Home Novel Cinta Lelaki Langit Bumi
Bab 26

Perbualan telefon antara Diha dan Dina berlangsung seperti hari-hari biasa. Mereka berdua saling bertukar khabar, bertukar kisah. Dina beria-ia menceritakan perangai Hakeem yang semakin lasak. Terhibur Diha mendengar ragam anak buah kesayangan. Meskipun jauh di Jakarta, sebolehnya dia tidak mahu ketinggalan sebarang perkembangan tumbesaran Hakeem.


“Artikel akak ‘Kekal Sihat dengan Kos Lebih Murah’ dah keluar. Tadi Shawn dropped by hantar majalah untuk akak. Dia siap tanya alamat akak di Jakarta. Dia pesan, bulan depan kalau akak nak, dia pos terus majalah ke sana. Dina pun boleh poskan,” maklum Dina mengenai artikel nukilan si kakak dalam majalah ‘Gaya Hidup’. Diha menulis tentang bagaimana sebagai pengguna kita dapat mengamalkan diet dan pemakanan sihat dengan kadar perbelanjaan yang berpatutan.


“Ish, tak payahlah. Simpan saja kat rumah,” balas Diha. Dia berada di bilik dobi, sedang bergelut membuka tangga lipat dan menegakkannya di tengah-tengah bilik. Dia ingin menukar mentol di bilik itu. Sebaik sahaja tangga yang dipasang dirasakan stabil, Diha mula memanjat. 


“Tak nak baca ke?”


Come again?” Kurang jelas apa yang diperkatakan oleh Dina. Tangan sibuk memutar mentol lampu di atas kepala, mengeluarkannya  dari soket. 


“Tak nak baca ke artikel akak?” Dina mengulang pertanyaan.


“La...kan akak yang tulis,..” Terkekeh dia ketawa mendengar soalan Dina. “Akak tahu niat Dina baik. Tapi, tak perlulah susah-susah nak pos ke sini. Selalu ruangan ‘Tips Belanja Berhemah’ diorang masukkan di laman web juga,” terang Diha. Dia menuruni tangga.


“Oh, akak nak minta tolong belikan majalah Rasa bulan depan. Tak silap akak, bulan depan ‘bumper issue on cookies’,” pinta Diha. Dia tersilap percaturan. Dia menyangka sudah sampai ke bawah tetapi ada satu lagi anak tangga. Diha hampir terjatuh. Dia terjerit kecil. Cepat-cepat diimbangkan tubuh sambil membetulkan kedudukan tangga yang nyaris menimpanya.


Don’t worry. Consider it done! Eh, akak buat apa? Macam-macam bunyi Dina dengar!” 


“Mmmm. Tukar mentol bilik. Semalam pergi kedai dengan Bahri. Beli mentol save energy. Ni dalam proses tukar mentol-mentol kat rumah la,” jelas Diha.


Dina tersenyum. Kak Diha dan penjimatan tenaga ibarat sudah sinonim. Di rumah mereka sekarang pun, semua mentol, lampu telah ditukar kepada jenis yang jimat tenaga hasil usaha serta kesungguhan Kak Diha. Menurut kakaknya, tidak guna mengeluh andai bil elektrik tinggi melambung. Rungutan dan keluhan itu sama sekali tidak akan membuatkan pihak TNB menurunkan tarif bacaan penggunaan elektrik. Kita sendiri kena bijak bertindak mengatasi masalah tersebut. Belajar meminimakan penggunaan tenaga. Jika boleh mendapat pencahayaan yang terang dengan lampu 18 watt, mengapa mesti memilih lampu 100 watt?


Dina akui selepas menggunakan lampu jimat tenaga, jumlah bil elektrik bulanan berjaya dikurangkan. Memandangkan kos taraf hidup semakin meningkat, penyelarasan seperti ini banyak membantu kelancaran perancangan ekonomi keluarga. Bahkan, sekiranya membeli peralatan elektrik, dia turut memastikan produk yang bakal dibeli bersifat jimat tenaga dan mesra alam.


“Kak, Dina nak kirim barang sikit boleh tak?”


“Dina nak kirim apa?”


Something for a coffee lover. Coffee beans ke,..coffee powder ke…coklat perasa kopi pun OK. Janji made in Indonesia. Dina nak buat gift basket, nak beri hadiah pada Qaira.”


“Nak bagi Qaira? Oh, yelah! Birthday dia bulan depan kan?” Lantas Diha teringat akan Qaira, kenalan mereka dua beradik. Qaira penggemar kopi. Apa sahaja berkaitan kopi, dia memang arif. Malah, Qaira sanggup berbelanja membeli aneka serbuk dan biji kopi keluaran tempatan mahupun luar negara semata-mata memenuhi cita rasanya. 

“Akak belilah apa-apa yang akak rasa sesuai,” ujar Dina.


“Nanti akak carikan. Nak akak siap-siap packing dari sini tak?”


