25
IRIS Suhayla memberi salam namun tiada jawapan. Dia masih
menanti di hadapan pintu sedang Riyad duduk di atas salah sebuah kerusi batu.
Rumah teres setingkat itu sunyi. Dia masih berteka teki sama ada Mak Su Dianah
berada di rumah atau pun tidak.
"Telefon ajelah Mak Su
tu. Dah setengah jam kita tunggu kat luar ni."
Cadang Riyad. Mereka tiba di
hadapan rumah Mak Su Dianah setengah jam yang lalu. Kata Iris Suhayla, dia mahu
menjemput sendiri Mak Su Dianah di rumah dan membuat kejutan memandangkan sudah
lama mereka tidak bertemu. Iris Suhayla mengangguk lantas mendail nombor
telefon bimbit Mak Su Dianah.
"Assalammualaikum. Mak
Su, Su dengan angah dah ada depan rumah Mak Su. Bukaklah pintu ni."
SUASANA sepi sahaja. Baik Iris Suhayla, mahupun Riyad,
masing-masing tidak terkata apabila melihat keadaan Mak Su Dianah yang kelesuan
dan lebam di sana sini. Mak Su Dianah berada dalam keadaan trauma dan ketakutan.
Menurut Mak Su Dianah, Pak Su Bakri berubah sikap menjadi pembengis semenjak
Mak Su Dianah dapat menghidu hubungan sulit antara Pak Su Bakri dengan kekasih
gelapnya setengah tahun yang lepas. Hampir setiap malam Pak Su Bakri tidak
pulang ke rumah. Kalaupun suaminya balik, itu cuma untuk menukar pakaian
sahaja. Tanpa makan dan minum, mahupun menghulur nafkah, Mak Su Dianah ditinggalkan.
Bila ditanya, tangan dan kaki Pak Su Bakri akan menjadi makanannya.
Mulanya Iris Suhayla tidak mahu mempercayai namun
buktinya terlalu jelas hingga tidak dapat dinafikan lagi. Dia terkenang akan
saat-saat bahagia mereka. Mereka pasangan sejoli yang sangat sepadan. Akrabnya
mereka ibarat belangkas sehingga dalam diam dia memasang tekad untuk mencari
calon suami seperti Pak Su Bakri. Rupa-rupanya, saat-saat indah itu telah lama
berlalu. Padanlah Pak Su Bakri sudah lama tidak menampakkan dirinya.
Rupa-rupanya nama keluarga sudah dicampak jauh dari hatinya. Sedang Mak Su Dianah
yang cantik itu pun diperlakukan seperti bola, inikan pula keluarganya.
"Mak Su ikut kami balik,
ya?"
Iris Suhayla bersuara
akhirnya. Mak Su Dianah diam namun kepalanya menggeleng tanda tidak bersetuju.
"Jatuh talak satu kalau
Mak Su keluar dari rumah."
Cerita Mak Su Dianah,
perlahan. Air matanya mengalir laju bersama cerita itu. Iris Suhayla dan Riyad
saling berpandangan.
"Takkan mak Su nak duduk
dalam rumah ni. Tunggu Pak Su balik. Disepak terajang. Esok pun macam tu jugak.
Sampai bila Mak Su?"
"Sampai Mak Su
mati."
"Astaghfirullah....itu
kata-kata orang yang putus asa Mak Su."
Riyad yang diam, membuka mulut
juga akhirnya. Dia juga tidak bersetuju Mak Su Dianah diperlakukan begitu. Jika
penceraian jalan terbaik untuk meneruskan kehidupan, maka dia perlu berjuang
untuk mempengaruhi Mak Su Dianah dalam membuat keputusan.
"Su tahu Mak Su sayangkan
Pak Su tapi tak bermakna Mak Su perlu merelakan setiap perbuatannya. Su tak
kuasa nak tengok keadaan Mak Su macam ni. Su nak buat police report . Angah temankan Su nanti, ya?"
"Tak payah."
Mak Su Dianah membantah. Dia
mengesat air mata lantas bangkit dari sofa dan meninggalkan anak-anak
saudaranya terkulat-kulat di situ.
"Angah bawak Su balik
rumah. Mak Su takkan ikut kamu berdua balik. Jangan paksa Mak Su. Mak Su tak
suka."
Beritahunya, kuat sambil
berjalan masuk ke kamar tidurnya. Iris Suhayla melepaskan nafas yang terasa
sesak. Melalui isyarat, dia meminta pendapat abangnya.
"KITA settlekan satu
persatu. Bermula dengan majlis Su dulu. Jangan risau, kita ikhtiarkan sama-sama
hal Mak Su ni.
