Home Novel Cinta Lelaki Langit Bumi
Bab 30

Lukisan alam tika malam indah nian. Bulan bersinar terang, melimpah cahayanya menerangi bumi. Ariyyan tidak jemu-jemu merenung langit dari beranda. Menghayati gemerlap kilauan bintang-bintang yang bertaburan menata dada langit. Menikmati puputan angin bertiup menghantar segantang nyaman. Begitu mendamaikan.


“Lihat tuh,…di langit.” Suara Marsha menyapa telinga. 


“Kasih dan cintaku padamu laksana bintang-bintang itu,” sambungnya. “Banyak bangat! Mustahil bisa dihitung setiap satu.” Senyuman manis Marsha menyentak kalbu.  “Aku akan tetap setia mencintaimu sampai kapan pun, ayang. Sebagaimana bintang-bintang itu sentiasa memancarkan kemilau meski terkadang dilindung awan atau gelap pekat malam.”


Ariyyan tersenyum bahagia. Wajah kesayangan ditatap lama. Sekonyong-konyongnya, sekelip mata wajah dan susuk berkenaan lenyap. Jika tadi Marsha bagai benar-benar ada di sisi. Jika tadi dia bagai dapat merasakan kehangatan tubuh isteri. Kini semua kosong. Senyap. Sunyi. Hakikatnya dia sendiri. Keseorangan.   


Ariyyan menarik nafas panjang. Dia amat merindui Marsha. Rokok di celahan jemari disedut. Mengharap beroleh secebis tenang. Tiba-tiba dia terbatuk hingga terrhinggut-hinggut bahu dibuatnya. Pantas tangan mengurut-urut dada. Genap tiga hari batuknya berlarutan. Dia lelah. 


Memandangkan batuk tidak langsung menunjukkan tanda-tanda hendak lega, dia segera masuk ke dalam rumah. Lampu dapur dipasang. Dia mencapai botol ubat batuk di atas meja makan. Baru cuba mengatur helaan nafas, dia terbatuk lagi. Berdehit bunyi desahan nafasnya. Mata sudah berair. 


Dia berdehem-dehem, berusaha menghilangkan rasa berpasir yang berkumpul di tekak. Keadaannya yang sebegitu menyukarkan Ariyyan membuka penutup botol ubat batuk. Saat itulah kelibat Diha muncul datang merapati. 


“Mari saya tolong,” tawar Diha. Diambil botol ubat batuk dari tangan Ariyyan lalu dipulas penutupnya. Kemudian, dia menuangkan satu sudu besar ubat batuk lantas menyuakannya kepada Ariyyan. Ariyyan menelan penuh kepayahan.


“Terima kasih,” ucap Ariyyan sebelum bergerak ke ruang tamu. Dia menyandarkan badan di sofa. Batuk masih berterusan. Reda cuma sela beberapa minit. 


Diha yang mendengar pun sakit dada, apatah lagi tuan punya diri. Ariyyan diperhatikan. Matanya kemerah-merahan. Tangan tidak berhenti mengurut dada. Diha melabuhkan punggung di sebelah Ariyyan. Penuh simpati dia mengusap-usap belakang tubuh lelaki itu. 


“Dah melarat batuk awak, Ariyyan. Semalam, tak adalah seteruk ini.”


“Hmm. Obat udah hampir satu botol kutelan. Batuknya kae gini juga,” ulas Ariyyan parau.


“Ya Allah, suara awak pun dah serak. Saya telefon Bahri ye. Kita ke rumah sakit.”


Ariyyan menggeleng. 


“Nggak usah. Sikit aja,” tuturnya diselangi batuk. Ariyyan berdehem  kuat. Bagai ada sesuatu yang dirasakan tersangkut di anak tekak. Gatal bukan main. 


“Sikit apa? Sejak tadi saya dengar awak batuk tak berhenti. Makin teruk sakit awak ni.” Tangan Diha masih mengurut belakang Ariyyan. 


“Kita ke rumah sakit ye. Sekurang-kurangnya doktor boleh bagi antibiotik,” Diha memberi saran. “Lebih cepat awak sembuh.”


“Nggak mau!” Ariyyan berkeras. Enggan dibawa berjumpa doktor.


“Kalau awak tak nak ke rumah sakit, biar saya yang rawat awak,” putus Diha bertegas.


“Nggak perlu! Pergi!” Angin tidak baik sudah menjelma. Ariyyan ingin ditinggalkan sendirian. Badan dianjakkan ke hadapan, mengelak tangan Diha yang sedari tadi menggosok-gosok belakangnya. 


Jauh di sudut hati, dia tidak selesa mendepani layanan Diha yang terlalu mengambil berat. Dalam keadaan sakit sedemikian, jiwanya sangat rapuh. Khuatir andai sewenangnya di luar sedar dia membenarkan perasaan terhadap Diha hadir subur menghuni ruang sanubari. 


