Home Novel Cinta Lelaki Langit Bumi
Bab 18
Lagu ‘Separuh Jiwaku Milikmu’ berkumandang di seluruh bilik. Sesekali kedengaran Diha ikut sama menyanyikan bait-bait lirik lagu kegemarannya sambil jemari lancar menari di atas papan kekunci komputer. Dia sedang menyiapkan tugasan menterjemah dokumen. Ariyyan tiada di rumah. Pagi-pagi lagi sudah berangkat ke Chamar Entertainment.

“Alhamdulillah, siap!” Butang ‘Save’ ditekan. Lega hati apabila dapat menyelesaikan kerja lebih awal daripada tempoh yang diberikan. Dia cuma perlu menyemak dan melakukan suntingan akhir sebelum menghantarnya pada esok hari.

Diha meregangkan badan. Lama juga dia duduk menghadap komputer. Bahu dan tengkuk yang terasa sedikit lenguh dipicit perlahan. Kemudian, kursor dihalakan ke ikon Blogger. Dia ingin membaca komen-komen yang ditinggalkan di Blog Tentang Sesuatu.

Hai Kak Diha! How’s life @ Jakarta? Sudah berpeluang rasa ayam betutu ke belum? It’s a must try as spicy food is your favourite, right? Nanti bila dah belajar resepinya, jangan lupa ajar kita tau.

Sweet thoughts, Dylla Rezan.

Diha tersenyum. Dia sudah lama mengenali penulis blog Dylla Rezan. Si cantik manis yang amat meminati seni fotografi  merupakan seorang siswi di sebuah universiti tempatan di Kuala Lumpur dalam bidang perubatan. ‘Doktor pegang kamera’ adalah julukan yang Diha berikan kepada Dylla atas kebolehan gadis muda itu mengabadikan pemandangan dan keindahan alam semula jadi menerusi lensa kamera. Cantik-cantik hasil fotonya.

Blog milik Dylla memuatkan rutin, cabaran serta perkongsian pengalamannya sebagai bakal doktor. Blog tersebut turut mengandungi catatan pengalamannya berkembara ke merata destinasi sewaktu cuti semester baik bersama keluarga mahupun rakan-rakan. Antara entri kesukaan Diha ialah entri bersiri Dylla ketika berkunjung ke India. Perkongsiannya mendedahkan sisi India dari perspektif berbeza yang membuatkan kita turut terpanggil memasang impian melancong ke sana.

Baru beberapa hari lepas dia bertanya Bahri tentang hidangan istimewa dari Bali itu. Ayam betutu sejenis hidangan ayam pedas berempah dimasak sama ada dikukus ataupun dipanggang. Kuah pedas dibuat daripada pelbagai ramuan seperti hirisan bawang merah, bawang putih, cili merah, cili padi, halia, kunyit dan lada hitam. Menariknya hidangan ayam betutu bukan sahaja pada tahap kepedasan, bahkan cara penyediaan yang memerlukan sekurang-kurangnya 24 jam untuk masak dengan sempurna.

Secara tradisional, ayam akan dilumur serta disumbat sarak berempah. Kemudian, ayam dibalut kemas menggunakan daun pisang lalu ditimbus di dalam sekam panas satu hari satu malam. Proses masak yang perlahan membolehkan rempah meresapi isi ayam, membuatkan dagingnya empuk, lembut dan berjus. Sekarang, ramai memilih kaedah moden yang lebih cepat demi menjimatkan masa memasak hidangan ini. Ayam hanya dibalut dengan daun pisang diikuti lapisan kerajang aluminium seterusnya dipanggang di dalam oven selama lebih kurang dua jam.

Langkah-langkah menyediakan  ayam betutu berbeza mengikut daerah-daerah di Bali. Paling terkenal ialah hidangan ayam betutu daerah Gilimanuk selain dari Klungkung dan Gianyar. Setiap daerah mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Biasanya, ayam betutu dimakan sama hidangan sampingan seperti sayur kangkung goreng dan sambal terasi,” cerita Bahri. Mendengar penjelasan Bahri sahaja, sudah kecur air liur, apatah lagi jika benar-benar berpeluang menikmati hidangan tersebut. Tambahan pula, masakan pedas sentiasa memancing seleranya. Terutama sekali sambal belacan yang dipanggil sambal terasi di Indonesia. Demi sambal belacan, Diha sanggup sekali sekala kegatalan kerana melanggar pantang makan udang.

