31
MATA Putri Ariyana tidak berkedip apabila melihat
beberapa keping foto dimuat naik oleh rakan-rakannya di facebook. Dia menekan perkataan komen dan melihat begitu banyak
komen yang ditulis oleh pemilik-pemilik akaun di facebook. Satu persatu komen
dibacanya.
"Ops..jejaka kacak Malaya ni dah kahwin?"
"Wow, siapa wanita bertuah tu? Anyway, congrats to
Izzul Haq and his lovely wife. Hopefully, you will live happily until Jannah."
"Congrats to my dream hero. Uwaaaaa. Dah kahwin lah pulak!!!"
"Tahniah buat Izzul Haq dan suami. Wife you cantiklah.
I ingatkan you kahwin dengan Putri Ariyana? Retis kan? Susah nak jaga. Anyway
semoga anak-anak you nanti comel macam mak ayahnya. Boleh kita berbesan.
Hahahhaha."
"Putri Ariyana? I tengok dia tu over lah.
Tergedik-gedik keluar statement kat media. Yang aku hairannya, Izzul Haq say
nothing about it. Mesti dia yang saja-saja buat cerita, kan? To Izzul Haq and
wifi, ops wifeee...moga bahagia till Jannah."
"Hidup Izzul Haq! Aku dah agak. Takkan dia nak
kahwin dengan retis. Sama-sama busy, bila nak dapat anaknya? Wakakakka."
"Cantik sangat ke Putri Ariyana tu? Togel je tak
bertudung? Tengok wifi@wife Izzul Haq tu. Kan lawa bertudung. Suspect sama lu
lah bro!
"Macam lawa sangat Putri Ariyana tu."
"Lawalah beb..Lawa tepek bedak.wakakakkaka."
"Apalah korang ni. Yang korang nak marah sangat
dengan Putri Ariyana tu kenapa? Izzul Haq tak kata apa, korang pulak yang
lebih."
"Hah. mamat nilah aku jumpa dalam flight ari tu.
Satu line aje dengan aku. Dia duduk sebelah perempuan yang i guess de same
person that he married to. Tahniah Izzul Haq!"
Putri Ariyana tidak
dapat menahan perasaan lagi membaca komen-komen tentang Izzul Haq dan
pasangannya. Bukan mereka berdua sahaja, malah dia yang lebih teruk dihentam
oleh mereka. Putri Ariyana mengesat air mata yang tumpah lalu mendaftar keluar
dari akaun facebook miliknya.
Jika hari ini dia
telah dihentam, esok dia pasti akan menerima lebih banyak tekanan dari hari
ini. Dia pasti para wartawan akan mencarinya, tambahan pula, sudah beberapa
kali dia mengeluarkan kenyataan tentang hubungannya dengan Izzul Haq yang
sering disebut kepada media sebagai "kami sedang mengenali hati budi
masing-masing".
Dalam masa yang sama
dia sengaja juga memberi teka teki kepada media yang dia bakal menerima sebuah
kereta Porsche seperti yang dipandunya pada majlis pelancaran Porsche 911 Targa
4s tempoh hari. Tidak cukup dengan itu, dia memuat naik pula fotonya bersama
Izzul Haq. Semua itu dibuat dengan tujuan untuk merapatkan lagi hubungannya
dengan Izzul Haq tetapi sayang Izzul Haq bukan sebarang lelaki yang mudah jatuh
cinta rupanya.
IRIS Suhayla masuk ke pejabat dengan perasaan berbunga.
Perasaan itu kian berkembang dari hari ke hari. Alangkah bahagianya jika Izzul
Haq selalu membuat kejutan seperti itu. Tiba-tiba menelefon dan memberitahu
yang dirinya sudah berada di lapangan terbang seperti yang dilakukan awal pagi
tadi. Pukul tiga pagi pun dia sanggup bangun asalkan yang mengejutkan tidur itu
adalah Izzul Haq.
"Hai, senyum aje
pengantin baru."
