Home Novel Cinta Lelaki Langit Bumi
Bab 17

PETANG itu, selepas  menunaikan solat Asar, Diha keluar ke ruang tamu. Dia ingin menonton televisyen sekadar mengisi masa yang terluang. Waktu sebegitu lazimnya ada drama bersiri dan rancangan masakan yang ditayangkan. Diha menghala ke dapur terlebih dahulu. Beberapa hari lepas, dia ada membeli kerepek ubi pedas. Bolehlah dimakan sambil menonton. 


Langkah kaki terhenti sebaik sahaja ternampak kelibat Ariyyan yang sedang menikmati nasi goreng di meja makan. Si suami tidak menyedari kehadirannya. Lama Diha kaku di muka pintu dapur memerhatikan Ariyyan. Sesuap demi sesuap nasi goreng disudukan ke mulut. Sekilas pandang, nampak berselera benar Ariyyan makan. 


‘Mesti dah lapar sangat tu,’ desis Diha. Namun seperti biasalah, apabila diamati, hanya jasadnya di situ. Fikiran lelaki itu menerawang entah ke destinasi mana. Pandangan dilempar kosong. Tiada berarah.


Sementara Ariyyan tidak perasan akan kewujudannya di ruang itu, cepat-cepat Diha berpatah balik. Membuatkan Ariyyan terganggu dengan kehadirannya adalah sesuatu yang benar-benar perlu dielak. Biarlah suaminya tenang mengisi perut. 


Setengah jam kemudian, Diha keluar semula. Ariyyan tiada lagi di dapur. Diha mengangkat tudung saji. Alhamdulillah. Nasi goreng di dalam pinggan tadi dihabiskan. Yang di dalam mangkuk pun telah luak. “Memang betul-betul lapar ni,” omel Diha.


Lega hati mengenangkan Ariyyan makan banyak. Sekurang-kurangnya, perut diisi. Tidaklah mengundang sebarang penyakit nanti. Usai makan, Ariyyan mencuci sendiri pinggan dan gelas yang digunakan. Pinggan dan gelas dikeringkan di atas rak pinggan di tepi sinki. 


Diha segera mengemas meja kopi. Lontong dimasukkan ke dalam bekas makanan dan disimpan di dalam peti sejuk. ‘Kasihan, Ariyyan. Semua yang ada kaitan dengan Marsha menjadi kepantangan. Termasuk makanan dan minuman kegemarannya,’ fikir Diha. 


Beberapa ketul ais dari peti dingin beku diambil. Diletakkan ke dalam mug air teh susu yang tidak disentuh Ariyyan. Diha tersenyum kecil. ‘Treat untuk diri. Teh ais penghilang dahaga.’ Melabuhkan punggung di atas sebuah kerusi di hadapan kitchen island, minumannya diteguk perlahan penuh nikmat.


Lapar datang menggigit perut. Diha mencapai sudu dan pinggan. Disenduk baki nasi goreng yang ada ke pinggan lalu mula menjamah hidangan. Sejenak, Diha terkenangkan keluarganya di Kuala Lumpur. Dia merindui masa makan bersama Dina, Fahim dan Hakeem. Selalunya waktu makan mereka riuh dan meriah. Tika itulah, masing-masing berpeluang berkumpul sebagai satu keluarga. Bertanya khabar, bertukar cerita. 


Sesudah itu, Diha mengeluarkan bahan-bahan untuk memasak makan malam. Baru sahaja dia berniat membuang pelekat ‘Post It’ yang ditulisnya tadi, mata menangkap tulisan Ariyyan di bahagian bawah kertas. ‘Trimas’. Singkatan ‘Terima Kasih’. Lantas sebaris senyum menghiasi tampang muka. “Sama-sama,” ucap Diha riang. Ada juga interaksi antara mereka berdua walaupun sedemikian caranya.


Tepat pukul 8.00 malam, Diha mengetuk pintu bilik Ariyyan. Makan malam sudah terhidang. “Ariyyan, awak nak dinner sekarang tak?” 


