Home Novel Cinta Designer Abang Cengeh?
Bab 10

“LUKMAN! Hentikan iklan serta-merta.” Pesan Syed Badiuzzaman kepada Lukman sambil menolak pintu biliknya. Lukman akur lalu dengan pantas mendail nombor telefon akhbar yang mereka guna sebagai saluran untuk menyiarkan iklan untuk pengambilan pereka fesyen peribadi Syed Badiuzzaman. Usai bercakap dengan Pegawai Perkhidmatan Pelanggan di Unit Pengiklanan, Lukman kembali mendapatkan Syed Badiuzzaman di dalam biliknya. Lelaki itu sedang sibuk membaca akhbar. Paginya di pejabat memang begitu. Syed Badiuzzaman akan membelek akhbar dan minum secawan kopi sebelum memulakan tugasnya.

“Kenapa Tuan Muda Syed Badi? Dah jumpa calon ke?”

“Ainul Mardhiah.” Jawabnya perlahan, tatkala mata masih menatap akhbar itu. Dia ralit membaca berita dunia.

“Bukan Tuan Muda Syed Badi dah reject dia ke?”

“Betul!”

“Sediakan satu surat tawaran untuk dia. Katakan tentang perlantikannya, berjawatan tetap dengan jumlah gaji permulaan sebanyak Ringgit Malaysia tiga ribu. Kemudahan tempat tinggal disediakan kerana masa berkerja bergantung kepada arahan semasa. Elaun bergantung kepada jumlah pakaian yang disiapkan.” Arah Syed Badiuzzaman selepas membaca berita tersebut. Akhbar itu dilipat kembali sebelum dihulur kepada Lukman. Lukman hanya mengangguk. Semua pesanan yang Syed Badiuzzaman telah dirakamnya.

“Tentang hal perjawatan ni, uruskan dengan Syikin. Katakan pada dia, Tuan Muda Syed Badi minta tolong. Ainul Mardhiah bukan staf Kumpulan ALHadad, sebaliknya dia staf peribadi aku, sama macam kau.”

“Baik Tuan Muda Syed Badi.”

“Pastikan surat tu sampai padanya minggu ini juga. Aku nak dia lapor diri hari Sabtu ni.”

“Sabtu ni??” Soal Lukman kembali. Lagaknya bagai hendak membantah namun renungan tajam Syed Badiuzzaman membantutkan hasrat itu.

“Kenapa? Tak puas hati?”

“Saya buat sekarang, Tuan Muda Syed Badi.” Jawab Lukman, meminta izin untuk menguruskan kerjanya. Syed Badiuzzaman tidak menjawab. Dia hanya bersandar sambil melepas nafas panjang. Esok dia akan ke Vietnam bersama barisan ahli Kumpulan C, mendengar taklimat tentang projek pemasangan kabel bawah tanah dan hanya akan kembali ke Kuala Lumpur pada hari berikutnya. Pada hari seterusnya, dia ingin melihat Ainul Mardhiah sudah melapor diri.

Syed Badiuzzaman memejam mata. Terkenang pula memori Ainul Mardiah mengukur bahagian badannya. Dia senyum sendiri. Teringat muka cuak dan bimbang Ainul Mardhiah bila dia didekati.

“Tak pernah bersosial dengan lelaki kot.”

“Kau tak biasa, kau akan biasa.”

Syed Badiuzzaman gelak sendiri. Dia sudah merencana pelan yang terbaik untuk Ainul Mardhiah kelak. Itu pun, kalau Ainul Mardhiah menerima jawatan yang Syed Badiuzzaman tawarkan buatnya. Kalau dia tak terima? Aduh!

“Kalau dia tak terima? Aku sendiri yang akan bawa dia ke sini. Setakat Gunung Semanggol? Bukan jauh sangat pun!” Kata Syed Badiuzzaman sendirian.

Dia masih ingat stesyen minyak Hentian Rehat dan Rawat Gunung Semanggol. Di situlah pemilik nama Ainul Mardhiah ditemui buat kali pertama. Dan Syed Badiuzzaman takkan lupa, kerana di situ, matanya menangkap satu susuk tubuh yang menawan.


AINUL Mardhiah terpaksa berjalan sehingga ke tempat mengisi angin apabila telefon bimbitnya berdering minta diangkat. Sambil berjalan, dia menjeling juga, bimbang jika ada kenderaan yang hendak mengisi minyak tetapi tidak mendapat layanan.

“Assalammualaikum, Cik Ainul Mardhiah?” Pemanggil itu bagai bertanya.

Ainul Mardhiah tidak segera menjawab kerana dia juga tertanya-tanya gerangan lelaki mana yang menghubunginya ini.

