Home Novel Cinta Designer Abang Cengeh?
Bab 15

“KAU cuma ada dua pilihan, sama ada menetap di rumah ibu bapa aku, atau menetap di apartment bersama adik aku.”

Beritahu Syed Badiuzzaman selepas memberhentikan keretanya di Hentian Rehat Jejantas Sungai Buloh. Ainul Mardhiah tidak terus menjawab. Payah pula hendak menjawab soalan itu. Jika tidak punya pilihan sekalipun, Ainul Mardhiah memang keberatan hendak tinggal di rumah keluarga Syed Badiuzzaman. Hatinya galau. Lihat sahaja sikap Syed Badiuzzaman! Menakutkan. Apakah keluarganya juga begitu?

Dan jika dia memilih untuk tinggal bersama adik Syed Badiuzzaman, adakah hatinya akan senang? Tinggal di dalam lingkungan orang kaya hanya akan membuatkan Ainul Mardhiah diburu resah.

“Err...kalau saya tak mahu pilih dua-dua?” Ainul Mardhiah mencuba nasib.

“Tak boleh...kau dah terima kontrak. Takkan kau tak baca?”

“Takkan saya nak tinggal dengan keluarga Tuan Muda Syed Badi?” Tanya Ainul Mardhiah kembali. Memang aneh jika dia memilih untuk tinggal di rumah keluarga Syed Badiuzzaman, kerana paling utama, dia tidak mengenali mereka. Pasti mereka juga tak sennag dengan kehadirannya nanti.

“Kalau begitu kau tinggal saja dengan adik aku. Aku dah carikan sebuah kondo untuk dia. Sementara menanti dia masuk, kau boleh tinggal dulu kat situ.”

“Err...adik Tuan Muda Syed Badi tu lelaki ke perempuan?” Tanya Ainul Mardhiah, serba tidak kena. Syed Badiuzzaman menanggalkan cermin mata hitamnya. Dia merenung Ainul Mardhiah dengan sengih nakalnya.

“Lelaki? Baik aku saja yang duduk dengan kau. Buat apa aku hantar dia?” Soal Syed Badiuzzaman, membuatkan muka Ainul Mardhiah merona kemerahan.

“Kasarnya gurauan Tuan Muda Syed Badi.”

“Kalau rasa kasar, lain kali jangan tanya soalan cerdik pada aku. Muka kau juga yang merah nanti.” Bidas Syed Badiuzzaman.

Dia lantas menghidupkan enjin kereta sebelum memandunya menghala ke pusat bandar. Barangkali lebih elok jika Ainul Mardhiah tinggal dengan Syarifah Afeefa berbanding tinggal bersama keluarganya. Sekurang-kurangnya, Syarifah Afeefa ada teman berbual nanti.

Syed Badiuzzaman pasti, Syarifah Afeefa tentu suka jika diberitahu yang kondominiumnya sudah siap untuk diduduki, bersama seorang kawan lagi!


“PERKARA pertama yang kau mesti tahu tentang aku, aku ini sangat cerewet tentang pakaian.”

“Seumur hidup, aku tak pernah pakai pakaian siap. Semua ditempah.”

Ainul Mardhiah berkerut kening. Aneh rupanya Syed Badiuzzaman. Patutlah dia bertindak sebarangan dan sesuka hati sahaja. Cerewet rupanya!

“Dahsyatnya.”

Pandangan lelaki itu menyorot kepadanya.

“Maaf Tuan Muda Syed Badi.” Ucap Ainul Mardhiah apabila sedar yang dirinya terlepas kata.

Syed Badiuzzaman duduk di hadapan Ainul Mardhiah. Kakinya disilang dan tangannya lurus memeluk sofa, persis gaya orang kaya.

“Jadi kau dah tahu, kan? Kerja kau hanya berdasarkan permintaan aku. Kalau aku suruh kau siapkan sehelai kemeja, kemejalah yang aku nak pakai. Kalau aku bagi arahan pagi, petang aku nak, kau mesti turut dan tiada alasan.”

