat hal ehwal pelajar fakulti kejuruteraan berkenaan berpandukan tanda arah yang tersedia. Mujurlah dia pernah menghantar Dian ke kelas satu ketika dulu, kalau tak satu apapun dia langsung tak tahu. Dia ingin segera mencari maklumat tentang Dian di sana, terutama tentang alamat rumahnya supaya dia dapat bertemu semula dengan Dian untuk menginsafi segala perbuatan yang telah dilakukan. Setelah berurusan beberapa ketika, dia akhirnya kecewa kerana hasilnya tiada.

Pihak universiti tak mahu membantu. Hujahnya, segala maklumat pelajar adalah sulit dan tak boleh didedahkan kepada pihak ketiga. Puas dia berusaha, tapi penerangannya tetap tidak diterima. Akhirnya terpaksalah dia bertindak sendiri untuk mencari pelajar-pelajar yang mungkin mengenali Dian dengan rapat, kawan-kawan sekelasnya target yang lebih tepat.

Azeem tercegat di sebelah papan kenyataan sambil menunggu peluang untuk memulakan rancangan. Seorang demi seorang pelajar melintasi tanpa ada yang memberikan perhatian padanya. Mahu menyapa dengan sewenag-wenangnya dia rasa malu pula. Buat seketika dia masih terpaku di situ sebelum seorang pelajar perempuan sudi menghadiahkan pandangan dan dia akhirnya mendapat peluang yang dinanti-nantikan.

“Assalammualaikum.” tutur Azeem perlahan kepada pelajar tersebut.

“Waalaikumussalam.” balasnya pelajar perempuan itu pula.

“Ada apa ya? Boleh saya tolong?” tambahnya lagi mengalahkan jurucakap universiti. Ramah dan mesra, sedia menguhulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya nak tanya, adik tahu tak tentang seorang pelajar di fakulti ni. Nama dia Fatin Nurdiana Elysa? Adik kenal?” soalnya terus. Tak mahu berlengah-lengah lagi dalam usahanya untuk bertemu semula dengan Dian.

“Ooo…Kak Dian. Mestilah kenal. Dia legend kat sini. Kat studio tu kebanyakannya display projek dia untuk panduan pada junior macam kami.” balasnya semula sambil tersenyum gembira. Azeem turut tersenyum mendengarnya. Gembira kerana yakin rancangannya sudah hampir berjaya.

“Adik tahu dia dekat mana sekarang?” soal Azeem lagi. Bahagianya hanya dia yang rasa bila hati mula berbunga ceria.

“Tapi, dia tak ada kat sini. Dah lebih setahun rasanya dia tak ke kolej. Dia ambil keputusan untuk tangguhkan pelajaran lepas mak dia accidet dulu. Sampai sekarang pun dia tak masuk belajar lagi.”

“Adik tahu tak dia tinggal mana? Alamat dia ke? Adik tahu tak?” soal Azeem pula tetap tak berputus asa.

“Saya tak tahu kat mana dia tinggal sebab saya junior dia je. Kawan-kawan batch dia semua dah grad. Minta maaflah saya tak dapat nak tolong.” balasnya kesal, serentak mematikan senyuman di wajah Azeem sebentar tadi. Harapannya hancur dan dia tak akan dapat berbuat apa lagi kerana peluang terakhirnya itu juga telah terkubur sebentar tadi.

“Kalau macam tu, tak apalah. Terima kasih sebab sudi bantu.” balas Azeem layu, selayu hatinya yang kecewa dan berduka.

“Sama-sama. Assalammualaikum.” tuturnya kembali sebelum meneruskan perjalanan yang terhenti sebentar tadi.

“Waalaikumussalam…” ucap Azeem perlahan dengan kekecewaan yang semakin memenuhi ruangan hati.

Sukar untuk dia mempercayainya. Selama ini, Dian hanya menggunakan urusan pengajian sebagai alasan untuk keluar rumah. Adakah itu semua dilakukannya semata-mata untuk menjaga ummi? Sudah setahun Dian sengaja menangguhkan pengajian, tanpa memaklumkan kepadanya tentang hal berkenaan. Dian memang telah merancang segala-gala dengan teliti malah jejaknya juga tak dapat dicari. Azeem bungkam sebelum dia akhirnya tersedar, tak ada salahnya Dian berkelakuan begitu kerana selama ini dia yang tak pernah mahu mengambil tahu.

