SYED Badiuzzaman jadi bengang serta merta apabila diberitahu yang Ainul
Mardhiah tidak dapat hadir melapor diri kepadanya seperti yang diminta.
Maklumat yang diberi Lukman petang tadi membuatkan hatinya bengkak! Geramnya!
“Banyak songeh pulak perempuan ni.” Syed Badiuzzaman merungut sambil
memandu terus menghala ke arah Utara. Dia telah melepasi Hentian Bukit Gantang
dan bakal tiba bila-bila masa sahaja di Hentian Rehat Gunung Semanggol.
Yang terbayang di kepala Syed Badiuzzaman, dia menarik Ainul Mardhiah masuk
ke dalam kereta dan mereka berpatah kembali ke Kuala Lumpur. Itu kerja gila!
Ya, Syed Badiuzzaman mengakuinya namun dia tidak punya toleransi terhadap Ainul
Mardhiah. Sejak bila majikan perlu mendengar kata anak buahnya? Sejak bila?
Ainul Mardhiah belum tandatangan kontrak, tapi dah pandai meminta-minta? Ini
sudah lebih!
Syed Badiuzzaman memberi isyarat masuk ke lorong kanan.
Dia nampak papan tanda hentian rehat Gunung Semanggol di depan, Jaraknya lebih
kurang lima kilometer lalu Syed Badiuzzaman menekan minyak supaya kenderaannya
memecut lebih laju. Ketika dia hendak masuk ke lorong kiri semula, sebuah lori
kecil merayap perlahan untuk masuk ke lorong tersebut.
Ponnnnnnnnnnnn!!!!!!!!!
Syed Badiuzzaman menekan hon kereta dengan perasaan sakit hati.
“Aku beri isyarat masuk, dia pun sibuk nak masuk”
“Bercalar sikit kereta aku, satu company
aku paksa tutup nanti.” Bebelnya dengan angkuh.
Nasib baik dia sempat masuk ke lorong kanan kembali. Jika tidak, mungkin
bermalam di hospital jawapannya, atau mungkin terus bermalam di kubur. Ini
semua Ainul Mardhiah yang punya angkara. Berani dia bagi macam-macam alasan
pada aku! Hatinya terus membengkak.
Dia kembali masuk ke lorong kiri. Dengan cekap dia menolak stereng kereta
ke kiri, membawa badan kereta 2013 Aston Martin v12 Roadster sama ke kiri lalu
berhenti betul-betul di belakang pam minyak nombor tiga, namun wajah orang yang
dicari tak kelihatan.
Ke mana dia? Takkan tak berkerja pulak hari ni? Dia saja nak main-mainkan
aku, ya? Jaga dia!
Dia menolak pintu kereta dan berjalan menuju ke arah seorang pump attendant lelaki.
“Ainul Mardhiah ada?” Soalnya kepada seorang lelaki yang sibuk melayan
menung.
Hairi terkejut dengan sapaan yang tak dijangka lalu dia
memandang lelaki itu atas dan bawah. Dia melihat pula kereta di belakang. Orang
kaya! Patutlah biadap sangat! Desis hatinya. Kalau lelaki itu adiknya, memang
makan sup penumbuk agaknya tadi.
“Ainul Mardhiah dah balik tadi. Syifnya dah habis.” Jelas Hairi. Air muka
lelaki itu jelas tidak puas hati. Dia bercekak pinggang sambil merenung ke
dalam kedai. Gayanya tak puas hati betul! Teman lelakinya kah? Balak Ain orang
kaya?
“Rumah dia kat mana?”
“Nak buat apa dengan alamat rumah dia?” Tanya Hairi kembali. Lagaknya gaya
penyiasat pula. Apa tidaknya, lelaki itu datang dengan gaya samseng, menerjah
tanpa salam, dan sekarang meminta alamat rumah pula. Ainul Mardhiah akan
terdedah pada bahaya jika aku ikut apa yang orang kaya ni mahu.
Bagi Syed Badiuzzaman, soalannya hanya menambah tekanan.
Ini pump attendant merangkap tukang
sibuk hal orang ke? Dia dibayar gaji lebih ke untuk bertanya urusan aku?
“Aku nak meminang dia lah! Apalah bengal sangat kau ni?” Bidas Syed
Badiuzzaman, tak dapat lagi mengawal perasaannya. Sudahlah Ainul Mardhiah
berdolak dalih, dia berkejaran ke sini tapi hampir berlanggaran dengan lori
buruk pula, dan bila tiba saja di stesyen minyak ni, kena soal siasat dengan
polis pulak!
“Kau panggil aku bebal? Kurang ajar betul mamat ni. Dah lah datang tak beri
salam, terjah orang dengan muka bengis, mintak alamat rumah gaya samseng. Cari
pasal betul dengan aku? Kau nak makan penumbuk ke?” Tanya Hairi dengan suara
melengking. Beberapa orang pelanggan menoleh ke arah mereka, namun dia tidak
pedulikan Hairi. Kali ini, maruah dan harga diri tiada makna pada dirinya. Nak
viralkan ke facebook atau Youtube? Silakan! Biar satu dunia tahu anak orang
kaya ni hanya tahu berlagak sahaja!
“Kau ingat kau seorang saja yang reti menumbuk? Aku tak reti?”
“Cubalah kalau kau berani?” Pelawa Syed Badiuzzaman dengan angkuh. Dia
sudah bersedia. Ini Syed Badiuzzaman, dari keluarga Al Hadad! Tiada istilah
takut dalam kamus hidup aku.
Hairi sudah mengempal buku limanya. Pantang keturunan aku
dicabar! Dia yang cari pasal, bukan aku.
“Apa lagi, kasi hentam sama dia sekali. Dia mintak tu bro!” Hasut
seseorang, barangkali pelanggan yang kebetulan hendak mengisi minyak di situ.
Lagi bertambah bengkak hati Hairi.
“Hairi, Hairi, Hairi, nanti!” Jerit Kak Fizah dari jauh.
“Sabar, sabar, sabar! Hairi masuk ke dalam. Biar Kak Fizah uruskan kat sini”
Kak Fizah hampir berbisik dengan Hairi. Dia tidak tahu apa punca pertengkaran
itu. Dia hanya tahu ada pertengkaran bila Nurul memberitahu sebentar tadi, dan
ketika dia keluar, Hairi sudah mengempal buku limanya. Hairi menurut juga
walaupun dia masih berkira hendak memberi sedikit pelajaran kepada orang kaya
itu.
“Encik, maaf atas apa yang berlaku. Ada apa yang boleh saya bantu?”
“Ya, kalau cakap elok-elok, kurang bebanan aku ni. Aku datang dari KL untuk
cari Ainul Mardhiah.” Terang Syed Badiuzzaman. Suhu marahnya kembali menurun.
Jika tidak ada tukang damai, barangkali ada yang pecah bibir hari ini.
“Oh, Ain? Ain dah balik tadi. Syifnya dah habis.”
“Ya, itu yang aku tanya rumahnya, tapi kena soal siasat macam polis pulak.”
“Maaf, maaf, maaf! Encik tunggu sekejap ya. Kak Fizah salinkan alamat rumah
Ain.” Ujar Kak Fizah, memberi jaminan. Syed Badiuzzaman mengangguk. Dia kembali
ke kereta lalu duduk sementara menanti alamat rumah Ainul Mardhiah.