Home Novel Cinta Jodoh Yang Kucari
BAB 12

12

 

FAIZUL menghampiri Nurul sebelum persoalan diutarakan kepada setiausaha itu, “Bos ada?”

“Ada.” Lembut Nurul menjawab.

Mood bos baik ke hari ni?”

Untuk pertanyaan kedua itu Nurul tidak membuka mulutnya untuk melahirkan kata. Hanya bahunya sahaja yang dijungkitkan, tanda tidak tahu. Namun jawapan itu bukanlah kenyataan yang sebenarnya. Apa yang sebetulnya Nurul mengetahui mood bosnya itu agak terganggu sepulangnya dia dari lunch tadi. Kesuraman yang menguasai figura bosnya itulah buktinya.

“Takkan mood bos kau sendiri pun kau tak tahu,” perli Faizul.

“Bos aku, bos kau jugak. Dah aku tak tahu. Aku cakaplah aku tak tahu.” Selamba Nurul membalas.

Faizul pantas menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal.

“Kau ni kenapa? Lain macam je aku tengok,” musykil Nurul dengan tingkah rakan sekerjanya itu.

“Tak ada apa-apalah.” Garuan dihentikan. Kini kakinya pula yang mengorak langkah.

“Kau nak pergi mana tu?!” Sedikit terjerit Nurul.

“Nak jumpa boslah.” Bersahaja Faizul memaklumkan.

“Suka-suka hati kau je nak rempuh bilik bos macam tu. Tunggulah aku interkom dulu.” Bengang Nurul dengan sikap lelaki yang kian panjang langkahnya itu.

“Lambat.” Bersama sepatah kata itu jari jemari Faizul laju mengetuk dada kayu di hadapannya.

Bertambah bengkak hati Nurul dibuatnya, ‘Mentang-mentanglah kau tu kawan bos!’

Tuk… tuk… tuk…

“Masuk!” laung Syam. Sesaat terpacul wajah Faizul di muka pintu bilik pejabatnya.

“Kau Faizul. Duduklah.”

Arahan daripada Chief Executive Officer syarikat itu dituruti, “Sorrylah, kalau I ganggu En. Syam. En. Syam busy ke?”

Hampir sahaja senyuman merekah di bibir Syam saat mendengarkan ayat skema lelaki di hadapannya itu. Lelaki yang dikenalinya sedari sekolah rendah itu sudah begitu akrab dengannya dan kerana keakraban itulah terjalinnya persahabatan antara mereka. Persahabatan yang dilanda dengan pelbagai ombak dan duri itu tetap jua utuh sehingga ke hari ini. Namun bukan kerana talian persahabatan, Syam mengambil Faizul bekerja. Tetapi kerana kelulusan dan kelayakannya.

“Tak payahlah kau nak skema sangat. Bukannya ada sesiapa pun dekat bilik ni. Ada apa kau datang jumpa aku ni?” soal Syam sambil memandang tepat ke arah Faizul.

Faizul sudah tersenyum lebar mendengarkan kata-kata sahabatnya itu.

“Aku bukan apa. Seriau tengok muka monyok kau tadi. Tu yang aku terus jadi skema tu.”

Mendengarkan itu, terus sahaja keluhan terpacul di bibir Syam.

“Ha! Nampak tu… tu mengeluh-mengeluh tu adalah tu. Kau apa hal? Gaduh dengan Sally lagi ke?” teka Faizul.

“Macam mana kau tahu yang aku bergaduh dengan Sally?” Laju Syam bertanya.

“Come on bro… Aku kawan dah lama kot dengan kau. Setakat muka monyok macam ni, siapa lagi yang punya angkara. Sudah pastilah buah hati kau tu. Apa pulak cerita kali ni?”

Seketika Syam terdiam. Dibetulkan duduknya, “Tengah hari tadi… Aku dah janji dengan anak-anak buah aku nak lunch dengan dia orang dekat luar. Jadi aku suruhlah Wak Mukmin hantar dia orang dekat restoran tu dan aku pulak bertolak dari ofis. Kau tahu tak aku jumpa siapa dekat sana?”

