Abang kau dah warning
aku! Dia tak nak aku masuk campur hal kau dengan Syam lagi. Aku betul-betul tak
boleh nak tolong kau kali ni.
Jangan call aku lagi.
Apa-apa hal, kau jangan SMS atau call aku lagi malam ni! Aku betul-betul tak
boleh nak tolong kau. Sorry.
Turun
naik nafas Sally saat matanya berulang kali membaca apa yang tertera di skrin handphonenya. Rasa marahnya terhadap
kakak iparnya itu kian membuak-buak. Sedari petang tadi sehinggalah ke malam
hari, satu pun panggilan daripadanya tidak dijawab oleh kakak iparnya itu.
Hanya tiga SMS yang masih ditelitinya itu yang menjadi ‘balasan’ terhadap
puluhan panggilan dan SMS daripadanya.
“Tak
guna punya perempuan!!!” Akhirnya jeritan yang sedari tadi membungkamkan ‘dirinya’
di dada terletus jua.
‘Kalau
tak disebabkan aku, kau takkan dapat miliki apa yang sedang kau kuasai kini!!!’ Kali ini hati Sally pula menggegarkan
daerah hatinya dengan jeritan yang semakin menggila.
“Ah!
Pergi jahanamlah kau! Kau ingat, kalau kau tak nak tolong aku… aku tak boleh
nak settlekan mamat tu! Aku akan
buktikan yang aku mampu tundukkan mamat tu tanpa bantuan kau!” Bagikan orang
gila Sally menghamburkan sumpah seranahnya.
“Settlekan siapa?” soal Maznah yang
muncul entah dari mana.
Terkejut
Sally dengan sapaan itu, “Mama ni teruklah! Lain kali bagilah salam dulu! Ni
tak, main redah je!”
Si
ibu langsung tidak terkesan di hatinya dengan sikap kurang ajar anaknya itu.
Sudah acap kali, nada meninggi diterima daripada anak bongsunya itu.
“Sejak
bila pulak anak mama ni pandai bagi salam?” perli Maznah.
“Kalau
mama datang sini nak perli-perli Sally, baik tak payahlah.”
Kedatangan
si ibu sedikitpun tidak diingini oleh Sally. Bagi Sally kedatangan mamanya itu
hanya akan menambahkan beban masalah yang benar-benar menghimpit dirinya tika
ini.
“Kenapa
ni sayang? Anak mama ni ada masalah dengan Syam lagi ya?” Sudah hilang nada
perlian. Yang menjamah telinga Sally hanyalah pujukan.
“Mana
ada,” jawab Sally.
“Habis
tu yang Sally terjerit-jerit macam orang gila tu, kenapa? Mama dengar Sally
sebut ‘perempuan tak guna’, siapa tu? Takkan… Syam menduakan Sally?” telahan
cuba Maznah umpankan.
“Apa
yang mama merepek ni? Bila masa pulak Syam tu curang dengan Sally? Beranilah
dia nak curang dengan Sally!”
“Habis
tu, kalau bukan kekasih gelap Syam… siapa pulak perempuan tak guna tu?” Maznah
kian runsing memikirkan perihal anak bongsunya itu.
Terpekik,
terlolong macam orang gila sebentar tadi. Ada apa sebenarnya yang telah berlaku
di antara anak bongsunya itu dengan bakal menantunya? Siapakah sebenarnya
‘perempuan tak guna’ yang dimaksudkan oleh anaknya itu sebentar tadi?
“Mama
tanya ni… siapa ‘perempuan tak guna’ tu?” Soalan diulangi dengan nada yang kian
melembut. Maznah tahu, hanya nada itu sahajalah yang mampu meredakan sedikit
amarah yang masih menguasai anaknya itu.
“Menantu
mama!” jawab Sally kasar.
“Menantu
mama?... maksud Sally, Azura?” Sudah berkerut dahi Maznah memikirkan kaitan
yang mungkin bersangkut di antara menantunya itu, anaknya ini dan Syam.
