Perubahan cuaca yang ketara daripada musim panas kepada musim hujan turut sama memberi kesan pada kesihatan badan. Hujannya daripada lewat petang sampailah ke pagi, kadang-kadang bersambung daripada pagi sampai pula ke tengahari dan mungkin juga kerana itu dirinya mula berasa tak selesa. Kerongkong rasa perit, hidung sudah mula tersumbat dan kepala rasa macam bergoyang-goyang saja isinya.
“Ummi, cuba ummi rasa.” tutur Dian sambil menuju ke arah ummi. Serentak dengan itu tangan ummi diraih dan diletakkan pada dahinya.
“Ummi…Dian rasa nak demam.” tambahnya lagi kerana bahangnya sudah terasa di mata.
“Panasnya Dian. Dian dah deman ni. Itulah, kan ummi dah pesan makan ubat siap-siap, tapi Dian tak nak.” balas ummi terkejut sambil tangannya berubah ke bahagian pipi pula.
“Takpa, tunggu sekejap, biar ummi ambilkan ubat. Tapi sebelum tu kita makan dulu. Tak elok makan ubat dengan perut kosong.” balas ummi sebelum menyiapkan juadah makan malam mereka.
“Ummi, Dian nak makan sikit je, sikit je. Dian tak ada selera.” tuturnya yang sudah mula kehilangan suara.
“Iyalah, sikit pun takpa. Janji makan. Lepastu baru makan ubat.” jawab ummi sambil menatang pinggan makan ke ruangan tengah.
Malam yang rasa berbeza, tak seperti biasa bila detiknya sampai boleh dikira. Sudah lama mata dipejam tapi saat kembali terbuka, jarak diantaranya tidaklah sejauh mana kerana setiap jam dia boleh dikatakan terjaga. Badannya betul-betul rasa tak tentu hala ditambah pula dengan batuk yang mula bermaharajalela. Bila nak batuk, cepat-cepat tangannya menakup mulut, takut mengganggu lena ummi yang sudah seharian menghabiskan masa berdiri di kedai makan. Hanya ini waktu rehat ummi, dan dia tak sanggup merosakkannya.
Walaupun dalam kegelapan malam, wajah ummi masih tetap dipandang penuh sayang. Kenangan lama yang takkan mudah dilupa itu mula terbayang dan tanpa sedar, matanya mula berbayang. Air mata memang takkan dapat mengubah apa-apa, tapi hanya itulah yang dia ada buat masa ini untuk menguatkan hati dan dia bertekad untuk mengubah hidup ummi satu masa nanti.
“InsyaAllah, akan ada masanya nanti Dian.” bisiknya perlahan sambil mengesat air mata berkenaan dengan tangan sebelum membetulkan selimut ummi yang terdedah di bahagian kaki.
“Ummi sabar ya. Ummi tunggu sampai Dian berjaya. Bila dah tiba masa, Dian akan cari abang Razif dan bawa dia balik jumpa ummi. Ini janji Dian pada ummi, insyaAllah.” tuturnya perlahan. Serentak dia berbaring di sebelah lengan ummi sambil memeluknya erat kerana setiap kali diuji, pasti haruman ummi yang dicari.
Dia hanya tersedar bila Subuh menjelma itupun tak lama sebelum matanya tertutup semula.
“Dian bangun Subuh dulu.” arah ummi yang baru mahu menjalankan kewajiban pada Yang Satu dan tanpa banyak bicara Dian menturutinya.
Selesai solat dia terus menuju ke tempat tidurnya semula setelah pasti dia takkan mampu untuk menapak ke sekolah dalam keadaan begitu. Bila bangun pun dah terhuyung-hayang, inikan pula mahu mengambil perjalanan yang panjang. Mungkin bukan rezeki kau hari ni, bisiknya sendiri sebelum hilang melayani perasaan mengantuk yang sudah datang mengetuk.
“Dian…Dian.” panggil ummi, namun Dian tetap tak menunjukkan reaksi.
