DIHA tersenyum sendiri membaca komen yang ditinggalkan oleh Anies pada entri blognya. Anies merupakan antara rakan blogger yang setia datang berkunjung ke ‘Tentang Sesuatu’. Kursor tetikus dihalakan ke pautan blog milik Anies, (Anies and You) lalu diklik. Sudah lama dia tidak membaca perkongsian daripada Anies. Ada entri baharu – Hong Kong: Jamia Mosque.
Diha gemar membaca blog temannya yang seorang itu. Penuh dengan catatan-catatan kembaranya dalam dan luar negeri, ulasan filem-filem yang telah ditonton dan apa yang paling menarik, Anies merupakan peminat nombor satu kelab Liverpool. Diha yang pada asalnya tidak tahu langsung apa-apa tentang bola, mula belajar serba-sedikit mengenai perjalanan juga perkembangan dunia bola sepak melaluinya.
“Eh, bunyi apa tu?” Terkejut Diha apabila telinga menangkap bunyi sesuatu dari ruang tamu. Hanya dia bersendirian di rumah kala itu. Diha cuba memasang telinga. Senyap. ‘Perasaaan aku je kot.’ Dia menyedapkan hati. Baru mata hendak beralih kembali ke skrin komputer, Diha terdengar bunyi lain pula.
‘Ariyyan ke?’ Dia mengagak-agak sendiri. Tidak mungkin. Suaminya telah pun bertolak ke studio setengah jam yang lalu. Atau Ariyyan berpatah balik kerana tertinggal barang? Diha bergerak ke tingkap. Dari tingkap biliknya dia dapat melihat kawasan parkir di hadapan rumah. Kereta Ariyyan tidak kelihatan. ‘Bukan Ariyyan. Ish, kalau bukan dia, siapa?’
‘Ke ada orang ceroboh masuk rumah ni?’ Pelbagai andaian negatif mula singgah di benaknya. Diha menjengulkan kepala dari balik pintu bilik. Mengintai ke luar dengan curiga. Tatkala merasakan tiada siapa di situ, terjengket-jengket dia berjalan menuju ke ruang tamu. Dadanya berdebar-debar. Tiba-tiba, ekor matanya mengesan kilas bayang yang melintas di ruang tamu.
“Ariyyan?!” panggilnya sedikit cemas. Tiada jawaban. Jantungnya berdetak kencang. Segera tangan mencapai sebuah pasu hiasan sederhana besar di meja sisi berhampiran sofa. Itu sahaja yang dia nampak boleh dijadikan sebagai senjata pertahanan.
Diha menanti dalam diam. Ada bunyi lagi. Kali ini datang dari arah dapur. Dia menapak perlahan ke ruang dapur. Belum pun melangkah masuk, satu susuk tubuh yang agak gempal menerpa ke arahnya. Diha menjerit kuat! 'Si penceroboh' turut menjerit! Tersentak dengan kehadiran Diha. Suara mereka bergema memenuhi segenap pelosok rumah. ‘Eh, suara perempuan?!’ Kehairanan sempat bertandang menjengah kotak fikiran.
Dalam keadaan terkejut dia hilang pertimbangan. Pasu di tangan juga terlepas dari genggaman. Diha memejamkan matanya rapat-rapat, bersedia untuk jatuh bilamana tangan orang itu menarik dan memegang lengannya kejap. Dia tidak jadi jatuh. Kedua-dua kakinya tetap berpijak di lantai. Diha melepaskan nafas lega. Perlahan-lahan dia membuka mata.
Di hadapannya kini, berdiri seorang wanita berusia separuh abad. Matanya membulat. Tangan kanannya kejap memegang lengan Diha manakala tangan kiri memeluk erat pasu yang terlepas tadi.
“Aduh, mau copot jantung gue! Kamu ini siapa?” tanya wanita berkenaan. Nafasnya turun naik. Rasa terperanjatnya masih bersisa. Mata memandang Diha dari atas ke bawah. Cuba memastikan siapa gerangan wanita muda yang hampir dirempuhnya. Sepanjang dia berkhidmat di rumah Ariyyan, mereka tidak pernah bersua muka. Malah, dia tidak pernah terserempak dengan siapa-siapa pun di rumah itu kecuali Ariyyan.
