2
DEBARAN di dada terasa
semakin kencang. Saat menanti halaman penempatan dimuatkan sedikit demi
sedikit, semakin kencang dadanya berdetak. Akhirnya, Iris Suhayla ternganga
membaca maklumat itu.
“Sila hubungi Jabatan
Pelajaran Wilayah Persekutuan Labuan untuk mendapatkan maklumat lanjut
berkenaan penempatan anda,”
“Labuan?”
Tanyanya sendiri, bagai tidak
percaya dengan apa yang sedang dibacanya. Iris membaca lagi maklumat penempatan
itu. Dia membaca berulang kali sehingga nama Wilayah Persekutuan Labuan dieja
seperti kanak-kanak tadika, namun hasilnya tetap sama, Labuan!
“Iris, kau posting di mana? Aku dapat Perak!”
Sapa Afiqah sebaik telefon
bimbit berada di telinganya.
“Aku? Err...Labuan!”
“Labuan? Tu dia. Jauhnya!”
“Tak apa, aku suka.”
Jawabnya, melegakan hati yang
masih terkejut akan berita itu. Tidak lama berbual dengan Afiqah, dia
meletakkan telefon tetapi tidak lama kerana telefonnya berdering lagi selepas
itu. Kali ini panggilan datang dari Mak Su Dianah.
“Labuan, Mak Su!”
Jawabnya perlahan.
“Hai, lemah aje suara! Mesti
seronok bertugas di Labuan nanti, kan?”
Usik Mak Su Dianah,
menyebabkan Iris Suhayla menarik muncung
panjang walaupun reaksinya tidak kelihatan di mata Mak Su Dianah.
“Ish, Mak Su ni! Asal ada
peluang aje, mesti kenakan Su cukup-cukup,”
“Kenakan? Mak Su ikhlas ni,
Su. Seronok tau berada di tempat yang mendamaikan, jauh dari kesibukan kota,
dikelilingi laut,”
“Dikelilingi laut? Habis tu,
macam mana nak balik kampung?”
“Eh, susah apa, flight ada, kan? Nak murah, tempah
setengah tahun awal. Belum cukup bulan sepuluh, cari kalendar tahun baru, setting terus masa balik kampung untuk
setahun. Alah, setakat Labuan ke Selangor tu, apalah sangat jauhnya!”
Balas Mak Su Dianah,
menjelaskan dengan panjang lebar. Iris Suhayla menghela nafas panjang. Lemah
lututnya mendengar pendapat Mak Su Dianah yang belum mampu menyejukkan
perasaannya.
“Su, ada lagi ke? Senyap aje
ni!”
“Ada, tengah tengok tarikh flight ni! Nak booking setahun terus!”
Balasnya, sedang kepanasan. Terdengar
dek telinganya tawa di hujung talian.
“Ha ha ha. Walaupun pahit, ku
telan jua!”
“Mak Su
niiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii!”
Panggilnya, hampir menjerit.
“Bai bai, Su. Jangan lupa
singgah rumah Mak Su dulu sebelum ke Labuan, ya!”
Pesan Mak Su Dianah. Belum
sempat dia membalas terdengar bunyi talian ditamatkan. Tut tut tut! Iris
Suhayla menongkat dagu sebelum terdengar lagi bunyi panggilan masuk.
“Hello,”
“Iris, kau dapat mana? Aku
dapat Melaka!”
“Kau dapat Melaka? Emm, aku
Wilayah Persekutuan-“
“KL? Wow, bestlah dapat sekolah sebelah rumah!”
Sambut Liyana, pantas. Iris
Suhayla menghela nafas lagi buat sekian kalinya. Menyindir atau mengusik?
Ikhlas atau mahu mempermainkan?
“Wilayah Persekutuan Labuan!”
“Hah, Labuan? Jauhnya!”
“Habis yang kau cakap aku
dapat sekolah sebelah rumah tu?”
Soalnya, kian kepanasan.
