Home Novel Cinta Designer Abang Cengeh?
Bab 8

KETIKA pintu dikuak, Ainul Mardhiah masih menyembat bahagian kaki. Dia tahu

Itu kelibat Syed Badiuzzaman seperti yang telah dijanjinya tiga jam lalu.

“Maaf Tuan Muda Syed Badi. Saya tak dapat siapkan seperti yang Tuan Muda Syed Badi minta.”

“Aku dah agak.” Jawab Syed Badiuzzaman, ringkas. Dia melihat bahagian kaki seluar yang masih belum dikelim.

So, apa tunggu lagi?” Tanya Syed Badiuzzaman dengan angkuh. Dia masuk ke dalam bilik kerjanya lalu duduk di atas sofa. Kelakuan Ainul Mardhiah, tidak dapat tidak, dijelingnya juga.

Sekurang-kurangnya izinkan saya menghabiskan jahitan di bahagian kaki ni. Saya tahu saya tak memenuhi kriteria yang Tuan Muda Syed Badi kehendaki, tapi saya nak habiskan sikit aje lagi ni. Sayanglah. Kalau saya tak habiskan, siapa nak buat?”

“Tak payah. Kau bawak balik aje. Takkan aku nak pakai seluar tak siap jahit? Jatuhlah air muka aku.”

“Sikit sahaja Tuan Muda Syed Badi.” Ujar Ainul Mardhiah, tidak mahu mengalah.

Dia menggerakkan jarum lebih cepat dari sebelumnya, tapi masih memastikan jahitannya kemas.

“Aku kata tak payah!”

“Dah siap, dah siap!” Jawab Ainul Mardhiah lalu mematikan jahitan akhirnya.

Seluar itu diangkat, sebelum dia sendiri berdiri. Kakinya mengebas, dek kerana terlalu lama duduk di atas karpet itu. Mukanya berkerut-kerut, menahan rasa kebas itu sebelum dia dapat berdiri dengan betul. Dia mendekati Syed Badiuzzaman yang sedang duduk di atas sofa. Seluar itu diserahkan ke tangan pemiliknya sebelum dia meminta izin untuk pulang.

Syed Badiuzzaman hanya menoleh apabila pintu biliknya terkatup semula. Dia melepaskan keluhan panjang sebelum mengangkat seluar itu. Tak lama, kerana akhirnya seluar itu dicampak ke atas meja kopi di hadapannya.

“Tuan Muda Syed Badi? Macam mana? Boleh?”

“Gagal!” Jawab Syed Badiuzzaman lalu menjuih ke arah seluar yang baru dijahit Ainul Mardhiah sebentar tadi. Entah kenapa, wajah polos gadis itu masih belum hilang dari pandangan walaupun Lukman yang berada di hadapannya.

“Wah, cantik jugak design seluar Tuan Muda Syed Badi ni! Siap ada butang lagi tepi poket lagi.”

“Kau nak?” Soal Syed Badiuzzaman, tidak puas hati.

“Kalau saya nak pun, bukannya padan. Itu saiz Tuan Muda Syed Badi, kan?” Balas Lukman dengan suara perlahan. Tadi, dia bertembung dengan Ainul Mardhiah. Dia melihat wanita itu berjalan dengan wajah biasa. Lukman mengangak, dia gagal dan ternyata, telahannya benar. Agaknya, apa yang dicari Syed Badiuzzaman?

“Esok ada seorang lagi yang nak datang interview.”

“Emm.” Syed Badiuzzaman menjawab malas lalu menghempas badan ke atas sofa. Kenapa susah benar hendak mencari seorang pereka fesyen merangkap tukang jahit peribadi yang sesuai dengan kehendak aku?


NURUL berhajat hendak menegur Ainul Mardhiah yang kerap termenung semenjak awal pagi lagi. Bimbang juga melihat telatah Ain yang kurang ceria semenjak pulang dari cuti tempoh hari. Ain tak sihatkah? Atau Ain putus cinta? Atau semua itu andaian sahaja? Baik aku tanya Ain sendiri, apa masalahnya.