Cikgu Fatimah yang berdiri di
sebelah menegurnya. Iris Suhayla terus menoleh ke arah Cikgu Fatimah. Tak
disangka perasaan itu ketara pada wajahnya. Dia ingatkan perasaan itu hanya
dirasai dirinya sahaja. Rupa-rupanya ada yang memerhati.
"Selalunya senyum Iris tu
taklah sampai ke telinga."
Tambah Cikgu Fatimah lagi,
mengusik. Dia pernah melalui pengalaman seperti Iris Suhayla dan dia mengerti
akan perasaan itu. Segala-galanya manis diawal usia perkahwinan. Iris Suhayla
senyum lagi.
"Tak adalah, kak."
"Hai, semua. Selamat
pagi!"
Sapa Cikgu Khadijah pula. Dia
menepuk belakang Iris Suhayla, lembut. Iris Suhayla senyum sahaja.
"Pengantin baru ni dah
datang sekolah. Eh, akak tengok awak ni baru teringat nak tanya."
"Pasal apa tu, kak?"
Iris Suhayla bertanya sambil
berjalan perlahan, beriringan dengan Cikgu Khadijah dan Cikgu Fatimah. Mereka
berdiri di tepi pintu masuk ke pejabat. Beberapa orang guru yang baru tiba,
mengangkat tangan pada mereka, tak kurang juga yang memberi salam.
"Suami awak CEO kereta
mewah tu, ya?"
Cikgu Khadijah hampir
berbisik. Iris Suhayla tersipu-sipu. Dia tidak menyangka soalan itu yang bakal
ditanya sedangkan dia langsung tidak bersedia untuk menghadapinya. Persoalan
tentang kerjaya si suami.
"Err...saya tak tanyalah
pulak. Dia pun tak cerita."
Jawab Iris Suhayla,
berterus-terang. Dia mendengar cerita tentang kerjaya si suami pun dari Siti
Hajar tetapi dia tidak pula bertanya tentang hal itu kepada Izzul Haq sendiri.
Bahkan Izzul Haq sendiri tidak pernah bercerita tentang kerjayanya.
"Aik? Biar betul awak ni,
Iris! Kerja suami pun tak tahu." Cikgu Fatimah pula menambah.
"Tapi akak rasa dah
memang betul si Iris ni kahwin dengan CEO kereta tu. Kalau tak, takkan berani
dia bawa staf sekolah ke majlis perkahwinan dia. Bawa dengan kapal terbang
pulak tu."
"Nama dia pun sama. Izzul
Haq bin Dato' Izhar."
Tokok Cikgu Fatimah lagi.
Kebetulan Zakwan melintasi mereka. Iris Suhayla sempat mengecam wajah itu namun
Zakwan berjalan tanpa menoleh ke arah mereka.
Kringgggggggg! Loceng sekolah
telah berbunyi. Iris Suhayla menarik nafas lega kerana dia boleh menyelamatkan
diri dari banyak lagi soalan-soalan peribadi tentang keluarga barunya.
"Saya ke kelas dulu, ya.
Tertanya-tanya pulak Kak Nisa nanti."
"Okay. Eh, mana si Siti
Hajar. Biasa kan datang bersama?"
"Oh, Siti Hajar cuti
sakit. Dia tak datang hari ni."'
Jawab Iris Suhayla, terkenang
akan panggilan telefon yang dibuatnya pagi tadi. Dia bercadang hendak menjemput
Siti Hajar di rumah memandangkan dia bersama Izzul Haq di lapangan terbang
namun Siti Hajar memberitahu yang dia tidak sihat, lalu dia terus dihantar ke
sekolah.
IZZUL Haq tiba di pejabat hampir sebelas pagi. Dia
menaiki pesawat paling awal dari Labuan ke Kuala Lumpur selepas menghantar Iris
Suhayla ke sekolah. Kemudian, dia kembali ke lapangan terbang dengan menaiki
teksi.
"Selamat pagi, bos a.k.a
pengantin baru."
Ucap Aina sebelum dia memulas
tombol pintu. Izzul Haq tidak jadi masuk ke dalam biliknya. Dia memusing badan
menghadap Aina. Aina senyum mengusik. Dia seakan dapat menjangka soalan cepu
emas dari Izzul Haq.
