BAHRI meluangkan masa membaca akhbar di lobi Chamar Entertainment. Sudah menjadi kebiasaannya menunggu Ariyyan di situ jika tiada sebarang urusan yang perlu dilunaskan. Sekejapan dia mengerling jam dinding. Waktu hampir tengah hari. Leher dipanjangkan mengintai Ariyyan di dalam bilik rakaman.
‘Kang nggak mahu makankah? Sedari pagi lambungnya nggak diisi. Mungkin bentar lagi. Baik aku nunggu kang di pantri,’ dia memutuskan sendiri.
Keadaan di Chamar Entertainment hari itu memang sibuk. Jadual studio agak padat kerana Ariyyan terlibat menerbitkan lagu beberapa pendatang baru dunia muzik. Bahri terjenguk-jenguk sambil menanti kelibat Ariyyan. Jika tidak salah, dia mendengar Ariyyan menyuarakan hasrat ingin berehat seketika.
“Aku mau makan sebentar, Mok,” kedengaran Ariyyan memaklumkan niatnya kepada Timok, jurutera bunyi. Bahri tahu bila-bila masa dari sekarang pasti majikannya akan masuk ke pantri. Ariyyan kalau bekerja tidak suka keluar ke mana-mana. Dia enggan masa terbazir di jalanan. Tambahan pula, tahap kesesakan lalu lintas di Jakarta sukar dijangka. Lebih baik masa tersebut digunakan untuk berkarya atau menyiapkan kerja-kerja yang menimbun. Ariyyan tidak cerewet memilih makanan. Apa yang ada di dalam peti sejuk boleh dijadikan alas perut.
Semasa arwah Marsha masih hidup, dia kerap meminta bantuan Bahri memenuhkan peti sejuk di pantri agar bekalan makanan dan minuman Ariyyan tidak putus. Malah, Marsha kerap membawa pelbagai roti, biskut serta jus setiap kali berkunjung ke studio.
“Stok lambung Ariyyan!” Itulah kata-kata Marsha apabila muncul menjinjing dua tiga beg plastik besar di tangan. Paling tidak tersedia makanan untuk dijamah oleh si suami buat mengisi perut tatkala dia berasa lapar.
Ariyyan melangkah masuk ketika Bahri sedang asyik memikirkan arwah Marsha. Dia yang sejak awal bersedia dengan makanan yang dikirim Diha segera menyuapkan cebisan lempeng ke mulutnya. Biar Ariyyan nampak dia sedang menjamu selera. Barulah kelihatan tidak ketara dia menanti Ariyyan di situ.
“Eh, Kang Ariyyan! Jemput makan sekali, kang!” Beria-ia dia mempelawa Ariyyan makan. Dalam hati Bahri tersenyum membayangkan ‘lakonannya’. ‘Bisa menang award, nih! Kak Diha pasti bangga sama aku.’
“Baru makan, Bahri? Udah telat ni,” tegur Ariyyan. Langkah diatur ke peti sejuk. Sebotol air mineral dikeluarkan lantas diteguknya laju menghilangkan dahaga. Kemudian, dia duduk di hadapan Bahri.
“Iya kang. Kang udah makan? Yuk makan bareng saya. Banyak nih saya bawa lempengnya,” jawab Bahri mengajak Ariyyan makan bersama. Dia sudah pun bangkit mengambil sebiji piring dan meletakkan sekeping lempeng di atasnya. Dihulurkan piring itu kepada Ariyyan.
“Ini kang. Makan sama sambal,” ujar Bahri bersungguh-sungguh. “Begini deh terangkatnya!” Kedua-dua ibu jari membuat isyarat bagus. Sedaya upaya dia mempromosikan lempeng Diha.
“Udah, Bahri. Aku nggak tahan makan pedas,” Ariyyan mengangkat tangan. Menolak apabila Bahri menambah sambal ikan bilis ke piringnya.
“Rasain dulu, dong. Lempengnya kalau dimakan kosong aja, nggak asyik!” saran Bahri. Misi perlu dilaksanakan sehingga berjaya.
Ariyyan mencubit sedikit lempeng lalu memasukkannya ke dalam mulut. Dia mengunyah perlahan. Sedap. Gabungan aroma dan rasa lemak lempeng sungguh menambat selera. Ada senyuman kecil terbit di bibir. Kali ini dia menjamah lempengnya dengan sedikit sambal. Ariyyan menjungkitkan kening. Dia mengunyah suapan tadi penuh nikmat sambil memandang Bahri.
