14
PINTU bilik
kelas dibuka dan cepat sahaja seorang wanita melangkah masuk bersama senyuman
ditebarkan kepada insan-insan ‘kerdil’ di hadapannya.
“Assalamualaikum
semua.” Salam, Suhailah berikan sementelah kesemua penghuni bilik 5 Amanah itu
beragama Islam.
“Waalaikumussalam cikgu.” Serentak
seramai 20 orang pelajar berusia lima tahun itu menjawab salamnya.
“Pandai adik-adik cikgu semua.
Baiklah siapa kenal nama cikgu?” Lembut Suhailah bertanya.
Beberapa orang pelajar mengangkat
tangannya.
“Yang tengah-tengah tu, mari ke
depan.” Akhirnya Suhailah mengarahkan seorang pelajar perempuan berkedudukan di
tengah-tengah para pelajar yang lainnya datang ke depan saat si kecil itu
mengangkat tangan.
Tanpa
Suhailah sedari ada insan lain membuntuti pelajar perempuan itu.
Kedua-dua pelajar seusia itu berdiri
di sisi kiri Suhailah. Melihatkan kedua mereka, cepat sahaja dia menelah apakah
nama yang mewakili diri kedua-dua pelajar itu.
“Baiklah siapa yang saya arahkan
untuk ke hadapan tadi?” soal Suhailah lagi.
“Saya cikgu.” Insan yang betul-betul
kedudukannya di sisi Suhailah menjawab.
“Habis tu kenapa pulak adik comel di
sebelah awak tu ikut awak ke depan?” Masih belum puas Suhailah menyakat kedua
pelajar itu.
Tertunduk insan yang dimaksudkan. Ketakutan
mulai mewarnai wajah kecil itu.
“Janganlah takut. Cikgu main-main
je,” senyuman, Suhailah lemparkan dan saat mata jernih itu melihatkan senyuman
itu pantas sahaja riak ketakutan terusir.
“Baiklah. Siapa nama cikgu?”
“Nur Suhailah, cikgu.” Serentak
kedua-dua pelajar perempuan bertudung di sisinya menjawab. Kesungguhan terpamer
di wajah mereka.
“Macam mana adik berdua boleh tahu
nama cikgu, Nur Suhailah?” Sengaja Suhailah mahu menyakat.
“Tu. Dekat atas tudung cikgu tu ada
papan tanda nama Nur Suhailah.” Insan di sisi Suhailah segera menjawab.
Semerta tawa kecil terhambur. Masakan
tidak, pin tanda nama dikatakannya ‘papan tanda’ nama. Bukan setakat Suhailah
tetapi seluruh penghuni kelas itu turut memberikan reaksi yang sama, malahan tawa
mereka menandingi nada tawanya.
“Betullah nama cikgu, Nur Suhailah, kan?”
soal insan di sisi Suhailah, bersungguh-sungguh.
“Betul sayang. Tapi… ini bukannya
papan tanda nama, tapi pin tanda nama.” Lembut Suhailah menerangkan.
“Ooo… kita ingatkan papan tanda nama
tadi.” Kali ini bukan insan di sebelah Suhailah yang bersuara.
Memang
Suhailah tidak nafikan, budak perempuan itu perwatakannya lebih manja berbanding
budak perempuan di sisinya.
“Walau macam manapun, cikgu nak
ucapkan tahniah sebab adik berdua dapat menjawab soalan. Oleh itu berikan tepukan
untuk si cerdik berdua ni ya,” arah Suhailah.
Segala arahannya dituruti dan
sekejap sahaja bilik bersaiz sederhana itu bergema dengan tepukan. Setelah
senyap menghalau hingar bingar sebentar tadi, Suhailah mulai menumpukan semula
perhatiannya kepada kedua-dua insan di sisinya.
“Baiklah. Oleh kerana kamu berdua
dapat menjawab dengan betul, cikgu akan melantik kamu berdua untuk menjadi
ketua dan penolong kelas. Setuju semua?” Pandangannya dihalakan ke depan dan
terdengar teriakan.
“Setuju cikgu!!!” Bersemangat benar
kanak-kanak itu pada hari pertama persekolahan mereka.
“Cikgu lantik kamu menjadi ketua
kerana kamu merupakan orang pertama yang mengangkat tangan sewaktu cikgu
bertanyakan soalan tadi.” Suhailah halakan pandangannya tepat ke arah insan di
sisinya.
“Dan cikgu lantik kamu pula untuk
menjadi penolong kerana keberanian kamu mengikuti rakan kamu ke hadapan.”
Suhailah halakan pula pandangannya ke arah insan yang sedang membuka mulutnya
untuk memulakan percakapan.
“Cikgu ini bukan kawan saya. Tapi
ini kakak saya,” tutur si kecil itu.
Sudah diagak itulah yang hendak
diperkatakan oleh si comel itu.
“Kakak? Ooo… nampaknya kita ada
pasangan adik beradik di sini. Baiklah. Sekarang cikgu nak kamu berdua
memperkenalkan diri masing-masing.”
Insan di sisi Suhailah menoleh pada
pasangan kembar di sebelahnya sebelum kedua mereka menghalakan semula pandangan
ke arah teman-teman di hadapan.
“Nama saya Siti Laila Binti Mohd.
Rouf.” Si kakak bersuara kuat.
“Nama kita Siti Laili Binti Mohd.
Rouf.” Si adik pula bersuara nyaring dan semerta tepukan bergemuruh.
Senyuman
Suhailah pula kian memekar saat mengetahui tekaannya sebentar tadi tepat sama
sekali.