“Makcik ni siapa?” soal Diha pula. Dia tertanya-tanya. Pelik. Muncul entah dari mana. Jika dilihat dari gaya dan penampilannya, tidak nampak seperti mempunyai niat jahat langsung.
“Saya Murni. Bisa panggil Bibik Murni. Saya kerja sama Pak Ariyyan. Mengemas dan merapi rumah ini seminggu sekali,” jelas wanita tersebut.
“Oh, Ariyyan tidak beritahu saya pun. Macam mana bibik masuk?” Diha kehairanan. Seingatnya, dia sendiri yang mengunci pintu setelah Ariyyan pergi.
“Pak Ariyyan ada beri bibik salinan kunci. Anak ini keluarganya Pak Ariyyan ya?”
Tidak berfikir panjang Diha mengangguk.
“Namanya siapa?”
“Panggil saja saya Diha, bik.”
Kemudian dihulurkan tangannya mengambil pasu dari tangan Bibik Murni. ‘Mujurlah Bibik Murni sambut pasu ini. Jika tidak, tak pasal-pasal aku dah jahanamkan barang Ariyyan,’ desisnya dalam hati.
“Terima kasih banyak-banyak, bik. Kalau bibik tak pegang saya, pasti saya dah jatuh terlentang. Pasu ni pun mesti dah pecah berderai.”
“Nggak apa-apa. Maaf ya, bibik bikin kamu kaget.” Bibik Murni memohon maaf. Diha ketawa kecil.
“Jangan risaulah, bik. Saya yang kena minta maaf. Saya terperanjatkan bibik juga,” balasnya mesra.
“Dah lama bibik kerja di sini?” soal Diha. Langkahnya menuruti Bibik Murni ke dapur. Bibik Murni kelihatan biasa dengan selok-belok serta susun atur rumah. Dia mengeluarkan cawan dan piring dari dalam kabinet. Seterusnya, dia membancuhkan secawan air teh panas buat Diha.
“Terima kasih,” ucap Diha apabila cawan itu dihulurkan kepadanya. Punggungnya dilabuhkan di atas salah sebuah kerusi yang terletak di hadapan kitchen island. Tanpa disuruh, Bibik Murni memulakan tugas-tugas mengemas.
“Udah hampir setahun, Nak Diha. Bibik diambil bekerja beberapa bulan selepas Pak Ariyyan kematian nyonyanya,” jawab Bibik Murni. Tangannya sibuk mengelap permukaan dapur. “Nak Diha udah bersarapan? Bibik bisa sediakan. Pingin makan apa?”
“Eh, tak perlu susah-susah. Teh ini lebih dari cukup. Pagi tadi saya dah makan roti bakar.”
“Kalau begitu, bibik sambung kerjaannya dulu. Sekiranya Nak Diha pingin apa-apa kasitahu sama bibik ya.”
Diha mengangguk sambil mengukir senyum.
“Nak Diha, ada pakaian kotor yang hendak dicuci? Bibik lagi mahu mencuci pakaian Pak Ariyyan ni.” Bibik Murni mendekati Diha yang sedang leka menonton televisyen.
“Tak ada, bik. Eh, bibik letak sajalah bakul pakaian kotor di bilik dobi. Nanti biar saya yang basuh,” ujarnya. Rasa tidak sedap hati pula menyuruh Bibik Murni membasuh pakaian Ariyyan. Bukankah itu tanggungjawabnya? Sementelahan, Diha sudah biasa melakukan kerja-kerja rumah sendiri, tanpa bantuan sesiapa.
“Aduh, masa sih?! Kan ini kerja bibik. Benar nggak ada pakaian Nak Diha yang mau dicuci?” soal Bibik Murni meminta kepastian.
Diha menggeleng.
“Bik, selalu memang bibik yang basuh baju Ariyyan ke?”
“Iya. Tapi hanya baju harian yang dipakai di rumah. Kalau pakaian yang digunakan ketika manggung, Pak Ariyyan biasanya hantarin ke dobi. Bibik tinggal ngemasin aja pakaian yang telah didobi ke dalam almari,” jelasnya.
“Ohhh.”
“Nak Diha santai aja ya. Bibik ke belakang dahulu,” kata wanita itu sebelum berlalu. Banyak juga kerja-kerja yang dilakukan oleh Bibik Murni. Dia seperti lipas kudung, tangkas mengemas rumah. Meskipun sebenarnya pada pandangan mata kasar Diha tidak ada banyak yang harus dibuat, Bibik Murni bersungguh-sungguh semasa menyiapkan kerjanya.
