Home Novel Cinta Lelaki Langit Bumi
Bab 7

ARIYYAN menyandarkan kepala dan badannya di sofa. Kedinginan penyaman udara ruang pejabat Armand tidak berjaya walau sekelumit pun menenangkan jiwanya. Minda dan hati sibuk memikirkan wasiat Marsha sedalam-dalamnya.


Sesungguhnya, Ariyyan jadi pening mengenangkan bagaimana dia hendak memperisteri Diha. Mencintai insan lain yang bukan Marsha. Dia 120% pasti yang antara dia dan Diha langsung tidak ada keserasian. Melalui apa yang diceritakan oleh Armand, Diha hanya seorang gadis biasa. Tiada apa yang istimewa boleh menambat hatinya. Pada usia 27 tahun, masih memilih untuk hidup sendiri. Tidak berteman. Malah kerjanya juga tidak menentu.


Menurut pandangan peribadi Ariyyan, individu seperti ini mempunyai jiwa bebas yang sukar ditelah. Golongan yang bekerja sendiri tidak suka terikat dengan komitmen. Mereka selalunya punya pemikiran dan pendapat lain, yang bercanggah dari kebiasaan. Mahu mencorak kehidupan mengikut rentak dan cara mereka. 


Tidak keterlaluan rasanya jika dia menganggap Diha sebagai seorang yang tidak punya rancangan masa depan. Umur sudah hampir mencecah tiga dekad tetapi tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap. Bekerja dari rumah? Kerja apa? ‘Berapa sangat wang yang bisa diperoleh dengan menulis blog dan rencana di majalah?!’ desisnya.


Gadis itu seperti tidak ada matlamat hidup. Tiada pelan jangka panjang. ‘Mungkin sekarang dia tidak memerlukan banyak wang untuk biaya diri sendiri. Tetapi gimana sepuluh dua puluh tahun akan datang? Biaya perubatan? Biaya kos kehidupan? Dunia hari ini, semua hal perlu punya wang. Gimana dia dapat menampung kehidupannya?’ monolog Ariyyan dalam hati.


‘Usah terlalu bertanggapan negatif terhadapnya. Mana tahu dia seorang yang mandiri. Bijak mengatur hidup. Nggak ada salahnya kan?’ Tiba-tiba minda Ariyyan mengajaknya berasional. Pantas dia menggelengkan kepala. Sangka baiknya pada Diha segera diusir. Dia mengeluh.


Penampilan Diha juga terlalu ringkas. Pada pertemuan pertama mereka, gadis itu hanya mengenakan sehelai blaus berbunga kecil, sepasang seluar berwarna gelap dan bertudung. Tiada sebarang perhiasan atau barang berjenama di tubuhnya. Wajah pula dibiarkan kosong tanpa olesan alat solek. Kalau adapun mungkin sekadar solekan nipis. 


‘Bisakah dia menyesuaikan diri dengan kehidupanku di sini?’ Menjadi isteri kepada penyanyi sepertinya tidak mudah. Setiap apa yang mereka lakukan senantiasa menjadi perhatian. Baik ketika pergi makan di luar, tengok wayang mahupun bersiar-siar. Setiap kali keluar rumah, mereka tidak lepas dari tumpuan lensa kamera. Belum campur dilanda gosip-gosip lagi. 


Dahulu, semasa awal pembabitannya dalam bidang muzik, ketika ARJUNA baru mencipta nama, pelbagai gosip sering mengocak keharmonian rumah tangganya dengan Marsha. Mujurlah Marsha seorang yang pandai bertoleransi dan mudah dibawa berbincang. Malah, Marsha amat memahami tuntutan kerjayanya yang perlu selalu membuat persembahan di luar kota.


Sebaris senyum menghiasi wajah keruh Ariyyan tatkala mengenangkan arwah isterinya. Marsha bijak menyesuaikan diri dalam meniti kehidupan sebagai golongan selebriti. Dia sentiasa menjaga penampilan, pandai bergaul dengan wartawan dan peminat. Semua itu bukan boleh dibina dalam sehari dua. Kebijaksanaan Marsha mengatur hidup sebagai isteri seorang selebriti adalah berdasarkan pengalaman bertahun-tahun. ‘Mahu buat gimana? Mahu pakai apa ke majlis itu? Gimana mau dilayan peminat yang datang menyerbu? Gimana menjawab soalan panas wartawan?’ Semua itu ditimba sedikit demi sedikit sejak Ariyyan mula bergelar artis hingga kini. 


