Home Novel Cinta DIA SAYANG AKU
DIA SAYANG AKU
Hanis Azla
5/12/2012 18:21:56
128,641
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

Bab 1

“Sah?” Tanya jurunikah sambil memandang ke arah dua orang saksi di hadapannya.

“Sah.” Sambut kedua-dua saksi dengan penuh yakin.

Senyuman kami berdua bersatu selepas doa dibacakan. Alhamdulillah, akhirnya percintaan aku dan Ikmal yang terbina selama 4 tahun berakhir juga di jinjang pelamin. Kami disatukan dengan ikatan perkahwinan dalam majlis yang cukup sederhana. Namun tetap tidak kurang meriahnya. Kami berdua masing-masing baru bekerja. Maka sumber kewangan untuk majlis agak terhad. Tambah lagi kami bertegas mahu segalanya menggunakan duit sendiri. Ikmal pula besar egonya. Bantuan dari orang lain susah sikit mahu diterima. Majlis sendiri, tentulah beria mahu gunakan duit sendiri. Tak kisahlah walaupun majlisnya biasa-biasa saja. Ini kerana tiada apa yang lebih membahagiakan bila kami berdua sudah saling memiliki. Lebih beruntung bila kedua belah keluarga merestui hubungan kami.

“Dah selamat dah adik Kak Mila ni jadi isteri orang.” Cuit Kak Mila sambil mengerling pada mama yang sedang bersalaman dengan keluarga Ikmal.

“Terima kasih Kak Mila.” Balasku sambil tersenyum manis penuh bahagia.

Walaupun mama terang-terangan tidak berkenan dengan rancanganku yang nampak seperti tergesa-gesa, namun aku dapat rasakan yang mama tetap merestui perkahwinan kami. Walaupun segalanya aku uruskan sendiri. Sikapku yang nampak seperti tidak sabar mahu cepat-cepat berkahwin amat tidak disenangi oleh mama. Bila along dan Kak Milaku masuk campur, barulah kata sepakat dapat dicapai. Majlis tetap berlangsung tanpa campur tangan dari mama. Selepas beberapa ketika mama memuncung, akhirnya hari ini muncung mama hilang juga. Kehadiran Ikmal ke dalam keluarga kami disambut dengan wajah yang berseri-seri. Besan dan saudara mara yang bertandang dari pihak sana diraikan dengan begitu mesra.

“Jaga Zaira baik-baik.” Pesan mama ketika Ikmal bersalam dengannya.

“Insya-ALLAH, mama.” Jawab Ikmal yang masih kedengaran canggung bila memanggil mama sebegitu.

Sepanjang 3 tahun berkawan, memang aku dan Ikmal benar-benar serius mahu memaknakan percintaan kami. Bukan sekadar cinta main-main mahupun cinta cuba-cuba seperti sesetengah pasangan muda yang lain. Kami memang benar-benar mahu percintaan kami diikat dengan ikatan perkahwinan. Atas sebab itu, sebaik tamat pengajian, kami tidak teragak-agak mahu mengambil keputusan untuk mempunyai hubungan yang disahkan dengan pernikahan. Aku tidak kisah seandainya kami tidak mempunyai majlis yang gah. Apa yang penting, aku menjadi milik Ikmal yang sah.

Kami berdua sebaya. Ada yang kata adalah terlalu muda untuk kami mengikat hubungan ini dengan perkahwinan. Terlalu awal untuk kami memulakan hidup berumah tangga. Namun bagi kami berdua, keputusan ini adalah yang terbaik. Mengikut pandangan kami, bila sudah suka sama suka dan bila hati sudah cinta sama cinta, apalagi yang perlu ditunggu. Kata Ikmal, cinta kampus bukannya seperti cinta monyet. Cinta monyet hanya sekerat jalan. Tapi cinta kampus, cinta yang berkekalan hingga ke akhirnya. Begitulah kata-kata orang yang berjaya melepasi cinta kampus dengan ikatan perkahwinan. Walaupun kata-katanya dituturkan secara berseloroh, namun begitulah juga harapanku. Semoga berpanjanganlah cinta, kasih dan sayang kami. Semoga rumah tangga yang dibina atas nama cinta ini, kekal abadi sehingga ke akhir usia kami.