Semenjak dia mengetahui keputusan penempatan, tidak putus panggilan yang
diterima. Paling menekan perasaan apabila mereka memberi reaksi Labuan itu
jauh.
“Err,sorrylah, Iris!”
“Tak apa, aku memang suka sorry naik lorry,”
“He he. Mood kau tak baik, kan? Nanti kau dah sejuk, aku callbalik, ya!”
“Hmm. Sebab tu aku sayang kau,
Yana. M-E-M-A-H-A-M-I!”
“Yana, kan! Okay girl, nanti kita chit chat lagi, ya?”
“Hmm,”
Jawabnya malas. Dia mematikan
panggilan itu dengan geram sebelum terlihat tiga mesej yang baru masuk ke kotak
pesanan ringkasnya. Ketiga-tiga mesej itu dibaca satu persatu. Semua bertanya
tentang penempatannya.
“WP,”
Balasnya, malas. Dia menekan
butang hantar, memberi jawapan yang sama kepada ketiga-tiga bekas rakan
sekuliahnya.
“WP?”
“WILAYAH PERSEKUTUAN
LABUAN! LABUAN! LABUAN! LABUANNNNNNNN!L ”
Balasnya lantas menghantar
pesanan ringkas itu dengan sepenuh emosi. Kemudian, dia mencampak telefom bimbit
itu ke atas tilam namun lontaran itu terlalu kuat hingga terkena bucu dinding
lantas terbelah dua isi telefon bimbit itu.
“Alamak, telefon aku!”
Dia menggigit jari, terkedu
sebelum bergegas mendapatkan kembali telefon bimbitnya.
“Oi, Su! Apa lagi yang
dibaling ke dinding tu?”
* * * * *
* * *
“SUDAHLAH jatuh, ditimpa tangga pula,”
Omelnya sendirian sambil
membalut belakang telefon bimbit dengan pita pelekat. Usai membalut, dia cuba
menarik pita pelekat itu kembali untuk memastikan kekukuhannya.
“Itu lah, ada handset, dibaling ke dinding. Elok
sampai Labuan terus hilang jejak,”
Tegur emak dari belakang. Dia
yang leka membaiki telefon bimbit, terkejut dengan sapaan itu lantas mengurut
dada beberapa kali.
“Aduh, rasa nak terputus
jantung ni. Terkejut Su, mak!”
Balasnya, segera. Masih terasa
kejutan yang diterima dari teguran emak sebentar tadi namun seperti biasa, emak
hanya menyambut dengan senyuman.
“Su memang, semua terkejut.
Tak ada yang tak terkejut!”
“Mahunya tidak, Su tengah
fokus baiki handset ni, mak!”
Aini tersenyum cuma. Lagak
anak bongsunya yang cepat gelabah dan tertekan sudah difahami semenjak dari
dahulu.
“Gaji pertama nanti Su nak tukar handset baru. Su nak pakai Samsung
pulak. Lepas tu, Su nak guna ringtone
yang paling rancak. Biar seisi Labuan berjoget bila mak telefon Su,”
“Hmm. Berangan! Kerja pun
belum tapi cita-cita tinggi melangit,”
Balas emak, terus mencantas
senyuman di bibir Iris Suhayla. Dia mencebik sebelum berpusing bila mendengar
deheman ayah dari belakang.
“Keluarga bakal tunang Su
telefon ayah tadi. Katanya nak percepatkan majlis pertunangan kalian. Hujung
minggu ni katanya,”
“Hah? Ayah!”
“Apa ayah-ayah?”
“Janganlah tekan Su, ayah!
Berilah Su peluang dulu. Su baru nak mulakan kerjaya. Takkan ayah nak desak Su
bertunang secepat ni, dengan orang yang Su tak kenal pulak tu!”
“Bukan ayah yang putuskan.
