DUA tiga hari ini kerjanya hanya mengemas galeri sahaja. Fabrik mengikut
jenis telah siap disusun di atas rak. Ainul Mardhiah tidak banyak sangat
berkerja kerana galeri khas milik Syed Badiuzzaman itu telah siap dideko. Dia
hanya menyusun fabrik sahaja. Dia puas hati, semua barang yang diminta, cepat
sampai pada tangannya. Semua dilakukan dengan bantuan Lukman, yang sering
berulang alik bertanya khabar dan keperluan.
“Assalammualaikum, Ain. Dah sarapan?” Tanya Lukman ketika menolak daun
pintu cermin tersebut. Ainul Mardhiah mengukir senyuman cuma. Lukman selalu
sampai pada waktu yang sama hampir dua tiga hari ini.
“Ain dah minum susu segelas tadi, dan dua biji kurma. Cukup untuk alas
perut sementara tunggu makan tengah hari.” Terang Ainul Mardhiah sambil sibuk
melilit kain pada patung.
“Cukup ke Ain, makan kurma dua biji?”
“Cukup...sebab Ain dah biasa. Lagipun kurma kan makanan berkhasiat. Setakat
ni Ain tak ada masalah disebabkan makan dua biji kurma setiap pagi.”
“Oh...selalu Luk makan kurma bulan puasa saja. Tak pernah jadikan kurma
sebagai makanan rutin.”
“Cubalah Luk, kalau nak dapat tenaga serta merta, kurmalah jawapannya.”
Terang Ainul Mardhiah lagi. Ainul Mardhiah siap mengemaskan lipatan kain di
bahagian tengkuk patung itu. Kemudian, dia kembali ke meja peribadinya,
mendapatkan sebotol kecil kurma yang sentiasa dalam simpanannya.
“Nah, makan kurma ni!”
“Eh, buat susah aje, Ain ni!”
Ainul Mardhiah tertawa bila Lukman bagai mengelak. Dia tolong membuka
penutup botol itu sebelum mengeluarkan sebiji kurma buat teman seperjuangannya.
Malu-malu pula Lukman mengambil buah kurma yang dihulur Ainul Mardhiah buatnya.
“Emm...Luk! Bila Tuan Muda Syed Badi nak ke mari? Ain nak ambil ukuran
badannya. Ukuran seluarnya hari tu Ain tak simpan.”
“Minggu ni Tuan Muda Syed Badi tak ada. Dia ke Vietnam. Hujung minggu ni
baru dia balik. Tak apalah, Ain kemas-kemas aje galeri ni. Nanti dia datanglah
tu.”
“Oh, Vietnam!” Sebutnya, perlahan.
Entah mengapa, mindanya membayangkan Syed Badiuzzaman ke
Vietnam bersama seorang wanita cantik. Pasti cantik, kerana Syed Badiuzzaman
orang kaya. Takkan dia hendak memilih wanita biasa sebagai pasangannya? Atau
dia memang sudah berpasangan? Eh, kenapa aku sibuk tentang Syed Badiuzzaman ni?
Aku designernya sahaja!
Tapi mengapa cebisan memori di Paris menerpa ingatanku?
Syed Badiuzzaman yang cengeh. Syed Badiuzzaman yang suka memaksa dan Syed
Badiuzzaman yang suka mengganggu lenaku, tapi tak lupa Syed Badiuzzaman yang
baik hati.
“Senyap aje, Ain! Ingatkan siapa tu?” Usik Lukman, membuatkan Ainul
Mardhiah tersenyum sahaja. Teringat Syed Badiuzzaman tetapi bukan apa-apa.
“Ingatkan siapa?” tanya Ainul Mardhiah kembali. Lukman tersengih sahaja.
Dia berniat hendak mengusik lagi.
“Ingatkan buah hati, ya?”
“Ala...buah hati pulak Luk ni. Kerja pun baru lekat, ada hati nak berbuah
hati.”
“Orang sekarang tak kira kerja, Ain. Budak sekolah pun ramai yang berbuah
hati. Ain yang dewasa ni, takkan tak ada kot? Malulah dengan budak sekolah.”
Usik Lukman lagi. Dia ikut ketawa bila Ainul Mardhiah tertawa.
“Luk tu...buah hati orang mana? Nak tengok gambar, boleh?” Giat Ainul
Mardhiah, tidak mahu mengalah juga. Lukman segera mengeluarkan telefon
bimbitnya. Gambar emak ditunjukkan kepada Ainul Mardhiah.
“Ini...macam gambar mak orang. Buah hati Luk, mak orang, ya?”
“Ya...Buah hati Luk ni mak orang, mak kandung Luk sebenarnya. Inilah buah
hati yang Luk ada.” Jelasnya lalu mengambil telefon bimbit yang dikembalikan
Ainul Mardhiah kepadanya.
“Ohhh...” kata Ainul Mardhiah, tersengih kerang.
“Sebenarnya Ain pun ada jugak buah hati, tapi Ain segan nak mengaku pada
Luk. Bila tengok Luk tak malu-malu, hilang pulak malu Ain. Luk nak tengok tak
gambar buah hati Ain?”
“Eh, mestilah! Luk memang dah agak. Orang secantik Ain, takkan tak ada buah
hati, kan?” Cepat Lukman menyahut. Dia menanti telefon bimbit beralih tangan.
“Tapi buah hati Ain ni nampak macam bapak orang sikit.”
“Ha ha ha. Mesti bapak kandung Ain ni.” Teka Lukman setelah melihat gambar
seorang lelaki tua dalam galeri telefon bimbit Ain. Ainul Mardhiah mengangguk
lalu ketawa gembira. Terkena jugak aku dengan Si Ain ni!