“Pergi!” Buat kesekian kali Diha diusir.


“Janganlah macam ni, Ariyyan. Awak batuk sampai nak tercabut anak tekak dah. Tak perlulah halau-halau saya. Saya risau tengok awak begini,” luah Diha. Sedikit terkilan apabila dihalau Ariyyan dengan kasar. Ariyyan bilamana diserang angin murungnya memang bertukar jadi sedingin-dingin manusia. ‘Orang ambik berat pun salah ke?’

“Udah kubilang aku nggak apa-apa. Belum mau mati dong,” tingkah Ariyyan berdegil. Namun, nadanya kian mengendur. Kasihan pada Diha. Terkebil-kebil mata disergah. Ariyyan tahu dia tidak wajar menghalau dan memarahi wanita itu. Dia malas kecoh-kecoh jika sakit tidak seberapa. Lagipun, semenjak ketiadaan Marsha, sakit peningnya semua dihadap seorang diri. Tidak dambakan siapa-siapa.


“Memanglah belum nak mati lagi. Sebab tu kena rawat batuk tu. Kalau dah mati tak payah pergi rumah sakit, pergi rumah mayat!” Laju baris-baris ayat keluar dari mulut Diha tanpa berjaya dikawal. Geram mengenangkan sikap kepala batu Ariyyan. Menyedari kelancangannya, Diha lekas-lekas menutup mulut.


Sorry.” Permohonan maaf dizahirkan. Rasa bersalah menghimpitnya.


Ariyyan melempar renungan tajam. Diha terkedu. Bersedia menerima serangan balas Ariyyan tetapi si dia tidak memberi sebarang reaksi. ‘Dah terkena batang hidung sendiri lah tu,’ Diha bermonolog. Dia meraikan kemenangan. Sekadar dalam diam. Suasana hening seketika.


“Awak pernah buat X-Ray tak?” soal Diha. Bimbang Ariyyan tersinggung dengan kata-katanya. Tidak pasal-pasal dia berdosa pada suami.

“Apaan nih? Apa maksudmu?” Ariyyan kehairanan. Mata memandang Diha. Tidak ada angin tidak ada ribut, bertanya tentang X-ray pula. Berkerut dahinya menahan batuk.


“Imbasan X-Ray awak tu gambar tulang ke besi?” Diha tidak menghiraukan soalan-soalan Ariyyan.


“Tulanglah! Aku kan manusia!” jawab Ariyyan jengkel. Soalan-soalan pelik Diha menjadikan kerongkongnya bertambah gatal. Sekali sekala mata mengerling Diha di sebelah.

 

“Hmmm. Tau pun. Jadi sejauh mana awak fikir yang awak tu manusia besi,...man of steel ke,... awak kena akur, Ariyyan. Awak mesti rehat,” celotehnya memujuk sambil menepuk lembut paha kiri lelaki itu. 


“Tapi,..macam mana nak rehat batuk tak berhenti macam ni? Sekejap ye.” Diha bangkit menuju ke dapur. Dia mengambil segelas air suam. Diberikan gelas itu kepada Ariyyan.


“Awak minum air suam ni dulu. Nanti saya prepare something untuk kurangkan batuk awak.” 


Ariyyan tidak membenakan Diha. Gelas dihulurkan tidak disambut. Berharap Diha segera berlalu, dia pura-pura membaca majalah yang disambar dari atas meja kopi. Melihatkan kerenah keras kepala Ariyyan,  Diha menyuakan gelas air suam ke mulut suaminya. Hendak tidak hendak Ariyyan terpaksa minum.


“Udah. Nggak mau. Tadikan aku sudah makan obat,” rengusnya. Berdongkol hati diperlakukan sebegitu.


Diha hanya senyum. Tidak membalas sebaliknya dia langsung ke dapur. Mahu menyediakan penawar batuk buat Ariyyan. Dia mencapai sebiji lemon dan mengupas seketul halia. Seterusnya, dia mendapatkan sebotol madu asli dari para-para kabinet dapur. 


Lemon dan madu adalah antara ramuan penting home remedy. Diha sentiasa memastikan dua bahan ini tersedia di dapurnya. Bagi meredakan batuk, buah lemon dan halia dibasuh bersih-bersih sebelum dihiris halus memanjang. Setelah itu, kesemua bahan hirisan dimasukkan ke sebuah balang kecil yang berisi beberapa sudu madu. Diha menggoncang-goncangkan balang tersebut supaya ketiga-tiga ramuan tergaul sekata.


Satu sudu besar campuran madu dilarutkan dengan air suam. Jika ubat batuk yang diambil oleh Ariyyan tidak mujarab, mungkin air campuran madu mampu melegakan sakitnya.