“Ya,”

“Bagaimana dengan peralatan saya. Fabrik saya?” tanya Ainul Mardhiah, tidak puas hati. Dia hanya melihat sebuah kediaman yang dilengkapi segala jenis macam perabot, tetapi tidak nampak perkakasan yang akan digunakan nanti.

“Kau mahu alatan yang bagaimana? Nanti aku suruh Lukman datang jumpa kau. Dia akan uruskan semuanya.”

Ainul Mardiah mengangguk. Dalam kepalanya dia membayangkan akan berkerja di sebuah galeri khas yang dilengkapi pelbagai bahan menjahit dan fabrik. Tak kisahlah bermula dengan menjadi tukang jahit kepada seorang lelaki kaya pun, kerana dia berharap, satu hari nanti, pengalaman yang dikutip hari ini akan digunakan untuk membuka butik sendiri.

“Tapi saya nak tanya, kondo ni dunia tempurung saya ke? Macam mana saya nak beli segala keperluan?”

“Takkan aku pulak nak bawak kau ke sana sini? Gaji bulan pertama nanti kau belilah motor atau kereta.”

“Jadi, untuk tiga puluh hari ni, saya makan angin sajalah, ya?” Ainul Mardhiah bertanya selamba. Syed Badiuzzaman hanya memaku pandangan pada wanita itu. Berani pula dia menjawab dengan aku?

“Nanti Lukman akan tolong kau.”

“Baik, Tuan Muda Syed Badi. Kalau tak ada apa-apa lagi, Tuan Muda Syed Badi bolehlah balik.” Ainul Mardhiah menghambat, lantas berdiri. Syed Badiuzzaman terkejut. Dia pulak yang dihalau oleh Ainul Mardhiah.

“Suka hati kau halau aku balik, ya Ain?” Renung Syed Badiuzzaman tidak puas hati.

“Bukan begitu, Tuan Muda Syed Badi jangan salah sangka. Begini, ya saya tahu saya pekerja, Tuan Muda Syed Badi adalah majikan saya, tapi tak elok Tuan Muda Syed Badi berlama-lama di sini. Nanti apa kata anak bini Tuan Muda Syed Badi, apa kata keluarga Tuan Muda Syed Badi, apa kata jiran tetangga dan yang penting apa kata Allah?”

“Anak bini aku tak masuk campur urusan aku, Ain. Tak ada siapa yang berani masuk campur urusan aku. Kau jangan cakap apa yang boleh dan tak boleh. Aku tak suka. Aku ke sini bukan saja nak melepak dengan kau. Tapi kalau aku nak datang, aku akan datang. Aku nak pergi, aku akan pergi. Bukan sebab kau atau siapa-siapa.”

Ainul Mardhiah terkedu. Syed Badiuzzaman memandangnya cengeh, buat Ainul Mardhiah malu sendiri. Lama Syed Badiuzzaman memandangnya begitu, sehingga akhirnya dia bangun, maju ke arah Ainul Mardhiah dan berhenti betul-betul dekat dengannya. Ainul Mardhiah tunduk, terus tidak berani mengangkat mukanya. Dadanya mula berombak ganas.

“Kenapa kau tunduk?”

“Mintak maaf Tuan Muda Syed Badi.”

Ainul Mardhiah masih tidak berani mengangkat muka. Dia dapat merasakan dirinya sangat dekat dengan majikannya itu. Mudah-mudahan dengan ungkapan maaf itu, Syed Badiuzzaman akan terus keluar dari kondo itu.

“Lain kali, kau jangan tegur aku lagi.” Pesannya perlahan di telinga Ainul Mardhiah. Ainul Mardhiah hanya mampu mengangguk, sebelum terdengar derap tapak kaki melangkah menjauhinya.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.