Home Novel Cinta Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Mastura Abdullah
14/3/2014 15:43:33
1,199,837
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 25

25

IRIS Suhayla memberi salam namun tiada jawapan. Dia masih menanti di hadapan pintu sedang Riyad duduk di atas salah sebuah kerusi batu. Rumah teres setingkat itu sunyi. Dia masih berteka teki sama ada Mak Su Dianah berada di rumah atau pun tidak.

"Telefon ajelah Mak Su tu. Dah setengah jam kita tunggu kat luar ni."

Cadang Riyad. Mereka tiba di hadapan rumah Mak Su Dianah setengah jam yang lalu. Kata Iris Suhayla, dia mahu menjemput sendiri Mak Su Dianah di rumah dan membuat kejutan memandangkan sudah lama mereka tidak bertemu. Iris Suhayla mengangguk lantas mendail nombor telefon bimbit Mak Su Dianah.

"Assalammualaikum. Mak Su, Su dengan angah dah ada depan rumah Mak Su. Bukaklah pintu ni."


SUASANA sepi sahaja. Baik Iris Suhayla, mahupun Riyad, masing-masing tidak terkata apabila melihat keadaan Mak Su Dianah yang kelesuan dan lebam di sana sini. Mak Su Dianah berada dalam keadaan trauma dan ketakutan. Menurut Mak Su Dianah, Pak Su Bakri berubah sikap menjadi pembengis semenjak Mak Su Dianah dapat menghidu hubungan sulit antara Pak Su Bakri dengan kekasih gelapnya setengah tahun yang lepas. Hampir setiap malam Pak Su Bakri tidak pulang ke rumah. Kalaupun suaminya balik, itu cuma untuk menukar pakaian sahaja. Tanpa makan dan minum, mahupun menghulur nafkah, Mak Su Dianah ditinggalkan. Bila ditanya, tangan dan kaki Pak Su Bakri akan menjadi makanannya.

Mulanya Iris Suhayla tidak mahu mempercayai namun buktinya terlalu jelas hingga tidak dapat dinafikan lagi. Dia terkenang akan saat-saat bahagia mereka. Mereka pasangan sejoli yang sangat sepadan. Akrabnya mereka ibarat belangkas sehingga dalam diam dia memasang tekad untuk mencari calon suami seperti Pak Su Bakri. Rupa-rupanya, saat-saat indah itu telah lama berlalu. Padanlah Pak Su Bakri sudah lama tidak menampakkan dirinya. Rupa-rupanya nama keluarga sudah dicampak jauh dari hatinya. Sedang Mak Su Dianah yang cantik itu pun diperlakukan seperti bola, inikan pula keluarganya.

"Mak Su ikut kami balik, ya?"

Iris Suhayla bersuara akhirnya. Mak Su Dianah diam namun kepalanya menggeleng tanda tidak bersetuju.

"Jatuh talak satu kalau Mak Su keluar dari rumah."

Cerita Mak Su Dianah, perlahan. Air matanya mengalir laju bersama cerita itu. Iris Suhayla dan Riyad saling berpandangan.

"Takkan mak Su nak duduk dalam rumah ni. Tunggu Pak Su balik. Disepak terajang. Esok pun macam tu jugak. Sampai bila Mak Su?"

"Sampai Mak Su mati."

"Astaghfirullah....itu kata-kata orang yang putus asa Mak Su."

Riyad yang diam, membuka mulut juga akhirnya. Dia juga tidak bersetuju Mak Su Dianah diperlakukan begitu. Jika penceraian jalan terbaik untuk meneruskan kehidupan, maka dia perlu berjuang untuk mempengaruhi Mak Su Dianah dalam membuat keputusan.

"Su tahu Mak Su sayangkan Pak Su tapi tak bermakna Mak Su perlu merelakan setiap perbuatannya. Su tak kuasa nak tengok keadaan Mak Su macam ni. Su nak buat police report . Angah temankan Su nanti, ya?"

"Tak payah."

Mak Su Dianah membantah. Dia mengesat air mata lantas bangkit dari sofa dan meninggalkan anak-anak saudaranya terkulat-kulat di situ.

"Angah bawak Su balik rumah. Mak Su takkan ikut kamu berdua balik. Jangan paksa Mak Su. Mak Su tak suka."

Beritahunya, kuat sambil berjalan masuk ke kamar tidurnya. Iris Suhayla melepaskan nafas yang terasa sesak. Melalui isyarat, dia meminta pendapat abangnya.


"KITA settlekan satu persatu. Bermula dengan majlis Su dulu. Jangan risau, kita ikhtiarkan sama-sama hal Mak Su ni.