Ariyyan tidak menjawab. Lelaki itu diam terperuk di dalam bilik. Meladeni perasaan. Diha menekapkan telinga ke pintu. Masih tiada respons. Yang kedengaran cuma petikan pincang gitar Ariyyan. Ada rentak yang hilang. Ada nada yang tergantung. 


Out of tune. Sumbangnya!’ Tidak ada melodi indah yang terhasil. Suatu masa dahulu, petikan gitar Ariyyan mampu mencipta karya hebat yang menyentuh jiwa.


“Saya makan dulu ye. Nanti, kalau awak lapar, makanan saya tinggalkan di bawah tudung saji,” pesan Diha sebelum beredar pergi. Tidak perlu menunggu balasan daripada tuan punya diri.


Selepas makan malam, Diha menghabiskan masa di bilik, membaca novel. Baru-baru ini, dia ada membeli sebuah novel bertajuk ‘Dilanku’ yang ditulis oleh Pidi Baiq di kedai menjual buku-buku terpakai. Berkisar tentang kisah cinta sepasang anak remaja dari dua latar belakang berbeza di Bandung sekitar tahun 1990-an, jalan cerita dan olahan plot ‘Dilanku’ amat menarik. Malah, karya tersebut telah diangkat menjadi sebuah filem adaptasi. ‘Dilan 1990’ berjaya mencetuskan fenomena cinta romantik sekaligus meraih lebih enam perpuluhan tiga juta tontonan di Indonesia.  


Diha tidak sabar mahu tahu kesudahan cerita. Tiba-tiba kantuk menyapa jaga. Tidak sampai tiga halaman dibaca, mata terasa berat. Akhirnya, dia terlelap. Damai sejenak dibawa arus mimpi.


Diha terjaga apabila jam menunjukkan pukul satu setengah pagi. Segera dia bangun dari katil, menuju ke bilik air untuk berwuduk. Dia belum menunaikan solat Isyak lagi. Dalam pisat-pisat telinga menangkap bunyi televisyen di ruang tamu. Mungkin Ariyyan sedang menonton. Diha keluar bilik, ingin mengintai keadaan Ariyyan. Mana tahu jika suaminya perlukan apa-apa. 


Di ruang tamu, Ariyyan menonton rakaman-rakaman videonya dan Marsha. Melalui skrin televisyen yang besar, Marsha seolah-olah hidup. Suara, kata-kata dan tawa sang sahabat bergema memenuhi ruang. Itulah Marsha yang dikenalinya. Diha turut sama menonton secara senyap-senyap dari balik dinding. Dia sangat merindui Marsha. Rindu akan gurauannya. Teringat-ingat setiap bait nasihat yang selalu dihulur tanpa jemu.


Rakaman pertama adalah semasa majlis sambutan hari lahir Marsha yang diadakan di Bali. Ariyyan merancang kejutan dengan membawa ahli keluarga terdekat serta kenalan rapat sama-sama meraikan hari lahir Marsha di pulau dewata itu. Marsha merangkul leher Ariyyan dan memeluk suaminya mesra. Sepanjang majlis berlangsung, mereka tidak langsung berenggang. Ariyyan setia di samping isterinya. Melayani, memanjakan Marsha penuh kasih sayang.


Pada akhir majlis, Marsha duduk di atas ribaan paha Ariyyan, teruja membuka hadiah - hadiah yang diterimanya. Ariyyan di sisi sekadar memerhati dengan wajah ceria. Di hujung rakaman, Marsha memandang ke arah kamera. “Ini kadoku yang paling berharga,” ucapnya girang sambil tangan diletakkan ke dada suami. 


“Bangun pagi mengetahui aku punya Ariyyan dalam hidupku merupakan kado ulang tahun yang sungguh tidak ternilai,” sambungnya sebelum mengucup pipi kiri Ariyyan. Kata-katanya disambut sorakan para tetamu.


