Home Novel Cinta Jodoh Yang Kucari
BAB 8

8

 

LANGKAHNYA kian longlai. Terasa kepenatan mulai memijat-mijat dirinya. Dakian tangganya juga benar-benar perlahan.

“Baru balik?” sergah satu suara.

Degupan jantungnya benar-benar laju saat dirinya disergah oleh insan yang sedang bersandar di balkoni. Lelaki itu tersenyum padanya bersama lambaian. Mahu tidak mahu lencongan dilakukan jua.

“Letih nampak,” tutur Rouf.

“Mahunya tak letih,” keluhan kian menekan makna kata-kata Syam.

“Siap mengeluh lagi… ni mengeluh sebab kerja ke? Atau buah hati ni?” Rouf sudah mula mengusik abangnya.

“Entahlah… susah abang nak cakap.” Perlahan Syam bersuara.

Rouf mengerti mengapa raut wajah abangnya kian sugul.

“Tulah sebabnya dari dulu lagi adik suruh abang fikir masak-masak sebelum bercinta dengan buah hati abang tu. Bukan niat adik untuk merendah-rendahkan sesiapa. Tapi… kalau kita sebagai lelaki sudah mengambil keputusan untuk berkasih-kasih dengan wanita yang jauh lebih muda dari kita, jadi… kesabaran itu perlu, kerana kesabaran itulah yang akan sentiasa menyelamatkan hubungan yang selalu goyah,” nasihat Rouf.

Setiap kali adiknya itu membicarakan soal hati dan perasaan pasti dirinya termangu seketika. Bukan tidak memahami tetapi hendak menyelami setiap patah perkataan yang boleh diambil kira sebagai nasihat.

“Sabar… kalau nak diperdebatkan soal sabar, rasanya abanglah juaranya.” Sengaja Syam mengukirkan senyuman untuk melumpuhkan bebanan perasaannya tika ini.

“Baguslah abang ni. Tengah ada masalah pun boleh senyum lagi,” usik Rouf lagi.

“Habis tu adik nak abang buat apa? Menangis? Macam tu?”

“Adik tak kisah kalau abang nak menangis. Kalau abang nak ‘pinjam’ bahu adik pun adik sudi.” Rouf sedar, corak perbualan berbentuk jenaka perlu dicetuskannya saat ini agar tekanan yang dirasai oleh abangnya itu mampu rebah.

“Adik dah banyak kali dah ‘pinjamkan’ bahu adik. Sampai kadang-kadang abang berasa malu dengan diri abang sendiri. Malu bila papa banding-bandingkan abang dengan adik. Malu bila abang sendiri mengakui yang pilihan adik selalunya lebih sempurna daripada abang,” sayu nada suara Syam.

Rouf memandang lembut wajah abangnya. Ternyata figura itu berubah selaras dengan kesayuan bicaranya sebentar tadi.

“Abang… abang terasa dengan papa ya?” Rouf cuba mengesahkan tekaannya.

“Abang tak berhak untuk terasa hati dengan papa. Memang abang ni bukan anak yang baik. Bukan anak yang menyenangkan hati dia. Abang tak macam adik… setiap pilihan adik pastinya sempurna di mata papa.”

“Siapa kata abang ni bukannya anak yang baik? Kalau abang bukannya anak yang baik, abang takkan turuti kehendak papa sewaktu papa mahukan abang menjadi C.E.O syarikat. Adik tahu bidang perniagaan bukanlah pilihan dan cita-cita abang yang sebenarnya, tapi demi papa abang sanggup kuburkan kehendak abang dalam mengejar cita-cita. Adik yakin papa perasan akan pengorbanan abang dan disebabkan kepercayaan yang begitu tinggi pada abang jugalah jawatan C.E.O syarikat diserahkan pada abang. Papa terlalu sayangkan abang sebab tulah…” kata-kata Rouf terhenti di situ. Dia takut andai bicara seterusnya akan mencalarkan perasaan abangnya itu.

“Sebab tulah papa kecewa bila abang bercinta dengan kekasih abang tukan?” telah Syam.