Lantai bilik air dan dapur disental. Tingkap-tingkap digilap hingga berkilat. Bingkai-bingkai gambar dilap bagi membuang debu. Lantai ruang tamu dimop. Pakaian Ariyyan dicuci, dikeringkan dan kemudian dilipat. Permaidani dan ambal dibersihkan menggunakan pembersih hampagas. Sejak datang tadi, Diha tidak nampak langsung Bibik Murni berhenti berehat walau sebentar. Ariyyan beruntung kerana mempunyai pekerja-pekerja yang berdedikasi dan tidak pandai curi tulang.
“Nak Diha, mahu bibik masak apa-apa untuk makan siang?”
“Tak mengapa, bik. Terima kasih. Lagipun, saya belum lapar lagi. Nanti bila perutnya berkeriuk, pandailah saya masak sendiri,” balasnya. Bibik Murni tersenyum mendengar jawaban Diha. Pak Ariyyan dan ahli keluarganya memang baik-baik. Rendah diri. Senantiasa melayan orang bawahan sepertinya dengan penuh hormat dan mesra.
“Kalau begitu, bibik pamit dulu ya,” ujar Bibik Murni memohon diri. Semua tugas yang perlu dilunaskan sudah selesai.
“Err, Ariyyan bayar upah bibik ikut bulan ke ikut hari?” Diha mengajukan soalan kepada Bibik Murni. Mujur dia teringat tentang duit upah Bibik Murni.
“Pak Ariyyan jelasin mengikut hari. Tiap kali bibik datang mengemas.”
“Oh, berapa upah bibik? Sekejap ya saya ambil duit.” Diha bangun menghala ke biliknya mengambil dompet. Bibik Murni menahan lembut.
“Eh, nggak usah, Nak Diha. Selalunya kapan Pak Ariyyan nggak ada di rumah, dia akan meninggalkan wang upah bibik di bawah pasu ini,” terang Bibik Murni sambil mengangkat pasu bunga kecil di atas meja kopi. Terdapat sejumlah wang berlipat di bawah pasu itu.
“Ini wangnya, Nak Diha. Bibik ambil ya?” Wanita itu meminta kebenaran daripada Diha. Diha pantas mengangguk. Bibik Murni memasukkan wang tersebut ke dalam poket bajunya.
“Bibik pulang dulu ya, Nak Diha. Terima kasih banyak. Sampaikan salam bibik pada Pak Ariyyan,” ucapnya sebelum pulang.
“Insya-Allah. Terima kasih, bik sebab tolong kemas rumah ini. Jalan baik-baik,” pesan Diha sewaktu menghantar Bibik Murni ke pintu. Dia menghulurkan tangannya menyalami Bibik Murni.
“Sampai ketemu lagi,” ucap Bibik Murni. Dia senang dengan Diha yang baru dikenalinya. Meskipun tidak pasti apa hubungan antara Diha dan Ariyyan, dia suka akan wanita itu. Terpikat pada budi bahasa dan sifat rendah dirinya.
JAM dinding berdenting menandakan tepat pukul sembilan malam. Diha yang sedang membaca majalah di ruang tamu menoleh saat terdengar bunyi pintu dibuka dari luar. Ariyyan sudah pulang. Sebaik sahaja ternampak kelibat Diha, dia cuba memaniskan wajah.
“Belum tidur?” tanyanya ringkas.
“Tak mengantuk lagi. Awak nak minum?”
Ariyyan menggeleng. Dia meletakkan barang-barangnya di atas meja kopi. Diangkat pasu kecil, memeriksa duit yang diletakkannya di situ pagi tadi.
“Bibik Murni datang ngemas tadi, ya?”
“Ha ah. Oh, Bibik Murni kirim salam pada awak.”
“Waalaikummussalam,” balas Ariyyan perlahan.
“Awak tak beritahu saya pun. Terkejut saya ada orang dalam rumah. Ingatkan penceroboh,” cerita Diha. Matanya memandang wajah dan tubuh Ariyyan yang lencun dibasahi peluh. ‘Dari mana dia ni?’