“Ya, siapa tu?”

“Maaf, saya Lukman, PA Tuan Muda Syed Badiuzzaman.”

“Oh, Encik Lukman!” Ainul Mardhiah menyapa, apabila nama Syed Badiuzzaman disebut. Lukman yang baik hati, sayangnya maklumat yang diberi Lukman tidak dapat membantu Ainul Mardhiah menjawat jawatan yang ditawarkan oleh Syed Badiuzzaman.

“Ada apa ya, Encik Lukman?”

“Cik Ainul Mardhiah, boleh ke Kuala Lumpur untuk lapor diri kepada Tuan Muda Syed Badiuzzaman hari Sabtu ni?”

“Sabtu?” Tanya Ainul Mardhiah, terkejut. Dia mengira di dalam hati, hari ini hari Khamis, esok Jumaat dan Sabtu mesti lapor diri? Dan teringat pula pesanan Kak Fizah, sebarang perletakan jawatan mesti dibuat dalam tempoh seminggu dari tarikh perlepasan jawatan.

“Err...bukan ke Tuan Muda Syed Badi tolak saya?”

“Dia tak jumpa calon yang sesuai selain Cik Ainul Mardhiah. Saya dah siapkan surat tawarannya, tapi arahan Tuan Muda Syed Badi agar surat ini sampai ke tangan Cik Ainul Mardhiah minggu ini dan mesti melapor diri Sabtu ini, bagai mustahil saya laksanakan kalau tak dibuat dengan panggilan telefon dahulu. Cik Ainul Mardhiah, okay? Setuju ke terima tawaran ni?”

Panjang lebar penjelasan dibuat oleh Lukman. Dan soalan di akahirnya membuat Ainul Mardhiah menung lama sebelum menjawab.

“Encik Lukman, saya nak mengisi jawatan tu, tapi-?”

“Tapi apa Cik Ainul?”

“Tapi saya berkerja sekarang. Pengurus saya dah maklumkan, kalau saya nak berhenti kerja, saya mesti beri notis seminggu sebelum.”

“Kalau tak?”Tanya Lukman, ingin tahu. Kalau boleh, janganlah Ainul Mardhiah menolak. Syed Badiuzzaman tak boleh dikira. Dia akan buat apa yang dia hendak buat. Orang banyak duit seperti dia tak boleh dibuat main. Tak pasal-pasal, satu stesyen minyak tempat Ainul Mardhiah berkerja dibelinya jika tak mengikut kehendaknya.

“Err...saya tak tanya pulak, kalau tak tu apa pulak jawapannya. Sebagai orang yang nak berkerja, saya mesti akur dengan syarat tu.”

“Kalau Cik Ainul Mardhiah tak keberatan, saya nak selesaikan masalah ni dengan Cik Ainul Mardhiah sekarang, boleh? Tuan Muda Syed Badi ke Vietnam. Esok baru dia balik. Yang dia tahu, lusa Cik Ainul Mardhiah dah lapor diri kepadanya.” Beritahu Lukman, berterus terang.

Ainul Mardhiah tidak tahu hendak menjawab apa. Selepas sesi temuduga tempoh hari, dia tidak menaruh harapan kerana dia tahu Syed Badiuzzaman terang-terangan menolaknya. Sebab itu dia pulang ke Gunung Semanggol meneruskan rutin biasa walaupun masih dipagut kecewa. Kecewa kerana gagal dua kali dalam urusan temuduga.

“Saya nak cakap apa dengan pengurus saya, Encik Lukman? Saya dah setuju dengan syarat dia. Kalau saya langgar nanti, mereka saman saya pulak. Saya jugak yang susah. Emm, tak boleh ke saya lapor diri pada Tuan Muda Syed Badi minggu depan? Saya nak kerja tu, tapi saya mintak tangguh sikit aje lapor diri tu kepada hari Khamis minggu depan. Boleh tak?”

Tanya Ainul Mardhiah, jujur. Lukman berkerut dahi. Banyak cekadak lah pulak si Ainul Mardhiah ni. Orang yang hendak digaji pulak yang meletak syarat?

“Begini, Cik Ainul Mardhiah berbincang dengan pengurus dahulu. Tanya apa katanya. Kalau dia suruh bayar ganti rugi, saya boleh uruskan bayaran ganti rugi tu bagi pihak Tuan Muda Syed Badi.” Cadang Lukman, membuat keputusan sendiri. Dia dapat merasakan yang Syed Badiuzzaman tak ada masalah tentang bayaran ganti rugi jika terpaksa berbuat demikian.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.