 

Seminggu berlalu, sudah puas dia menunggu namun Dian tetap tidak pulang-pulang juga. Sofia menangis saban malam, barangkali rindukan umminya itu. Azeem semakin hilang punca, kerana dia tak tahu mahu mencari di mana sebelum bunyi loceng pagar yang bergema menceriakan hatinya.

“Dian.” duganya sebelum bergegas menuju ke pintu utama. Terbang melayang segala kegembiraan sebentar tadi, berganti amarah dan rasa tak puas hati tadkala terpandangkan sesusuk tubuh lelaki yang sedang tercegat di situ. Lelaki sama yang dikenalinya secara sembunyi-sembunyi, juga lelaki sama yang membuatkan dia mencurigai ketulusan hati si isteri.

Hatinya mula panas. Giginya diketap geram dan dengan pantas dia melangkah mendekati lelaki itu. Butang pintu pagar automatiknya segera ditekan, kerana dia mahu memulakan perhitungan.

Razif tersenyum bila terpandangkan kelibat Azeem yang mula menghampiri. Gembira rasa hati kerana dapat bertemu semula setelah lama berpisah. Sesampai di lapangan terbang, dia terus mendapatkan teksi untuk menemui Dian kerana ada berita penting yang ingin dikhabarkan. Dalam pada dia berfikir-fikir, Azeem telah berada di hadapannya.

Tanpa sebarang amaran, satu tumbukan dilepaskan sebelum kedua-dua belah tangannya mencengkam kemas kolar baju lelaki yang hanya dikenali sebagai perosak hubungannya dengan Dian. Dia benci melihat senyuman yang terukir di wajah itu kerana dirasakan ia hanya berunsur sindiran yang bertujuan untuk menyakitkan hati dan perasaan.

“Kau ingat kau dah menang? Kau jangan mimpi! Kemana kau bawa isteri aku ha? Mana dia? Dian mana?” bentak Azeem kasar dan tanpa dipaksa dia mula hilang pedoman lagi, bila sikap cemburu itu semakin menguasai diri. Hatinya sakit, fikirannya berserabut saat memikirkan kenapa harus lelaki itu yang datang sendiri? Kenapa Dian tak datang mengikutnya sekali? Kenapa? Kenapa! Soalnya tanpa henti pada diri sendiri.

Razif terjejut diperlakukan begitu, malah oleh sababat yang sudah lama tak diketemu. Bukankah seharusnya kepulangannya itu disambut gembira sambil menceritakan perihal sendiri, tapi sebaliknya yang terjadi. Dia disaji dengan tumbukan padu yang menyakitkan rahang dan gigi. Dia kecewa, betul-betul kecewa dengan apa yang berlaku. Tanpa sedar, dia membalas tumbukan tersebut dan serentak dengan itu Azeem jatuh tersungkur ke atas jalan.

Razif rasa tak gembira kerana sikap Azeem tak ubah seperti sikap arwah abinya dulu. Suka menggunakan kekerasan tanpa terlebih dahulu memastikan. Dia mula mencongak kehidupan Dian yang hidup disamping lelaki panas baran seperti itu.

“Azeem kenapa kau jadi macam ni?” balas Razif kesal sebelum kedua-dua belah tangannya mencengkam kolar baju Azeem geram. Dia sedih bila memikirkan nasib wanita-wanita yang disayangi kerana dia sudah dapat membayangkan kehidupan yang dilalui Dian selama ini. Dia pasti sangat, hidup Dian tak kurang lebih seperti hidup umminya dulu, bertemu dengan pasangan yang gemar bertanya dengan kaki dan tangan lebih daripada menggunakan perkataan.

“Kau jangan cakap macam kau kenal sangat dengan aku. Kau siapa ha? Siapa?” balas Azeem tak puas hati. Bucu bibirnya mula merembeskan cairan merah setelah bibir berasa perit dan sakit.