No need. Dina dah beli a few things. Yang kirim dekat akak ni kira tambah-tambah je. Biar hadiah tu nampak besar.”


Tiba-tiba kedengaran bunyi pintu dihempas. Kuat. Diha terkejut.


“Bunyi apa pulak tu?” soal Dina musykil.


“Entah. Ariyyan balik kot. Dik, I think I got to go. Kita borak lain kali ye,” Diha  segera menoktahkan perbualan. Hendak mengintai keadaan Ariyyan. Mana tahu Ariyyan memerlukan sesuatu.


Bye, kak! Hugs and kisses from us here.”


“Mmuaah! Mmuah!” Talian diputuskan. Dia pantas keluar ke ruang tamu. Kelihatan barang-barang Ariyyan bertaburan di atas sofa. Kelibat Ariyyan hanya dapat dikesan saat lelaki itu buru-buru memasuki biliknya. Sekali lagi pintu dihempas. Diha terkedu. Mengapa Ariyyan bersikap sebegitu? Apa jua yang mencetuskan kemarahannya kali ini?


Diha menoleh tatkala pintu utama rumah dibuka dari luar. Bahri terjengul dari balik pintu. Gesa-gesa Diha berundur beberapa tapak ke belakang menghindar diri daripada pandangan Bahri. Dia tidak bertudung.


“Bahri, tunggu sekejap! Saya tak pakai tudung ni,” ucap Diha. Kemudian, dia berlari anak ke bilik. Kemeja T yang dipakai ditukar kepada sehelai blaus berlengan panjang. Sesudah mengenakan tudung, Diha kembali lalu menggamit Bahri. Laju dia menapak mendapatkan Diha. Mereka berbalas salam.


“Kenapa Ariyyan, Bahri? Bad mood ke?” Diha bertanya. Tidak ada angin, tidak ada ribut, pulang mengusung lempias marah.


“Aduh, gawat kak! Kang Ariyyan marah bangat tuh! Gara-gara ini,” terang Bahri sambil menghulurkan senaskhah majalah hiburan. Diha mengambil lalu membacanya. Gosip mengenai Ariyyan menjadi tajuk utama majalah. ‘Ariyyan ARJUNA sudah ketemu pengganti Marsha.’ Terpampang wajah Ariyyan dan seorang artis wanita jelita bernama Aurora. Artikel tersebut melaporkan bahawa Ariyyan kini telah bertemu pengganti Marsha. Aurora, artis baharu di bawah pengurusan Chamar Entertainment dikhabarkan menjalin hubungan intim dengan Ariyyan setelah kerap dilihat bersama kebelakangan ini. 


Di lembaran seterusnya, wartawan yang mengarang artikel berkenaan mengulas panjang lebar persamaan juga perbezaan antara Marsha dan Aurora. Halaman itu dipenuhi pelbagai ‘fakta menarik’ yang membandingkan kedua-dua wanita. Dari sebesar-besar perkara hinggalah ke isu sekecil hama. Si wartawan turut membuat kesimpulan yang Ariyyan bakal memilih Aurora kerana Aurora merupakan calon paling layak mengisi kekosongon sebagai suri Ariyyan. Diha menggelengkan kepala. Demi melariskan majalah, sejauh itu si wartawan tergamak menjaja cerita.


Dia mengangkat muka memandang Bahri. “Ariyyan kan dah biasa dengan semua ini,” kata Diha. Mengapa sedemikian letus marahnya? Bukan kali pertama Ariyyan digosip. Jikalau diikutkan, dia sering dikaitkan dengan wanita-wanita lain. Tidak terhitung dek jari. Maklumlah, duda terhangat di pasaran.


“Benar, kak. Tapi, sebelum ini nggak ada reporter yang membanding-bandingkankan almarhumah Kak Marsha kae gini,” hurai Bahri. “Tulisannya amat terperinci kok.”


“Ohhh,” Diha mengangguk berkali-kali. Baru mengerti situasi yang sebenar. Patutlah marah sangat Ariyyan. Dalam diam Diha turut bersimpati. Memanglah lumrah tugas dan kerja wartawan hiburan menulis cerita panas bagi memancing perhatian pembaca. Tetapi, perlukah sampai menyinggung perasaan tuan punya diri? Tidakkah terlintas di fikiran, melalui penulisannya, Ariyyan kembali terseksa mengenang pemergian Marsha?


“Tak apalah, Bahri. Nanti saya tengok-tengokkan dia.”


“Kalau gitu, saya pamit dulu, kak.”


“Iya. Jalan baik-baik. Titip salam pada bunda kamu ya.”


“Insya-Allah, kak. Assalamu’alaikum.”


“Waalaikumussalam.”