“Azuralah
siapa lagi! Perempuan bodoh! Tak guna!” Masih belum puas Sally melempiaskan
kemarahannya.
“Tak
baik Sally cakap macam tu pasal kakak ipar Sally.” Maznah memegang lembut bahu
Sally, namun cepat sahaja ditepis. Ternyata anaknya itu masih belum boleh
‘dijinakkan’.
“Kakak
ipar?... kalau tak disebabkan Sally, Azura tu takkan dapat pun berkahwin dengan
abang. Perempuan tak sedar diri!”
Maznah
sudah sedia maklum bahawa Sallylah yang telah menyatukan Azura dengan anak
sulungnya itu. Bagi Maznah tiada apa yang hendak dihairankan sementelah Sally
dan Azura memang sudah bersahabat sedari mereka sama-sama menuntut di kolej
lagi.
“Cukuplah
tu Sally. Mama tak nak Sally maki hamun kakak ipar Sally tu lagi. Walau apa
pun, dia tetap isteri abang kamu. Cubalah kamu tunjukkan sikit rasa hormat kamu
tu,” nasihat Maznah.
Sally
terdiam biarpun hatinya sedang membentak mendengarkan ‘ceramah percuma’ mamanya
itu.
“Sekarang
ni mama nak tanya last dengan Sally…
apa kaitan Azura dengan masalah Sally? Lepas tu, tadi Sally cakap yang Sally
nak settlekan sesuatu… Sally nak settlekan apa?” Kali ini Maznah nekad
untuk mengetahui perihal sebenarnya.
“Tak
ada apa-apalah mama,” jawab Sally kurang senang dengan sikap menyebuk mamanya
itu.
“Tak
apa. Kalau Sally tak nak beritahu, mama takkan paksa. Tapi… mama akan beritahu
papa, apa yang mama dengar tadi,” ugutan terpaksa Maznah sulamkan dalam
bicaranya yang masih melembut.
“Apa
ni mama! Mama nak paksa Sally ya?!”
Sudah
Maznah jangkakan akan reaksi anaknya itu. Membentak dan memaki hamun sudah
teramat sebati dengan diri anak bongsunya itu.
“Mana
ada mama ugut? Mama cuma bagi Sally dua pilihan sahaja… sama ada nak ceritakan
pada mama atau, biarkan papa yang menyoal anak kesayangan mama ni.” Bersama
bicara, Maznah menyentuh lembut pipi gebu anaknya itu.
Sempat
lagi Maznah meneliti kecantikan Sally yang persis figuranya sewaktu dirinya
muda dulu.
“Baiklah.
Sally akan beritahu…” Berserta keluhan yang begitu berat, Sally meluahkan
segala apa yang terpendam di hatinya.
Permulaan
cerita berkisarkan pergaduhannya dengan Syam yang berlaku sewaktu makan tengah
hari tadi. Di pertengahan cerita pula, muncul watak Azura. Kakak iparnya itu
sekali lagi menerima maki hamunnya akibat keengganan wanita itu menuruti
telunjuknya dan di akhiran cerita sudah pastilah mengenai kekusutan mindanya
yang masih bersimpul untuk ‘mengikat’ semula Syam agar kembali menyintainya
seperti dulu.
“Maksud
Sally… Syam dah putuskan hubungan dengan Sally, macam tu?” Belum sempat anak
bongsunya itu mengakhiri ceritanya, Maznah sudah mencelah.
“Bila
masa pulak Sally kata Syam dah tinggalkan Sally! Mama ni teruklah… orang belum
habis cerita lagi, dah mencelah. Tadi, mama jugak yang beria-ia nak Sally
jelaskan semua.” Sally kembali berang dengan fiil mamanya itu.
“Okey.
Teruskan.” Malas hendak berbahas dengan Sally, Maznah menadah semula
telinganya.
“Waktu…
Syam nak putuskan hubungan dengan Sally… Sally merayu agar Syam tak tinggalkan
Sally dan akhirnya Syam bersetuju untuk memberikan Sally satu lagi peluang.” Sudah
merendah nada Sally. Ada kesayuan menyinggah di dalam bicaranya itu.
