Home Novel Cinta Lelaki Langit Bumi
Bab34-1

Suasana di lobi Chamar Entertainment agak tegang. Ariyyan menopang dagu di meja penyambut tetamu. “Udah berhasil hubungi Shamila?” Soalan diajukan pada Thia, salah seorang pekerja yang diberikan mandat sebagai penyambut tetamu di Chamar Entertainment. Thia menggelengkan kepala. 


Ariyyan menarik muka sebal. Dia jalan mundar-mandir. Dilirik jam tangan buat kesekian kali. Hati berdongkol mengenangkan perangai serta ragam artis baharu sekarang. ‘Cuman pingin kejar popularitas. Tetapi komitmen langsung nggak ada! Kosong!’ getus lelaki itu.


“Maaf, mas. Panggilan disambungkan ke voicemail,” terang Thia. Dia menanti arahan lanjut daripada Ariyyan.


“Aduh, sulit! Aku paling tidak suka bila harus menunggu kae gini!” Ariyyan mengeluh. Sepatutnya, dia dan Shamila merakamkan sebuah lagu duet, ‘Terbang Tinggi Demi Cinta’, bersama-sama. Projek berkenaan sudah sekian lama tertunda. Mengikut perancangan asal, lagu tersebut merupakan single pertama Shamila setelah memenangi pertandingan ‘Indonesia Mencari Bakat’ awal tahun lepas. Namun, kerjasama antara mereka tergendala dek kerana Ariyyan ‘berhenti berkarya’ disebabkan pemergian Marsha. Kini, ‘Terbang Tinggi Demi Cinta’ dipilih menjadi salah satu lagu yang bakal dimuatkan ke dalam album sulung Shamila.


Masalahnya, sudah beberapa jam dia tercanguk di studio. Batang hidung Shamila langsung tidak kelihatan. Padahal petang itu telah khusus diperuntukkan untuk sesi rakaman mereka. Ariyyan pening memikirkan kerja yang tidak selesai. Dia menyuruh Thia cuba menelefon Shamila semula.


“Masih nggak bisa dihubungi, mas,” Thia memaklumkan majikannya. Ariyyan bungkam. Fikiran ligat merencana sesuatu. ‘Jika terus-terusan begini gimana proyeknya bisa langsai?’ Dia berkira-kira sendiri. Mungkin dia boleh merakamkan lagu ‘Terbang Tinggi Demi Cinta’ terlebih dahulu. Sekiranya Shamila berminat, suara tuan punya diri akan dimasukkan kemudian.


“Udah, kalau Shamila atau siapa-siapa daripada pihaknya hubungi kita, bilang saja rakaman hari ini aku batalkan,” putus Ariyyan tegas. Di ruang legar pejabat, Ariyyan menangkap susuk tubuh Bahri yang sedang membaca akhbar.


“Bahri!” Ariyyan melaung memanggil pemandunya. Dia menapak ke arah anak muda itu. 


“Iya, kang. Ada apa? Mau ke mana-mana?” tanya Bahri. Akhbar di tangan dilipat dan diletakkan di atas meja kopi. 


“Rakamanku tertunda. Artisnya nggak muncul-muncul! Udah telat kok nggak reti menalifon!” rungut Ariyyan yang nyata kesal dengan sikap tidak ambil peduli artis tersebut. 


“Kang mau pulang sekarang?”  

“Nggak. Ada kerja lain mahu aku siapin. Sejam lagi kita pulang,” jelas Ariyyan. Serentak itu, mata mengesan kehadiran Kaka, vokalis kumpulan Slank di pintu utama. Lelaki itu melambai menyapanya.


“Bentar, Bahri.”


 Ariyyan bergegas mendapatkan Kaka. Mereka bakal berbincang tentang kemungkinan ARJUNA dan Slank melakukan kolaborasi. Slank merupakan kumpulan idolanya. Sebelum bergelar penyanyi, Ariyyan kerap pergi menonton persembahan-persembahan mereka. Dia turut menjadi sebahagian daripada 'Slankers', gelaran bagi kelompok peminat kumpulan yang sudah lebih tiga dekad ditubuhkan itu.