Keluarga lelaki yang mahukan pertunangan ni dipercepatkan. Ayah mengikut aje,”
Balas ayah, bersahaja. Iris
Suhayla melepaskan keluhan berat. Kemudian, dia memandang wajah emak, meminta
simpati supaya diri dipertahankan namun hampa.
“Su, mak tak mahu menipu sebab
berat hati mak nak melepaskan Su ke Labuan tu. Mungkin cara ni lebih baik untuk
Su. Sekurang-kurangnya status tunangan orang ni melegakan mak. Cukup masa, Su
kahwin dan balik ke rumah suami. Tak perlu menetap lama-lama di negeri orang,”
“Mak! Takkan semudah tu mak
tentukan hidup Su,”
“Habis nak tunggu Su tentukan
sendiri? Bila? Berapa lama? Dengan siapa?”
Tanya ayah, bertubi-tubi.
Geram dengan perihal pilihan calon yang telah dicari, Iris Suhayla bingkas
bangun lantas menyarung selipar sebelum menapak pantas meninggalkan emak dan
ayah.
“Hah, tengoklah perangai anak
bertuah awak tu! Kerjanya merajuk aje memanjang,”
Luah ayah, sayup-sayup. Iris
Suhayla tidak peduli. Dia terus melangkah. Dalam kepalanya hanya ada nama
Afiqah. Teman sepermainan semenjak zaman kecil hinggalah sama-sama ditawarkan
Kursus Perguruan Lepasan Ijazah di Institut Perguruan Bahasa Antarabangsa.
* * * * *
* * *
“APA? Weh, tak salah dengar ke aku ni?”
Tanya Afiqah, mencuit pahanya
sekali. Dia yang sedang menongkat dagu di atas meja kopi cuma melepaskan nafas yang terasa berat.
“Entah, mungkin mimpi aku aje
kot,”
“Mana boleh main kot-kot!”
“Tak boleh main? Kalau begitu
kau pergi lah tanya mak aku pulak, bagi pihak aku,”
Cetus Iris Suhayla, bersahaja.
Afiqah yang masih terkejut akan berita itu ketawa sebelum menutup mulutnya.
“Opps, so sorry! Aku ketawa dengan tidak sengajanya,”
“Eleh, padahal sangat sengaja!”
“Habis tu, kau macam mana?”
“Aku macam mana? Siapa peduli
perasaan aku ni, Fi? Kau sendiri gelakkan aku, apatah lagi keluarga aku. Mesti
berguling-guling tengah ketawakan aku,”
Balas Iris Suhayla,
menghiburkan hati yang terluka seperti selalu. Afiqah yang serba salah dengan
kata-kata bersahaja Iris Suhayla pantas menggenggam tangan sahabatnya. Iris
Suhayla pasti perlukan sokongan darinya walau riak wajah itu tampak bersahaja
sama seperti selalu.
“Su, aku minta maaf, ya! Aku
tak bermaksud nak menambahkan lagi tekanan kau,”
“Hmm, aku datang sini sebab
malas nak dengar cerita pasal calon pilihan,”
“Emm. Tapi kan, Su. Bukan ke
pilihan mak ayah lebih berkat? Bahagia rumahtangga kau nanti, Su,”
Afiqah cuba menyatakan
pendapatnya. Barangkali dengan pendapat itu, hati Iris Suhayla lebih sejuk
malah dapat menerima pula kehendak ibu bapanya dengan hati yang lebih terbuka
kelak.
“SU dah solat ke?”
“Emm,”
Jawabnya, malas. Dia hendak
mogok lagi sebenarnya malah marahnya masih belum reda akan majlis pertunangan yang
tetap akan diteruskan walaupun dia enggan dipaksa.
“Mari kita makan malam. Ayah
dah tunggu tu,”
“Kenyang lagi,”
“Makanlah sikit. Minggu depan
dah nak berangkat, nanti dah susah nak rasa air tangan mak ni,”
“Emm,”
Balasnya, sebak tiba-tiba.