Kata Riyad lantas memaut bahu adik bongsunya, mengajak si kecil yang menginjak umur dewasa itu masuk ke dalam perut kereta.

"Su rasa mak tak tahu pasal Mak Su ni."

Iris Suhayla bersuara perlahan, sebelum menutup kereta. Ketika dia hendak menarik pintu kereta, terasa seperti ada yang menghalang tindakannya lantas dia menoleh ke kiri. Pak Su Bakri sedang memegang pintu kereta tersebut.

"Apa ni, Pak Su?"

"Kau jangan nak bawak mulut. Kalau tidak aku ceraikan Mak Su kau."

Pak Su Bakri memberi amaran. Iris Suhayla menepis tangan Pak Su Bakri yang sedang menunjah di dahinya. Riyad lantas keluar dari kereta. Dia sakit hati melihat Iris Suhayla ditunjah begitu.Benar, mereka terikat dengan pangkat anak saudara, tetapi itu bukan punca kuasa untuk Pak Su Bakri memberi layanan buruk buat mereka.

"Pak Su berani? Kalau Pak Su berani, saya pun sama berani dengan Pak Su. Kita jumpa di mahkamah."

"Tak payahlah kecoh-kecoh lagi. Angah, pergi bawak Su balik."

Mak Su Dianah berteriak dari muka pintu. Kemudian, dia berlari mendapatkan Riyad yang sedang berkelahi dengan suaminya. Dia menolak-nolak Riyad dengan kasar supaya masuk kembali ke dalam kereta namun Riyad teguh berdiri. Biarpun sakit dipukul Mak Su namun dia tidak mahu berganjak. Berhadapan sendiri dengak sikap Pak Su Bakri membuatkan hatinya bertambah bengkak. Biar hal itu diselesaikan petang itu juga. Iris Suhayla memerhati dari tempat duduknya. Melihat aksi pergaduhan dan tolak menolak itu, duduknya serba tidak kena. Dia hendak keluar dari kereta namun Pak Su Bakri berdiri tidak jauh darinya. Pak Su Bakri nampak garang dan menakutkan, lantas dia berlari mendapatkan Mak Su Dianah yang agak agresif ketika itu.

"Aku cakap apa Diah? Kalau kau keluar dari rumah, aku ceraikan kau. Kau nak keluar sangat? Baik, sekarang kau berambus dari rumah ni. Betina mandul!"

Teriak Pak Su Bakri, terus menarik perhatian warga Lorong Permatang 12. Iris Suhayla mengundur beberapa tapak ke belakang. Mata Pak Su Bakri merah mencerlung. Pertengkaran mereka sekeluarga menjadi rakaman beberapa telefon bimbit. Riyad marah lantas menarik Mak Su Dianah untuk masuk ke dalam kereta namun Mak Su Dianah berdiri kejap. Air mata yang berguguran jatuh juga sudah tidak dipedulikan.

"Abang! Tolonglah abang. Jangan buat Diah macam ni. Diah sayangkan abang. Abang tolonglah ampunkan Diah. Diah rela abang kahwin lagi tapi abang jangan ceraikan Diah. Diah janji takkan mintak apa-apa dari abang."

Rayu Mak Su Dianah sambil berlutut di kaki Pak Su Bakri. Air mata Iris Suhayla turut bercucuran mengalir. Pedih hatinya menyaksikan rayuan Mak Su Dianah yang sudah tidak mempedulikan maruahnya di hadapan jiran tetangga. Pak Su Bakri menolak Mak Su Dianah dengan kakinya namun semakin kuat cengkaman Mak Su Dianah. Iris Suhayla mendekati Mak Su Dianah. Dia meleraikan pegangan Mak Su Dianah dari kaki Pak Su Bakri dengan bahu terhenjut-henjut.

"Sudahlah tu, Mak Su. Kita pergi ajelah dari sini."

Pujuk Iris Suhayla. Riyad cepat-cepat datang membantu. Dia membantu dengan menolak Pak Su Bakri sehingga lelaki awal 40 an itu rebah ke atas jalan. Kemudian dia menarik tangan Mak Su Dianah dengan kuat.

"Abang!"

Jerit Mak Su Dianah namun Riyad terus menarik tangan Mak Su sebelum menolak Mak Su Dianah masuk ke dalam kereta dengan kasar. Iris Suhayla pantas masuk ke dalam kereta, menemani Mak Su Dianah yang teresak-esak dan berkeras hendak mendapatkan suaminya. Riyad menghidupkan enjin kereta namun amukan Pak Su Bakri menarik perhatian mereka bertiga. Semakin kuat raungan Mak Su Dianah.