Selepas Bahri pulang, Diha menuju ke bilik Ariyyan. “Ariyyan...” panggil Diha dengan nada yang dilentur. Pintu bilik diketuk. Tiada jawaban. Diha cuba memulas tombol pintu. Tidak berkunci. Dia mengumpul kekuatan lantas melangkah masuk. Ariyyan sedang duduk termenung di birai katil. Lelaki itu tunduk, kedua-dua belah tangan menekup muka. Nafasnya turun naik tanda amarah masih membara. Dia sekadar mengerling ketika Diha menghampiri.


“Ariyyan,..”


“Tinggalin aku sendirian!” herdik Ariyyan. Diha tidak bergerak. Bungkam di situ. Namun, apabila dilihatnya tiada herdikan susulan, selangkah demi selangkah dia mendekati si suami.


“Wartawan tu tak patut tulis begitu. Awak sabar banyak-banyak ye.” Diha memulakan bicara. Dia berzikir menyebut nama Allah ‘Ya Latif’ berulang kali. Moga dapat melunakkan hati Ariyyan. Biar kemarahannya surut. Biar sukma yang berkecamuk tenteram semula. 


“Keluar! Tinggalin aku!” Melengking suara Ariyyan mengarahkannya beredar. Sedikitpun Diha tidak gentar. Dia menutup mulut. Mencari akal bagaimana hendak memujuk sekaligus meredakan ledakan kemarahan Ariyyan.


‘Nak buat macam mana ni…” fikir Diha buntu. ‘Pujuk Dina retilah.’ Kebiasaannya, jika mahu menenangkan Dina, dia akan memeluk si adik erat atau mengusap lembut belakang tubuhnya. Baik rajuk mahupun marah, sakit ataupun gundah, Dina beransur tenang di dalam dakapannya. ‘Pujuk Ariyyan? Nak peluk? Ke usap belakang?’


‘Ishhhh! Ini Ariyyan,…bukan Dina! Jangan berani cuba-cuba nak peluk. Silap hari bulan kena terajang pula aku!’ Diha memejam mata. Kecut hati memikirkan kemungkinan itu. 


Bayangan yang berlegar di minda segera diusir jauh-jauh. Ariyyan diperhatikan penuh empati. Di sebalik kebengisan yang menata wajah, ada jiwa calar dilukai. Tatkala difikirkan kembali, dia yakin Ariyyan tidak akan mengapa-apakannya. Ariyyan hanya berperang dengan emosi. Perlahan-lahan Diha merapati si suami. Punggung dilabuhkan di sisi Ariyyan.


“Awak tak boleh lari, Ariyyan,” perlahan kata-kata meniti di bibir Diha. Sepatah sepatah. “Awak tak boleh sembunyi. Ini kan hidup awak. Usah bimbang. Kita tempuh sama-sama. Saya ada untuk bantu awak.”


“Bantuin apa? Apa bisa kamu lakukan? Apa?! Kamu tuh nggak benar-benar ngerti apa yang aku alami!” tingkah Ariyyan. Tahap sabarnya di paras minima. Mata mencerlung ke arah Diha.

Diha menarik nafas. Mengambil masa untuk membalas. Tercari-cari patah kata yang sesuai. “Betul. Saya tak mengerti sebab saya tak berada di tempat awak. Tapi, saya sudi jadi tukang dengar luahan hati awak. Ringan sikit tanggungan beban awak. Hakikatnya, kita tak mampu usir semua masalah tu. Cuma saya harap awak tahu saya ada di sini. Awak tak perlu hadap seorang.” Butir bicara dilafaz, berusaha meyakinkan Ariyyan.


Ariyyan mendengus keras. Dia kelihatan sangat tertekan. Bujukan Diha tidak membawa sebarang makna. Tidak meninggalkan kesan. Percubaan memujuk dan menenangkan Ariyyan gagal.


Diha memerhati ke sekeliling bilik. Dia bangkit mencapai tuala mandi kepunyaan Ariyyan. Kemudian, diambil sepasang kain pelikat, sehelai sejadah dan kopiah dari tempat penggantung kain. Dia menghulurkan tuala kepada Ariyyan. Lelaki itu mendongak. ‘Apa lagi yang coba Diha lakukan?’


“Fikiran awak tengah kusut tu. Pergilah mandi bersihkan diri,” saran Diha. Dia bersedia kalau-kalau disergah oleh Ariyyan. Melihatkan Ariyyan senyap tanpa respons, dia menyambung tutur.


“Ariyyan,...”

 

Diam. 


“Tak siapa pun berhak cakap dia faham setiap apa yang awak lalui. Awak sahaja yang tahu. Mungkin saya tak berupaya bantu selesaikan permasalahan awak,...” tokoknya seraya berdiri di hadapan Ariyyan. 


“Tapi, Yang Maha Mendengar sentiasa sedia mendengar rintihan hamba-Nya. Awak tahu kan nak adu pada siapa...” Ayat sengaja dibiarkan tergantung. Selebihnya Diha meletakkan kain pelikat, sejadah dan kopiah di atas katil di sisi Ariyyan.



Previous: Bab25-2
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.