Saat ini pandangan kedua beradik itu saling bertautan. Rouf mengukirkan senyuman sebelum mengalihkan pandangannya ke dada langit. Dibiarkan sahaja persoalan abangnya itu tergantung. Otaknya pula digesa untuk mencari topik perbualan yang berbeda agar dapat dikalih perhatian abangnya itu dari terus-terusan memikirkan ‘wanita’ yang telah menggoyahkan perhubungan abangnya ini dengan papanya.

“Abang…” Lembut Rouf memanggil abangnya dan cepat pula insan di sisinya itu memandang ke arahnya.

“Boleh adik tanya abang satu soalan.”

“Apa dia?” Laju Syam bertanya.

“Kenapa dari kecil lagi abang sukakan bintang? Maksud adik kenapa bintang dan bukannya bulan?”

“Kenapa tiba-tiba tanya pasal bintang ni?” soal Syam, hairan.

“Saja.” Melebar senyuman Rouf saat figura seseorang bagaikan menari-nari di tabir matanya.

“Sebab… bintang tampak lebih sempurna di mata abang berbanding bulan. Kerdipan bintang yang bercahaya mampu menenangkan hati yang sedang kegelisahan dan bintang juga mampu mengundang kerinduan pada insan tersayang.”

Rouf segera mencerna bait-bait bicara abangnya. Rekahan di bibirnya kian melebar sehingga mengundang tanda tanya di hati insan di sisinya.

“Lain macam je cara adik senyum ni. Macam orang tengah mabuk cinta je abang tengok.” Kini giliran Syam pula menyakat adiknya.

Usikan itu bagaikan angin lalu yang menyapa diri Rouf, sedikitpun tidak terkesan di hatinya.

Namun saat bicara insan yang ditemuinya siang tadi bergema semula di telinganya, pantas sahaja persoalan diutarakan kepada abangnya, “Abang tahu tak dalam Bahasa Arab ada satu bintang yang dinamakan Suhailah.”

“Suhailah? Macam nama orang je. Tapi… kalau betullah manusia yang bernama Suhailah tu wujud sudah pastilah abang pasangannya sebab nama abang Syamsunnahaar yang bermaksud Matahari Siang. Memang sesuaikan. Terangnya siang kerana mentari dan indahnya malam kerana cahaya bintang. Cinta abang akan menerangi kebahagiaan kami di waktu siang dan cinta Suhailah pulak akan menerangi mahligai cinta kami di waktu malam. Ah… indahnya. Tapi… ada ke wanita yang bernama Suhailah ni di luar sana?” tawa kecil tercetus di bibir Syam saat memikirkan angan-angan itu. Angan-angan yang menjelma saat nama Suhailah terpacul dari bibir adiknya.

‘Kenapa Cahaya Suhailah? Sebab nama penuh saya Nur Suhailah. Nur yang membawa makna cahaya dan Suhailah sebenarnya nama sebutir bintang di langit. Jadi bila diterjemahkan sebenarnya nama tadika ini membawa erti cahaya sebutir bintang dan sebagaimana namanya, saya berharap setiap pelajar yang menuntut di sini mampu bersinar seperti bintang suatu hari nanti dalam menggapai cita-cita mereka.’

‘Suhailah? Macam nama orang je. Tapi… kalau betullah manusia yang bernama Suhailah tu wujud sudah pastilah abang pasangannya sebab nama abang Syamsunnahaar yang bermaksud Matahari Siang. Memang sesuaikan. Terangnya siang kerana mentari dan indahnya malam kerana cahaya bintang. Cinta abang akan menerangi kebahagiaan kami di waktu siang dan cinta Suhailah pulak akan menerangi mahligai cinta kami di waktu malam. Ah… indahnya. Tapi… ada ke wanita yang bernama Suhailah ni di luar sana?’

Kata-kata Suhailah dan abangnya yang masih terngiang-ngiang di telinganya itu bagaikan menusuk-nusuk dadanya. Entah mengapa senyuman yang dilemparkan oleh Suhailah sewaktu bicaranya siang tadi dan tawa yang masih meriangkan hati abangnya saat ini telah melahirkan satu perasaan di hatinya. Perasaan yang amat menyakitkan dan perasaan itu sedikit demi sedikit menguasai dirinya tika ini.

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.