“Panas lagi ni.” tutur ummi selesai memeriksa suhu badan Dian yang masih hangat, tak banyak berubah jika dibandingkan dengan semalam. Hatinya mula bimbangkan keselamatan Dian.
“Dian bangun. Makan ubat ni.” arah ummi sambil menggoncangkan badan anaknya itu. Dia sudah mahu keluar bekerja dan dia takkan sampai hati meninggalkan Dian begitu saja. Perlahan-lahan Dian membuka mata, sebelum menutupnya semula kerana terkejutkan cahaya.
“Bangun, minum sikit air milo ni. Lepastu makan ubat.” Dian pantas menurut, tak mahu terlalu banyak mulut, kerana lidahnya sendiri sudah tak larat untuk menyebut.
“Hari ni tak payah pergi sekolah. Nanti ummi bagitahu pada Siu Lin yang Dian demam. Dian sambunglah rehat. Kalau rasa makin teruk, telifon ummi.” pesan ummi sebelum menuju ke sinki.
“Hmm.” balas Dian perlahan sambil merebahkan semula badannya.
“Ummi turun dulu. Assalammualaikum.” ucap ummi sambil mematikan suiz lampu.
“Waalaikumussalam.” balasnya perlahan dalam kegelapan, sempat juga dia mendoakan kesejahteraan ummi sebelum matanya beransur-ansur bertaut kembali.
“Assalammualaikum, Azeem di mana tu?” tegas suara opah menyapa di telinga seperti kebiasaannya. Azeem yang baru terjaga terus terbangun dibuatnya.
“Azeem…Azeem on the way ke office. Kenapa opah?” soalnya pula meyakinkan sambil menyental mata yang masih melekat. Sempat juga dia menjeling ke arah Aida yang tetap terlena.
“Opah cuma nak ingatkan tentang program CSR kita tu. Opah nak Azeem yang uruskan sendiri kali ni, opah tak nak Azeem hantar orang lain ganti.” arah opah yang sedang menuju ke pejabat juga.
“Ok, ok…Azeem pergi sendiri hari ni.” balasnya sedikit tak puas hati.
“Eloklah kalau macam tu. Opah cuma nak ingatkan, program tu start pukul lapan. Jadi, jangan sampai lambat, malu company nanti. Assalammualikum.” tambahnya mengingatkan.
“Waalaikumussalam.” balas Azeem sebelum menggaru-garu kepala dengan riak wajah yang mencuka.
“Hish, entah apalah yang penting sangat sampai kena pergi sendiri. Setakat nak bagi ceramah kerjaya, siapa-siapa pun boleh buat. Ni tak, kenapa aku juga yang kena? Betul-betul menyusahkan!” gerutunya tetap tak puas hati dengan arahan yang baru diterima, kerana dia tak mahu turut serta. Serentak dia memandang ke arah Aida lagi sebelum dia akhirnya tersenyum gembira.
“Mujur ada you. Kalau tak, I tak tahu macam mana.” bisiknya sebelum berkira-kira mahu mengucup wajah isterinya itu, namun terhenti tadkala hidungnya terhidu bau yang tak disenangi.
Tabiat meminum minuman keras isterinya itu langsung tak pernah berkurang, malah makin bertambah adalah. Serentak dia mengeluh kerana Aida langsung tak pernah nak bersungguh. Kata mahu berhenti, tapi sampai sekarang langsung tak pernah ditepati.
“I love you.” tuturnya sambil mengusap wajah isterinya itu. Namun dia takkan putus asa untuk mengubah cara hidup Aida biarpun kena mengambil masa. Serentak dia menjeling ke arah jam dinding sebelum bergegas menuju ke bilik air untuk membersihkan diri.
Azeem menjenguk ke luar tingkap kereta untuk memastikan sekolah menengah yang dimaksudkan sebelum kaca mata hitamnya diturunkan sedikit untuk memudahkan penglihatan.
“Betullah rasanya sekolah ni kalau ikut GPS.” tuturnya sendiri sebelum menghentikan kenderaannya berdekatan pagar sekolah tersebut.