"Tak guna punya budak. Masa kecik kau mintak aku main dengan kau. Dah besar, kau pukul aku. Satu keturunan sama tak guna."

Jerkah Pak Su Bakri. Dia mencapai sebatang besi tidak jauh dari tempat dia ditolak lantas menuju ke arah kereta. Riyad tidak peduli. Apa nak jadi, jadilah.

"Woi, woi! Bakri letak besi tu."

"Takkan tengok aje woi."

Teriak seorang jirannya. Bakri lantas menghayun besi ke arah kereta. Riyad menundukkan kepala dengan kedua-dua belah tangan. Pang! Cermin kaca pecah dan mengenai tangan Riyad. Sakit! Hanya itu yang hatinya mampu jeritkan. Iris Suhayla dan Mak Su Dianah saling berpelukan di belakang. Mak Su berteriak untuk ke sekian kalinya. Dia luar, Bakri masih tidak puas. Dia menghayun sekali lagi besi itu namun sempat ditarik oleh jiran-jirannya.

"Cepat pergi dari sini."

Teriak salah seorang dari jiran Mak Su Dianah. Riyad dengan pantas menghidupkan enjin kereta. Dari celah-celah badan mereka, dia dapat melihat Pak Su Bakri meronta-ronta untuk melepaskan diri. Riyad menekan minyak sambil tangannya menolak gear. Dia memandu meninggalkan kawasan perumahan Taman Seri Kurnia dengan kelegaan. Lega kerana dapat membawa Mak Su Dianah keluar dari belenggu perkahwinannya.

"Su okay? Mak Su okay?"

"Angah tu okay ke? Ada luka tak?"

Tanya Iris Suhayla terus memeluk Mak Su Daniah yang masih tidak sudah dengan esakannya.


MAK Su Dianah masih berkurung di dalam bilik ketika jiran tetangga sudah mula memenuhi rumah mereka untuk gotong-royong sempena majlis perkahwinannya esok. Semalam, mereka tiba di rumah ketika petang beransur hilang. Emak termenung apabila diceritakan tentang peristiwa yang berlaku pada hari itu dan banyak lagi yang menimpa Mak Su Dianah sebelum ini. Iris Suhayla merenung kosong ke arah barang-barang hantaran yang di susun di sudut dinding.

"Baju tu macam mana, muat dengan Su tak?"

Tanya emak, berdiri di tepi pintu. Iris Suhayla teringatkan kebaya dari lace putih dengan sulaman mewah itu lantas dia mendapatkan baju itu.

"Su belum cuba ya?"

"Su lupa, mak."

"Cubalah. Tengok muat ke tidak. Esok dah majlis Su."

"Okay. Emm, mak. Mak Su macam mana?"

Soalnya, sambil meletakkan baju pengantin itu ke atas katil. Emak masuk ke dalam biliknya lantas mengunci pintu. Mereka berdua sama-sama duduk di atas katil. Kemurungan Mak Su Dianah membimbangkan hatinya. Pagi tadi dia mengetuk pintu bilik Mak Su Dianah namun Mak Su Daniah langsung tidak membuka pintu. Dia perasan, emak juga beberapa kali mengetuk pintu bilik sebelah. Mak Su Dianah juga tidak membuka pintu namun masih lagi menyahut. Mak Su Dianah hanya tidak mahu bercakap dengannya. Barangkali Mak Su Dianah masih marah dengan peristiwa yang berlaku semalam.

"Su tak payah fikir sangat pasal Mak Su tu. Bakal pengantin tak boleh nampak stress. Mak dah cakap dengan Mak Su, Mak Su kata dia belum bersedia nak keluar. Dia malu sebab mukanya lebam-lebam. Lagipun dia nak tenangkan hati."

"Mahu Su tak risau. Agaknya dah berapa lama Mak Su murung macam tu? Semalam yang Su dengan Angah nampak, yang kita tak nampak?"

Tanya Iris Suhayla, hampir tidak kedengaran, sehingga memaksa Aini membongkokkan sedikit badannya. Dia tidak menjawab kerana tidak mahu Iris Suhayla nampak kusut. Biarlah dia sendiri yang memujuk hati Dianah yang sedang parah itu.


"OI, bakal pengantin! Bangun."

Kejut satu suara sambil menggoyang-goyang badannya. Iris Suhayla membuka kelopak mata yang masih berat. Jam di dinding diliriknya seketika. Pukul enam pagi. Dia bangun dengan cermat sementelah tangan dan kakinya yang dibungkus selepas berinai malam tadi. Afiqah duduk di sebelahnya.

