23
FIGURA itu terus
menjelma sambil mengukirkan senyumannya. Senyuman kecil bersama pandangan redup
itulah yang telah mencuri hati Suhailah suatu tika dahulu. Pandangan itu
sentiasa mendamaikan hatinya. Namun… segala-galanya berkecai! Entah di mana
silapnya, dia sendiri tidak tahu. Mahligai yang diimpi bagaikan roboh sekelip
mata!
“Kenapa? Kenapa kau sanggup buat aku
macam ni? Kenapa?” Berjuraian air mata Suhailah saat tuturan persoalan
bertalu-talu meniti di bibirnya.
Semenjak pulang dari rumah Pak
Alangnya, mudah benar air matanya berjejeran sehingga menghanyutkan dirinya
kepada kenangan silam. Kenangan silam yang telah menenggelamkan dirinya ke
dalam ‘lumpur’ kesedihan.
Gambar di tangan ditatap penuh
kesayuan. Air matanya pula kian merembes saat memori diputar semula oleh ruang
ingatan.
‘Lepas
habis ijazah ni, saya nak terus kerja.’
‘Tapi
kenapa?’ Terkejut Suhailah mendengar kata-kata yang lahir dari bibir teman
lelakinya.
‘Sebab… saya nak kumpul duit.’ Tenang
lelaki itu menjawab persoalan Suhailah.
‘Kumpul duit? Maksud awak?’ Persoalan
diutarakan lagi saat Suhailah masih belum mengerti.
‘Saya
nak kumpul duit untuk masuk meminang awak. Saya nak cepat-cepat ‘ikat’ awak.
Saya takut kehilangan awak.’ Lembut benar bicara itu berserta pandangan
menggoda dihalakan kepada wanita kesayangannya.
Suhailah
tersipu dan tertunduk akhirnya.
Imbauan itu serta-merta hilang saat
tangisan Suhailah kian menggila. Bergetar bahunya menahan kesedihan yang
menggores-gores hatinya.
“Kenapa kau sanggup hancurkan
segala-galanya… kenapa?” Persoalan yang ditujukan kepada lelaki di dalam potret
itu benar-benar ‘membunuh’ rasa cintanya.
Rasa cinta di hati Suhailah bagaikan
‘lenyap’ sekelip mata ketika dia mengetahui sebuah kebenaran. Kebenaran
mengenai ketulusan lelaki itu. Ternyata semaian cintanya buat lelaki itu tidak
memberikan apa-apa makna setelah dirinya ditinggalkan. Ditinggalkan saat lelaki
itu sudah mendapat penggantinya.
Disebabkan kecurangan itulah dirinya
tidak lagi pernah mengimpikan apa-apa. Baginya impian untuk membina sebuah
mahligai cinta tidak mungkin akan menjadi nyata. Sementelah hati dan
perasaannya telah dipisahkan daripada lima perkataan… C.I.N.T.A!
‘Andartu!’ bisikan persis suara Pak
Alangnya itu menyentak dirinya.
Tercampak gambar di tangan. Bantal
di sisi diambil dan dipeluknya erat. Kelopak mata dirapatkan, agar bayangan
lelaki tua bergelar bapa saudaranya itu menjauh dari dirinya.
‘Anak saudara aku ni andartu!’
Sekali lagi bisikan daripada insan yang sama bergema.
“Ya ALLAH… hinakah aku, andai diriku
tidak dimiliki dan dinikahi sesiapa? Hinakah aku, ya ALLAH?” Gugur lagi air
mata Suhailah dan seperti biasa hanya kesedihan serta kekecewaan yang menguasai
ruang jiwanya.
ENTAH untuk keberapa kali Rusydi
mengeluh. Berserabut otaknya memikirkan perangai isterinya itu. Sikap malas
isterinya itu kian melampau-lampau. Satu kerja rumah pun tidak mahu
dilakukannya. Membasuh, mengemas sehinggalah memasak terpaksa dilakukannya
sendiri.
Dipejamkan matanya untuk ‘mencuri’
sedikit ketenangan melalui hembusan angin malam yang ‘menyentuh’ lembut
tubuhnya. Namun saat pandangannya gelap, pertelingkahan petang tadi berputar
semula. Semuanya berpunca akibat sikap malas isterinya itu.
Sewaktu Rusydi pulang dari tempat
kerja, dilihatnya rumahnya itu bagaikan tongkang pecah. Baju kotor di dalam
mesin basuh masih bertimbun. Pinggan mangkuk di dalam singki masih tidak
terusik dan yang paling mendidihkan hatinya saat melihat anak kesayangannya,
Dani merintih kelaparan.
“Apa aku nak buat lagi ni?” Matanya
sudah terbuka, namun keluhan masih belum reda.
Rusydi menggaru-garukan kepalanya
yang tidak gatal. Dari berdiri, Rusydi melabuhkan punggungnya di sebuah kerusi
yang berada di balkoninya itu. Pandangannya terus terhala ke dada langit.
Bertaburan bintang menghiasi kegelapan malam.
“Bintang…” Mulut melahirkan sepatah
kata dan mata ralit memandang ke atas ‘sana’.
‘Awak
tahu kenapa saya suka bintang?’ Manja suara itu menyapa pendengaran Rusydi.
‘Kenapa?’
soal Rusydi sambil merenung penuh kasih wanita berambut pendek di hadapannya itu.
‘Sebab
bintang bersinar dan sinarnya itu mampu memberikan ketenangan kepada
pemerhatinya,’ senyuman manis masih menghiasi wajah kuning langsat itu. Rusydi
pula langsung tidak berkata apa. Matanya ralit benar memandang seraut wajah
bersih itu.
