Home Novel Cinta Lelaki Langit Bumi
Bab 12

WAKTU melewati pukul 11 pagi. Sedar tidak sedar hampir dua jam Diha menghadap komputer. Dia bingkas bangun lalu meregangkan otot badan. Kemudian, dia melangkah masuk ke dapur. Matanya melilau ke sana ke mari melihat bahan apa yang ada untuk  dimasak. Seminggu lebih di Jakarta, Diha sudah betah keluar membeli barang runcit juga keperluan lain. 


Walaupun bahasa menjadi jurang komunikasi buatnya di sini, namun bagi Diha itu sekadar masalah kecil. Sementelahan, dua tiga hari itu Diha banyak dibantu oleh Bahri, pemandu peribadi Ariyyan. Sepanjang ketiadaan Ariyyan, Bahri ditugaskan supaya membawa Diha seandainya dia ingin pergi ke mana-mana. 


Itu lebih dari memadai bagi Diha. Sungguhpun Ariyyan tidak mesra dengannya namun lelaki itu bersedia memperuntukkan sedikit ruang hati dalam memikirkan kebajikannya. Tidaklah dia terpinga-pinga hilang punca tidak tahu hendak buat apa di rumah itu seorang diri. 


“Wang belanja harian aku letakkan di dalam laci ini,” terang Ariyyan sambil menunjukkan kepada Diha laci meja perhiasan di ruang tamu. Diha cuma mengangguk.


“Aku akan pastikan wangnya cukup bagi menampung perbelanjaan kamu. Kalau kamu perlu ke mana-mana atau pingin apa-apa, talifon nombor ini. Ini Bahri, supirku. Dia bisa bantu kamu sepanjang ketiadaanku,” ujar Ariyyan sebelum berangkat pergi ke Surabaya. Dia menghulurkan sekeping kertas yang tertera nombor telefon Bahri.


Bahri, anak muda yang umurnya lebih kurang sebaya Dina itu telah bekerja untuk Ariyyan selama lima tahun. Bahri datang dari keluarga susah. Dia sekampung dengan Ariyyan.  Adik-beradiknya lapan orang dan dia merupakan anak sulung. Menurut Bahri, dahulu dia hanya membawa ojek, iaitu motor sewa demi menyara keluarga. Berapa sangatlah pendapatan yang boleh diperoleh dalam sehari. Ariyyan telah bermurah hati membantunya. Bahri dihantar ke kelas belajar memandu hingga berjaya mendapatkan lesen kereta. Setelah itu, Bahri diambil bekerja sebagai pemandu peribadi Ariyyan dan keluarga.


Kebiasaannya, lelaki bertubuh kecil berkulit sawo matang itu akan datang membawanya ke pasar raya, membeli keperluan dapur. Adakalanya, Bahri sekadar menemankan Diha jalan-jalan cuci mata di pusat beli belah. Pada awalnya, dia hanya meminta Bahri menghantarnya ke satu-satu destinasi dan berniat cuba balik sendiri ke rumah menaiki teksi. Terasa janggal membiarkan orang lain menunggu dia menyelesaikan urusan. Tetapi, Bahri senang hati ingin menemankannya. 


“Kapan Kang Ariyyan ke luar kota, saya nggak ada apa-apa kerja, kak. Apa salahnya saya temanin kakak. Lagipun Kang Ariyyan pesan, pastikan Diha selamat pergi selamat pulang,” bicara Bahri sambil mengajuk intonasi Ariyyan. Pecah tawa kecil antara kedua-dua mereka. 


Diha bersyukur. Untung ada Bahri di sampingnya. Bahri boleh bertindak menjadi jurubahasa sementara dia belum mahir berbahasa Indonesia. Misalnya semalam, sukar dia hendak membeli tepung gandum dari sebuah kedai runcit. Penjualnya seorang wanita tua yang berinteraksi menggunakan loghat Indonesia pekat. Pertuturan mereka ibarat ayam dengan itik. Akhirnya, atas pertolongan Bahri, barulah Diha tahu tepung gandum dipanggil tepung terigu oleh penduduk tempatan. 


Bukan itu sahaja, Bahri turut menawarkan diri membantu Diha belajar menguasai bahasa tersebut andai ada masa terluang. Sekurang-kurangnya belajar perkara-perkara asas dahulu dalam komunikasi harian. Diha berasa selesa di samping anak muda itu. Orangnya bersopan santun malah mudah mesra.