Menurut Bahri, terdapat sebuah restoran Ayam Betutu Gilimanuk di Jakarta. Tidak perlu mencari jauh-jauh hingga ke Bali. Diha bercadang mengajak Bahri makan di sana apabila dia keluar membeli belah minggu hadapan.

Jemarinya laju menaip balasan pertanyaan Dylla.

Hi, my ‘Doktor Pegang Kamera’. Alhamdulillah, kehidupan di sini mula teratur. Hope you are doing fine too. How’s your study? Mesti semester ini Dylla lebih sibuk kan? Anyway, sadly setakat ini akak belum berpeluang merasa ayam betutu. Of course it’s in my ‘To-Do List’ :) Akan berkunjung ke salah sebuah restoran ayam betutu di Jakarta dalam masa terdekat. Resepi ayam betutu? Insya-Allah. Mana tahu nanti ada rezeki, akak jamu Dylla makan ye :)

Selesai membalas beberapa komen lain, Diha menonton video terbaru  Ariyyan yang dikongsikan oleh peminat di Youtube. Persembahan Ariyyan memang tidak seperti dulu. Hambar. Aura hebatnya hilang tanpa jejak. Mana-mana peminat tegar ARJUNA pasti dapat mengesan perubahan Ariyyan. Staminanya di atas pentas tetap sama cuma jiwanya telah tiada. Dia tidak lagi membuat persembahan kerana muzik itu kecintaannya. Dia kini menyanyi kerana memenuhi tuntutan kerja.

Meskipun begitu, Ariyyan sangat beruntung. Dia mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada para peminat. Diha kerap membaca komen-komen mereka di laman web ARJUNA, Twitter, Facebook malah di Youtube. Rata-rata mendoakan kejayaan Ariyyan dan ahli kumpulan yang lain. Tidak kurang juga yang terus terang menzahirkan harapan mereka agar Ariyyan kembali dengan magisnya. Peminat-peminat setianya berjanji  sentiasa mendukung Ariyyan. Diha tersenyum kecil melihat perkataan ‘mendukung’. Imaginasi tidak bersempadan  membayangkan Ariyyan didukung para peminat. Hakikatnya dia sendiri tahu, mendukung di situ bermaksud menyokong.

Sejenak, dia teringat permintaan arwah Marsha. Marsha menggalasinya dengan mandat membantu Ariyyan supaya bangkit. Pupuk semula kecintaannya terhadap muzik, bina semula keampuhan semangat untuk teroka hidup.

Diha menghempaskan badan ke katil. Keempukan tilam dan keselesaan bilik tidak berjaya mendamaikan minda yang bercelaru. Diha mengeluh. Melepaskan sesak dada. Fikirannya buntu! Penat mental fizikal cuba memenangi hati Ariyyan! Benarlah apa yang dijangka. Hati lelaki itu sudah bertukar menjadi batu. Setiap yang dilakukan gagal membuahkan impak langsung kepada Ariyyan. Menjentik hatinya pun jauh panggang dari api. Bagaimana permintaan terakhir Marsha hendak ditunaikan?

Hampir dua bulan lebih dia bergelar isteri Ariyyan. Tidak banyak kemajuan positif dalam hubungan mereka. Angin Ariyyan masih sukar diramal. Bilamana anginnya baik, dia boleh diajak berkomunikasi. Boleh diajak berbual walaupun tidak lama. Pertanyaan Diha dilayan sebaik mungkin. Kala angin lintangnya datang menyerang, semua bertukar 180 darjah. Diha ibarat musuh yang perlu disisih atau ditumpaskan. Dia seolah-olah halimunan. Tidak dihiraukan sama sekali. Mereka bagaikan hidup di dalam dua dunia berbeza. Kesudahannya, misi mengembalikan senyum Ariyyan gagal dilaksanakan.

Kebiasaannya, usaha Diha akan menemui jalan mati. Setiap kali dimasakkan makanan kegemaran Ariyyan, lelaki itu tidak pulang ke rumah. Kadangkala hingga terjelepok dia menunggu kepulangan Ariyyan di ruang tamu. Si suami tidak balik langsung. Andai Ariyyan mempunyai kerja atau terlibat dengan persembahan di luar kota, Diha sedia maklum. Tetapi, apabila terang-terangan dia di studio dan enggan pulang ke rumah, mati akal Diha dibuatnya.