“Nah, awak minum air ni sampai habis ye. Baik-baik. Panas nih,” kata Diha, menghulurkan mug berisi campuran air madu, halia dan lemon kepada Ariyyan.


Ariyyan menoleh sekilas kemudian matanya kembali membaca majalah di tangan. ‘Mmm, tak habis-habis angin lintang dia tu,’desis Diha.


“Nak saya suapkan lagi ye?” Duga Diha. Dia duduk di sisi Ariyyan dan merapatkan mug ke wajah lelaki itu. Dia tahu Ariyyan tidak suka akan tindakannya. Ariyyan mendengus. Rela dalam paksa, mug bertukar tangan. Lantas air diteguk perlahan. Lambat-lambat. Diha setia menunggu Ariyyan menghabiskan minumannya.


“Udah. Puas hati?!” tempelak Ariyyan, mengembalikan mug kosong ke tangan Diha. Dia menjeling tajam. Muka masam mencuka. Hati sebal disuruh berbuat itu ini.


Diha angguk. Senyum lebar. Lucu menyaksikan telatah Ariyyan. Muncung mulut boleh simpul guna tali! ‘Ariyyan kalau sakit, ragamnya mengalahkan budak-budak. Degil pulak tu!’


“Awak nak tidur di sini ke?” 


Angguk.


Diha membetulkan bantal Ariyyan. Kusyen-kusyen di atas katil sofa dialihkan ke tepi, mengadakan ruang yang lebih  lapang untuk suaminya berbaring. 


“Tak nak masuk bilik?” Diha meminta kepastian kala melihat Ariyyan ibarat sudah berkampung di situ bergelimpang dengan bantal dan selimut tebal.


“Sini aja. Malas mau gerak,” balas Ariyyan sambil menarik kain selimut ke paras dada. Dia mahu cepat-cepat meruyupkan mata. Rimas dihujani kebaikan Diha yang tidak putus melayannya penuh sabar. 


“Nanti! Angkat baju awak tu.”


“Hah?!” Bulat mata Ariyyan mendengar permintaan Diha. ‘Mengapa pula perlu angkat-angkat baju? Benaran nih!’


“Saya nak sapukan minyak ni kat dada awak sebelum awak tidur,” terang Diha seraya menunjukkan sebotol minyak. Ariyyan meneliti botol minyak tersebut.


“Apaan sih? Kamu jangan neko-neko, Diha. Aku nggak tahan bau minyak yang pelik-pelik!” tegahnya. 


“Ini minyak cajuput lah, Ariyyan. Minyak kayu putih. Elok untuk batuk awak. Boleh bantu cairkan kahak. Bau sedap apa. Nah, cuba hidu dulu!” saran Diha. Dia membuka penutup botol minyak dan melalukannya berhampiran hidung Ariyyan. 


Kendatipun dilatari sangsi, Ariyyan tetap menghidu minyak yang diunjukkan. Dia mengangkat wajah memerhatikan Diha. Wanita di hadapannya ini seolah-olah miliki saku ajaib Doraemon. Krim mata, ubat titis, minyak aromaterapi, minyak cajuput,...ada sahaja benda di tangan!


“OK kan?” 


Ariyyan mengangguk mengiakan. Tanpa bicara, dia mengangkat baju ke paras leher. Membiarkan Diha menyapukan minyak cajuput pada dada. Ariyyan tidak dapat menidakkan, wujud getaran kecil  di hati semasa telapak tangan halus Diha menyentuh dada. Dia rasa disayangi. Terbuai, runtuh tembok egonya. Ariyyan ingin dibelai dan terus dimanjakan Diha. Tiba-tiba akal budi berteriak kuat, ‘Diha bukan Marsha! Diha bukan Marsha!’ 


Secepat kilat tangannya memegang tangan Diha. Menghentikan perlakuan si isteri. Diha tersentak apabila dengan tidak semena-mena pergelangan tangan dipegang kejap oleh Ariyyan.


“Kenapa?”


“Cukup.” Sepatah jawaban daripada Ariyyan.


“Sikit lagi, Ariyyan. Biar dada awak lapang.” Lembut nada suara Diha memujuk. Ariyyan melepaskan tangan Diha. Mengalah. Dia memejamkan mata. Benci digelumangi pertarungan perasaan yang melanda dirinya sekarang ini. Dia lelah terpenjara bak banduan dalam minda sendiri.


“Sapu belakang juga ye.” Kata-kata Diha memaksa Ariyyan membuka mata. Tiada tutur. Namun, dia mengubah posisi agar bahagian belakang tubuhnya menghadap Diha. Apa juga yang dilakukan Diha sedikit sebanyak membantu keadaannya. Sapuan minyak cajuput di dada dan belakang badan membuatkan dia selesa. Pernafasannya mula lancar. 