Pujukan emak menusuk hingga menyentuh lubuk hati yang paling dalam. Tidak mahu
menunjukkan sisi emosi itu, Iris Suhayla pantas melangkah menuju ke meja makan,
menarik kerusi sama tentang dengan ayah.
“Cukup-cukuplah tarik muncung
angsa tu. Ayah tak main pilih aje, Su. Ayah yakin calon pilihan ayah adalah
yang terbaik antara yang terbaik,”
Beritahu ayah sambil
menuangkan air ke dalam gelas Iris Suhayla. Sesudah mengaminkan doa, mereka
menyuap nasi tanpa sebarang cerita. Senyap. Ruang makan itu sepi langsung dari
sebarang suara hinggalah emak membuka suara.
“Tak ada ibu bapa yang
berkehendakkan anak-anaknya menderita selepas berkahwin. InsyaAllah, doa mak
dan ayah sentiasa bersama Su,”
“Su janganlah tanya kenapa mak
dan ayah putuskan begini atau begitu. Mak hanya nak Su tahu, pasti sejuk perut
ibu yang mengandungkan anak yang taat pada ibu bapanya,”
Tambah emak lagi. Iris Suhayla
tidak menjawab. Emak menutur dengan makna yang berselirat disebaliknya hingga
dia tidak mampu membalas seperti selalu. Nasi di dalam pinggan terus disuap
walau dia tiada nafsu untuk menjamahnya.
“Tambah lagi nasinya, Su!”
“Su dah kenyang, mak!”
Jawab Iris Suhayla, perlahan
sebelum membawa pinggannya ke sinki. Dia mencuci pinggan sebelum beredar menuju
ke bilik tidur. Berehat barangkali lebih sesuai untuk menenangkan diri yang
dilanda masalah tiba-tiba.
“Nak ke mana laju sangat jalan
tu?”
“Tidur!”
Jawabnya laju, namun apabila
menoleh, mulutnya ternganga luas. Dia terkedu seketika menatap wajah angah.
“Angah!”
Jeritnya laju sebelum berlari
mendakap Riyad, abang keduanya. Riyad ketawa seperti selalu sebelum membalas
pelukan Iris Suhayla. Rasanya selepas Iris Suhayla menyambung kursus perguruan,
baru kini mereka kembali bertemu.
“Su sihat?”
“Sihatlah, angah. Lama betul
Su tak jumpa angah. Rindulah! Kenapa angah tak beritahu nak balik ni? Angah,
esok kita pergi Baskin Robbins, ya?”
“Eh, mana satu ni? Rindu angah
ke rindu nak makan aiskrim ni? Mulut pot-pet macam dulu jugak. Macam bertih
jagung. Tanya macam-macam, nak jawab yang mana ni, Su?”
Bidas Riyad, melegakan pelukan
lantas memaut bahu adik bongsunya seperti selalu. Barangkali itu yang terakhir
memandangkan Iris Suhayla bakal disatukan dengan jejaka pilihan keluarga, kata
emak dua minggu yang lepas.
“Hah, dah balik! Bertuah punya
anak, balik senyap-senyap! Tahu-tahu rumah dah riuh dengan suara dua beradik
ni,”
Sergah emak. Riyad melepaskan
pautan pada bahu Iris Suhayla lantas menyalami emak, kemudian ayah yang
mengekor di belakang.
“Riyad balik sebab tak sabar nak tengok adik
bongsu ni menyarung cincin di jari manis. Siapalah insan malang tu ya,mak?”
Usik Riyad, bersahaja. Iris
Suhayla yang berdiri di tepi memandangnya, meminta jawapan.
“Emak sihat? Ayah?”
Dalih Riyad, selamba. Iris
Suhayla geram dengan sikap Riyad lantas dia mencubit abangnya.
“Aduh! Sakitlah! Kuku panjang
ke?”
“Padan muka! Siapa suruh
mula?”
“Hmm, dia nak mula dah!”
Emak mencelah di antara
keriuhan itu.