Kata Riyad lantas memaut bahu
adik bongsunya, mengajak si kecil yang menginjak umur dewasa itu masuk ke dalam
perut kereta.
"Su rasa mak tak tahu
pasal Mak Su ni."
Iris Suhayla bersuara perlahan, sebelum menutup
kereta. Ketika dia hendak menarik pintu kereta, terasa seperti ada yang
menghalang tindakannya lantas dia menoleh ke kiri. Pak Su Bakri sedang memegang
pintu kereta tersebut.
"Apa ni, Pak Su?"
"Kau jangan nak bawak
mulut. Kalau tidak aku ceraikan Mak Su kau."
Pak Su Bakri memberi amaran.
Iris Suhayla menepis tangan Pak Su Bakri yang sedang menunjah di
dahinya. Riyad
lantas keluar dari kereta. Dia sakit hati melihat Iris Suhayla ditunjah
begitu.Benar, mereka terikat dengan pangkat anak saudara, tetapi itu
bukan punca kuasa untuk Pak Su Bakri memberi layanan buruk buat mereka.
"Pak Su berani? Kalau Pak
Su berani, saya pun sama berani dengan Pak Su. Kita jumpa di mahkamah."
"Tak payahlah kecoh-kecoh
lagi. Angah, pergi bawak Su balik."
Mak Su Dianah berteriak dari
muka pintu. Kemudian, dia berlari mendapatkan Riyad yang sedang berkelahi
dengan suaminya. Dia menolak-nolak Riyad dengan kasar supaya masuk kembali ke
dalam kereta namun Riyad teguh berdiri. Biarpun sakit dipukul Mak Su namun dia
tidak mahu berganjak. Berhadapan sendiri dengak sikap Pak Su Bakri membuatkan
hatinya bertambah bengkak. Biar hal itu diselesaikan petang itu juga. Iris
Suhayla memerhati dari tempat duduknya. Melihat aksi pergaduhan dan tolak
menolak itu, duduknya serba tidak kena. Dia hendak keluar dari kereta namun Pak
Su Bakri berdiri tidak jauh darinya. Pak Su Bakri nampak garang dan menakutkan,
lantas dia berlari mendapatkan Mak Su Dianah yang agak agresif ketika itu.
"Aku cakap apa Diah?
Kalau kau keluar dari rumah, aku ceraikan kau. Kau nak keluar sangat? Baik, sekarang kau berambus dari rumah
ni. Betina mandul!"
Teriak Pak Su Bakri, terus menarik
perhatian warga Lorong Permatang 12. Iris Suhayla mengundur beberapa
tapak ke belakang. Mata Pak Su Bakri merah mencerlung. Pertengkaran
mereka sekeluarga menjadi
rakaman beberapa telefon bimbit. Riyad marah lantas menarik Mak Su
Dianah untuk masuk
ke dalam kereta namun Mak Su Dianah berdiri kejap. Air mata yang
berguguran
jatuh juga sudah tidak dipedulikan.
"Abang! Tolonglah abang.
Jangan buat Diah macam ni. Diah sayangkan abang. Abang tolonglah ampunkan Diah.
Diah rela abang kahwin lagi tapi abang jangan ceraikan Diah. Diah janji takkan
mintak apa-apa dari abang."
Rayu Mak Su Dianah sambil
berlutut di kaki Pak Su Bakri. Air mata Iris Suhayla turut bercucuran mengalir.
Pedih hatinya menyaksikan rayuan Mak Su Dianah yang sudah tidak mempedulikan
maruahnya di hadapan jiran tetangga. Pak Su Bakri menolak Mak Su Dianah dengan
kakinya namun semakin kuat cengkaman Mak Su Dianah. Iris Suhayla mendekati Mak
Su Dianah. Dia meleraikan pegangan Mak Su Dianah dari kaki Pak Su Bakri dengan bahu terhenjut-henjut.
"Sudahlah tu, Mak Su.
Kita pergi ajelah dari sini."
Pujuk Iris Suhayla. Riyad cepat-cepat datang membantu. Dia membantu dengan menolak Pak Su Bakri sehingga
lelaki awal 40 an itu rebah ke atas jalan. Kemudian dia menarik tangan Mak Su Dianah
dengan kuat.
"Abang!"
Jerit Mak Su Dianah namun
Riyad terus menarik tangan Mak Su sebelum menolak Mak Su Dianah masuk ke dalam
kereta dengan kasar. Iris Suhayla pantas masuk ke dalam kereta, menemani Mak Su Dianah yang
teresak-esak dan berkeras hendak mendapatkan suaminya. Riyad menghidupkan enjin kereta
namun amukan Pak Su Bakri menarik perhatian mereka bertiga. Semakin kuat
raungan Mak Su Dianah.