“Awak, saya pergi tolong along dengan Abang Adib dulu ya.” Maklum Ikmal sebelum berlalu meninggalkanku.

Dari kejauhan, aku membalas senyuman manis lelaki yang kini bertakhta di hati. Lelaki yang sejak beberapa tahun ini menjadi lelaki yang sangat aku sayang dan cintai. Dia juga lelaki pertama yang berjaya menawan hatiku sejak kali pertama kami bertemu. Cinta pandang pertama yang membawa kami ke bibit-bibit perhubungan seterusnya. Ianya menjadi kenangan yang cukup manis dan indah untuk kami berdua. Waktu ini, aku sengaja memberi ruang untuk dia mendekati keluargaku sendirian. Walaupun baru beberapa jam menjadi ahli keluarga kami, lelaki itu sudah nampak begitu selesa dan serasi dengan kaum keluargaku. Kebahagiaan mengisi hatiku bila melihat situasi itu. Memang itulah harapanku. Biarlah keluargaku menjadi seperti keluarganya sendiri, begitu juga sebaliknya.

SENYUMANKU terus mekar bila melihat Kak Mar datang menghampiri. Sambil tersenyum mesra, Kak Mar menghulurkan sebuah kotak sederhana besar yang berbalut kemas berserta kad kecil yang terlekat di atasnya. Pastinya hadiah perkahwinan untuk aku dan Ikmal.

“Wah, ada lagi hadiah dari Kak Mar. Bukan semalam dah bagi ke?” Soalku dengan nada keliru. Namun senyuman terindah tanda menghargainya tetap juga terukir buat kakak ipar yang paling rapat denganku ini.

“Hadiah semalam dari Kak Mar sekeluarga. Hadiah yang ini dari orang lain pulak. Kak Mar tolong sampaikan aje.” Jelas Kak Mar lantas mengambil tempat duduk di sebelahku.

“Kak Mar jadi posmenlah ya? Terima kasih. Tapi siapa yang bagi ni?” Soalku sambil membelek-belek hadiah yang berbungkus kemas di tangan.

“Kan ada kadnya di situ. Zaira bukalah. Boleh tengok sendiri siapa yang bagi hadiah tu untuk Zaira.” Saran Kak Mar.

Nampaknya Kak Mar sengaja tidak mahu berterus terang. Aku menyengih dengan saranannya yang sepatutnya sudah boleh aku fikirkan sendiri sejak tadi.

“Amboi! siap bergam kadnya. Surprise betul ni.” Komenku.

Kali ini Kak Mar pula yang menyengih.

“Mungkin dia tak nak orang lain selain Zaira yang membacanya kut.” Kata Kak Mar memberikan pandangannya.

Aku mengangguk-angguk. Ada kemungkinannya juga. Sampul kecil berwarna biru yang tertera namaku dengan tulisan tangan yang cantik di atasnya itu aku buka dengan cermat. Sungguh berhati-hati agar tidak terkoyak lalu menarik keluar kad yang di dalamnya.

Buat adik abang yang paling cantik dan menawan hari ini,

Kan betul abang cakap, mesti ada orang yang nak kahwin dengan Zaira yang cantik ni. Alhamdulillah, Zaira mendapat jodoh yang sepadan dengan Zaira. Tahniah! Lega hati abang bila Zaira dah kahwin. Kalau tidak, abang risau juga kalau terpaksa tawarkan diri pada Zaira. Takut-takut Zaira tak nak kawan dengan abang lagi..  Selamat Pengantin Baru!

Salam sayang,

Abang

“Abang…” Bersama senyuman yang terukir di wajah, aku menyebut nama itu. Kak Mar tersenyum membalas reaksiku.

“Abang ada datang ke majlis Zaira ke Kak Mar?” Soalku penuh teruja.

Kak Mar mengangguk mengiakan sambil tersenyum.

“Kenapa Zaira tak nampak dia tadi?” Luahku penuh ralat.