Diha kena bersedia untuk menangani kesemuanya. Bagaimana jika dia tidak betah? Bagaimana seandainya dia tidak mampu?


“Loe sudah sedia, Ri?” Soalan Armand mengganggu dialog Ariyyan dengan akalnya. Ariyyan buntu. Marsha dan Diha ialah dua insan yang betul-betul bertentangan. Tidak sama. Bukan sahaja dari segi penampilan dan ciri fizikal malah gaya pemikiran mereka juga turut berbeza. Dia tidak nampak walau satu titik persamaan pun yang wujud  antara kedua-duanya.


“Ariyyan,...” Sekali lagi nama Ariyyan dipanggil.


Ariyyan menarik nafasnya dalam-dalam sebelum menganggukkan kepala. Hari itu sekali lagi dia akan bersua dengan Diha. Pertemuan empat mata yang bakal menentukan segala-galanya.




“JADI, kamu nggak tahu langsung mengenai hal ini sebelum ini?” Serius Ariyyan mengajukan soalan kepada Diha yang duduk di hadapannya. Gadis itu tampil ringkas seperti beberapa hari lepas. Sekadar mengenakan sepasang baju kurung tanpa corak berwarna biru gelap dan dipadankan dengan tudung berbunga kecil dari tona warna yang sama. Sempat Ariyyan melirik ke pergelangan tangan kiri Diha. Hanya seutas jam tangan biasa bertali putih. Tiada gelang atau rantai tangan. Jemarinya juga kosong tanpa sebarang bentuk cincin.


“Tidak. Melalui rakaman videonya pun, arwah tidak mendedahkan siapa suaminya. Saya baru tahu yang awak ni suami arwah Marsha masa kita jumpa tempoh hari.” Tenang sahaja Diha menjelaskan kepada Ariyyan. Matanya menangkap kilas renung Ariyyan yang sejak tadi memerhatikan penampilannya. Meskipun tidak selesa dipandang sedemikian, Diha cuba untuk buat tidak peduli.


“Tapi, kamu sedia maklum yang Marsha sudah bersuami? Sudah berkeluarga?” tanya Ariyyan lagi. Dia ingin tahu dengan lebih jelas sejauh mana keakraban antara Marsha dan gadis itu.


Angguk.


“Sepanjang kami berkawan, sekalipun dia tidak pernah beritahu yang awak ni suaminya. Maksud saya, bukanlah Marsha sembunyikan tetapi lebih kepada kami tak berbincang lanjut tentang awak. Apa pekerjaan awak pun dia tak cerita. Saya cuma tahu awak sibuk dan selalu bertugas di luar kota,” balas Diha sejujurnya. 


Selama ini perkara itu tidak menjadi masalah langsung buatnya. Apa yang sudi dikongsikan oleh Marsha, dia akan dengar dan terima dengan hati terbuka. Jika Marsha tidak mengulas sesuatu perkara dengan panjang lebar, sekadar di situlah batas perkongsian mereka. Diha juga begitu. Baginya itu sesuatu yang normal. Setiap insan perlukan sempadan privasi untuk diri masing-masing.


“Apa sebenarnya janji kamu sama Marsha? Apa yang Marsha pingin kamu lakukan? Kenapa kamu bersetuju untuk tunaikan permintaannya?” Tiga soalan yang diutarakannya itu menuntut jawaban segera.


“Saya perlu terima awak sebagai suami saya.”


“Itu aja? Kamu ngerti kan ini perkara besar?! Masakan kamu bisa terus bersetuju? Mengapa? Ada apa di sebalik semua ini? Cerita sama aku,” pinta Ariyyan.


“Err,..saya tak boleh nak jawab semua soalan awak tu. Apa janji saya pada Marsha, biarlah strictly antara saya dan Marsha je,” jawab Diha lembut namun ada nada tegas dalam suaranya. Masakan Diha hendak kongsikan permintaan Marsha dengan Ariyyan! 


‘Lagipun nak susun ayat macammana? Marsha suruh saya kembalikan passion awak pada muzik. Saya perlu bantu awak untuk terus hidup. Dia tinggalkan saya satu rakaman video panjang yang penuh sarat dengan pesan-pesan agar saya dapat menjaga awak dengan baik. Macam tu?!’ Ishh, pasti tercabar ego lelaki itu nanti! Belum apa-apa, misinya untuk membantu Ariyyan akan kandas sebelum sempat bermula.