Klip kedua pula mengambil tempat di dapur rumah itu saat Marsha sedang menyediakan masakan istimewa buat Ariyyan. Dalam sibuk merakamkan aksi Marsha, Ariyyan sempat mengusik isterinya dengan menyorokkan ramuan-ramuan tertentu. Marsha terpinga-pinga kerana tiba - tiba lobak dan cili benggalanya ‘menghilangkan diri’. Sebaik sahaja mendapat tahu angkara si suami, Marsha mengejar Ariyyan keliling dapur dengan kuali leper di tangan. Kelam kabut Ariyyan berlari menyelamatkan diri hingga tunggang terbalik rakaman videonya.


Rakaman seterusnya adalah tatkala mereka berdua bercuti di Hong Kong. Ariyyan terlibat menjayakan sebuah persembahan di sana. Walaupun kepenatan, Ariyyan tetap menemani Marsha membeli belah. Membawanya keluar bersiar-siar melihat tempat orang. Ke mana sahaja Marsha mahu pergi, Ariyyan turutkan. Kebahagian terzahir nyata bukan hanya dari tutur kata malahan tindak-tanduk kedua-duanya. Diha tersenyum lebar menyaksikan gelagat Ariyyan rambang mata memilih cenderahati istimewa buat si isteri. Terselit juga babak lucu bilamana Marsha mengerutkan muka mencuba makanan baru yang tidak kena dengan seleranya. Pasti detik - detik yang diluangkan bersama terlalu berharga bagi mereka.


Satu perkara membuatkan Diha tersentuh. Cara Ariyyan memandang Marsha. Renungannya sarat makna, sarat cinta. Raut muka yang lesu keletihan kala itu tetap bercahaya setiap kali pandangannya mendarat di wajah si isteri.


Menyaksikan gurauan, gelak tawa dan keintiman mereka, tiada siapa dapat menyangkal bahawa Ariyyan dan Marsha merupakan pasangan paling cocok.  Senyuman dan tawa itulah yang tidak ada pada Ariyyan sekarang. Diha dapat membayangkan perasaan Ariyyan apabila kehilangan Marsha. Hidup mereka saling melengkapi antara satu sama lain. Tidak hairanlah jika Ariyyan masih mengusung rasa murungnya hingga ke hari ini. 


Paparan skrin terhenti. Diha berundur dua tiga tapak ke belakang. Bimbang jika Ariyyan bangun dari sofa dan ternampak akan dirinya. Dia berlindung dan mendiamkan diri di balik dinding. Satu minit. Dua minit. Mungkin tiga. Senyap. Tiada sebarang reaksi daripada Ariyyan.


Terjengket-jengket Diha merapati sofa, cuba memeriksa keadaan Ariyyan. ‘Oh, dah tertidur rupanya,...’ Mata Ariyyan terpejam rapat. Tidurnya pulas. Bergerak seminima dan seperlahan yang boleh, Diha mematikan televisyen. Dia masuk ke bilik, mengambil sehelai kain gebar tebal. Tubuh Ariyyan diselimutkan agar tidak diterpa kedinginan angin malam. Lampu di ruang tamu dimalapkan.


“Mimpi indah-indah ye,” bisik Diha lembut. Menatap wajah Ariyyan, terbit rasa simpati yang mendalam terhadap si suami. Diha faham konflik yang sedang direntangi Ariyyan. Berbicara mengenai kesedihan dan kekecewaan, dia arif tentang semua itu. Sesungguhnya, mendepani pemergian tidak terduga, menerima detik perpisahan tanpa rela, tidak semudah jangkaan. Waras akal perlu dilentur agar membenarkan hakikat sebuah kehilangan.


“Ya Allah, kau hapuskanlah kedukaannya. Usirlah keluh–kesahnya. Kau kembalikanlah semangat Ariyyan, Ya Allah. Sibukkan dia dengan mengingat-Mu, perkuat dia dengan kerinduan terhadap-Mu, arahkan dia ke jalan ketaatan kepada-Mu.” Sempat Diha berdoa. Untaian doa itulah antara yang sering dipanjatkan kepada Yang Maha Esa setiap kali selesai bersolat.


Terjemahan kata:

  • kado - hadiah


Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.