“Merayu
je?” Maznah masih belum puas mendengarkan pengakuan anaknya itu.
Maznah
merasakan yang anak bongsunya itu masih menyembunyikan sesuatu daripadanya.
Saat mengetahui ‘perang dunia’ yang telah tercetus di antara anaknya itu dan
bakal menantunya, mustahil dengan hanya rayuan Syam dapat menerima semula anak
bongsunya itu.
“Apa
maksud mama?” soal Sally, kurang mengerti.
“Yalah,
takkan merayu je? Manalah tahu yang anak mama ni ada menangis di hadapan Syam
ke, sampai Syam rasa terpujuk dan akhirnya memberi peluang sekali lagi pada
anak mama ni?” senyuman sudah terukir di bibir Maznah saat wanita itu
mengakhiri kata-katanya.
“Tolong
sikit! Bila masa pulak Sally menangis?! Mama ingat, anak mama ni tak ada maruah
ke nak menangis depan lelaki?” Ego yang masih meninggi menafikan kebenaran yang
berlaku siang tadi.
Kebenaran
yang menyaksikan betapa matanya membengkak setelah tangisan beria dilakonkan
untuk mendapatkan kembali kepercayaan lelaki itu terhadap dirinya. Sally yakin
hanya dengan tangisanlah, dia dapat menguasai semula lelaki itu!
Maznah terdiam. Tiada sepatah
kata pun yang keluar untuk melawan bicara anaknya itu. Apa yang terzahir
hanyalah senyuman yang kian melebar, menandakan yang dia sedikitpun tidak
mempercayai kata-kata yang terlahir dari bibir ‘si penipu’ di hadapannya itu.
Maznah sudah sedia maklum akan sikap putar belit alam anaknya itu. Entah fiil
siapa yang diikuti, Maznah sendiri tidak pasti.
“Suka
hati mamalah, mama nak percaya ke tak. Dahlah, Sally nak masuk tidur. Nak
rehatkan otak.” Selamba Sally membelakangi mamanya sebelum mengatur langkah.
Namun baru tiga langkah aturannya…
“Sally,
tak nak dengar pendapat mama? Mama rasa, mama ada jalan penyelesaian untuk
masalah Sally tu.” Segera kata-kata itu Maznah lahirkan, agar anaknya itu
menghentikan langkahnya dan selebihnya dia sendiri sebenarnya tidak mahu lelaki
sebaik Syam terlepas dari genggaman anak bongsunya itu.
Langkah
Sally sudah termati. Namun otaknya masih berkira-kira hendak mendengar butiran
lanjut cadangan mamanya itu atau hanya berlalu pergi sementelah kepalanya sudah
berdenyut akibat tekanan yang menghimpitnya sedari siang tadi.
“Mama
pasti, cadangan mama ni akan membawa Syam kembali menyayangi Sally macam dulu!”
Kali ini lebih yakin Maznah melahirkan kata-kata itu dan ternyata tindakannya
itu membuahkan hasil.
Dua
pasang mata sudah bertentang pandang. Senyuman kelembutan sudah menggarisi
wajah si ibu dan pandangan penuh pengharapan menguasai sepasang mata milik si
anak. Perlahan, bibir si ibu terbuka dan telinga si anak sudah tersedia untuk
mendengar cadangan si ibu bagi membolehkan dirinya mendapatkan kembali cinta
abadi daripada seorang lelaki. Seorang lelaki yang sudah mulai menampakkan
bayangan kebosanan terhadap dirinya! Seorang lelaki yang sudah pandai meninggi
nada ketika berbicara dengannya! Seorang lelaki yang kian gemar merungut
tentang sikap queen controlnya! Dan
seorang lelaki yang teramat dicintainya… Syam! Syamsunnahaar! Biar apa pun yang
terjadi, Sally akan ‘menundukkan’ semula lelaki itu!