Mataku memerhati sekeliling kawasan rumah yang sudah lengang dengan tetamu. Cuba mencari kalau-kalau si pemilik nama yang sudah begitu lama tidak aku sebut namanya, apatah lagi bertemu dengan orangnya masih berada di kawasan rumahku.

“Dia nak cepat tadi. Tak boleh nak tunggu. Makan pun tak sempat. Lagipun waktu dia sampai, Zaira tengah bersanding. Takkan nak panggil turun dari pelamin pulak. Marah pulak si Ikmal tu nanti. Sebab dah lambat dia hanya kirimkan salamnya untuk Zaira dan tinggalkan hadiah tu.” Beritahu Kak Mar.

Hadiah di tangan aku pandang bersama rasa ralat di hati. Dia datang merai hari bahagiaku. Tapi kami tidak dapat bertemu. Memang tiada rezeki kami untuk bersua muka. Sebelum ini memang aku yang meminta Kak Mar memaklumkan tentang perkahwinanku kepadanya. Sekadar makluman. Tiada niat pun mahu menjemputnya. Dengan jarak ribuan kilometer, pastinya akan menyusahkan andai aku beria-ia menjemputnya datang. Jadinya aku memang tidak meminta Kak Mar menjemputnya. Memang tidak terfikir langsung olehku yang dia akan menghadirkan diri di hari bahagiaku ini. Terasa bebesar hati dengan kesudiannya sedangkan sudah berbelas tahun kami tidak berhubungan. Namun bila dia sudah menghadirkan diri dan kami tidak dapat berjumpa, pastinya perkara itu menjadi perkara yang sangat aku kesalkan.

“Kenapalah dia tergesa-gesa sangat.” Keluhku meluahkan rasa tidak puas hati.

“Katanya, last minute planning.Dia takde rancangan awal pun nak datang. Sebenarnya dia balik sebab ada urusan di Singapura. Kebetulan pula sama tarikhnya dengan hari perkahwinan Zaira. Itu yang dia singgah jugak ke sini dulu. Tapi sebab urusan dia lebih penting di sana, terpaksalah berkejar ke Singapura pulak selepas tu. Nak tunggu lama pun dah tak menyempat dah.” Maklum Kak Mar serba lengkap.

Walaupun aku tahu bukan salah sesiapa, namun tanpa sedar terluah juga keluhan dari mulutku mempamer rasa hati yang kecewa. Rasa macam tidak logik pula bila dia sanggup terkejar-kejar untuk menghadiri majlisku tanpa mengambil kesempatan untuk bertemu denganku. Tapi bila alasan sebegitu sudah diberi, takkan pula aku mahu mempertikaikannya.

“Takpelah. Kali ini takde jodoh nak berjumpa dengan dia. Lain kali kalau panjang umur, ada rezeki, Insya-ALLAH bolehlah Zaira jumpa dengan dia lagi.” Pujuk Kak Mar.

Aku tersenyum tawar membalas pujukan Kak Mar. Di dalam hati aku mengulang kata-kata Kak Mar.

“Insya-ALLAH, semoga ada rezeki buat kami untuk bertemu lagi.” Pohonku penuh mengharap.

Kad yang di tangan aku buka dan baca kembali. Entah mengapa, nota yang tertulis di atas kad itu begitu mengusik hati. Kad itu juga mengingatkan aku pada nota yang ditinggalkan untukku satu ketika dulu. Entah bagaimanalah dia sekarang. Wajah bulat montel, comel dan comotnya belasan tahun yang lalu terimbau di ingatan. Kesudiannya menawarkan diri untuk berkahwin denganku dulu membuatkan aku tersengih panjang.

‘Hmm.. abang… abang. Terima kasih atas kesudian abang dulu. Zaira sudah pun menjadi milik orang sekarang. Walaupun waktu dulu Zaira menolak, tapi sebenarnya Zaira amat menghargainya.’

Bertahun dahulu kerana tidak dapat berjumpa, abang meninggalkan nota untukku. Kali ini, hanya nota juga yang ditinggalkan bila kami tidak berkesempatan untuk bertemu. Memoriku terbawa kepada kenangan lama.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.