Diha sibuk menyediakan makan tengah hari. Sup ayam berempah, bergedel, sayur kubis masak tumis dan sambal kicap cili api. Dia tidak pasti sama ada Ariyyan akan balik makan tengah hari ataupun tidak. Soalannya tadi dibalas herdikan. Diha belum lagi dapat mengagak apa kebiasaan Ariyyan, bagaimana jadual hariannya. Ariyyan pula mengamalkan dasar ‘tutup pintu’. Sukar diajak berbual.


‘Biarlah,’ putusnya, tetap menghormati ruang yang didambakan oleh si suami. Dia menghidangkan makanan di atas meja makan. Seandainya Ariyyan balik, makanan sudah tersedia. Jika tidak, lauk-pauk itu boleh dijadikan hidangan makan malam. Tidak payah susah susah masak lagi petang nanti.


Selesai memasak, Diha lalu di hadapan bilik Ariyyan. Bakul pakaian yang ditinggalkannya di luar pintu semalam ada di situ. Terisi pakaian-pakaian Ariyyan  yang hendak dibasuh. Diha tersenyum sendiri. Dalam asyik ‘tidak’ dan ‘nggak’, mahu juga Ariyyan menerima saranannya. 


Memikirkan Ariyyan, sedikit pun dia tidak berkecil hati menerima layanan dingin dan kasar lelaki itu sejak mereka disatukan sebagai suami isteri. Diha sedar Ariyyan acapkali berperang melawan gejolak hati. Pada hari pernikahan mereka, sewaktu tangannya dijabat oleh tuan kadi, Ariyyan hampir-hampir hilang pertimbangan. Beberapa kali dia kena ditenangkan oleh Armand kerana tiba-tiba Ariyyan berasa tidak mampu meneruskan upacara akad nikah mereka.


Ekoran itu, majlis pernikahan mereka terpaksa ditunda seketika. Ariyyan memohon diri supaya dapat bertenang. Dia segera berwudhu’. Tidak mempedulikan sesiapa di ruang dewan solat, Ariyyan bersolat sunat memohon ketenangan dari Yang Maha Pencipta. Usai solat, lama dia menadah tangan. Air mukanya yang tadi tegang beransur tenang. Bibirnya basah melafaz nama-nama Allah. Perasaan yang tadi orak-arik, akhirnya berjaya didamaikan.


Diha, Dina dan suami, Armand, Miranda, tuan kadi serta saksi sabar menanti. Semuanya sekadar menjadi pemerhati bisu setiap tindak-tanduk Ariyyan. Tidak lama kemudian, Ariyyan kembali merapati mereka.


“Bagaimana Encik Ariyyan? Bersedia teruskan akad ini?” soal tuan kadi. Kala itu Dina sudah menggenggam erat tangan Diha. Diha tahu adiknya sangat bimbang. Bimbang sekiranya Ariyyan mengubah fikiran pada saat-saat akhir. Diha tetap tenang. Apa saja yang bakal berlaku akan diterima seredanya.


Ariyyan angguk.


“Encik Ariyyan pasti?” tanya tuan kadi menginginkan kepastian. Hal akad nikah tidak wajar dipandang remeh oleh sesiapapun. Melalui lafaz akad, tergalas tanggungjawab yang berat ke atas kedua-dua suami isteri. Jadi, sekiranya wujud sebarang keraguan daripada mana-mana pihak, seeloknya diselesaikan terlebih dahulu.


Ariyyan mengangkat muka mencari wajah Diha. Pandangan mereka bertemu. Bertaut beberapa detik. Lantas, dia memandang tuan kadi di hadapannya. Ariyyan mengangguk. Kali ini lebih yakin. 


“Iya. Saya pasti.” Kedengaran tulus kata-kata berbentuk akuan itu tatkala diucapkannya.


Diha tersedar dari lamunan. Cincin perkahwinan yang tersarung di jari manisnya dibelek. Bagaikan masih terasa dingin tangan Ariyyan yang sedikit menggeletar ketika menyarungkan cincin itu ke jarinya. Ketara benar dia sedang berkonflik menentang perasaannya. 


“Bertahanlah wahai hati. Ariyyan vs Emosi. Apabila si emosi dah angkat bendera putih, kita akan dapat kembali Ariyyan yang dulu,” tuturnya optimis sambil mengangkat bakul kain. Langkah diatur menghala ke bilik dobi.


 

DI CHAMAR ENTERTAINMENT, Ariyyan gagal memberikan sebarang tumpuan atas apa yang dilakukan. Semuanya menjadi serba tidak kena. Hadirnya insan bernama Diha dalam kehidupannya benar-benar menduga diri. Baru lebih kurang seminggu, tetapi rasanya dia sudah hampir kandas. Tidak dapat tidak dia pasti akan teringatkan Marsha, wanita yang telah berkongsi hidup, kasih, cinta, suka duka, jatuh bangun serta susah senangnya selama lebih lapan tahun. Mana mungkin dia dapat melupakan Marsha. 