“Sally?” Sekali lagi Faizul meneka.

“Belum lagi. Maksud aku orang pertama yang aku jumpa Dani, anak Azura.”

“Azura? Adik sepupu kau tu?”

Syam menganggukkan kepalanya sebelum menyambung semula bicara, “Orang kedua yang aku jumpa, Azura. Bila dah ada Azura… aku yakin mesti ada…”

“Mesti ada Sally dan ternyata tekaan kau tu tepat. Betul tak?” Faizul memotong percakapan sahabat di hadapannya itu.

Syam sekali lagi menggerak-gerakkan kepalanya ke bawah. Kesuraman sekali lagi menguasai figuranya.

“Syam… ini bukan kali pertama aku dengar cerita macam ni. Aku rasa masuk ni dah lima kali makwe kau tu spy kau. Kau tak rasa ke yang ini bukannya perkara yang normal? Kau lelaki! Dia perempuan. Mana boleh dia sesuka hati nak kawal kau macam ni. Kau kena sedar Syam yang Sally tu dah melampau!” tekan Faizul di akhir kata-katanya.

“Aku sedar. Saat aku tengok muka anak-anak buah aku yang takutkan Sally tu, aku tahu yang dia takkan mungkin dapat menjadi ibu yang baik suatu hari nanti dan saat aku terpandangkan wajah Wak Mukmin yang terasa dengan jelingan Sally… aku sedar dia tak mungkin dapat menjadi menantu yang baik. Tapi masalahnya…” kata-kata Syam terhenti.

“Masalahnya kau cintakan dia. Macam tu?” Pantas Faizul menyoal.

“Bukan setakat cinta. Tapi aku teramat cintakan Sally! Walaupun aku berasa rimas dengan kongkongan Sally tu, tapi tak pernah sedikitpun perasaan cinta aku pada Sally berkurangan. Aku sendiri kadang-kadang bingung dengan keadaan aku,” keluh Syam.

“Kau bukan bingung. Tapi kau kurang mengerti. Aku tahu, ini pengalaman pertama kau dalam menjalinkan hubungan cinta. Kau sendiri pernah bagitahu aku yang kau ingin mengahwini insan pertama yang kau cintai. Tapi persoalannya, adakah Sally tu adalah wanita terbaik yang kau boleh jadikan sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anak kau nanti?”

Berfikir! Berfikirlah! Itulah sebenarnya yang ingin diselitkan oleh Faizul dalam persoalannya sebentar tadi. Faizul mahu sahabatnya itu berfikir sedalam-dalamnya tentang hubungan cintanya dengan wanita muda itu. Wanita itu tidak dapat dinafikan oleh Faizul akan kejelitaan rupa paras dan keseksian tubuhnya. Namun Faizul yakin. Syam bukanlah lelaki bermata keranjang. Sehingga ke saat ini Faizul sendiri tidak mengerti kenapa mesti Sally yang menjadi pilihan hati sahabatnya itu? Mengapa harus dia?

 

“BABAI Mak Usu. Babai…”

Terdengar riang suara kanak-kanak lelaki itu. Keriangannya ternyata telah menarik perhatian seseorang. Seseorang yang sedang mematungkan dirinya di dalam kegelapan.

Sesaat terdengar bunyi kunci dimasukkan ke dalam ‘rumahnya’.

Krekkk…

Bunyi itu sedikitpun tidak menganjakkan dudukan lelaki itu. Kian dipatungkan tubuhnya dan kian ditajamkan sepasang matanya ke arah kedua insan yang sedang memasuki ruang yang gelap.

“Mama… papa tak balik lagi ke?” soal Dani.

“Tak tahulah mama. Tapi kereta papa dah ada dekat luar.”

“Alah… janganlah papa tak balik lagi. Papa dah janji nak masak ketam untuk Dani hari ni,” rajuk Dani.

Mendengarkan itu, lelaki itu pantas bangkit dan bergerak menghampiri suis lampu. Namun tiada sesiapa pun yang menyedari akan pergerakannya.