“Kan dah terpampang besar nama sekolah tu kat pagar. Apalah kepala kau ni?” tuturnya mengutuk diri sendiri selepas dia benar-benar pasti. Serentak fail berkaitan dicapai sebelum dia bergerak memasuki kawasan sekolah berkenaan.
“Assalammualaikum, ummi…” tutur Dian sambil mendakap ummi daripada belakang.
“Waalaikumussalam. La…kenapa Dian turun ni? Kan ummi kata tadi, kalau nak apa-apa telifon. Kenapa sampai kena turun?” balas ummi sambil mengesat tangannya di apron sebelum memeriksa keadaan Dian.
“Dian nak ummi…” tuturnya perlahan sebelum memuncungkan bibir sambil mengelip-ngelipkan matanya berkali-kali.
“Eee…Dian ni. Dah sihat la ni? Ha, baru sihat sikit dah buat perangai balik.” ucapnya sambil tangannya masih berada di muka Dian.
“Ni mesti sebab Dian kualat dengan ummi.” tambahnya sebelum meneruskan kerja-kerja yang tergendala kerana masih terdapat periuk belanga yang perlu diselenggara.
“Kualat tu apa ummi? Kualat tu sama dengan kulat ke?” soalnya kerana jujur dia tidak pernah mendengar perkataan itu.
“Dian ni, kata pergi sekolah belajar. Takkanlah tak pernah dengar.”
“Betul tak pernah. Inilah kali pertama Dian dengar. Kalau kulat tu Dian tahu, untuk buat tom yam, tapi kualat ni untuk buat apa?” soalnya mahu menambahkan pengetahuan.
“Kualat ni…susah jugak ummi nak terangkan, tapi Dian pernah dengar tentang tulah?” jawab ummi beserta pula dengan soalan kerana sukar untuk dia menerangkan.
“Tulah? Tulah raja maksud ummi?” soalnya pula.
“Hmm, tulah raja. Kualat ni lebih kurang maksudnya dengan tulah raja. Macamtulah.”
“Ooo…macam tu, jadi ummi ni macam ada keramat la, macam penunggu. Eee…takut la Dian macam ni.” balas Dian sambil ketawa.
“Tengok tu, baru sembuh sikit dah mula balik. Nanti kualat lagi baru tahu.” tutur ummi mengacah.
“Ummi, tak nak ummi. Taknak cakap macam tu, cakap tu kan doa. Dian nak pergi sekolah, dah boring dah duduk rumah.” balasnya sambil memeluk ummi lagi.
“Kenapa, takut?” soal ummi, segaja mahu menyakat Dian. Takkan pernah terdetik di hatinya untuk menganiayai darah dagingnya sendiri sedang melihat kesakitan yang ditanggung Dian sudah cukup menyiksa diri. Andai boleh ditukar, dia pasti tak akan teragak-agak untuk menjadi pengganti.
“Memanglah takut. Nanti kalau demam tak boleh pergi sekolah. Dian taknak ponteng lagi.” tuturnya sambil mengeratkan pelukan.
“Hish Dian ni. Dah besar panjang masih lagi nak berkepit dengan ummi. Malulah kalau orang tengok. Dah, dah, lepas.” balas ummi sambil menepuk manja tangan Dian.
“Biarlah. Nak malu buat apa. Ini kan ummi Dian. Bukan ummi orang lain. Dian bukan buat salah pun.” jawapnya sebelum mengemaskan lagi dakapannya.
“Dah la, ummi nak buat kerja ni. Dian nak kualat lagi ke?” soal ummi tiba-tiba, serentak Dian melepaskannya.
“Tak nak ummi, taknak. Jangan sumpah Dian lagi. Esok Dian nak pergi sekolah.” jawapnya sambil mengangkat tangan, tak mahu terkena sumpahan.