"Fiii? Aaaaaaaaaaaaaaaaaaah!"

Iris Suhayla menjerit lantas memeluk erat sahabat lamanya itu. Afiqah yang manis berbaju kurung ketawa kecil.

"Tak senonoh punya budak. Dahlah masam, tak gosok gigi. Berani kau peluk aku yang dah comel ni."

"Ah, tak kira! Siapa suruh kau kejut aku bangun? Mari sini! Aku nak peluk kau lagi."

Balasnya lantas mendepa tangan seluas-luasnya. Afiqah mencebik. Dia tidak menghiraukan keseronokan Iris Suhayla. Jika dibandingkan Iris Suhayla, dia lebih teruja. Tambahan pula, hari ini merupakan hari bahagia buat Iris Suhayla. Dia teringat kisah semalam. Dia tiba di kampung hampir senja dan ketika dia meminta izin untuk ke rumah Iris Suhayla, emaknya menghalang. Kata emak, penat perjalanan jauh pun belum hilang. Dan kata emak lagi, kalau masih berdegil:

"Esok lepas Subuh, pergilah ke rumah Su tu."

Dan pagi ini, usai solat Subuh, dia menghidupkan enjin motor ayah lantas menunggangnya menghala ke rumah Iris Suhayla. Emak tidak menghalang lagi, malah hanya mampu menggelengkan kepala.

Nyata, selepas tiga bulan berpisah, perasaan rindunya menggebu buat Iris Suhayla lantas, dia menjadikan hari itu sebagai hari yang paling istimewa untuk memberi kejutan kepada sahabat yang bakal naik pelamin tengah hari nanti.

"Kau dah solat ke datang ke rumah orang pagi-pagi buta ni?"

Tanya Iris Suhayla, sedang duduk. Dia mencari sesuatu di bawah katil dan mengeluarkan beg plastik. Iris Suhayla membuka pembalut inai satu persatu. Selesai tugasan kecil itu, dia membuka jari jemarinya. Dia mengamati warna inai itu.

"Merah jugak, kan?"

"Merah sangatlah Mak Ngah."

Balas Iris Suhayla, mengajuk sebaris ayat yang dipaparkan dalam iklan ASB. Afiqah tertawa. Dia menepuk bahu teman sepermainannya itu.

"Gila macam dulu jugak. Siapalah yang malang sangat sampai sanggup jadi suami kau tu?"

"Amboi mulut hang...Teruk sangat ke aku ni sampai bakal suami aku kau kata malang?"

Tanya Iris Suhayla lantas menarik tuala dan menyangkut di bahu kanan. Afiqah senyum kambing sambil mengangguk tanpa ragu. Iris Suhayla jadi tidak puas hati, dia menarik hidung Afiqah sebelum berlari keluar dari bilik apabila temannya itu.


DUA puluh biji kenderaan sudah beratur di kiri dan kanan rumah Mama Jiya. Dikhabarkan, itulah kenderaan saudara mara dan kebanyakannya dari keluarga Mama Jiya yang bakal mengiringi ke majlis perkahwinannya nanti. Ada yang memang dikenali dan ada juga yang baru dikenali.

Malam tadi dia sempat berselisih dengan papa tetapi papa seakan tidak mahu melayaninya. Seperti selalu, papa sentiasa dingin apabila bertentang mata dengannya. Barangkali papa masih marahkannya apabila dia diwasiatkan hampir keseluruhan harta arwah datuk sedangkan papa hanya menerima dua ekar tanah sahaja dari keseluruhan harta tersebut. Kata arwah datuk, hanya dia yang layak mewarisi harta itu memandangkan dia setia bersama datuk semenjak kecil lagi, kerana kata datuk lagi, selama belasan tahun dia berada di kampung, papa langsung tidak mempedulikannya ataupun arwah mama. Barangkali itu puncanya.

"Abang Iz! Mama tanya abang dah siap ke?"

Tanya Luke bersama bunyi ketukan di pintu, terus menerbangkan segala memori pahit bersama papa. Izzul Haq menarik nafas panjang. Dia tersenyum bila wajah bakal isteri bermain di tubir mata.

"Sikit lagi. I'll be there in about ten minutes."

Izzul Haq terus mengambil kunci kereta serta songkok dipegang kemas tangan kanannya. Dia menanti dengan penuh sabar selama ini dan perlu terus bersabar untuk tempoh dua jam lagi.Tunggulah kekasih hati! Aku akan datang kepadamu dan memimpin dirimu ke syurga.

Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.