"Tak guna punya budak.
Masa kecik kau mintak aku main dengan kau. Dah besar, kau pukul aku. Satu
keturunan sama tak guna."
Jerkah Pak Su Bakri. Dia
mencapai sebatang besi tidak jauh dari tempat dia ditolak lantas menuju ke arah
kereta. Riyad tidak peduli. Apa nak jadi, jadilah.
"Woi, woi! Bakri letak
besi tu."
"Takkan tengok aje
woi."
Teriak seorang jirannya. Bakri
lantas menghayun besi ke arah kereta. Riyad menundukkan kepala dengan kedua-dua
belah tangan. Pang! Cermin kaca pecah dan mengenai tangan Riyad. Sakit! Hanya
itu yang hatinya mampu jeritkan. Iris Suhayla dan Mak Su Dianah saling
berpelukan di belakang. Mak Su berteriak untuk ke sekian kalinya. Dia luar, Bakri
masih tidak puas. Dia menghayun sekali lagi besi itu namun sempat ditarik oleh
jiran-jirannya.
"Cepat pergi dari
sini."
Teriak salah seorang dari
jiran Mak Su Dianah. Riyad dengan pantas menghidupkan enjin kereta. Dari
celah-celah badan mereka, dia dapat melihat Pak Su Bakri meronta-ronta untuk
melepaskan diri. Riyad menekan minyak sambil tangannya menolak gear. Dia
memandu meninggalkan kawasan perumahan Taman Seri Kurnia dengan kelegaan. Lega
kerana dapat membawa Mak Su Dianah keluar dari belenggu perkahwinannya.
"Su okay? Mak Su
okay?"
"Angah tu okay ke? Ada
luka tak?"
Tanya Iris Suhayla terus
memeluk Mak Su Daniah yang masih tidak sudah dengan esakannya.
MAK Su Dianah masih berkurung di dalam bilik ketika jiran
tetangga sudah mula memenuhi rumah mereka untuk gotong-royong sempena majlis
perkahwinannya esok. Semalam, mereka tiba di rumah ketika petang beransur
hilang. Emak termenung apabila diceritakan tentang peristiwa yang berlaku pada
hari itu dan banyak lagi yang menimpa Mak Su Dianah sebelum ini. Iris Suhayla
merenung kosong ke arah barang-barang hantaran yang di susun di sudut dinding.
"Baju tu macam mana, muat
dengan Su tak?"
Tanya emak, berdiri di tepi
pintu. Iris Suhayla teringatkan kebaya dari lace putih dengan sulaman mewah itu
lantas dia mendapatkan baju itu.
"Su belum cuba ya?"
"Su lupa, mak."
"Cubalah. Tengok muat ke
tidak. Esok dah majlis Su."
"Okay. Emm, mak. Mak Su
macam mana?"
Soalnya, sambil meletakkan
baju pengantin itu ke atas katil. Emak masuk ke dalam biliknya lantas mengunci
pintu. Mereka berdua sama-sama duduk di atas katil. Kemurungan Mak Su Dianah membimbangkan
hatinya. Pagi tadi dia mengetuk pintu bilik Mak Su Dianah namun Mak Su Daniah
langsung tidak membuka pintu. Dia perasan, emak juga beberapa kali mengetuk
pintu bilik sebelah. Mak Su Dianah juga tidak membuka pintu namun masih lagi
menyahut. Mak Su Dianah hanya tidak mahu bercakap dengannya. Barangkali Mak Su Dianah
masih marah dengan peristiwa yang berlaku semalam.
"Su tak payah fikir
sangat pasal Mak Su tu. Bakal pengantin tak boleh nampak stress. Mak dah cakap dengan Mak Su, Mak Su kata dia belum bersedia
nak keluar. Dia malu sebab mukanya lebam-lebam. Lagipun dia nak tenangkan hati."
"Mahu Su tak risau.
Agaknya dah berapa lama Mak Su murung macam tu? Semalam yang Su dengan Angah
nampak, yang kita tak nampak?"
Tanya Iris Suhayla, hampir
tidak kedengaran, sehingga memaksa Aini membongkokkan sedikit badannya. Dia
tidak menjawab kerana tidak mahu Iris Suhayla nampak kusut. Biarlah
dia sendiri yang memujuk hati Dianah yang sedang parah itu.
"OI, bakal pengantin! Bangun."
Kejut satu suara sambil
menggoyang-goyang badannya. Iris Suhayla membuka kelopak mata yang masih berat.
Jam di dinding diliriknya seketika. Pukul enam pagi. Dia bangun dengan cermat
sementelah tangan dan kakinya yang dibungkus selepas berinai malam tadi. Afiqah
duduk di sebelahnya.
