Home Novel Cinta Designer Abang Cengeh?
Bab 11

SYED Badiuzzaman jadi bengang serta merta apabila diberitahu yang Ainul Mardhiah tidak dapat hadir melapor diri kepadanya seperti yang diminta. Maklumat yang diberi Lukman petang tadi membuatkan hatinya bengkak! Geramnya!

“Banyak songeh pulak perempuan ni.” Syed Badiuzzaman merungut sambil memandu terus menghala ke arah Utara. Dia telah melepasi Hentian Bukit Gantang dan bakal tiba bila-bila masa sahaja di Hentian Rehat Gunung Semanggol.

Yang terbayang di kepala Syed Badiuzzaman, dia menarik Ainul Mardhiah masuk ke dalam kereta dan mereka berpatah kembali ke Kuala Lumpur. Itu kerja gila! Ya, Syed Badiuzzaman mengakuinya namun dia tidak punya toleransi terhadap Ainul Mardhiah. Sejak bila majikan perlu mendengar kata anak buahnya? Sejak bila? Ainul Mardhiah belum tandatangan kontrak, tapi dah pandai meminta-minta? Ini sudah lebih!

Syed Badiuzzaman memberi isyarat masuk ke lorong kanan. Dia nampak papan tanda hentian rehat Gunung Semanggol di depan, Jaraknya lebih kurang lima kilometer lalu Syed Badiuzzaman menekan minyak supaya kenderaannya memecut lebih laju. Ketika dia hendak masuk ke lorong kiri semula, sebuah lori kecil merayap perlahan untuk masuk ke lorong tersebut.

Ponnnnnnnnnnnn!!!!!!!!!

Syed Badiuzzaman menekan hon kereta dengan perasaan sakit hati.

“Aku beri isyarat masuk, dia pun sibuk nak masuk”

“Bercalar sikit kereta aku, satu company aku paksa tutup nanti.” Bebelnya dengan angkuh.

Nasib baik dia sempat masuk ke lorong kanan kembali. Jika tidak, mungkin bermalam di hospital jawapannya, atau mungkin terus bermalam di kubur. Ini semua Ainul Mardhiah yang punya angkara. Berani dia bagi macam-macam alasan pada aku! Hatinya terus membengkak.

Dia kembali masuk ke lorong kiri. Dengan cekap dia menolak stereng kereta ke kiri, membawa badan kereta 2013 Aston Martin v12 Roadster sama ke kiri lalu berhenti betul-betul di belakang pam minyak nombor tiga, namun wajah orang yang dicari tak kelihatan.

Ke mana dia? Takkan tak berkerja pulak hari ni? Dia saja nak main-mainkan aku, ya? Jaga dia!

Dia menolak pintu kereta dan berjalan menuju ke arah seorang pump attendant lelaki.

“Ainul Mardhiah ada?” Soalnya kepada seorang lelaki yang sibuk melayan menung.

Hairi terkejut dengan sapaan yang tak dijangka lalu dia memandang lelaki itu atas dan bawah. Dia melihat pula kereta di belakang. Orang kaya! Patutlah biadap sangat! Desis hatinya. Kalau lelaki itu adiknya, memang makan sup penumbuk agaknya tadi.

“Ainul Mardhiah dah balik tadi. Syifnya dah habis.” Jelas Hairi. Air muka lelaki itu jelas tidak puas hati. Dia bercekak pinggang sambil merenung ke dalam kedai. Gayanya tak puas hati betul! Teman lelakinya kah? Balak Ain orang kaya?

“Rumah dia kat mana?”

“Nak buat apa dengan alamat rumah dia?” Tanya Hairi kembali. Lagaknya gaya penyiasat pula. Apa tidaknya, lelaki itu datang dengan gaya samseng, menerjah tanpa salam, dan sekarang meminta alamat rumah pula. Ainul Mardhiah akan terdedah pada bahaya jika aku ikut apa yang orang kaya ni mahu.

Bagi Syed Badiuzzaman, soalannya hanya menambah tekanan. Ini pump attendant merangkap tukang sibuk hal orang ke? Dia dibayar gaji lebih ke untuk bertanya urusan aku?

“Aku nak meminang dia lah! Apalah bengal sangat kau ni?” Bidas Syed Badiuzzaman, tak dapat lagi mengawal perasaannya. Sudahlah Ainul Mardhiah berdolak dalih, dia berkejaran ke sini tapi hampir berlanggaran dengan lori buruk pula, dan bila tiba saja di stesyen minyak ni, kena soal siasat dengan polis pulak!

“Kau panggil aku bebal? Kurang ajar betul mamat ni. Dah lah datang tak beri salam, terjah orang dengan muka bengis, mintak alamat rumah gaya samseng. Cari pasal betul dengan aku? Kau nak makan penumbuk ke?” Tanya Hairi dengan suara melengking. Beberapa orang pelanggan menoleh ke arah mereka, namun dia tidak pedulikan Hairi. Kali ini, maruah dan harga diri tiada makna pada dirinya. Nak viralkan ke facebook atau Youtube? Silakan! Biar satu dunia tahu anak orang kaya ni hanya tahu berlagak sahaja!

“Kau ingat kau seorang saja yang reti menumbuk? Aku tak reti?”

“Cubalah kalau kau berani?” Pelawa Syed Badiuzzaman dengan angkuh. Dia sudah bersedia. Ini Syed Badiuzzaman, dari keluarga Al Hadad! Tiada istilah takut dalam kamus hidup aku.

Hairi sudah mengempal buku limanya. Pantang keturunan aku dicabar! Dia yang cari pasal, bukan aku.

“Apa lagi, kasi hentam sama dia sekali. Dia mintak tu bro!” Hasut seseorang, barangkali pelanggan yang kebetulan hendak mengisi minyak di situ. Lagi bertambah bengkak hati Hairi.

“Hairi, Hairi, Hairi, nanti!” Jerit Kak Fizah dari jauh.

“Sabar, sabar, sabar! Hairi masuk ke dalam. Biar Kak Fizah uruskan kat sini” Kak Fizah hampir berbisik dengan Hairi. Dia tidak tahu apa punca pertengkaran itu. Dia hanya tahu ada pertengkaran bila Nurul memberitahu sebentar tadi, dan ketika dia keluar, Hairi sudah mengempal buku limanya. Hairi menurut juga walaupun dia masih berkira hendak memberi sedikit pelajaran kepada orang kaya itu.

“Encik, maaf atas apa yang berlaku. Ada apa yang boleh saya bantu?”

“Ya, kalau cakap elok-elok, kurang bebanan aku ni. Aku datang dari KL untuk cari Ainul Mardhiah.” Terang Syed Badiuzzaman. Suhu marahnya kembali menurun. Jika tidak ada tukang damai, barangkali ada yang pecah bibir hari ini.

“Oh, Ain? Ain dah balik tadi. Syifnya dah habis.”

“Ya, itu yang aku tanya rumahnya, tapi kena soal siasat macam polis pulak.”

“Maaf, maaf, maaf! Encik tunggu sekejap ya. Kak Fizah salinkan alamat rumah Ain.” Ujar Kak Fizah, memberi jaminan. Syed Badiuzzaman mengangguk. Dia kembali ke kereta lalu duduk sementara menanti alamat rumah Ainul Mardhiah.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.