"Mana awak tahu?"
"Tu. Tiga inai dijari.
Lagipun gambar majlis bos dah banyak saya jumpa kat facebook."
Beritahu Aina,
berterus-terang. Semenjak hari Rabu minggu lepas gambar-gambar di majlis
perkahwinan Izzul Haq tersebar di internet dan facebook. Biarpun majlis itu dijalankan secara senyap dan tanpa
kehadiran wartawan namun ianya tetap tersebar juga dengan meluas. Barangkali ia
dimuat naik oleh saudara mara atau rakan taulan yang menghadiri majlis
tersebut. Izzul Haq melihat tiga jarinya yang dicalit inai sehari sebelum
majlis perkahwinan mereka.
"Saya mungkin boleh sekat
media, tapi mana saya mampu sekat kalau gambar-gambar tu diupload ke facebook."
Keluhnya perlahan. Dia hanya
ingin membuat pengumuman tentang majlis perkahwinan mereka pada bulan enam
nanti, apabila tetamu luar dijemput ke majlis mereka yang ketiga namun
barangkali sudah ramai yang menagih jawapan darinya.
"Jom sembang di
dalam."
Pelawa Izzul Haq kepada Aina.
Aina tidak membantah. Seperti biasa, dia akan membawa jadual harian Izzul Haq
serta buku catatan untuk mencatit segala arahan Izzul Haq. Aina menolak pintu
bilik Izzul Haq dengan cermat.
"Jadual bos untuk dua ke
tiga minggu akan datang sangat padat sebab saya dah rombak semula jadual bos
minggu lepas. Hari ni bos ada meeting
dengan syarikat kargo May Wah di company
mereka pukul dua setengah petang. Kemudian, bos ada jemputan ke Makan Malam
bersama Anak Yatim Seri Setia. Acara bermula pukul lapan malam."
Terang Aina sambil mengamati
jadual kerja Izzul Haq. Selesai memberi penerangan, dia duduk apabila diminta.
"I got it. Siapa ikut saya ke majlis makan malam tu?"
"Unit Kebajikan."
Jawab Aina, ringkas. Dia
memerhati gaya Izzul Haq namun lelaki itu tidak berubah sedikit pun selepas
perkahwinannya. Barangkali tiada siapa yang tahu Izzul Haq sudah beristeri jika
tidak kerana gambar-gambar yang tersebar itu. Agaknya siapa wanita yang bertuah
dapat menjadi permaisuri hidup lelaki yang menjadi dambaan wanita itu? Pasti
ramai yang mencemburui isterinya kelak, termasuklah dirinya sendiri.
"Bos, siapa wanita bertuah
tu?"
Tanya Aina, tidak sabar ingin
tahu. Izzul Haq tidak menjawab, sekadar menghadiahkan senyuman. Perlukah dia
mendedahkan Iris Suhayla?
"Isteri sayalah." Dalih
Izzul Haq kemudian. Aina menarik muka masam.
"Iyalah. Siapa namanya?
Apa kerjanya? Di mana bos jumpa dia? Berapa umurnya? Kenapa bos pilih
dia?"
"Huh, banyak soalannya.
Yang mana satu nak jawab pun tak tahulah."
Izzul Haq mengusik. Dia
cuba sebaik mungkin untuk mengelak
segala pertanyaan tentang Iris Suhayla. Nama Iris Suhayla sekalipun kalau
boleh, dia tidak mahu mereka mengetahuinya. Biar dia sahaja yang tahu segala
sesuatu tentang Iris Suhayla.
"Jawablah satu-satu.
Alah, bos ni macam tak percaya aje dengan saya."
Balas Aina, berjauh hati. Dia
tahu Izzul Haq tidak mahu bercerita tentang isterinya. Jika tidak, pasti sudah
lama Izzul Haq memberitahu yang dia akan berkahwin. Tindakannya berkahwin
secara rahsia itu pun cukup memberi gambaran tentang lelaki itu.
"Bukan tak percaya
tapi-"
"Memang saya tak percaya
pun."