Setelah berbual seketika, Arriyan menggamit Thia. “Thia, tolong bawa Mas Kaka ke kantorku.” Thia bangkit lalu mengiringi Kaka ke bilik pejabat Ariyyan.  “Bikin air sekali ya,” pesan Ariyyan. Tumpuannya kembali kepada Bahri.


“Nih aku mau nanya.”

“Nanya apa kang?”

“Pisang goreng,” balas Ariyyan menyimpul senyum.

“Pisang goreng? Kenapa Kang? Pingin makan pisang goreng? Mau yang gimana? Cheese, coklat atau srikaya?” Lancar Bahri menyenaraikan pilihan pisang goreng buat Ariyyan.


“Bukan. Ingat lagi pisang goreng rangup yang kamu beli minggu lepas? Yang bersalut apa tuh namanya? Yang putih-putih,…halus-halus,..”

“Maksud kang, wijen.”

“Iya. Iya. Pingin yang itu. Yang ada wijennya. Pingin bangat, deh. Bisa tolong beli untuk aku, Bahri?”

“Bisa saja, kang.” Cepat sahaja Bahri menyuarakan kesanggupan. ‘Maunya pisang goreng Kak Diha. Pasti bisa diurusin!’ 


“Nah, ini wangnya,” ujar Ariyyan, menghulurkan sejumlah wang. Tanpa banyak cakap, Bahri memasukkan wang pemberian Ariyyan ke dalam saku kemeja dan terus berlalu pergi. Sementara itu, minda giat merancang sesuatu. ‘Permintaan kang mesti ditunaikan. Sekali merengkuh dayung, biar dua tiga pulau terlampau. Ini masa paling sesuai,’ monolognya bersemangat. Dia tahu dia kena segera bertindak. 



ARIYYAN sedang bercakap di telefon ketika Bahri tiba semula di Chamar Entertainment. Sejurus terpandangkan Bahri, Ariyyan membuat isyarat tangan agar Bahri menunggunya sekejap. Bahri mengangguk lantas melabuhkan punggung di kerusi.


“Bisa berangkat sekarang, kang?” soal Bahri sesudah Ariyyan menamatkan panggilan. Kadang-kadang pada saat-saat akhir, Ariyyan masih punya tuntutan tugas yang harus dilunaskan. “Udah selesai pertemuan sama Mas Kaka?”


Ariyyan angguk.


“Mana pisang gorengnya, Bahri?” Giliran Ariyyan bertanya apabila dilihat Bahri hanya melenggang. Tiada sebarang bungkusan makanan di tangan. Dia tidak sabar untuk menikmati pisang goreng. Mengalahkan perempuan mengandung pula gayanya mengidam.


“Kita pulang ke rumah terus?” 

“Iya. Aku udah capek nih.”

“Haaa, pisang goreng kang sudah nyampe di rumah,” tutur Bahri. Lensa mata tidak lepas memerhatikan reaksi Ariyyan. Majikannya asyik meneliti paparan skrin telefon.


“Di rumah,..OK. OK.” ucap Ariyyan masih belum betul-betul mencerna kata-kata Bahri. Sebaik sahaja tersedar, dia mengangkat wajah. “Apa, Bahri? Pisangnya di rumah? Lorh, mengapa nggak dibawa ke mari? Akukan lagi di sini.” Pelik Ariyyan memikirkan tindakan Bahri. Ingatnya bolehlah dimakan dalam perjalanan pulang. Ini pisang goreng yang sampai ke rumah dahulu. 


“Err, tadi saya beli pisang di warung sekitar rumah kang. Langsung dihantar ke sana. Nanti kang bisa makan bareng Kak Diha.” Berhati-hati Bahri menyusun ayat. Memang dia membeli dua sisir pisang di gerai berhampiran kawasan kediaman Ariyyan. Cuma pisangnya belum digoreng. Hendak diberi kepada Diha, dia kesuntukan masa kerana terpaksa menempuh jalan raya yang sesak. Dia perlu kembali ke Chamar Entertainment menjemput Ariyyan.