“Benar kan?” Bahri mengusiknya.
Ariyyan mengangguk lantas menyambung suapan. Meskipun dia tidak tahan makan makanan pedas, tetapi hidangan ini berupaya menjentik deria rasanya. Sekejap sahaja sekeping lempeng bersambal habis dimakan. Bahri meletakkan sekeping lagi lempeng di piring Ariyyan. Biar majikannya makan puas-puas hidangan yang disediakan oleh sang isteri.
Ariyyan menyeka butir-butir peluh di dahi. Kepedasan. Sesekali dia meneguk air bagi menghilangkan rasa pedas. Lempeng dihabiskan tanpa teragak-agak. Tersenyum Bahri melihat kelakuan Ariyyan.
“Enak kae gini, aku bisa makan tiap-tiap hari, Bahri!” komen Ariyyan. Dia tersandar kekenyangan. Bahri tersengih. Strateginya menjadi. Nanti akan dikhabarkan kepada Diha. Tentu Diha gembira mengetahui reaksi Ariyyan sedemikian.
“Sejak kapan kamu bawa bekalan dari rumah nih, Bahri?” Ariyyan bertanya. Sementara itu, sempat mata membaca pesanan ringkas yang baru diterima. Tidak menunggu lama, jemari pantas menaip balasan pesanan ringkas tersebut. Kemudian, pandangannya dihalakan semula ke wajah Bahri.
“Alah, sekali sekala kang. Bisa ekonomi,” balas Bahri sekadar berbahasa. Berkerut dahi Ariyyan memandangnya.
“Kamu punya masalah wang, ya? Mau aku naikkan gaji?”
“Nggak, kang! Nggak. Bukan begitu maksud saya.” Beriya-iya Bahri menafikan. Aduh, ke situ pula fikiran Ariyyan! Demikianlah sikap prihatin Ariyyan pada insan-insan di sekelilingnya. Dikhabarkan ingin berjimat, Ariyyan segera menawarkan kenaikan gaji kerana bertanggapan dia mempunyai masalah kewangan. Bukan sahaja terhadap para pekerja, malah jika di jalanan mereka terserempak dengan orang yang berada dalam kesusahan, Ariyyan akan menyuruhnya memberhentikan kenderaan untuk menghulurkan bantuan.
“Jangan ngomong kae gitu, kang. Gajinya bulan-bulan sudah lebih dari cukup. Saja saya bawain makanan agar bisa kongsi bareng kang. Lagipun sekarang ini, saya lihat kang makan nggak menentu. Apa salahnya sekali sekala nikmati makanan yang disediakan dari rumah. Yang enak. Yang bisa mengenyangkan,” ujar Bahri panjang lebar.
Ariyyan diam. Benar. Dia tidak ingat bila kali terakhir dia betul-betul menikmati makanannya.
ARIYYAN pulang ke rumah lewat malam lantaran terpaksa menyudahkan tuntutan kerja-kerja di studio. Melewati ruang tamu, dia perasan kipas di ruang itu berputar ligat. Tiada sesiapa di situ. Sewaktu tangan hendak menutup suis kipas, barulah dia ternampak sesusuk tubuh Diha yang berbaring di atas sofa.
“Diha,” panggil Ariyyan. Isterinya dirapati. Mata Diha terpejam rapat. Rupa-rupanya Diha tertidur. Di dadanya ada senaskhah majalah hiburan. Kedua-dua belah telinga bersumbat fon telinga yang disambungkan pada iPod berwarna putih di sisi tubuh. 'Pasti iPod kesayangannya,' fikir Ariyyan. Dia mengagak-agak sendiri sudah berapa lama iPod berkenaan dimiliki Diha. Sekarang gajet muzik itu telah dihentikan pengeluaran dan digantikan dengan iPod touch. Tiada lagi rekaan sedemikian dijual di pasaran.
Tiba-tiba sesuatu terlintas di minda Ariyyan. Perlahan-lahan dia mencabut sebelah fon telinga Diha dan mendengar lagu yang dimainkan. Lagu ARJUNA – ‘Cebisan Cinta Lara’. Ariyyan mengangkat iPod lalu memeriksa kandungan senarai lagu. Wajahnya bertukar riak. Spontan terukir senyuman kecil di bibir. Benarlah kata Armand. Diha meminati lagu-lagunya. Bukan main-main. Bukan cerita rekaan. Hampir 90% daripada lagu-lagu yang tertera merupakan lagu-lagu ARJUNA. Dari album pertama mereka hinggalah ke album terakhir yang berada di pasaran.
