“MAAF, Tuan Muda Syed
Badi.”
Mata Syed Badiuzzaman menangkap nota kecil ketika pintu bilik ditutupnya.
Dia menarik nota kecil berpelekat itu, mengamati tulisan itu dengan cermat.
Sebaik melihat nama Ainul Mardhiah di bahagian bawahnya, senyumannya mekar di
bibir. Nota itu terus dimasukkan ke dalam dompetnya.
Beg sandang pula terus
disangkut ke bahu sebelum dia berjalan menuju ke arah lif. Dia hendak berhenti
mengetuk pintu di bilik Ainul Mardhiah seperti selalu tetapi egonya menghalang.
“Aku nak tengok sejauh mana dia bersungguh meminta maaf.” Katanya sebelum
masuk ke dalam perut lif. Dan ketika pintu lif terbuka, kelibat Ainul Mardhiah
yang dicari terlebih dahulu. Ada! Dia menunggu di atas sofa.
Ainul Mardhiah segera
bangun apabila matanya menangkap kelibat lelaki itu di kaunter. Dia cuba
melorek senyuman namun Syed Badiuzzaman tidak memandangnya. Marah lagi agaknya.
“Jom!”
Katanya, tidak mendekati Ainul Mardhiah seperti kebiasaannya. Syed
Badiuzzaman segera menaiki sebuah kereta yang disewa khas untuk membawa mereka
berdua ke lapangan terbang.
“Tuan Muda Syed Badi marah saya lagi, ya.”
Senyap. Hanya bunyi enjin kenderaan sahaja yang tertangkap di telinganya.
Akur dengan kesunyian itu, Ainul Mardhiah tidak bersuara lagi. Padanlah aku
hari ini, atau mungkin sepanjang perjalanan balik, bercakaplah aku dengan
dinding memandangkan Syed Badiuzzaman tak sudi langsung menoleh ke arah aku.
Sesal sungguh Ainul Mardhiah!
Dan bukan sekejap marah
Syed Badiuzzaman. Sehingga berada di atas awan pun, suara lelaki itu kemas
tersimpan. Ainul Mardhiah ingin meminta maaf lagi tapi bimbang tidak diberi
respon. Akhirnya, dia mengeluarkan nota kecil dan juga sebatang pen dari poket
beg sandang.
“Orang yang baik ialah orang yang sudi memaafkan kesalahan orang lain. Sorry, Tuan Muda Syed Badi.”
Perlahan-lahan dia meletakkan nota itu ke atas majalah yang sedang dibaca
Syed Badiuzzaman. Tiada respon juga. Ainul Mardhiah malu sendiri. Dia
bersungguh-sungguh meminta maaf namun tidak diberi perhatian. Lamanya Syed
Badiuzzaman marah, buat Ainul Mardhiah tidak senang hati sahaja.
Akhirnya dia mengatup mata. Lebih baik tidur, dari
melayan sesalan. Bukankah aku yang inginkan mata dipejam semenjak dua hari yang
lalu?
Syed
Badiuzzaman menoleh sedikit ke sisi kanannya. Yakin wanita itu sudah melelapkan
matanya, dia mula membaca nota itu sebelum membalasnya.
“Kau ingat aku baik? Wrong person!”
Dia membalas tulisan itu dan nota itu disisip perlahan-lahan di antara
jemari kiri Ainul Mardhiah. Dia tersenyum sebelum menyambung bacaannya. Kasihan
pula Ainul Mardhiah, dipermainkan sebegitu.
“Tuan Muda Syed Badi, cakaplah dengan saya.”
Syed Badiuzzaman terkejut ketika suara itu menyapa telinganya. Dia ingatkan
Ainul Mardhiah sudah lena diulit mimpi. Agaknya itu memang perasaan orang
bersalah, sampaikan tidur pun tak lena.
“Kau nak aku cakap apa?”
“Tuan Muda Syed Badi marah pun tak apa. Janganlah marah sampai tak cakap
dengan saya.”
“Lain kali kalau kau buat perangai lagi, jaga!”
Ainul Mardhiah mengangguk. Dia kembali dapat menghirup udara dengan lega.
Sekurang-kurangnya, Syed Badiuzzaman sudi memaafkannya. Cukuplah dari dihambat
rasa bersalah.