Home Novel Cinta Lelaki Langit Bumi
Bab 23

ARIYYAN baru balik daripada membuat persembahan selama tiga hari di Bandung. Konsert mini yang diadakan di ‘Kota Kembang’ itu telah mendapat sambutan luar jangkaan. ARJUNA turut terlibat menjayakan sesi bertemu peminat serta menghadiri wawancara di stesen televisyen dan radio tempatan. Tiga hari yang cukup padat. Ariyyan keletihan. Namun, hatinya puas. Dia gembira kerana dapat menghiburkan para peminatnya. Segala penat lelah akan terubat tika mendepani kelompok peminat setia yang sentiasa bersemangat, sentiasa bertenaga sepanjang persembahan berlangsung.


Kepulangan Ariyyan pada sebelah malam disambut mesra oleh Diha di muka pintu. Si isteri memakai sepasang pijama berwarna biru gelap. Wajah bersih mulus yang bebas daripada sebarang palitan alat soleken ceria menyapanya. Rambut ikal melepasi paras bahu yang selalu diikat satu, kali ini ditocang. Sekali pandang, Diha ibarat anak remaja berpenampilan sebegitu.


Ariyyan berusaha mengawal pergelutan seribu satu rasa di sanubari. Setiap kali mendepani Diha, jiwanya jadi kacau. Dia gagal berfikir dengan baik. Masih tidak betah membenarkan kehadiran Diha dalam hari-hari yang ditempuh, dia sukar menerima hakikat bilamana dengan sekelip mata Diha muncul menceroboh dunianya. Wanita itu terlalu asing. 


Mujurlah sekali-sekala dia ke luar kota memenuhi jadual pertunjukan pentas. Kesempatan bersendirian tanpa perlu bertembung dengan Diha acapkali digunakan untuk bertenang, mengumpul dan membina kekuatan diri yang bersisa. 


“Awak sihat? Dah makan? Saya ada simpankan makanan. Mana tahu kalau-kalau awak lapar,” kata Diha sewaktu menyalami tangannya. Beg pakaian Ariyyan diambil dan dibawa masuk. 


“Sudah.” Ringkas respons Ariyyan. “Sedang bikin apa?” soalnya pula. Saat itu mereka sudahpun berada di ruang tamu.


“Tengah tengok drama kat TV. Best jugak cerita malam ni,” jawab Diha. Dia duduk di atas katil sofa. Mula menyambung tontonan.


“Bandel tu maksudnya degil ye? Keras kepala,...tak dengar cakap,..”  Diha bertanya kepada Ariyyan. Cuba memahami dialog drama yang ditonton.

 

“Iya.” 


Ariyyan membuka laci meja perhiasan. Niatnya mahu menambah wang belanja buat kegunaan Diha. Dia terdiam sejenak. Duit yang ditinggalkan sebelum ini tidak luak. ‘Mungkin Diha tidak keluar ke mana-mana. Jadi dia tidak berbelanja.’ Dia bermonolog. Laci ditutup semula.

 

Diha mencapai sebuah balang kecil di atas meja kopi yang berisi kerepek pisang. Dihulurkan balang tersebut kepada Ariyyan. “Ariyyan, nak rasa kerepek pisang? Semalam saya beli kerepek ni dekat pasar. Sedap!”


Ariyyan menghampiri Diha lalu mengambil beberapa keping kerepek pisang yang ditawarkan kepadanya. Sekadar menjaga hati si isteri. Jika Diha sedaya upaya belajar menyesuaikan diri, mengapa dia tidak berikhtiar agar keadaan antara mereka berdua berubah ke arah lebih baik. 


“Kamu gemar makan kerepek pisang?”


Diha angguk.


“Tak kisahlah apa jenis kerepek pun, semua saya suka. Janji boleh kunyah-kunyah sambil siapkan kerja atau tengok TV. Tapi, kerepek pisang yang ni memang saya suka sangat! Ini kerepek pisang tanduk,” terang Diha panjang lebar. Senyuman manis terhias di bibir.


“Nak lagi?”


Ariyyan menggelengkan kepala. “Makasih.”


“Oh, lupa saya nak tanya! Awak ada terima tawaran berlakon juga ye?” Sementara angin Ariyyan baik, dia mencuri peluang melanjutkan perbualan.


“Huh?” Ariyyan mengerutkan dahi. Keliru mendengar soalan yang diajukan Diha. Kenapa dengan tidak semena-mena bertanya tentang tawaran berlakon pula.


“Maksud kamu?”


“Saya tak tahu pun awak berlakon. Pagi semalam channel Indosiar tayang telefilem ‘Bunga dan Nada Cinta’. Terkejut saya tengok awak jadi heronya. Tak sangka awak pandai berlakon. Pegang watak utama lagi.” Teruja Diha berceloteh mengenai lakonan Ariyyan dalam sebuah telefilem yang dirakamkan empat tahun dahulu. ‘Bunga dan Nada Cinta’ mengisahkan perjalanan seorang anak muda cuba mempertaruhkan hidup di kota Jakarta demi mengejar cita-cita bergelar penyanyi terkenal.


“Itu kisah lama,” balas Ariyyan pendek. Tidak berniat mengulas lanjut. Sejujurnya dia tidak meminati bidang lakonan. Namun, setelah dipujuk malah diyakinkan berkali-kali oleh Marsha, akhirnya dia bersetuju. Meskipun memegang peranan utama, tidak susah mendalami watak yang diberikan. Dia cuma menjadi dirinya, seorang pemuzik dan penyanyi. 


“Nak tonton TV dengan saya?” pelawa Diha. “Lepas ni ada episod baru OK Jek. Cerita pasal tukang ojek online tu.”


Ariyyan bungkam. Putus bicara. Mati akal hendak meneruskan interaksi antara mereka.


“Marilah duduk sini.” Diha mengunjukkan ruang kosong di sebelahnya.


“Nggak apa. Aku capek. Masuk dulu,” ujar Ariyyan. Tanpa berlengah, dia melangkah meninggalkan ruang tamu. Ariyyan sedar kudratnya terhad. Kemampuannya sangat terbatas. Berlama-lama di samping Diha akan mengakibatkan sukmanya terhimpit. Resah dicengkam rasa bersalah yang datang menghambat dari segenap sudut. Dia sendiri tidak pasti rasa bersalah itu atas dasar apa atau pada siapa? Marsha? Diha? Atau dia sendiri?


Sesudah daun pintu bilik ditutup rapat, barulah Ariyyan mampu menarik nafas lega. Tatkala pandangan mata hinggap pada potret besar di kepala katil, dia tahu dia berada dalam zon selesanya. Ariyyan membaringkan tubuh di atas katil. Melepaskan lelah barang seminit dua. Badan yang dirasakan melekit dan berlengas memaksa dia bangkit dari pembaringan. Dia mahu mandi.


Ariyyan membuka bagasi. Dia mula mengeluarkan pakaian-pakaian kotor. Bunyi ketukan di pintu menghentikan tindakannya. Diha mencarinya? Apa yang diinginkan?


“Ariyyan, sorry kacau awak.” Cepat-cepat Diha memohon maaf sebaik sahaja pintu bilik dibuka. Ariyyan memerhatikan wajah manis Diha. 


“Ada apa?” soalnya.


“Saya nak minta nombor phone awak boleh?” Diha memaklumkan tujuan asal datang menemui Ariyyan. 


“Nombor talifonku? Mau bikin apa?” tanya Ariyyan.


“Supaya senang saya call awak kalau ada apa-apa. Bila awak keluar, saya langsung tak ada cara nak hubungi awak,” jelas Diha perlahan. Sebenarnya boleh sahaja dia meminta nombor telefon Ariyyan daripada Bahri. Tetapi, Diha merasakan dia harus memperoleh kebenaran tuan punya diri. Dia tidak ingin sebarang perlakuannya, sama ada besar ataupun kecil membuatkan Ariyyan berasa rimas atau terganggu. 


Ariyyan terdiam. ‘Benar juga. Aku nggak pernah memberi nombor telefon selku. Malah aku nggak ada nombor Diha. Gimana sekiranya Diha pingin menghubungiku?’ 


“Err, tak boleh ke?”


 “Sekarang kamu pakai nombor apa? Telconya?”