“Ain, kenapa termenung aje tu?”

“Oh, Nurul!” Balas Ainul Mardhiah, tersenyum di hujungnya.

“Ini...pelanggan tak ramai sangat. Itu yang Ain sempat pasang angan-angan tu.” Dia menambah lagi. Tujuannya hendak mengalih perhatian Nurul dari bertanya tentang hal yang merunsingkan mindanya semenjak pulang dari Kuala Lumpur tempoh hari.

“Oh, Ain pasang angan-angan dengan siapa?” usik Nurul, tersengih.

Ainul Mardhiah juga ikut senyum. Dia gelihati pula melihat reaksi Nurul yang bersungguh-sungguh hendak mengorek rahsianya, lalu belakang sahabatnya dipeluk mesra.

“Bukan dengan siapa. Ain cuma berangan...alangkah indah kalau ada butik sendiri. Boleh reka apa sahaja pakaian yang Ain suka.” Akhirnya Ainul Mardhiah berkongsi cerita sedikit, walaupun hakikatnya dia terkilan kerana dua kali gagal dalam temuduga yang dihadapi.

“Kalau Ain buka butik sendiri, Nurul nak kerja dengan Ain boleh?”

“Eh, mestilah boleh! Nurul kan rajin. Ain nak sangat kerja dengan Nurul, sebab Nurul baik, selalu tegur Ain.”

“Ain terasa hati dengan Tifa, ya?” Tebak Nurul, membuatkan Ainul Mardhiah cepat mengangkat muka.

“Eh, taklah! Kenapa Ain nak terasa hati dengan Tifa pulak?” Soal Ainul Mardhiah kembali, mempertahankan dirinya.

“Nurul tahu, Ain kecil hati dengan Tifa, kan? Hari tu dia suruh Ain cuci tandas dan rekod barang.” Tebak Nurul lagi. Kali ini Ainul Mardhiah tersenyum panjang. Cepat benar cerita itu sampai ke pengetahuan Nurul. Dia tidak kisah malah berasa itu juga tanggungjawabnya, merekod stok barang di dalam kedai atau membersihkan tandas.

“Ain tak kisahlah, Nurul! Stesyen minyak ni tempat kita sama-sama cari rezeki. Eloklah kita buat kerja sama-sama. Takkan Ain nak tunggu di pam sahaja, tentulah orang yang berkerja lebih akan sakit hati.” jelas Ainul Mardhiah lagi. Nurul mengangguk sebelum menambah.

“Tifa memang begitu. Dia kasar sikit, tapi baik orangnya. Ain jangan ambil hati, ya?”

“Takkk. Ain okay saja.”

“Nurul masuk dalam dulu, ya? Ada customer tu.” Kata Nurul, meminta diri. Ainul Mardhiah mengangguk sebelum menoleh ke arah kereta yang berhenti di tepinya. Dia senyum dan tunduk hormat sedikit pada pelanggan yang baharu keluar dari kenderaan tersebut.


“MACAM ni punya designer pun ada? Eh, aku peliklah dengan designer yang datang ke pejabat ni. Macam tak ada pengalaman buat baju aje ni. Penat aku layan keletah kau orang.”

Pekik Syed Badiuzzaman sebelum menghempas pintu biliknya. Lukman menggeleng. Dia dapat mengesan jangka hayat pintu itu tak akan lama jika dilihat dari sudut penggunaan Syed Badiuzzaman. Cerewetnya tahap Ninja Turtles. Orang jahit senget sikit pun angin satu badan! Yang bingit telinga, aku jugak! Omel Lukman di dalam hati.

