Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 17

Azeem masih leka melayan peranti ditangan. Hobi masa terluang dengan meneroka gajet-gajet kegemarannya. Aida sempat membuang pandang ke arah suaminya itu. Sama seperti malam-malam yang sebelumnya, Azeem masih tak mahu berenggang dengannya malah bilik Dian langsung tak pernah dijengah. Dia mula resah. Seandainya keadaan itu berterusan, bagaimana rancangan mereka akan tercapai. Azeem dilihat bersahaja, nampak macam tak ambil kisah pun ada. Dia mula bimbang memikirkan habuan yang bakal terlepas daripada genggaman.

“You, dah berapa malam you tidur kat sini. Malam ni you tidur bawah.” tutur Aida. Serentak Azeem mendengus kasar. Dia tak mahu memikirkan tentang hal itu lagi. Memang Diana sudah sah dikahwini, tetapi dia masih tak ada hati untuk mendekati.

Dia belum dapat menerima kehadiran Diana dalam hidupnya kerana cintanya hanya pada Aida. Ditambah pula dengan peristiwa yang berlaku di wisma dulu membuatkan dia mula kurang selesa. Diana sanggup mengambil jalan pintas untuk mencari duit hanya kerana inginkan biaya pengajian, betul-betul tak dapat diterima akal. Cetek betul fikirannya sampai sanggup menjual diri seperti itu. Bisiknya tak puas hati.

“You, you dengar tak apa yang I cakap ni?” soal Aida semula bila Azeem hanya diam saja.

“Apa?” balasnya. Sengaja mahu bersoal tanya, selebihnya dia masih mahu mengelak selagi termampu.

“Dah bangun.” arahnya sambil menarik tangan Azeem untuk mengikutnya.

“Malam ni you kena tidur bilik bawah.” arahnya lagi sebelum meninggalkan Azeem di luar pintu.

“Sayang, buka lah pintu ni. Tolong jangan buat I macam ni.” tuturnya minta simpati, sambil mengetuk pintu berkali-kali. Bukannya dia tak mencuba cuma perasaannya yang belum ada kerana hatinya dah dimiliki.

“Sayang, please jangan layan I macam ni.” rayunya lagi tapi tetap tak dilayan. Akhirnya dia melangkah ke ruang tamu sebelum merebahkan diri di situ dan tanpa menunggu lama dia akhirnya terlena.

 

Botol-botol minuman berleher panjang yang berada di dalam kabinet dapur dipandang tak berkelip. Pelbagai warna dan beraneka rupa juga jenama. Serentak dia menggeleng-gelengkan kepala dan beristigfar dengan sendirinya.

“Astaghfirullah hal adzim.” tuturnya berulang kali minta pengampunan.

“Kenapa Abang Azeem pilih cara hidup macam ni? Memang macam ni ke hidup orang yang berharta?” soalnya pula sambil tetap beristigfar di dalam hati. Tak cukup dengan meminumnya di kelab, ia turut dijadikan minuman harian di rumah. Bukankah Allah dah menyuruh kita menjauhi arak, tapi kenapa tetap juga ia diteguk. Allah dah memberi panduan, cuma kita yang kurang keyakinan. Desis hatinya lagi.

“Abang Azeem betul-betul dah berubah.” bisiknya perlahan kerana hatinya turut sama dirundung rasa kecewa.

 

“Dian, I nak you jawap dengan jujur boleh?” soal Aida pada Dian yang baru selesai mengemas rumah.

“Boleh, tapi tentang apa?” jawap Dian yang masih kepenatan.

“Tentang you dan Azeem.” balasnya. Wajah Dian pantas berubah. Dia tahu lambat laun hal itu pasti akan dibangkitkan juga.

“Dia dah sentuh you?” soal Aida tanpa segan silu. Merah muka Dian menahan malu. Malu mahu menceritakan hal di dalam kain sendiri, sungguhpun hanya dikalangan kaumnya. Segan, kerana dirasakan dia masih perlu menjaga adab dan batasan. Pantas dia menggeleng sebelum bergegas ke dapur semula.

Aida tahu tak semudah itu Azeem akan berkongsi kasih kerana suaminya itu memang seorang yang setia.

“Dian nanti. Ada satu lagi yang I nak tanya you. Your mom macam mana?” soalnya ingin mengetahui perkembangan kesihatan wanita itu. Penyebab yang memungkinkan Dian menerima cadangannya dulu.

“Ummi Dian macam biasa. Dia masih tak sedarkan diri lagi dan dia mungkin perlukan lebih banyak masa sebelum dapat sedar semula.” jawab Dian perlahan. Dia mula rindukan ummi lagi.

“You jangan risau, semua urusan hospital I akan uruskan. You boleh pegang janji I. I akan pastikan your mom akan dapat layanan yang terbaik.” janji Aida. Serentak Dian menganggukkan kepala.

“Boleh tak kalau Dian nak minta kebenaran untuk keluar hari ni sebab ada urusan yang perlu diselesaikan.” soal Dian, untuk mematikan topik perbualan, tak mahu terlalu memanjangkan perbincangan.