Jelas Ariyyan sedang mengelakkan diri daripadanya. Rutin Ariyyan, keluar seawal pagi, muncul semula nampak batang hidung tika dinihari. Kadang-kadang, hampir tiga hari baru kelihatan kelibatnya. Itu pun sekadar untuk mengambil barang atau menukar pakaian. Bayangkanlah, Ariyyan lebih sanggup memilih tidur dalam keadaan tidak menentu di Chamar Entertainment berbanding keselesaan di rumah sendiri . Tinggallah dia seorang diri menghuni rumah besar itu.

Apa-apa perkembangan Ariyyan, hanya diketahui melalui tontonan televisyen ataupun menerusi kemas kini status-status ARJUNA di Twitter. Mujurlah sekarang ada pelbagai laman sosial di alam maya. Media sebegini membolehkan para artis berkomunikasi dengan para peminat mereka secara terus selain memaklumkan perkembangan aktiviti-aktiviti harian. Hubungan antara artis dan peminat-peminat yang menyokong karier mereka lebih dekat. Lebih akrab.

Sejujurnya dia tidak mahu terlalu memaksa Ariyyan. Namun, jika Ariyyan terus-terusan membina tembok batu di sekeliling diri, bagaimana Diha dapat memastikan Ariyyan kembali seperti Ariyyan yang dulu?

Fikirannya terbawa pada suatu malam ketika dia terserempak dengan Ariyyan yang masih belum tidur. Jam menghampiri pukul satu setengah pagi. Ariyyan duduk termenung sambil menghisap rokok di beranda.

“Belum tidur?” sapa Ariyyan, menyedari kehadiran Diha.

“Tekak kering. Saya nak minum air. Awak tak tidur lagi?”

“Enggak bisa tidur,” balas Ariyyan bena tidak bena. Gitarnya dipetik perlahan. Seperti biasa, sumbang benar petikan gitar itu di pendengarannya. Tiada melodi sempurna yang dimainkan.

“Ariyyan, awak nak air panas?”

Geleng. Tiada bicara lanjut. Ariyyan terus melayan perasaan. Dia menyandarkan tubuh. Mata dikatup rapat. Berkepul-kepul asap rokok keluar dari bibirnya. Diha cuma mampu jadi pemerhati bisu.

“Suamiku doyan begadang, Diha.” Tiba-tiba Diha teringat kata-kata Marsha dalam rakaman videonya. ‘Begadang’ bermaksud berjaga hingga larut malam. Menurut Marsha, dia sendiri tidak pasti sejak bila Ariyyan mengalami masalah susah tidur. Dek kerana itu, Ariyyan sukar mendapat kualiti rehat yang sempurna.

“Kalau dia enggak bisa tidur, tolong bikin susu coklat panas buatnya, ya.’
 
Pesanan Marsha terngiang-ngiang di telinga. Diha masuk ke dapur. Dia membuka pintu almari kabinet lalu mengeluarkan bekas berisi serbuk susu coklat. Pantas sahaja dia membancuh beberapa sudu serbuk susu coklat panas itu dengan air panas. Sebelum meninggalkan dapur, dia meneguk air masak. Menghilangkan dahaga.

Diha kembali ke beranda, membawa dulang berisi secawan susu coklat panas dan dua buah balang kaca. Satu berisi biskut tawar manakala satu lagi berisi maruku. Boleh juga dikunyah-kunyahnya. Dulang berkenaan diletakkan di atas meja kecil di hadapan Ariyyan.

Tatkala terpandangkan cawan berisi susu coklat panas, air muka Ariyyan berubah menjadi tegang. Dia merenung Diha tajam. Cepat-cepat  Diha tunduk. Tidak selesa menadah muka menatap riak marah Ariyyan. Tampak bengis benar. Cepat sahaja dia membuka langkah untuk beredar.

“Apa nih?!” bentak Ariyyan. Minuman yang dihidangkan ditolak jauh dari dirinya. Reaksi tidak sudi.

“Susu coklat panas.”

“Siapa minta dibikin susu coklat panas?”

“Memang awak tak minta. Saya buatkan je. Minumlah, Ariyyan. Mana tahu lepas ni awak boleh tidur.”

Ariyyan mendengus kasar. Perilaku Diha mencabar amarah. Dahulu Marsha yang selalu membuatkan susu coklat panas agar dia boleh tidur. Hanya Marsha! Itu kenangan antara dia dan Marsha! Bukan dengan siapa-siapa! Dari mana datangnya wanita ini yang cuba merampas memori indahnya?!