“Tuan Muda Syed Badi, memang begitu. Hatinya liat dan susah dipujuk. Maafkan dia, ya?” Lukman sekali memohon maaf bagi pihak Syed Badiuzzaman. Setakat ini, ada tiga calon telah ditemuduga sendiri oleh Syed Badiuzzaman, semuanya tidak dapat memenuhi citarasa lelaki itu.

“Nasib baiklah dia rejectsaya. Tak tahan saya dapat majikan macam dia. Harap muka saja handsome, perangai hodoh. Orang dah jahitkan baju untuk dia, tak reti nak terima kasih langsung, dimakinya lagi kita ni, adalah.” Komen Suhana, sakit hati. Dia bingkas bangun lalu berjalan keluar dari bilik itu. Semoga Syed Badiuzzaman bertemu buku dan ruas! Doanya dalam hati.

Baru beberapa tapak melangkah, dia bertembung dengan Syed Badiuzzaman yang sedang membawa mug. Terasa seperti hendak mengenakan lelaki itu pula. Lagaknya membawa mug pun menyakitkan hati, lantas Suhana buat-buat buta. Dia melanggar bahu lelaki itu sehingga air tumpah ke atas pakaian lelaki itu.

“Oi, buta ke?”

“Maaf, tak sengaja!” Ucap Suhana. Tidak membuang masa, dia melangkah terus dengan hati yang puas.

“Argh! Habis seluar aku kotor!” Marah Syed Badiuzzaman sebelum bergegas masuk ke dalam pantry. Dia menyapu tompokan air yang mengenai seluarnya namun bila melihat seluarnya basah, Syed Badiuzzaman kembali ke bilik kerjanya dengan hati yang bengkak. Terdengar juga bunyi-bunyi cakap di belakang apabila beberapa orang pekerjanya melihat insiden itu.

“Kenapa seluar Tuan Muda Syed Badi tu?” Tegur Lukman apabila terpandang kesan tompokan hitam pada seluar Syed Badiuzzaman.

“Perempuan gila tu! Sengaja nak balas dendam agaknya.”

“Perempuan mana?”

“Perempuan tadilah! Yang kena halau sebab jahit senget tu. Dia balas dendam dan saja langgar aku yang tengah pegang mug air ni.” Cerita Syed Badiuzzaman dengan muka tegang. Lukman hendak gelak namun tidak sampai hati mentertawakan lelaki itu.

“Dia tak sengaja kot! Takkan dia sengaja menyusahkan Tuan Muda Syed Badi pulak?”

“Balas dendam lah tu! Tak boleh terima hakikat yang aku tolak dia.” Luah Syed Badiuzzaman dengan suara yang besar. Lukman menggeleng kepala. Padahal Suhana pun tak sudi bertuan seperti dia. Memang padanlah muka Syed Badiuzzaman, jika Suhana memang berniat hendak mengenakannnya. Bukan selalu dapat hadiah percuma!

“Kejap lagi Tuan Muda Syed Badi ada mesyuarat. Macam mana?”

“Kau balik ambil seluar aku.”

“Tak sempat, mesyuarat tu setengah jam lagi.” Balas Lukman sambil menunjukkan jam yang tergantung elok di hadapan mereka.

“Takkan aku nak pakai seluar kotor ni? Jatuhlah air muka aku!” Bidas Syed Badiuzzaman.

Muka bengangnya tidak dapat disembunyikan lagi. Sepanjang usia dewasanya, belum pernah lagi dia dimalukan seperti itu. Sakit betul hati dengan Suhana!

“Saya cadangkan Tuan Muda Syed Badi pakai seluar semalam, yang Cik Ainul Mardhiah buat.”

Syed Badiuzzaman senyap. Lama dia menyepikan diri sehingga akhirnya dia mengangguk. Melihat sikap Syed Badiuzzaman yang mulai reda, Lukman bangun lalu mendapatkan seluar yang telah digantung elok di dalam almari itu. Dia menyerahkan seluar itu kepada Syed Badiuzzaman.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.