“Pakai nombor saya di Malaysia. Nombor Celcom,” jawab Diha.


Ariyyan tidak membalas. Minda ligat memikirkan sesuatu. Matanya tertancap pada roman wajah yang sedang sabar menanti. 


“Tak boleh ke? Dengan saya pun nak rahsiakan nombor?” Diha bersuara apabila Ariyyan seperti enggan memberikan nombor telefon bimbitnya. “In case awak tak comfortable beri nombor awak, bagi nombor PA awak pun tak mengapa. At least, saya tahu nak reach siapa.”


“Ya, nantilah,” putus Ariyyan. Dia berpaling lalu mendapatkan bagasinya.  Pintu bilik tetap dibiarkan terbuka. Ariyyan mengeluarkan satu bungkusan plastik lantas dihulurkan kepada Diha.


“Nih, untuk kamu. Ole-ole dari Bandung.” 


Diha menyambut bungkusan plastik dengan senyuman girang. Dia tidak menyangka sama sekali yang Ariyyan akan membelikannya ole-ole. Ingat juga Ariyyan padanya. Bungkusan plastik dibuka. Terdapat enam helai kain batik pasang yang cantik-cantik corak serta warnanya. Diha rambang mata.

 

“Saya pilih yang ini ye.” Diha menunjukkan sehelai kain batik berwarna hijau pekat berbunga kuning. Dia berkenan benar akan corak batik kain itu.


“Kok mau dipilih? Semuanya emang kepunyaanmu,” nyata Ariyyan. Dia mengerling Diha sekilas sebelum kembali memunggah pakaian kotor. Kemudian dimasukkan longgokan pakaian ke dalam bakul dobi yang disediakan oleh Diha.


“Enam-enam ni saya punya?!” Bulat mata Diha memandang Ariyyan. Dia tidak menyangka kesemua kain batik yang dibeli Ariyyan itu adalah untuknya. Spontan senyuman lebar terukir di tampang muka.


Ariyyan mengangguk. Tangannya mencapai sebatang rokok. Rokok dinyalakan dan dihisap perlahan. Setelah itu, dia menanggalkan kemeja hitam yang dipakai. Kemeja itu turut diletakkan ke dalam bakul.


“Aku nggak tahu apa warna kesukaanmu. Jadi, aku pilih aja mana-mana yang kufikir cantik,” tutur Ariyyan. Berkepul-kepul asap rokok dihembuskan ke udara. 


Semalam, sesi Meet and Greet ARJUNA diadakan di sebuah pusat yang menjual hasil kraf tangan dan produk-produk penduduk setempat. Peminat-peminat ARJUNA berkesempatan meluangkan masa bersama ahli-ahli ARJUNA di samping melakukan aktiviti-aktiviti menarik di pusat itu seperti mencanting batik dan menganyam bakul. 


Semasa diberi peluang mencanting batik, tiba-tiba dia teringatkan Diha. Lazimnya, Diha memakai seluar panjang atau skirt labuh di rumah. Tidak pernah pula dia melihat wanita itu berkain batik. Terpikat dengan kehalusan seni corak batik yang dihasilkan, dia membeli beberapa pasang untuk dihadiahkan kepada si isteri. Jika tidak digunakan sebagai basahan, kain-kain batik tersebut boleh dijahit dijadikan busana.


“Banyaknya! Semua cantik-cantik, Ariyyan!” Diha teruja. Tangan lincah membelek setiap satu kain batik pemberian Ariyyan. “Halus pembuatan kain batik ni,” komen Diha kagum.


“Untuk dipakai hari-hari atau mau beri pada sesiapa. Terserah kamu.”


“Terima kasih banyak-banyak ye, Ariyyan,” ucap Diha gembira. Bercahaya wajahnya. “Hmmm, nanti saya nak kirim sehelai dua pada Dina lah. Awak ada kain kotor lagi? Kalau tak, saya bawa bakul tu ke bilik dobi.”


“Nah, makasih." Ariyyan menyerahkan bakul dobi yang penuh berisi pakaian kotor. Diha mengambilnya dengan senang hati. Sebelah tangan mengendong bakul pakaian kotor. Sebelah lagi menjinjing kain-kain batik pemberian Ariyyan.


Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.