Gitar dicampakkan ke tepi lantas Ariyyan menapak menghampiri Diha. Dia mencerlungkan mata. Diha berundur beberapa tapak. Pipinya sudah kemerahan, sedikit gugup mendepani reaksi Ariyyan yang sedang hangat hati.

“Kamu bukan Marsha dan sampai kapan pun kamu enggak bisa jadi Marsha!” Ariyyan menuturkan satu-satu perkataannya dengan tegas. “Jadi usah repot-repot lakukan semua ini! Ngerti?!”

Diha mengurut dada mengingatkan kejadian tersebut. Tidak terlintas langsung untuk menjadi Marsha apatah lagi menggantikan tempat Marsha di hati Ariyyan. Dia sekadar ingin membantu. Tidak ada sebarang niat lain. Tidak mahu kesihatan Ariyyan terganggu jika kerap kurang tidur.

Kini, terbayang pula di benaknya satu insiden ketika dia menyediakan cucur ikan bilis dan jagung dicicah bersama sos cili Thai. Inilah resepi pencetus ikatan persahabatan antara Marsha dengan Diha. Marsha telah mencuba resepi cucur yang diperoleh dari Blog Tentang Sesuatu. Hidangan itu berjaya memikat selera Ariyyan malah merupakan juadah minum petang kegemaran mereka berdua.

Sebaik sahaja Ariyyan menjejakkan kaki ke dalam rumah petang itu, Diha mempelawanya minum. Dia tidak sabar melihat reaksi Ariyyan. Harap–harap suaminya akan berselera menjamah cucur ikan bilis jagung yang sekian lama tidak dinikmati.

“Ariyyan, mari minum petang. Hari ini saya buat bakwan bilis jagung kesukaan awak,” tutur Diha lembut. Wajahnya dimaniskan. Segaris senyuman dilempar ikhlas.

“Mana kamu tahu ini kegemaranku?” tanyanya hambar. Tidak ada nada teruja langsung pada suaranya. Ariyyan sekadar berdiri di hadapan meja makan. Tidak jadi duduk. Dia memandang hidangan cucur bilis jagung di atas meja. Apa yang bermain di fikirannya gagal ditafsir oleh Diha.

Diha kematian bicara. Dalam hati dia mengutuk kelancangan mulutnya sendiri. ‘Jemput makan je kan dah cukup! Siap nak umpan dia cakap pasal makanan favourite dia kenapa? Hah, sekarang pandai-pandai jawab sendiri!’ Aduh, jika dia maklumkan bahawa dia mengetahuinya melalui Marsha, pasti nanti bakal mengundang amarah Ariyyan.

“Siapa beritahu kamu?”

Diam.

“Aku nanya nih! Mana kamu tahu?! Siapa bilang sama kamu?” ulangnya lagi. Kali ini lebih kuat. Diha tercari-cari jawaban sesuai tetapi mindanya gagal berfungsi saat disergah sedemikian rupa.

“Marsha beritahu kamu kan?!” Keras intonasi Ariyyan bertanya. Dia mula berasa jengkel memikirkan andai jangkaannya tepat. ‘Lagi-lagi dari Marsha! Semuanya Marsha! Marsha! Marsha! Marsha!’

Mahu tidak mahu Diha mengangguk. Sebelum Ariyyan mula mengajukan soalan keenam, baiklah dia mengaku. Dia khuatir tindakannya berdiam begitu akan mengikis kesabaran lelaki itu.

“Aku nggak lapar. Kamu aja yang makan,” mendatar suara Ariyyan. Lelah. Penat berdepan cubaan demi cubaan Diha, acapkali dibayangi Marsha. Enggan menunggu lebih lama, dia beredar dari situ.

Diha menarik nafas panjang. Dilepaskan helaannya berat. Berusaha mencari secebis tenang. Seingatnya, selepas Ariyyan membuka langkah dan pergi, dia juga putus selera untuk makan. Hidangan minum petang terbiar tanpa disentuh sesiapa. Hilang mood berdepan kerenah Ariyyan. Daya bagai ternoktah. Dia sudah habis cara. Tandus idea.

‘Apa lagi harus dilakukan demi memenangi hati awak, Ariyyan?’


*Pautan blog Dylla Rezan - http://dyllarezan.blogspot.my/


Terjemahan kata:
  • doyan - suka sekali
  • begadang - berjaga malam, lewat tidur


Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham