11
"SU, angah nak ke Labuan Sabtu ni! Ada meeting di sana."
Beritahu Riyad selepas dia
menjawab salam. Iris Suhayla menjerit keriangan hingga memaksa dia menutup
telinganya sekejap.
"Cikgu ke anak cikgu ni?
Sakit telinga angah dibuatnya,"
"Sukalah! Menjerit tu kan
ekspresi suka buat Su."
Jawabnya, mempertahankan diri.
Kali terakhir mereka berbual adalah ketika minggu pertamanya di Labuan.
Perbualan telefon antara mereka berakhir dengan nasihat Riyad buatnya. Susah
hendak menerima pendapat orang katanya. Selepas sebulan, Riyad menghubunginya
lagi. Kali ini bersama kejutan pula.
"Tunggu angah di airportlah! Angah sampai di Labuan dalam
pukul 10.45 pagi."
"Habis angah meetingdi mana? Pukul berapa?"
"Sampai aje sana, meeting terus. Meeting dengan adik angah yang manja dan tak sedar diri tu dah
tua."
Ujar Riyad, sambil mengusik
adik bongsunya. Sebelum dia berangkat ke Brunei, emak sudah meitipkan pesan,
kalau ada masa dan kelapangan, jenguklah Iris Suhayla di Labuan, dan itulah
yang akan dilakukan hujung minggu ini. Menjenguk Iris Suhayla yang tua bangka
serta berlakon muda.
"Angah ni, memanglah!
Orang tak kacau dia, dia yang kacau kita."
"Nak jumpa angah, tak?
Kalau banyak songeh,angah cancel tiket."
"Naklah! Dah lama tak
tengok wayang dengan angah."
Jawabnya, sempat menyatakan
hajat. Riyad ketawa. Memang adik perempuan yang seorang itu langsung tidak
pandai menyembunyikan dirinya yang agak kuat 'menipiskan' dompet orang.
"Boleh tengok wayang tapi
kali ni angah nak rasa duit cikgu pulak!"
"Angah! Su belum dapat
gaji lagilah."
"Eh, dah penghujung bulan
satu, kan? Takkan belum dapat gaji lagi?"
"Belum."
Jawab Iris Suhayla, bersahaja.
Dia tidaklah sekedekut yang disangka. Jika sudah menerima gaji pertama, pasti
dia akan menghabiskan satu bahagian buat Riyad yang tidak pernah lokek
memberinya duit sejak dia di universiti lagi. Tapi, itu hanyalah angan semata.
"Kalau macam ni,angah
yang rugi. Mesti kopak pulak duit angah bulan ni."
Usik Riyad lagi.
"Alah, angah dah janji
nak datang sini, kan? Tak kiralah kopak ke tak kopak,"
"Amboi! Kalau pasal dia,
orang susah pun tak apa, kan?"
"Alah, Su dapat gaji
nanti Su belanja angah pulak,"
"Eleh, boleh percaya
ke?"
SITI Hajar sibuk menyusun buku-buku yang baru tiba
mengikut kategori. Fiksyen atau bukan fikyen. Pagi tadi dia berjaya menyudahkan
kerja-kerja mengecop maklumat perolehan pada buku tersebut.
"Hai Siti! Sibuk
nampak!"
Sapa Zakwan, berbasa-basi
apabila melihat Siti Hajar khusyuk menyusun buku-buku. Barangkali buku yang
baru tiba untuk tahun ini.
"Marilah tolong! Takkan
tanya khabar aje kot?"
Usik Siti Hajar, menghilangkan
penat yang mula dirasai apabila seharian menghadap warna dan abjad. Zakwan yang
berdiri di muka pintu mula menanggalkan kasut. Sebenarnya, dia mencari
kelibat Iris Suhayla, namun tidak pula kelihatan. Dia mencari pula di pusat
sumber, barangkali Iris Suhayla menghabiskan masanya di situ, namun hampa juga.
"Kau cari aku ke cari
Su?"
"Ha ha ha. Macam tau-tau
aje."
"Aku dah masak dengan
perangai kau. Dari hari pertama lagi aku dah boleh rasa kau memang syokkan Su,
kan?"
Zakwan ketawa kuat. Barangkali
perasaannya pada Iris Suhayla begitu ketara hingga beberapa orang teman
bertanyakan soalan yang sama kepadanya.
"Kau kan duduk serumah
dengan dia. Takkan tak risik-risik status dia, bujang ke berpunya ke?"
"Ee, malas aku! Kau yang
nak, kau usahalah sendiri,"
"Iris tu, payah jugaklah
nak dekat dengan dia."
Beritahu Zakwan, berterus
terang tentang masalah yang dihadapinya. Siti Hajar ketawa lantas berhenti menyusun
buku. Dia duduk di hadapan Zakwan.
"Dia tak biasa dengan kau
lah tu. Kalau aku jadi dia, aku pun takut. Slow
and steadylah beb. Jangan tergopoh-gapah sangat!"
"Hati dah suka. Mana
boleh steady-steady. Kau tak tengok
kawan baik kau si Nizam tu?"
Tanya Zakwan tentang Nizam.
Siti Hajar ketawa lagi. Persoalan Nizam harus ditangani dengan baik, tambahan
mereka semua saling mengenali dan bekerja dalam sebuah pasukan. Barangkali
sifat miang keladi itu pun memang semulajadi miliknya. Tidak boleh dikawal dan
dibuat-buat.
"Tiba-tiba pulak si Nizam
jadi kawan baik aku. Payah orang kalau dah angau ni. Aku nak pesan satu aje,
kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai. Kalau takut disambar
orang, janganlah tunggu lama-lama!"
"Tapi nak ke dia?"
Soal Zakwan, kali ini
menyatakan kebimbangannya lagi. Bukan isu Nizam tapi isu tuan punya diri pula
yang diketengahkan.
"Tu kau sendiri yang kena
tanya tuan punya badan. Kat rumah pun, dia tak pernah sebut pasal kau atau
pasal sesiapa. Selalunya cerita kami pasal keluarga, pengalaman peribadi, kau
dah berpunya, aku dah berpunya? Belum sampai tahap tu lagi!"
"Ehemmm,"
Satu deheman panjang menyapa
mereka. Iris Suhayla yang sempat mengikuti perbualan mereka dari luar tidak
dapat melarikan diri. Siti Hajar, seperti selalu akan melambai tangan ke
arahnya. Zakwan pula melihat gelagat Iris Suhayla dengan penuh minat walaupun
Iris Suhayla hanya membuka kasut. Entah mengapa, sukar mengalihkan perhatian
dari Iris Suhayla jika gadis itu ada berhampiran dengannya.
"Jom balik, aku
laparlah!"
Ajak Iris Suhayla. Sebenarnya
dia hendak lari dari Zakwan. Dia tidak mahu menjadi perhatian lelaki itu buat
kali yang seterusnya. Entah mengapa, setiap kali mata mereka bertembung,
kebimbangannya berganda-ganda. Pelbagai persoalan akan muncul di benaknya
mengenai gelagat lelaki itu.
"Nak balik dah ke? Belum
pukul tiga lagi ni."
"Aku laparlah! Jomlah
Siti Hajar!"
Rengek Iris Suhayla sambil
menarik-narik lengan Siti Hajar. Bergoyang-goyang badan sahabatnya bila ditarik
begitu.
"Iyalah, iyalah! Jom
balik!"
"Su, saya pun lapar jugak
ni. Ajaklah saya makan sekali."
"Kalau ajak awak, kena
belanja pulak. Mana saya ada duit!"
Balasnya sebelum menunggu Siti
Hajar di luar. Tak betah rasanya melihat wajah lelaki itu lama-lama. Lebih baik
dia menanti Siti Hajar di luar sahaja.
"Eh, tak payah belanja!
Kali ni, biar saya yang belanja. Lain kali, giliran Su pulak belanja
saya."
"Kenapa ada lain kali pulak?"
"Tak baik kedekut. Sharing is caring, kan Siti?"
"Sharing is caring? Ee, geli –geleman aku!"
Balas Siti Hajar, menjungkit
bahu, menenggelamkan kepala tanda geli dengan apa yang baru diucap Zakwan.
"Assalammualaikum. Cikgu
Siti, ada nampak Cikgu Zack tak? Guru besar nak jumpa Cikgu Zack!"
Tanya Shila, anak Cikgu
Fatimah ketika Siti Hajar sedang menyarung kasut. Siti Hajar memanjangkan leher
ke arah Zakwan namun lelaki itu meggoyang-goyangkan tangannya ke kiri dan
kanan, tanda tidak mahu dijumpai.
"Tu! Cikgu Zack ada di
dalam."
Ujar Iris Suhayla selamba.
Siti Hajar tidak dapat menahan gelak bila melihat Zakwan menggeleng-gelengkan
kepala, keluar dari tempat persembunyian lantas memakai kasut juga.
"ZACK tanya pasal kau tadi!"
Ujar Siti Hajar, memulakan
bicara ketika masing-masing sedang menonton televisyen. Iris Suhayla memaling
mukanya sekejap ke arah Siti Hajar, kemudian dia mengalih semula tumpuan ke
arah siaran televisyen. Dia tahu apa yang ingin disampaikan Siti Hajar kerana
dia sendiri sudah mendengar apa yang Zakwan dan Siti Hajar bualkan ketika di
pusat sumber siang tadi.
"Tahu, aku
terdengar."
"Lah, patutlah ajak balik
awal."
"Malas aku duduk situ
lama-lama. Nanti apa pulak kata orang lain. Salah guna perpustakaan untuk
bercinta, biar tak ada apa-apa pun."
Jelas Iris Suhayla, menyatakan
pandangannya. Bukan sekali dua mereka bertemu di situ tetapi banyak kali.
Walaupun tujuannya ke situ hanya untuk menemani Siti Hajar tetapi kehadiran
Zakwan bakal mengubah tanggapan rakan sejawat yang lain. Itu yang paling
dikhuatirinya.
"Lain kali aku malas dah
melepak kat pusat sumber. Kalau nak balik, kau callajelah aku. Tak pun cari aje aku kat prasekolah,"
"Uiks, serius aje
bunyinya. Tapi sebelum tu aku nak tahu jugaklah, sebagai kawan, kau minat
Zakwan?"
Tanya Siti Hajar, bagai sudah
dijangka oleh Iris Suhayla. Namun, dia tidak segera menjawab.
"Minat macam mana tu
maksudnya?"
"Minat macam mana yang
kau faham?"
"Kalau minat sebagai
kawan, aku belum kenal lagi dia untuk dijadikan kawan, kalau minat sebagai
kekasih, pun aku belum kenal siapa Zakwan."
"So, tak minat dua-dualah?"
"Ke kau dah ada orang
lain?"
"Dah ada orang
lain?"
Soal Iris Suhayla semula.
Ingatannya terus melekat pada Izzul Haq. Adakah Izzul Haq orang yang
dimaksudkan Siti Hajar? Atau barangkali Siti Hajar sekadar menduga. Bolehkah
dia menganggap Izzul Haq sebagai 'orang lain' sedangkan hubungan mereka hanya
bersandarkan pada majlis pertunangan tersebut. Kemudian, apabila semuanya
kembali seperti biasa, masing-masing menguruskan hal sendiri tanpa perkhabaran.
"Senyap aje aku tanya.
Dah ada orang lah tu, kan?"
"Dah ada orang? Entahlah.
Aku pun tak tahu sejauh mana kuatnya frasa' 'ada orang' tu."
"Get me to the point, please! Aku ni orang kampung, tak faham sangat
bahasa Sanskrit."
Pinta Siti Hajar. Iris Suhayla
masih berkira sama ada hendak berterus terang atau menyimpan sahaja cerita itu.
Muncul kembali bayang Izzul Haq menyapa minda sedarnya.
"Aku dah bertunang,
Siti!"
Beritahunya kemudian.
"Hah? Biar betul? Tak
pernah tengok pun cincin kat jari kau!"
Tanya Siti Hajar, langsung
tidak menduga tentang status sahabatnya. Tambahan pula, Iris Suhayla tidak
pernah menunjukkan tanda yang dirinya sudah berpunya.
"Aku simpan."
"Buat apa nak simpan?
Cincin tu kan satu tanda. Sekurang-kurangnya tak perlulah Zack susah payah
mengurat kau."
"Macam mana aku nak pakai
kalau aku sendiri masih belum boleh terima hakikat yang aku ditunangkan atas
pilihan mak ayah aku!"
IRIS Suhayla sengaja mengajak Siti Hajar menemaninya
untuk menjemput Riyad di lapangan terbang. Walaupun Siti Hajar menolak, namun
dia berkeras juga mahukan Siti Hajar menemani perjalanan mereka sepanjang
hujung minggu itu.
"Aku sebenarnya suka
masakan kau. Kalau dapat makan selalu, kan seronok?"
Ujar Iris Suhayla, penuh
makna. Sebenarnya, terdetik di hati untuk mempertemukan Riyad dan Siti Hajar. Tambahan
pula, Riyad masih menyendiri, begitu juga dengan Siti Hajar. Sebab itu, dia
berkeras juga mahu Siti Hajar turut serta dalam pertemuan itu.
Sekurang-kurangnya dia berusaha untuk menyatukan, selebihnya terpulang pada
kehendak masing-masing. Namun, jika selepas itu, Riyad menolak sebarang
pertemuan dengan Siti Hajar, Iris Suhayla akur.
"Apa kena-mengena dengan
masakan aku pulak ni?"