“Sayang jangan risau ya, papa dah masakkan dah ketam masak kuah lemak untuk anak kesayangan papa ni.” Seraya menuturkan kata-kata itu serakan cahaya terus menerangi ruang tamu rumah dua tingkat itu.

“Papa! Dani ingat papa keluar lagi malam ni. Nasib baik papa ada dekat rumah.” Dani berlari mendapatkan papanya. Cepat pula tubuh kecil miliknya didakap penuh kasih.

“Papa balik awal hari ni. Tapi bila papa balik tak ada sesiapa pun dekat rumah. Dani pergi mana ni?” Kelembutan nada Rusydi ternyata mampu menyamankan hati si kecil, namun jelingan mautnya ternyata meresahkan hati si isteri.

‘Mampus aku kena bebel malam ni!’ Kerisauan mulai mencengkam kegusaran di hati Azura.

“Dani pergi jalan-jalan hari ni papa. Best sangat! Papa… Papa tahu tak hari ni Dani jumpa siapa?” Manja Dani menyoal.

‘Alamak! Matilah aku!’ Kian gusar hati Azura.

Bertingkat-tingkatnya kegusaran akhirnya menghadirkan ketakutan di jiwa Azura. Azura yakin seandainya suaminya itu mengetahui agendanya pada hari ini, maka akan bernanahlah telinganya mendengar bebelan percuma daripada insan yang sudah mengalihkan perhatiannya kepada anak tunggal mereka. Cara suaminya itu memandang si kecil di hadapannya kian meresahkan hati Azura. Azura yakin pandangan lembut yang disisipkan ‘bodek’ itu pasti akan mencairkan hati Dani untuk menceritakan ke manakah mereka menghilang siang tadi!

“Cerianya anak papa malam ni, mesti siang tadi Dani jumpa…” Sengaja Rusydi membiarkan ayat itu tergantung.

Wajahnya pula dikerut-kerutkan bagaikan sedang memerah-merah otaknya. Sudah banyak kali taktik sebegitu dipraktikkan kepada anak kesayangannya itu dan ternyata hasil yang diperolehi tidak pernah menghampakannya.

“Alah… Papa janganlah kerut-kerutkan muka. Cian Dani tengok. Susah sangat eh papa nak teka Dani jumpa siapa siang tadi?”

Rusydi mengangguk-anggukkan kepalanya dan semerta kesayuan ‘ditampalkan’ ke wajahnya.

‘Habislah! Masuk perangkap lagi anak aku ni!’ Hati Azura kian tidak keruan. Ketakutan pula semakin menguasai dirinya sehingga menghadirkan sejuk keseluruh tubuhnya.

“Dani jumpa Laila dengan Laili papa! Seronok sangat Dani dapat makan sama-sama dengan dia orang. Uncle Syam pun ada sekali papa. Best. Rugi papa tak ikut tadi.” Beria-ia benar Dani bercerita.

“Ooo… anak papa ni jumpa si kembar tu ya. Macam mana Dani boleh jumpa dia orang pulak?” Pancingan Rusydi sudah mengena. Hanya menunggu mulut anaknya itu menuturkan kebenaran agar ‘hasil tangkapan’ diperolehi. Rusydi mengerling ke sisi dan dilihat wajah isterinya itu sudah memucat.

‘Sah! Mesti dia buat hal lagi ni.’ Yakin benar hati Rusydi dan keyakinan itu kian memuncak saat Dani gembira menyambung ceritanya.

“Mula-mula Mak Usu datang rumah. Mak Usu baik papa,” puji Dani kepada Mak Usunya.

“Kenapa Dani kata Mak Usu baik? Mak Usu yang bawak Dani pergi jumpa Laila dengan Laili ke?”

Laju Dani menganggukkan kepalanya sebelum bibirnya bergerak semula, “Mula-mula Dani pun tak tahu yang Mak Usu nak bawak Dani dengan mama pergi jumpa Laila dan Laili sebab Mak Usu tak terus bawak Dani pergi restoran besar tu.”