“You tak perlu minta kebenaran I untuk keluar. Itu hak you. Kan I dah janji you bebas untuk buat semua urusan macam biasa. I takkan kurung you di sini, so no restriction. Just proceed with your life.” balasnya sebelum beredar. Dian lega kerana kebebasannya tidak dibatasi. Mungkin pelik untuk mengakuinya, tapi dia mula pasti yang jalan ini adalah jalan yang terbaik untuk dilalui. Lebih baik daripada menjualkan diri pada madam dan terjebak bersama-sama dengan Lilly.

 

Riak wajah Azeem semakin tegang. Sudah berhari-hari dia cuba untuk menghubungi Aida namun dia tetap gagal. Puas dia mencari jejak isterinya itu, di kondominium, malah pada teman-teman rapatnya namun tetap tidak berjaya ditemukan. Entah kemanalah Aida menghilang serentak hatinya mula dipalit bimbang. Dia bimbang sesuatu yang tidak baik menimpa isteri yang tersayang.

Sekali lagi dia mencuba, tapi hasilnya sama. Tetap masuk pada peti mel suara. Tiba-tiba dia dikejutkan dengan panggilan masuk yang amat dinanti-nanti.

“Sayang, you kat mana?” tuturnya dengan senyuman. Lega kerana akhirnya mereka dapat berhubungan.

“I kat luar. I pergi bercuti dengan kawan-kawan.” balas Aida. Kebinggitan rentak muzik turut sama dapat dirasai. Kuat sampai menenggelamkan suara isteri yang sentiasa dirindui.

“Iyalah, dekat mana? Kenapa you tak cakap dengan I yang you nak bercuti. Kalau I tahu awal-awal, I boleh ikut sekali. By the way, you kat mana tu? You tunggu I, nanti I datang jemput you.” ucapnya riang.

“No, no, no, you tak boleh datang. You kan ada tugas lain dekat sana. Pleasa honey, you tak ingat apa yang opah cakap? Betul you sanggup lepaskan semuanya? Sanggup you tengok I hidup susah?” pujuknya memainkan peranan mencucuk kerana Azeem harus selalu diketuk.

Azeem yang mendengar mula terpengaruh. Desakan dan ugutan opah mula menjengah di kepala, tapi kenapa Aida dilihat turut menumpang sama. Mendesak dan mengarahkannya, sama macam opah. Azeem mula panas hati kerana dirasakan dirinya terlalu sedang dibuli.

“Kenapa you pun sama macam opah? Kenapa you pun sama nak paksa-paksa I?” marah Azeem. Dia kesal kerana diserang kiri dan kanan. Ugutan opah, ditambah pula dengan sikap Aida yang sentiasa mendesak menambahkan kekecewaan di hati. Hatinya betul-betul sakit dilayan seperti kuli.

“I bukan nak paksa you, cuma I nak you ingat tujuan kita buat semua ni. You sendiri yang dah setuju dulu, tapi kenapa sekarang I tengok you dah mula teragak-agak?” balasnya tanpa memikirkan perasaan Azeem.

“I cuma perlukan masa untuk terima dia, itu je. Please honey. I perlukan you sekarang. You cakaplah you kat mana, I nak datang jumpa you. Tolonglah bagitahu, coz I realy miss you.” rayunya tak mengenal erti putus asa.

“Dan sebab itulah I pergi. I pergi supaya you ada masa untuk mengenali dia. I tahu selagi I ada you takkan mulakan apa-apa. Honey, kita jumpa nanti.” tuturnya sebelum meletakkan gagang.

“Hello, hello!” balas Azeem namun hampa kerana talian telah diputuskan.

“Sayang, sampai hati you buat I macam ni!” tambahnya geram. Hatinya jadi makin sakit. Tidak dia menduga bahawa Aida akan bertindak senekad itu.

“Kenapa you sanggup beri dia pada perempuan lain? Ini kerja gila Aida. I tak pernah jumpa perempuan gila macam you. Betul ke you boleh enjoy lagi ni?” soal Linda yang berada di sebelahnya.

“Yes, sebab inilah yang I perlukan dalam hidup, enjoy. You ingat senang kalau dah ada baby?” balasnya sebelum meneguk air itu lagi.

“You rasa boleh ke I tinggalkan cara hidup ni? Enjoy and dancing from night till evening? Dahlah kena jaga diri, paling I tak dapat nak elak, ni, my stuff. You pun tahu yang I tak boleh kalau tak ada ni.” balasnya sambil menyuakan botol minuman keras yang berada di tangan. Linda hanya menggeleng-gelengkan kepala sebelum dia tersenyum suka kerana mereka sememangnya berkongsi keseronokan bersama.

“Mana Robert, your boyfriend? Betulke dia datang?” soal Linda semula.

“Tadi dah call. Sekejap lagi dia sampai. Lupakanlah dia tu. Sekarang kita enjoy dulu.” ucapnya sebelum berpimpinan menuju ke tempat tumpuan pengunjung, tempat anak-anak muda yang leka berpesta kerana mereka mahu menambahkan bilangannya.