Tambah Izzul Haq lambat-lambat.
Dia ketawa apabila Aina menarik muka sekali lagi.
"Don't worry. When the time comes, I will introduce
her personally to you."
Beritahu Izzul Haq lagi. Aina
mencebik sebelum mengangkat punggung. Dia berjalan menuju ke muka pintu namun
berpaling semula menghadap Izzul Haq.
"Bos tak nak beritahu tak
apa. Nanti saya korek rahsia bos. Jagalah bos!"
"Saya mogok hari ni. Bos
jangan minta kopi dari saya."
Tambah Aina lagi. Izzul Haq
terus ketawa. Sesekali gelagat Aina mencuit hati juga.
"Saya tak nak kopi hari ni.
Tolong buatkan saya teh, ya. Cepat sikit!"
Arahnya sebelum Aina
meloloskan diri di sebalik daun pintu.
IRIS Suhayla berhenti menanda buku tulis anak-anak
muridnya. Satu persatu bentuk huruf diperbetulkan. Walaupun bulan keempat bakal
bermula esok namun banyak lagi kelemahan yang dapat dikesan pada tulisan
anak-anak muridnya. Paling membuatkan dia pening bila melihat tulisan Sofea.
Sudah banyak kali dia memegang tangan Sofea, membimbing Sofea untuk menulis di
atas garisan biru namun Sofea masih juga belum dapat menyerap ajaran itu.
Tulisan Sofea lebih layak digelar sebagai tulisan cakar ayam. Murid itu main
tulis dan main hentam asalkan kerjanya siap. Dia menyemak pula buku tulis Awang
Putih.
"Astaghfirullah hal azim.
Dia tak buat pun kerja yang aku bagi."
Omelnya sambil mengetuk kepala
sendiri. Kak Nisa mendekati sambil melihat buku tulis Awang Putih. Kemudian,
dia ketawa gelihati. Iris Suhayla mengangkat muka.
"Ops. Iris ni stress sangat. Relax saja. Budak-budak memang macam ni."
"Tak bolehlah, kak. Macam
mana saya nak senyum? Tengok buku Sofea, tulisan cakar ayam! Tengok pulak buku
Awang, kosong! Dia tak buat langsung kerja yang saya beri, padahal saya guide dan beri jawapan lagi. Baru dua
buku saya semak. Belum lagi buku-buku lain ni. Aduhhh."
Komen Iris Suhayla sambil
menolak dua buku itu ke arah Kak Nisa. Kak Nisa mengambil kedua-dua buku itu
lantas menyelaknya. Kemudian, dia ketawa lagi tapi Iris Suhayla sakit hati.
Kepalanya terasa sakit dek perangai anak-anak muridnya itu. Dia memicit-micit kening.
Urat-urat itu terasa sakit apabila dipicit.
"Kalau hari-hari stressmacam ni, mahu gila umur empat
puluh ni."
Seloroh Iris Suhayla. Kak Nisa
ketawa juga. Kemudian dia meninggalkan Iris Suhayla, meneruskan tugasnya
mengemas dan menyapu lantai.
"Pergilah ambil angin di
luar. Jalan-jalan pusing sekolah."
Kata Kak Nisa lagi, memberi
cadangan. Iris Suhayla tidak menjawab. Hanya mata sahaja yang berkedip-kedip.
Cadangan Kak Nisa itu bernas juga. Dia tidak sepatutnya berkurung sahaja di
dalam kelas apatah lagi menghadap rutin harian yang selalu mendatangkan tekanan
itu.
"Betul jugak, kan? Jom ke
kantin nak? Saya belanja makan. Gaji saya dah masuk."
Dia pula memberi cadangan
kepada Kak Nisa. Kak Nisa berhenti menyapu kemudian meletakkan penyapu itu di
sudut kelas. Dia tergopoh-gopoh memakai selipar di luar.
"Cepatlah. Tak sabar sia mo
makan."
Panggil Kak Nisa, berdiri
tegak di luar. Iris Suhayla mengemas mejanya sambil ketawa mengekek.