“Lupa.” Ringkas jawaban Ariyyan. Sesekali pandangannya disorot memerhatikan tingkah laku Diha yang menyelak-nyelak majalah di tangan. Namun dia tidak berniat melanjutkan perbualan. Tiba-tiba dia terfikirkan sesuatu.
“Bibik Murni ada nanya kamu siapa?” soalnya.
“Dia presumed sendiri saya ahli keluarga awak. Saya iyakan saja. Tak pasti nak jawab apa sebab tak bincang dengan awak lagi.”
“Nggak apa. Nanti aku jelasin sama dia.”
“Awak dari mana ni? Berpeluh-peluh saya tengok.” Diha bertanya.
“Dari gym. Selesai exercise langsung pulang ke sini,” ujar Ariyyan menjelaskan keadaannya.
“Sudah makan?”
Angguk. Dia sibuk membaca mesej-mesej yang diterima. Kemudian, Ariyyan mengeluarkan pengecas telefon bimbit dari dalam laci meja perhiasan. Telefon bimbitnya yang hampir kehabisan bateri segera dicas.
“Ariyyan, saya nak bincang sedikit dengan awak boleh?”
Ariyyan mengangkat muka. Wajah Diha dikerling sekilas sebelum dia duduk di sofa berhampiran isterinya.
“Mau bincang apa? Kamu perlu wang belanja?”
“Eh, tak!” Cepat-cepat Diha menggelengkan kepala. Postur badannya ditegakkan. “Duit yang awak bagi ada banyak lagi. Saya tak belanja sangat pun. Saya nak bincang tentang Bibik Murni.”
“Bibik Murni?” Berkerut dahi Ariyyan.
“Ada apa sama Bibik Murni?” Serius intonasi suaranya. Fokus dan perhatiannya kini pada Diha. Menanti apa yang ingin diperkatakan.
“Saya rasa tak payahlah awak guna khidmat Bibik Murni lagi. Saya kan ada. Saya boleh kemas rumah sendiri.” Diha menyuarakan pendapatnya.
“Nggak apa. Sekurang-kurangnya ada pembantu yang bisa tolong lakukan kerja-kerja di rumah. Kamu nggak perlu repot-repot menguruskan semuanya.”
“Tapi Ariyyan,..bukan ada banyak kerja yang nak dibuat pun. Rumah ni tak bersepah mana. Saya mampu buat semuanya,” kata Diha lagi. Niat di hati sekadar mahu meringankan beban suaminya. Malah itu adalah sebahagian daripada kewajipannya sebagai isteri. Masakan dia tergamak duduk goyang kaki, hanya makan dan tidur sahaja?
“Bibik Murni datang dari keluarga yang susah bangat. Anak-anaknya ramai. Ada yang menuntut di universitas. Ada yang masih sekolah. Jadi mereka perlu biaya besar. Dengan mengemas rumah ini, dia bisa dapat penghasilan tambahan untuk dirinya dan keluarga,” terang Ariyyan.
“Kalau aku berhentikan dia, tentu penghasilannya berkurang. Mana mau tanggung makan minum, bayar kos. Alah, datangnya pun seminggu sekali. Jadi, kalau hari-hari lain kamu mahu buat itu ini, terpulang. Hari bibik datang bekerja, biarin saja dia melakukan kerjanya. Sekurang-kurangnya kita bisa bantu dia,” jelas Ariyyan panjang lebar.
Diha mengangguk tanda akur. Matanya terhala ke wajah Ariyyan tetapi dia tidak menyambung tutur. Melihatkan Diha yang sudah mengunci mulut, Ariyyan bangkit mengangkat punggung.
“Masuk dulu,” katanya sebelum beredar ke bilik.
Pandangan Diha mengekori gerak-geri Ariyyan. Dia terdiam. Dalam hati bertunas rasa kagum terhadap lelaki itu. Satu sisi lain Ariyyan yang baru diketahuinya. Walaupun kejayaan tinggi mencecah langit, kaki Ariyyan lekat kejap di bumi. Tetap ada ruang dalam hidupnya untuk membantu insan lain yang memerlukan.
*Pautan blog Anies - http://aniesandyou.blogspot.my/
Terjemahan kata:
- kaget - terkejut
- copot - tertanggal, gugur
- universitas - universiti
- bayar kos - bayar sewa bilik/rumah