“Restoran besar?” Laju Rusydi bertanya.

‘Ya Allah… Dani janganlah jawab soalan papa tu nak. Janganlah jawab!’ Namun gema kata-kata itu hanya terdengar di daerah hati Azura sahaja.

“Ha’ah papa. Restoran tu besar sangat. Makanan dia pun sedap-sedap. Lain kali kita pergi ya papa,” ajak Dani.

“Boleh sayang. Tapi Dani belum bagitahu papa lagi, Mak Usu bawak Dani pergi mana dulu sebelum ke restoran besar tu?”

“Alamak lupa pulak.” Serentak, Dani menepuk dahinya perlahan dan sengehan menampakkan gigi putihnya.

“Mula-mula Mak Usu bawak Dani pergi tempat kerja Uncle Syam dengan Uncle Rouf dulu. Lepas tu bila Mak Usu nampak Uncle Syam keluar, terus Mak Usu follow kereta Uncle Syam sampailah di restoran besar tu. Masa dekat restoran tulah Dani jumpa Laila, Laili dengan Wak Mukmin. Tapi Wak Mukmin tak ikut kita orang makan sebab Uncle Syam kata Wak Mukmin ada kerja. Papa… Papa kata ada masakkan Dani lauk ketam berkuah, kan?”

‘Confirm aku mati malam ni!!!’ jeritan di hati menggerunkan jiwa Azura.

“Ya sayang, papa dah masakkan dah. Dani lapar lagi ke?”

Dani menggeleng-gelengkan kepalanya sebelum mulutnya melahirkan kata-kata, “Tapi Dani nak ratah je boleh tak papa lauk ketam tu?”

“Mestilah boleh. Memang papa masakkan lauk tu khas untuk anak kesayangan papa ni.” Rusydi mencubit lembut pipi anak tunggalnya itu.

Namun itu hanyalah lahiriahnya sahaja sedangkan hatinya sudah meletuskan lava amarah yang digegarkan oleh kata-kata Dani sebentar tadi. Kata-kata yang menjelaskan secara terang-terangan betapa isterinya itu sudah mengingkari arahannya! Sudah berpuluh kali Rusydi melarang Azura daripada masuk campur akan perihal Sally dan Syam. Tetapi ternyata larangannya itu langsung tidak diendahkan oleh isterinya yang sudah begitu pucat wajahnya tika ini. Make up di wajah juga tidak lagi mampu untuk menyembunyikan kepucatan itu.

“Papa, jomlah kita pergi makan. Dani dah tak sabar nak ratah lauk ketam ni.” Dani merengek manja sedangkan Azura sudah kegerunan hatinya. Gerun menantikan ‘amukan’ suaminya yang akan meletup pada bila-bila masa sahaja.

“Dani pergi dapur dulu boleh? Kalau Dani dah tak sabar sangat, Dani makan je dulu. Papa ada hal nak bincang dengan mama sekejap, ya sayang.”

‘Jangan pergi Dani! Tolong jangan pergi!’ jeritan di hati Azura tidak mampu didengari si kecil. Lantas…

“Okey.” Sepatah jawapan menggerakkan laju kaki Dani ke arah dapur. Rasa sabar di hati si kecil itu sudah menipis untuk mendapatkan makanan kegemarannya. Bagi Dani lauk ketam berkuah lemak itulah masakan terenak yang pernah dirasainya.

Lenyap sudah bayangan Dani. Kini dua pasang tubuh saling berhadapan. Seorang mencengil wajahnya dan seorang lagi sudah tertunduk figuranya. Terlihat gigil di batang tubuh insan yang sedang tertunduk itu. Sedikitpun tiada keberanian di dalam dirinya untuk bertentang pandang dengan insan yang kian menghampirinya.

“Betul ke apa yang Dani katakan tu?!” Getaran suara Rusydi menakutkan Azura! Azura tahu betapa amukan amarah suaminya itu harus didepaninya pada saat dan tika ini!

‘Ya ALLAH… bantulah aku,’ tangisan suara hati memohon pada yang ESA.

Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.