“Kalau begitu ayuh kita pulang.” Gesa-gesa Ariyyan mengemas barang-barang miliknya. Bahri mengambil beg gitar dari tangan Ariyyan dan mereka bersaing menuju ke kereta.


Tiba di rumah, Ariyyan meluru masuk ke dapur. Dia membuka tudung saji. Tiada apa-apa. ‘Mana pisang gorengnya?’ Ariyyan kehairanan.


‘Kok sudah habis dimakan Diha?’ fikir Ariyyan musykil. Mustahil Diha tidak meninggalkan sepotong dua untuk dirinya. Agak lama juga dia terpaku di tengah-tengah dapur itu. Mencari pisang goreng.


Akhirnya langkah kaki diatur menghampiri bilik Diha. Sayup-sayup terdengar suara isterinya bernyanyi riang. Melalui daun pintu yang sedikit terbuka, Ariyyan mengintai apa yang dilakukan oleh wanita itu. Diha leka menaip di komputer riba. Jemari pantas bergerak menekan kekunci keyboard. Ariyyan berdiri di balik pintu buat seketika. Sekadar memerhati tindak-tanduk Diha dalam diam. ‘Begini rupanya keadaanmu saat tinggal sendirian.’ 


Barangkali Diha sedang bersembang dengan Dina atau kenalan di Malaysia. Tidakpun sibuk menulis blog. Dia meneka. Maklum sajalah, seorang blogger. Seraya menaip, Diha menyanyi bait-bait lagu ‘Enigma Mimpi’, lagu ciptaannya yang beralun menerusi speaker komputer riba. 


Susuk misteri yang melatari mimpi-mimpiku,

Hadir bayang yang menghantui jaga,

Sesungguhnya kau benar-benar enigma.


Ariyyan jadi pemerhati bisu. Terhibur menyaksikan aksi Diha yang seolah-olah berduet dengannya. Tampak cukup comel dan manis.


Seleksi lagu berubah. Irama bertukar rentak. Kali ini bukan lagu ARJUNA. Menggoyangkan kepala dan bahu mengikut tempo, Diha bernyanyi ceria. Tiba-tiba, si dia bangkit dari kerusi lalu berjalan ke rak, mencapai sebuah buku. Terpempan Ariyyan melihat penampilan sang isteri. Diha memakai sehelai kemeja T longgar, hanya berseluar pendek. Bahagian paha dan betisnya terdedah. Naluri kelelakian Ariyyan terusik. Dia tidak pernah nampak Diha berpakaian sedemikian. Selalunya Diha mengenakan seluar panjang atau skirt labuh. 


Alunan muzik yang rancak mengajak Diha berdansa. Sambil mata meneliti kandungan buku, Diha terus menari dan menyanyi. Tenggelam dalam dunia sendiri. Ketika berpusing untuk kembali ke meja, barulah dia perasan akan kelibat Ariyyan di depan pintu bilik. Buku di tangan serta-merta terlepas. Tariannya terhenti. Diha mengusap dada perlahan.

 

“Ya Allah! Terkejut saya, Ariyyan! Saya ingat saya seorang diri di rumah ni. Tak sedar awak balik.” 


Sorry. Nggak bermaksud bikin kamu kaget.”


“Kenapa awak balik awal? Dah habis rakaman ke?” Diha bertanya. Lazimnya Ariyyan pulang lewat malam jika ada rakaman di studio. Terasa pijar muka Diha mengenangkan langkah sumbang tarinya yang menjadi tontonan Ariyyan. Entah sudah berapa lama si suami terjengul di situ.


“Pisang gorengnya mana?” 



Terjemahan Kata:

  • cuman - cuma
  • popularitas – populariti
  • proyek – projek
  • wijen - bijan
  • kaget - terkejut


Nota Girang: Jangan lupa pilih watak kegemaran anda. #teamdihaafina atau #teamariyyan


Previous: Bab33-2
Next: Bab34-2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.