Ariyyan memandang Diha lama. Kemudian, fikirannya dibawa pergi merentas masa lampau, saat Marsha sedang tenat di pembaringan. Isterinya meminta dia menunaikan sesuatu. Tatkala ditanya apa permintaannya, Marsha mensyaratkan agar Ariyyan berjanji terlebih dahulu. Berjanji bahawa Ariyyan akan mencuba sedaya-upaya untuk memenuhi permintaannya. Memandangkan keadaan Marsha yang semakin tidak bermaya, Ariyyan tidak berfikir panjang lantas terus bersetuju.


“Ayang,...ayang perlu lakukan sesuatu untuk aku,” bisik Marsha ke telinga Ariyyan sewaktu dia membetulkan kedudukan bantal isterinya.


“Gimana? Nyaman?” 


Marsha mengangguk sambil tersenyum. Ariyyan mencium dahi isterinya. Kemudian, dia duduk di sisi Marsha. Wajah isterinya ditatap buat seketika. Tangan kiri Marsha diraih. Jemarinya diusap-usap perlahan. Setelah itu, Ariyyan mengucup lembut setiap jari isterinya.


“Apa keinginanmu, sayang?”


“Aku akan beritahu kapan tiba masanya. Tapi,...”


“Tapi apa?”


“Janji sama aku, yang ayang akan tunaikan permintaan terakhirku ini,” ucap Marsha dalam kepayahan. Dia menyentuh wajah Ariyyan. Ariyyan menggenggam erat tangan Marsha. Saat itu pandangannya sengaja dijatuhkan ke bawah. Tidak sanggup untuk menentang sinar mata Marsha yang sarat dengan pengharapan itu. Hatinya pilu mendengar ‘permintaan terakhir’ yang diungkapkan Marsha.


“Ayang,...” Suara Marsha sudah seakan merayu.


“Apa permintaanmu?” Jika boleh, setiap kehendak isterinya ingin ditunaikan segera. Dia ingin terus menggembirakan Marsha selagi mampu. Selagi ada masa yang tersisa buat mereka bersama.


“Akan ku khabarkan nanti. Janji sama aku, ya. Kapan tiba masanya, ayang akan bantu aku melaksanakannya,” Marsha bersuara lirih. Sedaya upaya dia cuba menyampaikan kepada Ariyyan supaya menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang serius. Bukan main-main.


“Insya-Allah, sayang. Dengan seluruh cinta dan kasihku padamu, aku berjanji akan coba menunaikannya. Kegembiraan dan kebahagiaanmu sentiasa menjadi keutamaanku. Usah khuatir, deh. Selama ini aku nggak pernah mungkir janji kan,” ucap Ariyyan sepenuh hati. Dikucup dahi Marsha lama,  meyakinkan si isteri akan kasihnya yang tidak berbelah bagi. 


Namun, tidak diduganya, Marsha pergi tanpa sempat memberitahu apa hasrat terakhirnya. Ariyyan sendiri sentiasa hidup dalam tertanya-tanya. Dari hari ke hari, dia cuba meneka apa keinginan Marsha pada saat-saat akhir nafasnya tetapi kerapkali menemui jalan buntu. Hanya setelah setahun lebih Marsha tiada, barulah Marsha menceritakan permintaannya yang perlu ditunaikan. Melalui sebuah rakaman video, Marsha meminta agar dia menikahi Diha. 


Saat melafaz janji, langsung tidak terjangkau dek akalnya yang hajat Marsha itu memerlukan dia untuk berkahwin lain. Hidup bersama suri baru yang menggantikan tempat si cinta hati.


“Ini permintaan terakhirku, ayang. Ayang telah pun berjanji untuk menunaikannya.” Terngiang-ngiang suara Marsha di telinga. Ariyyan mengeluh buat kesekian kali.


‘Apa sebenarnya permainanmu, Marsha?’


Ariyyan memandang Diha semula. Gadis bertubuh kecil itu diam menantikan reaksinya. Badannya disandarkan ke kerusi. Minuman di hadapannya tidak disentuh. Ariyyan dapat mengagak perkara tersebut juga bukan sesuatu yang mudah buat dirinya. Sesekali Diha kelihatan hanyut dalam lamunannya sendiri. Ada kalanya si dia seperti sedang mempertimbangkan sesuatu.