 

Azeem mendengus geram sambil menggenggam kemas telifon di tangan. Amarahnya menerpa. Dia kesal kerana hidupnya sentiasa dikawal oleh orang lain. Dia makin geram bila memikirkan tindakan Aida yang sanggup meninggalkannya semata-mata kerana rancangan mereka.

“Anak, anak, anak! Dah tak ada benda lain yang nak difikirkan agaknya? Ingat aku ni apa? Binatang? Pantang nampak betina semua nak terkam? Argh, geram betul!” tuturnya melepaskan kemarahan sebelum dia memandang ke arah pintu dengan nafas yang turun naik menahan marah.

“Kalau itu yang semua nak, baik. Biar aku tunaikan.” tuturnya lagi. Kakinya pantas melangkah menuruni anak tangga sebelum pintu bilik Dian ditolak kasar dan serentak dengan itu mata mereka bertentang.

Dian yang sedang melipat telekung terpaku. Wajah bengis abang Azeem menyentak semangatnya. Mukanya mula pucat. Kedinginan terasa meresap ke seluruh anggota sebelum dia menelan air liur yang terasa tersekat di tekak, sedar yang dia takkan dapat lagi untuk mengelak. Abang Azeem sudah mahu menuntut janji barangkali.

“Ini yang kau cari kan? Ini yang kau dapat!” tutur Azeem kasar, melepaskan amarah yang mula meraja di hati sebelum pantas menghampiri Dian. Ibarat kata pepatah, kerana marahkan nyamuk, kelabu pula yang dibakar. Lain yang buat salah, tapi nampaknya lain pula yang terima padah. Dian pantas memejamkan matanya kerana dia takkan sanggup untuk melihat segala.

  

Pancuran air mandian membasahi segenap ruang badan. Dia mahu segera mensucikan diri, sambil hati masih lagi ditemani perasaan bersalah yang tak pernah sudah. Dia rasa berdosa kerana telah mencemari keagungan sebuah ikatan. Entah kenapa, walau sebanyak manapun air yang telah ditimpakan kepadanya dirasakan takkan dapat membersihkan kekotoran yang terdapat di hati dan fikiran.

“Hati kau kotor Dian, kotor…” bisiknya sebelum dia ditemani air mata kekesalan.

Perkara teristimewa yang seharusnya dikongsi bersama insan yang dicinta, berakhir dalam sekelip mata. Tanpa ungkapan cinta dan rayuan mesra, dia rela dalam terpaksa dan pasrah dalam derita. Andai itu harga yang perlu dibayar, dia redha, tapi kenapa dia mula rasa kecewa pada diri sendiri? Bisiknya di dalam hati, meragui keputusan yang sudah dilakukan. Tiba-tiba dia teringatkan ummi. Ummi pasti akan sangat kecewa jika mengetahui apa yang telah dia lakukan, memperdagangkan diri hanya untuk mencari kesenangan duniawi dan serentak dengan itu esakannya bergema.

“Ummi, maafkan Dian…” tuturnya sambil teresak-esak menahan tangis.

“Tuhan, ampunkanlah aku.” ucapnya lagi sebelum duduk melutut di lantai. Airmata yang berderai bergabung dengan air pancuran yang berlumba-lumba menyirami badan. Tangisannya semakin ketara bila kesedihannya mula memenuhi segenap ruang jiwa.

Matanya tertumpu pada alas tidur yang berada di sisi kerana masih terdapat sebahagian daripada dirinya di situ. Perlahan-lahan dia mencapainya sebelum didakap erat ke dada.

Azeem yang baru masuk untuk mengambil telefon bimbit turut rasa terdera bila perasaan bersalah itu terbit secara tiba-tiba. Masih terngiang-ngiang rayuan Dian semasa di wisma dulu. Bukannya dia tak terusik cuma dia malu untuk mengaku kesilapan sendiri, namun cuma seketika sebelum dia pantas menggeleng-gelengkan kepala tak rela perkara tersebut mempengaruhinya.

“Tak Azeem, tak. Kau tak buat salah. Dia yang salah!” bisiknya tegas untuk cepat-cepat mengusir simpati yang mula bermukim di hati, supaya dia tidaklah terlalu jauh terjebak nanti.

 

Aroma yang jarang sekali dapat dihidu segera dikesan setibanya dia di ruang tamu. Keadaan rumah yang sunyi membuatkan dia yakin Dian sudah bertolak ke kolej. Dia bergerak ke dapur untuk mencari punca datangnya haruman yang membuatkan perutnya beraksi minta diisi.

“Apa yang kau masak?” tuturnya sambil membuka tudung penutup makanan.

“Apa ni? Capati?” soalnya bila terpandangkan hidangan yang disediakan sebelum dia mengambil tempat dan menjamu selera sambil mengangguk-anggukkan kepala, memberi kredit pada juadah yang tersedia.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.