“Tapi kan ummi, kalau ummi nak sumpah pun, sumpahlah jadi banglo 5 tingkat ke, jadi kereta mewah ke barulah betul. Janganlah sumpah Dian jadi batu, buat susah nak angkat je nanti.” tambahnya lagi sambil ketawa dan ummi hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala.
“Apalah yang diborakkan tu? Dian dah sihat? Tadi ummi kata Dian demam?” tegur Mak Andak yang baru sampai selesai menjemput Udin dari sekolah.
“Alhamdulillah dah kurang dah.” jawapnya.
“Eee…Kak Dian ponteng sekolah.” tutur Udin, sengaja ingin mengejek.
“Akak bukan ponteng, akak cuti.” jawab Dian bersahaja setelah sedikit sebanyak mendapat rentak bila kepala yang bergoyang-goyang semalam rasa kembali terletak.
“Akak buatkan Udin air.” pesannya sebelum duduk di kerusi yang berhampiran.
“Takkan akak yang kena buat…akak kan sakit. Sepatutnya Udin yang buat untuk akak.” tutur Dian. Perlahan-lahan dia mengambil tempat di hadapan Udin sambil terbatuk-batuk, gaya orang sakit.
“Ok,ok, sorry. Udin lupa. Takpa akak tunggu sekejap, Udin pergi siapkan.” jawapnya. Dian gembira mendengarnya. Perbezaan umur yang tak begitu ketara membuatkan mereka lebih mesra.
“Hai, untuk Kak Dian dia je ke? Untuk yang lain tak ada?” ucap Mak Andak pula.
“Mesti la ada. Tunggu sekejap, Udin akan hasilkan air yang paling terkini, namanya Air Tangan Udin Special.” jawabnya sebelum ketawa besar menunjukkan kesenangan hati.
“Udin, ingat apa mak pesan. Suka tu, jangan suka sangat, nanti menangis.” tutur Mak Andak sekadar mahu memberi peringatan.
“Astaghfirullah hal adzim. Baiklah mak!” balasnya sambil mengangkat tanda tabik. Serentak disambut iringan ketawa daripada semua.
Kok,kok,kok, bunyi pintu diketuk mengejutkan Dian yang sedang meneliti nota kecil hasil tulisan tangannya itu.
“Sekejap. Tunggu sekejap.” ucap Dian kalut sebelum mencapai tuala yang tersidai di dinding untuk menutup rambutnya.
“Siapa?” soalnya pula sambil mengemaskan ikatan tuala sebelum dia menuju ke pintu untuk mengetahui gerangannya.
“Aku la, Siu Lin.” jawabnya. Serentak riak kelegaan terpancar di muka.
“Kau rupanya aku ingatkan siapa. Masuklah. Kenapa datang lewat macam ni? Ada hal penting ke?” soal Dian sedikit terkejut kerana hari sudah mula gelap.
“Dian takpa, bapak aku ada tunggu kat bawah. Aku cuma singgah nak hantar ni. Borang yang aku cerita masa kita massage tadi.” balasnya sebelum menghulurkan borang yang berkaitan.
“Kenapalah susah-susah hantar sekarang. Esok kan boleh.”
“Tak susah la Dian. Kebetulan aku lalu sini. Kau isi dulu mana-mana bahagian yang perlu, kalau siap hari ni, esok bolah bawak hantar pada Cikgu Rozita. Lagi cepat kan lagi bagus.” balasnya pula.
“Terima kasih, tapi betul ke kau tak nak borang ni?” soalnya mahu memastikan.
“Betullah, aku ambil memang untuk kau. Syarikat tu hanya tawarkan biasiswa dalam bidang kejuruteraan, tapi aku pilih untuk sambung perubatan. Takpalah kau isi mana yang perlu, aku turun dulu. Esok jangan lupa tunggu aku.” ucapnya sebelum beredar.
“Siu Lin, terima kasih.” balas Dian mahu menyatakan penghargaan.
“Ok, tak jadi masalah.” jawab Siu Lin sambil melambai-lambaikan tangan dan segera pula dibalas Dian.