Ariyyan merengus kasar. Dia menghentikan proses rakaman nyanyiannya. Dia sendiri dapat mendengar lontaran suaranya sumbang dan tidak mengikut tempo. Ahli kumpulan ARJUNA yang lain hanya diam. Tiada siapa pun bersuara. Mereka tahu semua itu sukar bagi Ariyyan. Sekurang-kurangnya, sekarang Ariyyan berusaha mencuba meneruskan proses rakaman album mereka yang sekian lama tertunda. Mereka sedia maklum Ariyyan perlukan masa. Perlukan peluang untuk bangun semula.


“Kita rehat dulu deh,” cadang Bima. “Sambung aja lepas makan siang nanti.” Adip dan Dino tidak banyak bicara terus bersetuju. Memahami apa yang didepani Ariyyan, tidak guna mendesaknya. Silap haribulan, Ariyyan boleh putus angin lantas mengambil keputusan beredar pergi. Pulang ke rumah mengurung diri.


Ariyyan keluar dari bilik rakaman. Tanpa toleh kiri kanan, dia melangkah laju ke pejabatnya. Dia duduk bersandar di atas sofa panjang. Cuba menenangkan diri. Tidak lama kemudian, Bima masuk menghampiri.


“Mikirin apa tuh? Ingat yang ada di rumah ya?” Bima menegur sahabatnya. Jauh betul dia mengelamun! Entah apa bermain di dalam fikirannya, Bima sendiri tidak dapat meneka.


“Nggak apa-apa,” balas Ariyyan malas. Dia tidak berniat meneruskan perbualan. Bima yang masak benar dengan perilaku Ariyyan mengambil tempat di sisinya. Tubuh dipusing menghadap Ariyyan. Keadaan lelaki itu dilihatnya tetap sama seperti sebelum itu. Muram di wajah bagai langsung tidak dapat dikikis.


“Gimana hidup loe sekarang?” tanya Bima prihatin. Bahu kanan Ariyyan ditepuk perlahan apabila Ariyyan membungkam. Senyap. Tiada sebarang respons terbit dari mulutnya. 


“Biasa aja,” jawab Ariyyan antara dengar dengan tidak. Dia tidak senang membicarakan apa-apa tentang kehidupannya sekarang. Hidup kosong sepi tanpa kehadiran Marsha.


“Apa yang biasa, Ri! Kan udah ada suri baru. Yang bisa temanin loe, jagain loe. Jangan terus murung kae gini. Pengantin baru harus sentiasa happy,” usik Bima, moga-moga berjaya mengundang senyuman Ariyyan. Jangkaannya meleset. Tiada walau segarit senyum. Sebaliknya, gurauan itu mengeruhkan lagi riak muka temannya.


Ariyyan melontarkan pandangan kosong. Jemarinya menyebak rambut dengan kasar. Kata-kata Bima menyesakkan hati. Fikirannya kian bercelaru.


“Aku sudah cukup bahagia dengan cintamu, kasihmu dan segala-galanya yang kita nikmati bersama. Meskipun masa untuk kita tidak panjang, ayang perlu terus nikmati hidup tanpa aku.” Bergema suara Marsha menghantui kotak minda.


“Beri dia peluang dan beri dirimu peluang itu juga. Belajar untuk kasihi dan cintai dia, ayang.”


“Belajar untuk kasihi dan cintai dia, ayang.”


“Belajar untuk kasihi dan cintai dia, ayang.” Semakin lama dirasakan semakin kuat bait-bait kata Marsha terngiang-ngiang di telinga.


“Aku nggak bisa,” terbit keluhan berat dari bibir Ariyyan. Mata tertancap pada gambar-gambar Marsha di paparan skrin telefon bimbitnya. Dia tersenyum lemah tatkala melihat gambarnya memeluk mesra tubuh si isteri. Paras, senyuman dan tawa Marsha ditatap tanpa jemu. Gambar-gambar itulah menjadi pengubat rindunya saban hari. Tidak akan dibuang sama sekali.


Bima memegang bahu Ariyyan lembut. “Ri, loe harus cuba. Sekiranya Marsha masih ada, pasti dia sedih bangat lihat keadaaan loe begini. Nggak elok loe terus-terusan berkelakuan seperti ini, Ri. Enggak adil buat loe. Enggak adil juga buat dirinya,” tutur Bima perlahan, menasihati Ariyyan agar turut mempertimbangkan perasaan Diha.





Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.