"Kau kan pandai
masak!"
"Habis, apa kaitan dengan
perjalanan kita hari ni?"
Tanya Siti Hajar, tidak
berpuas hati. Walaupun dia tahu tujuan perjalanan mereka pada hari itu namun
kata-kata Iris Suhayla sungguh tidak menyenangkan. Rakan serumahnya itu
seolah-olah memberi gambaran untuk memperkenalkannya dengan satu hubungan baru.
"Tak ada apa-apa."
Elak Iris Suhayla sambil
memarkir kenderaannya di petak meletak kenderaan. Kemudian, mereka sama-sama
menuju ke arah lapangan terbang sebelum Iris Suhayla membuat panggilan terhadap
abangnya.
"ANGAH!"
Laung Iris Suhayla sambil
melambaikan tangannya ke arah seorang lelaki yang sedang leka membaca akhbar.
Riyad memaling muka lantas menghadiahkan senyuman penuh makna buat adik
bongsunya. Walaupun lebih sebulan berlalu, namun Iris Suhayla tetap ceria
seperti selalu. Pantas dia menyarung beg galas sebelum berjalan mendekati Iris
Suhayla dan temannya barangkali. Semakin didekati, wajah itu semakin kerap
menunduk ke bawah.
"Lama ke angah
tunggu?"
"Lenguh jugaklah kepala
ni, asyik menoleh kiri kanan. Janji pukul sepuluh setengah, dah lebih pukul
sebelas baru sampai."
"Su kan VVIP. Angah lah
yang kena tunggu Su."
"Eleh, VVIP konon!"
Balas Riyad sambil menjuihkan
bibir, tidak menerima jawapan yang diberi iris Suhayla. Sesekali dia menjeling
ke arah teman Iris Suhayla. Orangnya putih bersih, sesekali terserlah lesung
pipit di pipi.
"Angah, perkenalkan, Siti
Hajar, soulmateangah!"
"Soulmate?"
Hampir serentak teruna dan
dara itu menjawab. Seperti selalu, Iris Suhayla menghamburkan tawanya. Dalam
gurauan, dia mengharapkan itu yang bakal berlaku.
"Bukan ke? Emm, silap
pulak vocab I hari ni. Perkenalkan housemateSu, Siti Hajar!"
"Siti. Ini abang aku,
Riyad!"
Tambah Iris Suhayla lagi,
saling memperkenalkan mereka berdua. Walaupun Siti Hajar kelihatan agak pemalu
ketika itu namun diangkat juga mukanya sebagai tanda menghormati perkenalan
itu.
"Siti ke Hajar? Ke Siti
Hajar?"
"Hah?"
"Nak panggil Siti ke Hajar?"
"Oh, panggil Siti
aje!"
Jawabnya, mengiringi jalan
Riyad sementara Iris Suhayla sudah berjalan di hadapan, barangkali menuju ke
perkarangan meletak kenderaan.
"Siti mengajar
jugak?"
"Emm, satu sekolah dengan
Su."
Jawabnya ringkas. Sebenarnya
dia agak malu pada pertemuan baru, lebih-lebih lagi perkenalan itu melibatkan
jantina yang berbeza. Namun, sikap pemalu itu tidaklah begitu ketara jika
perkenalan melibatkan rakan sejawatan. Barangkali sikap itu belum diterokai
dengan lebih lanjut memandangkan dia begitu malu berbual dengan abang kandung
Iris Suhayla.
"Aik, dah beli kereta
baru?"
Tanya Riyad ketika Iris
Suhayla begitu selamba menyerahkan kunci kereta Honda City berwarna Sparkling Brown kepadanya.
"Mana ada duit!"
"Ni kereta siapa?"
"Izzul!"
Jawabnya laju. Tiada rahsia
besar antaranya dan Riyad namun penjelasan Iris Suhayla membuatkan Siti Hajar
juga menganga, bukan cuma Riyad. Iris Suhayla buat muka kerang busuk sebelum
membuka pintu belakang. Siti Hajar membuka pintu di belakang pemandu namun ditegah
oleh Iris Suhayla.
"Hari ni angah driver, Su is the boss! Seat belakang tak boleh kongsi dengan
orang. Sila-silalah duduk di depan, ya Cik Siti Hajar?"
Beritahu Iris Suhayla,
bersahaja. Namun, cadangannya tidak diendahkan Siti Hajar. Teman serumahnya
mempamerkan mimik muka geram namun seperti selalu, dia cuma membalas dengan
tawa riang.
"Angah tak tahu pulak Su
dah jadi orang kaya. Sejak bila?"
"Sejak angah ada di
sini."