Ariyyan menyorotkan pandangan menatap Diha. Pelbagai bentuk emosi melanda perasaannya. Terharu. Bangga. Janggal. Kelakar. Terharu kerana sekurang-kurangnya hasil kerjanya dihargai seseorang. Luahan yang cuba disampaikan melalui interpretasi karya-karyanya difahami. Dia berasa bangga kerana setiap lagu ARJUNA dalam playlist Diha ialah lagu-lagu hasil ciptaannya sendiri. Mungkin suatu kebetulan, mungkin juga tidak, tetapi dia berbesar hati andai lagu yang digubah diterima peminat sebegitu rupa.
Selain terharu dan bangga, Ariyyan berasa janggal menyedari dia kini berkongsi kehidupan dengan peminat setianya. Canggung pula apabila mengenangkan wujud insan lain di rumah ini yang tanpa jemu mendengar lagu-lagu nyanyiannya. Yang lena diulit lontaran suaranya.
Ariyyan turut tidak dapat menepis rasa kelakar saat teringat peminatnya yang seorang ini mendengar lagu ARJUNA saban hari. Tidak bosankah? Dia tahu Diha sekadar meminati lagu-lagunya, bukan mengidolakan dirinya secara peribadi. Semua jelas terzahir melalui tingkah laku si isteri. Pandangan dan renungan Diha bukan seperti pandangan dan renungan seorang peminat teruja mendampingi idola pujaan. Jika diperhatikan, seolah-olah tidak nampak langsung minat atau kecenderungan terhadap ARJUNA. Mendepani Diha yang acapkali kelihatan selamba dan bersahaja kadang-kala membuatkan dia ragu, adakah susuk wanita ini benar-benar peminat setianya?
Lama berdiri melayan fikir, Ariyyan menyentuh dan menggoncangkan bahu Diha perlahan. Mengejutkannya. Diha berkalih sedikit kemudian menyambung tidur. Ariyyan menggoncangkan lagi bahu Diha. Kali ini lebih kuat. Diha terjaga. Tangannya menggosok mata yang mengantuk. Terpandangkan Ariyyan, Diha bingkas bangun. Segera membetulkan duduk. Wajah didongakkan mencari wajah Ariyyan.
“Sorry, sorry. Saya tertidur. Bila awak balik? Dah makan? Nak saya panaskan lauk?” Dalam keadaan separuh sedar, semua soalan diajukan serentak. Tidak sangka dia boleh tertidur di situ. Asalnya dia hanya berbaring sambil membaca majalah. Diha sendiri kurang pasti kala itu pukul berapa.
Bertanggapan yang mungkin Ariyyan dahaga, Diha bangkit dari sofa. Mahu membuatkan minuman untuk suami. Belum betul-betul jaga, penglihatannya berbalam lalu dia hilang pertimbangan. Tubuh Diha terdorong ke depan namun tangan kiri Ariyyan cepat-cepat memautnya. Diha menarik nafas lega. Mujurlah dia tidak tersembam.
Diha memegang lengan Ariyyan kejap, berusaha menstabilkan diri. Kepalanya digelengkan beberapa kali. Rasa kantuk diusir jauh-jauh. Perlahan-lahan Ariyyan membantunya agar kembali berdiri tegak. Jarak di antara mereka saat itu amat rapat. Wajah kedua-duanya sudah hampir bersentuhan. Buat seketika baik Ariyyan mahupun Diha diam tanpa kata. Hanya deru nafas mereka yang saling bertingkah.
“Tidurnya di kamar. Nanti tubuhmu sakit-sakit.” Bisik Ariyyan lembut ke telinga Diha. Masih mamai, Diha cuma menganggukkan kepala. Pegangan tangan suami dileraikan sebelum langkah diatur ke bilik.
Ariyyan memerhati hingga tubuh Diha hilang dari pandangan. Entah mengapa dengan tidak semena-mena ada perasaan halus mengusik sanubari. Dia tidak pasti apa dan dia memilih untuk tidak ambil tahu. Memberi ruang pada Diha bererti dia mula menyingkirkan Marsha. Mengkhianati cintanya.
‘Maaf, Diha. Aku belum punya ruang di hati ini untuk kamu huni’.