“Jadi kamu setuju untuk tunaikan permintaan Marsha? Kamu bersedia kalau kita teruskan semua ini?” soalnya menagih kepastian. Ekspresi wajah dan setiap bahasa tubuh gadis itu tidak lepas dari pandangannya.


“Insya-Allah.” Meskipun Diha mengambil masa yang agak lama untuk menjawab, kalimah itu dilafazkan dengan yakin.


“Kamu tahu kan yang kamu bakal persetujui ini adalah untuk lalui sebuah perkahwinan? Sama aku. Gimana kalau sampai kapan pun aku nggak bisa mencintai kamu?” Terpacul jua soalan yang sedari awal mengasak minda. Ariyyan perlukan jawaban untuk itu. Dia tidak mahu Diha menaruh harapan tinggi, terlalu mendamba kasih dan cinta sedangkan kasih dan cintanya utuh buat Marsha. Untuk Marsha seorang.


“Di pihak saya, saya akan reda. Cinta tidak tercipta untuk semua orang. Lagipun, perkahwinan ini sama seperti bab kehidupan kita yang lain. Sebuah percaturan. Dan saya bersedia untuk ambil risiko itu.” Pasrah luahan kata-kata yang keluar dari mulut Diha. Pengalaman silamnya membuatkan dia tidak terlalu taksub mengejar cinta. Cinta boleh datang dan pergi sekelip mata. Bukankah cinta terhadap Yang Satu adalah yang utama?


“Talak di tangan awak, Ariyyan,” baris akhir tuturnya membuatkan Ariyyan tersentak.


“Tapi,...” Ariyyan seperti kehilangan kata. Apa yang berlaku sebenarnya? Belumpun mereka melayari rumah tangga, sudah berbicara mengenai talak dan cerai! Fikirannya berbelah bahagi. Namun, dia nekad menunaikan impian terakhir Marsha. Jauh di sudut sanubari dia juga ingin meneruskan hidup seperti dahulu. 


Ariyyan sedar dia seharusnya membetulkan niat hati. Sebuah perkahwinan terlalu mulia ikatannya. Tidak boleh diambil ringan atau dipandang enteng semata-mata untuk merealisasikan hasrat arwah isteri. Perkahwinan itu bukan sahaja melibatkan dirinya, tetapi juga kehidupan dan hati seorang insan lain.


“Aku mohon maaf siang-siang sekiranya aku nggak bisa menjadi suami yang baik buat kamu. Aku harap kamu sabar. Aku perlukan lebih masa.” Sepasang mata milik gadis itu ditenungnya. Biar gadis itu benar-benar faham apa yang cuba disampaikannya.


“Apa yang bakal kita lalui,...” kata-kata Ariyyan terhenti. Dia berdehem beberapa kali. Cuba mencari kekuatan diri.


“Maksudku, perkahwinan ini tidak akan menjadi sesuatu yang mudah. Sejujurnya, aku belum siap,..belum sedia untuk mulakan hidup baru dengan sesiapa. Tapi, aku akan coba seikhlas mungkin untuk hidup sama kamu,” sambungnya lagi.


“Saya pun belum bersedia untuk jadi isteri kepada lelaki seperti awak, Ariyyan. Hidup kita jauh berbeza. Saya sendiri tidak sempurna masakan saya mengharapkan kesempurnaan daripada awak. Saya harap awak boleh tegur dan bimbing saya.” Sepatah demi sepatah Diha mengatur bicaranya.


Ariyyan angguk. Lama juga dia mendiamkan diri. Pandangan dijatuhkan ke bawah. Dia bertimbang tara dengan pilihan yang bakal dibuat. 


“Bismillahirrahmanirrahim.” Ariyyan mengambil nafas dalam-dalam.


“Diha ‘Afina Affendi, sudikah kamu menjadi isteriku dan menerima aku sebagai suamimu seadanya aku?” Terluah untaian ayat berbentuk lamaran buat si dia. Pandangannya terus tertumpu pada Diha. Menanti kata putusnya. Menantinya bersuara.


“Bismillahirrahmanirrahim. Insya-Allah. Saya sudi.”



Terjemahan kata:

  • nyaman - selesa




Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.