"Fiii?
Aaaaaaaaaaaaaaaaaaah!"
Iris Suhayla menjerit lantas
memeluk erat sahabat lamanya itu. Afiqah yang manis berbaju kurung ketawa kecil.
"Tak senonoh punya budak.
Dahlah masam, tak gosok gigi. Berani kau peluk aku yang dah comel ni."
"Ah, tak kira! Siapa
suruh kau kejut aku bangun? Mari sini! Aku nak peluk kau lagi."
Balasnya lantas mendepa tangan
seluas-luasnya. Afiqah mencebik. Dia tidak menghiraukan keseronokan Iris
Suhayla. Jika dibandingkan Iris Suhayla, dia lebih teruja. Tambahan pula, hari
ini merupakan hari bahagia buat Iris Suhayla. Dia teringat kisah semalam. Dia
tiba di kampung hampir senja dan ketika dia meminta izin untuk ke rumah Iris
Suhayla, emaknya menghalang. Kata emak, penat perjalanan jauh pun belum hilang.
Dan kata emak lagi, kalau masih berdegil:
"Esok lepas Subuh,
pergilah ke rumah Su tu."
Dan pagi ini, usai solat
Subuh, dia menghidupkan enjin motor ayah lantas menunggangnya menghala ke rumah
Iris Suhayla. Emak tidak menghalang lagi, malah hanya mampu menggelengkan
kepala.
Nyata, selepas tiga
bulan berpisah, perasaan rindunya menggebu buat Iris Suhayla lantas, dia
menjadikan hari itu sebagai hari yang paling istimewa untuk memberi kejutan
kepada sahabat yang bakal naik pelamin tengah hari nanti.
"Kau dah solat ke datang
ke rumah orang pagi-pagi buta ni?"
Tanya Iris Suhayla, sedang
duduk. Dia mencari sesuatu di bawah katil dan mengeluarkan beg plastik. Iris
Suhayla membuka pembalut inai satu persatu. Selesai tugasan kecil itu, dia
membuka jari jemarinya. Dia mengamati warna inai itu.
"Merah jugak, kan?"
"Merah sangatlah Mak
Ngah."
Balas Iris Suhayla, mengajuk
sebaris ayat yang dipaparkan dalam iklan ASB. Afiqah tertawa. Dia menepuk bahu
teman sepermainannya itu.
"Gila macam dulu jugak.
Siapalah yang malang sangat sampai sanggup jadi suami kau tu?"
"Amboi mulut hang...Teruk
sangat ke aku ni sampai bakal suami aku kau kata malang?"
Tanya Iris Suhayla lantas
menarik tuala dan menyangkut di bahu kanan. Afiqah senyum kambing sambil
mengangguk tanpa ragu. Iris Suhayla jadi tidak puas hati, dia menarik hidung
Afiqah sebelum berlari keluar dari bilik apabila temannya itu.
DUA puluh biji kenderaan sudah beratur di kiri dan kanan
rumah Mama Jiya. Dikhabarkan, itulah kenderaan saudara mara dan kebanyakannya
dari keluarga Mama Jiya yang bakal mengiringi ke majlis perkahwinannya nanti.
Ada yang memang dikenali dan ada juga yang baru dikenali.
Malam tadi dia sempat berselisih dengan papa tetapi papa
seakan tidak mahu melayaninya. Seperti selalu, papa sentiasa dingin apabila
bertentang mata dengannya. Barangkali papa masih marahkannya apabila dia
diwasiatkan hampir keseluruhan harta arwah datuk sedangkan papa hanya menerima
dua ekar tanah sahaja dari keseluruhan harta tersebut. Kata arwah datuk, hanya
dia yang layak mewarisi harta itu memandangkan dia setia bersama datuk semenjak
kecil lagi, kerana kata datuk lagi, selama belasan tahun dia berada di kampung, papa langsung tidak
mempedulikannya ataupun arwah mama. Barangkali itu puncanya.
"Abang Iz! Mama tanya abang dah siap ke?"
Tanya Luke bersama bunyi ketukan di pintu, terus menerbangkan
segala memori pahit bersama papa. Izzul Haq menarik nafas panjang. Dia
tersenyum bila wajah bakal isteri bermain di tubir mata.
"Sikit lagi. I'll be there in about ten minutes."
Izzul Haq terus mengambil
kunci kereta serta songkok dipegang kemas tangan kanannya. Dia menanti dengan
penuh sabar selama ini dan perlu terus bersabar untuk tempoh dua jam lagi.Tunggulah kekasih hati! Aku akan datang kepadamu dan memimpin dirimu ke syurga.