“OK. Dah boleh bobok,” ucap Diha. Dia bingkas lalu menyusun kedudukan bantal Ariyyan supaya lebih tinggi. Ariyyan membaringkan tubuh. 


‘Makasih.’


“Sama-sama. Perlukan apa-apa panggil saya ye,” pesan Diha. Ariyyan cuma mengangguk. Diha ke dapur, mengemas apa yang patut. Selepas beberapa minit, dia menjenguk Ariyyan. Sudah tertidur. Nyenyak tidak terkutik. 


Diha terpana melihat air muka si suami. Tanpa kerut. Tanpa riak marah. Tanpa riak serius. Wajah yang bebas tekanan. Umpama tiada perkara berat yang mengasak fikiran. Menatap sebujur wajah tenang tanpa ekspresi itu, dia terdetik melakukan sesuatu. Lantas Diha ke bilik. Dia mengambil kamera miliknya. Senyap-senyap lensa kamera dihalakan ke arah Ariyyan. Wajah tidak beriak Ariyyan yang sedang lena dirakam. "Suatu hari  nanti, awak akan OK," bisik Diha yakin. Paparan gambar Ariyyan di skrin LCD kamera ditatap lama.



SEAWAL pagi Ariyyan bersiap-siap untuk ke studio. Diha masih di bilik saat dia meninggalkan rumah. Sengaja tidak diberitahu Diha akan kepergiannya. Dia tidak mahu menyusahkan Diha. Tambahan pula, dia bimbang Diha menyuruhnya bercuti dan berehat di rumah. Kerja menimbun di studio bakal terbengkalai.


“Wah, udah sihat! Semalam kondisi loe kae diketabrak mobil!” sapa Bima ceria sebaik sahaja ternampak kelibat Ariyyan. Pagi itu mereka berdua harus selesaikan susunan muzik lagu yang telah lama tertunggak. Harus disiapkan dengan kadar segera.


Usikan Bima mengundang senyum Ariyyan. “Cari gara-gara loe ya.” Bahu temannya dipukul mesra.


“Batuknya gimana?”


“Udah kurang,” kata Ariyyan, spontan mengusap dada.


“Obat apa loe makan, Ri? Mujarab bangat deh! Kalau tidak kok mengokol-ngokol terus kae nggak mau berenti.”


“Obat mujarab,” ujarnya ringkas.


“Oh, ini pasti minta manja sama Diha nih. Benar kan?! Ngomong sama gue dong,” giat Bima mengorek rahsia. 


“Udah deh! Waktu untuk kerja,” pintas Ariyyan. Malas mengendahkan kerenah Bima yang sering mengusik setiap kali melibatkan Diha. Bima ketawa besar.


“Nggak salah kan,...”


“Yuk! Nih kerjanya lumayan mau disiapin,” ajak Ariyyan melangkah masuk ke bilik rakaman. Bima menurut dari belakang.


Sepanjang di studio, Ariyyan teringat bagaimana bersungguh-sungguh Diha menjaganya malam tadi. Ariyyan tidak menyangka si isteri turut tidur di ruang tamu. Menemaninya. Sewaktu tidur terganggu dek batuk pada dinihari, Diha yang melelapkan mata di atas chaise lounge berdekatan gesa-gesa bangun. Pantas dia membancuhkan segelas air campuran madu untuk diminum. Setelah itu, dia menyapukan minyak cajuput ke dada serta belakang Ariyyan. Hanya apabila menjelang waktu Subuh baru Diha beredar masuk bilik.

 

Ariyyan paling tidak menyangka, air campuran madu, halia dan buah lemon berkesan merawat batuknya. Dia tidak lagi terbatuk-batuk. Tekak pun tidak segatal semalam. Kalau diikutkan kedegilannya, tentu batuk berlanjutan ke hari ini.


“Memanglah belum nak mati lagi. Sebab tu kena rawat batuk tu. Kalau dah mati tak payah pergi rumah sakit, pergi rumah mayat!” Terngiang-ngiang suara Diha meleterinya. Pandai pula si Diha marah. Selalunya wanita itu diam beralah.


Ariyyan tersenyum memikirkan kelakuan Diha yang tampak comel tika mengekspresikan marah. Bagai ingin dicubit-cubit sepasang pipi mulus itu. Sejenak dia tersedar. Lamunan harus dicantas sebelum sempat bercambah. Imej Diha terus hilang. Ariyyan mengeluh. Bukan dia tidak menghargai Diha. Bukan juga tidak menghormati sang isteri. Tetapi, pendiriannya teguh tidak berubah. Sebarang perasaan istimewa terhadap Diha tidak boleh bertunas dalam diri! Titik.


Previous: Bab29-2
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.