“Azeem ni aku. Aku! Aku Razif, kawan lama kau dulu. Kau dah tak ingat aku? Dian tu adik aku, adik kita. Kau tak ingat ke?” jawap Razif marah bila sikap Azeem yang kurang matang mula menyakitkan hatinya. Serentak cengkaman di kolar Azeem dilepaskan.

Azeem terkesima kerana sukar untuk dia mempercayainya buat kali pertama. Kini barulah dia tahu kaitan semuanya dan kenapa mereka berjumpa. Malah pada hari mereka bergaduh besar, Dian telah cuba menerangkan segalanya cuma dia yang pekak dan buta. Dia buta menilai keadaan yang sebenar. Dia tuli saat amarah menguasai diri. Semua penjelasan Dian tak diendahkan sebaliknya dia mendera tubuh dan emosi Dian.

“Ya-Allah, apa yang dah aku dah buat.” keluhnya didalam hati menyesali kekilafan diri.

“Masa adik bagitahu aku yang dia kahwin dengan kau, aku tumpang gembira. Aku lega bila tahu kau ada gantikan aku untuk jaga adik, lindungi adik. Aku berterima kasih pada kau, sebab kau tolong tampung kos rawatan ummi, tapi aku tak sangka yang kau layan dia macam ni.”

“Kenapa adik kena lalui hidup yang sama macam ummi.” tutur Razif sayu. Kesukaran hidup yang dihadapi ummi menjelma lagi, tambah menyedihkan kesukaran itu turut sama diwarisi oleh satu-satunya adik yang dia ada di dunia ini.

Azeem masih lagi kaku, macam tunggul kayu. Senyap dan bisu. Dia mula rasa lemah dan tak berdaya, kerana merasakan dosa yang telah dilakukan sudah tak tertanggung banyaknya. Akibat daripada perbuatannya yang terburu-buru, semua hilang entah ke mana sebelum kelopak matanya terasa panas saat diri terasa sukar untuk bernafas.

“Kau tanya aku Dian mana? Bukan sepatutnya kau lebih tahu jawapannya? Seharusnya aku yang tanya dengan kau soalan tu, adik aku mana? Dian mana? Apa yang kau dah buat pada dia?” soal Razif marah kerana sudah lama mereka tak dapat berhubung.

Muka putihnya sudah mula bertukar merah. Dia bimbang pada mulanya, tapi bila memikirkan Dian ada bersama Azeem, sedikit-sebanyak kebimbangannya itu terubat. Dia yakin Azeem mampu menjaga Dian dengan baik waktu itu, tapi tidak saat ini.

“A..aku tak tahu. Dia dah tak ada.” balas Azeem perlahan. Razif mendengus marah. Jawapan yang tak dapat diterima akal. Jawapan yang sememengnya membuatkan hati semakin geram.

“Apa yang kau dah buat pada dia sampai dia boleh hilang? Bukan sepatutnya dia dah bersalin sekarang? Azeem, apa yang kau dah buat pada dia.” tuturnya kecewa sebelum berkira-kira untuk beredar, tapi mujur Azeem cepat tersedar.

“Razif kau nak ke mana?” soal Azeem pula, sedar destinasi yang bakal dituju Razif nanti.

“Itu kau tak payah nak ambil tahu.” balasnya yang masih berang.

“Aku tahu, kau nak ke hospital kan? Tapi Dian tak ada dekat sana, ummi pun sama.” balas Azeem takut-takut.

“Apa maksud kau? Apa maksud kau mereka tak ada dekat sana?” soal Razif tak mengerti apa yang dimaksudkan Azeem.

“Ummi…ummi dah tak ada Razif. Ummi dah tak ada. Dia dah tinggalkan kita.” balas Azeem dengan linangan air mata. Razif masih terpaku di situ. Fikirannya kosong, degupan jantungnya bagai terhenti tadkala mendengar ungkapan Azeem sebentar tadi.

“Ummi…” rintihnya tak berapa lama kemudian setelah berjaya memahami apa yang terjadi. Tangisannya sudah tak mampu untuk ditahan lagi. Dia sedar, hasrat terakhir abi untuk bertemu ummi mungkin telah dimakbulkan Illahi.

Previous: Bab 35
Next: Bab 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.