‘Kenapa
awak pandang saya macam tu?’ soal wanita itu, segan dirinya diperhatikan
sedemikian.
‘Saya
terpegun.’
‘Terpegun?
Terpegun apa?’ Sikap polos wanita itu menjelma jua.
‘Terpegun
melihat bintang di hadapan saya.’ Habis menuturkan kata-kata itu, Rusydi
mencuit manja hidung insan kesayangannya itu.
Insan yang sudah ditanamkan azam di
dalam dirinya untuk ‘diikat’ secepat mungkin sehingga memutuskannya untuk tidak
lagi menyambung pembelajarannya selepas segulung ijazah digenggaman. Rusydi
mahu segera mencari pekerjaan. Dia mahu menjadikan wanita itu milik mutlaknya.
Namun… segala-galanya musnah sekelip mata selepas pertemuannya dengan Azura!
Bergenang air mata Rusydi menahan
sebak di dada. Sebak yang hadir saat penyesalan bertubi-tubi menghentam
dirinya. Andailah dia tidak bermain mata dengan Azura! Andailah dia tidak
melayan sikap menggedik Azura! Andailah dia tidak bermain cinta dengan Azura
sehingga memungkiri janjinya dengan ‘wanita itu’!... dan andailah dia tidak
hadir ke rumah Azura pada ‘malam itu’… pasti dia tidak akan kehilangan insan
yang teramat dicintainya. Malahan cintanya terhadap ‘wanita itu’ masih memekar
sehingga ke saat ini.
“Maafkan aku! Maafkan aku…” Bergetar
bibir Rusydi saat tuturan maaf dilahirkan. Namun tiada gunanya keampunan
dipinta tika ini kerana Rusydi yakin wanita kesayangannya itu tidak mungkin
akan memaafi dirinya.
Tertunduk Rusydi saat merasakan
kesedihan kian membeliti perasaannya.
“Papa! Papa okey ke?” risau Dani melihat
tingkah papanya.
Tersentak Rusydi dengan kehadiran
anak kesayangan di sisi. Dia mengangkat wajahnya dan cuba mengukirkan senyuman
buat anak tunggalnya.
“Papa… papa okey ke? Kenapa papa
menangis ni?” Sudah pucat wajah Dani akibat kerisauan yang kian memuncak di
dalam dirinya. Dani tidak pernah melihat papanya itu mengalirkan air mata.
Sekalipun tidak pernah.
“Papa okey. Jangan risau ya sayang.”
“Kalau papa okey, kenapa papa
menangis? Papa sedih dengan perangai mama ya?” Dani mengesat air mata di pipi
papanya.
Tersentuh hati Rusydi. Lantas tubuh
si kecil didakapnya erat.
“Papa… papa janganlah sedih…” pujuk
Dani.
Rusydi masih membisukan dirinya.
Cuba membuang jauh figura ‘wanita itu’. Wanita yang pernah dicintai dan
diremukkan hatinya.
“Kenapa papa diam ni?” Dani
melepaskan pelukannya.
Rusydi menggelengkan kepala sebelum
melahirkan kata-kata, “Tak ada apa-apa… kenapa Dani tak tidur lagi ni?” Rusydi
cuba mengalihkan perhatian anaknya itu.
“Dani tak boleh tidur.” Polos
jawapan si kecil.
“Kenapa Dani tak boleh tidur?”
Rusydi mengelus lembut rambut anaknya itu.
“Dani takut.”
“Dani takut apa sayang?” Rusydi
memandang penuh kasih anak kesayangannya itu. Ada sesuatu yang menyentuh hati
kebapaannya…
“Kenapa Dani menangis? Apa yang Dani
takutkan sebenarnya ni?” Bersama persoalan itu, Rusydi menghapuskan genangan
air mata di kelopak mata anaknya itu.
“Dani takut papa dan mama akan…
berpisah. Dani takut kalau Dani terpaksa tinggal dengan atuk dan nenek. Dani
takut…” Berjuraian air mata Dani tanpa mampu ditahannya. Sekali lagi kedua
beranak itu berpelukan. Hati Rusydi benar-benar tersentuh.
“Papa… mungkin ke papa akan
tinggalkan Dani?” sayu benar suara si kecil menyapa pendengaran Rusydi.
“Tak sayang, papa takkan sesekali
meninggalkan Dani. Percayalah!”
“Mama? Papa akan tinggalkan mama?”
Rusydi terentak. Entah mengapa
persoalan daripada anaknya itu terasa sukar untuk dijawabnya kali ini.
“Papa… jawablah. Dani nak tahu, papa
akan tinggalkan mama tak?” Kali ini Dani sudah memboloskan dirinya dari pelukan
papanya. Dia memandang tepat ke sepasang mata milik papanya itu.
Dapat Rusydi lihat kesedihan dan
ketakutan menguasai sepasang mata kecil di hadapannya. Dia tahu anaknya itu
pasti berasa sedih dan takut andai perpisahan benar-benar terjadi di antara
dirinya dan isterinya itu.
“Tak. Papa takkan tinggalkan mama.”
Lemah Rusydi berbicara. Dani berasa kurang yakin dengan intonasi suara papanya
itu. Lantas…
“Betul?” Kepastian sekali lagi
diperlukan.
Perlahan… Rusydi menganggukkan
kepalanya dan mengukirkan senyuman kecil. Biarlah dia beralah dengan anak
kesayangannya. Andai kesengsaran yang diperolehinya sepanjang bergelar suami
kepada Azura, dia sanggup! Kerana sememangnya itulah yang layak buat seorang
insan yang pernah mencurangi insan lainnya!