Home Novel Cinta PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
SITI ROZILAH
15/11/2014 10:21:25
144,974
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8


JARUM jam berbentuk bulat yang melekap di ruang tamu rumah menuding ke angka 10.30 malam. Dia dan ayahnya, Encik Alwi, sedang leka berada di depan peti tv, menonton perlawanan bolasepak di antara pasukan Johor Darul Takzim menentang Pasukan Pahang Darul Makmur. Ibunya, Puan Habibah pula berada di dapur, menyediakan secangkir kopi untuk mereka dua beranak.

Keseronokan mereka menonton perlawanan bolasepak itu diganggu oleh bunyi dentuman pintu. Mata keduanya melolot ke arah sesusuk tubuh milik seorang perempuan yang tiba-tiba sahaja menerjah masuk tanpa peduli untuk mengetuk daun pintu apatah lagi memberi ucapan salam.

“Errr... maafkan saya sebab masuk ke rumah Pak Alwi macam ni. Tapi, saya ada masalah besar.” Mata perempuan itu kemudian melekap ke wajahnya pula.

“Jeff, you kena tolong I!”

“Errr... tolong? Tolong apa?”

“Puan Yana, apa masalahnya ni? Saya tengok macam rumit sangat?” Encik Alwi segera menyampuk.

“Anak saya, si Eiz tu! Entah apa yang dah rasuk dia sekarang ni agaknya. Pantang saya tegur, cepat sangat melentingnya. Tadi berlaku sedikit berbalahan antara saya dengan dia. Dia terus naik angin dan meluru keluar dari rumah. Dia cakap, saya tak usah risaukan dia kalau dia mati sekalipun. Risau saya, Pak Alwi, risau!” Dayana mengadu hal.

Encik Alwi hanya menggeleng-gelengkan kepala mendengar cerita Dayana itu. Dia kenal benar dengan anak lelaki tunggal perempuan di depannya. Eizhan seolah-olah seorang jagoan apabila bercakap tentang kematian. Dia seolah-olah sudah sedia berdepan dengan kematian sedangkan ilmu agama di dadanya setipis sehelai tisu. Mungkin lebih nipis daripada itu!

“Tak elok kalau jadikan perkataan ‘mati’ ni berlegar-legar di bibir. Kata orang, setiap kata-kata yang kita luahkan tu, merupakan satu doa.” Encik Alwi sempat memberikan serangkap ceramah agama.

“Tulah yang merisaukan saya sekarang ni.” Dan mata Dayana melekap semula ke wajah Jeffri.

“Jeff, dia kawan baik you kan? Takkan you tak tahu dia ke mana? You kena tolong I, Jeff!” suaranya kedengaran seolah-olah mendesak.

“I tak tau dia ke mana.” Sahut Jeffri sambil membelingas ke arah ayahnya yang tercengang mendengar dia dan Dayana saling membahasakan diri ‘I’ dan ‘you’ sahaja.

“Takkan you tak tau? You kan kawan baik dia!” Dayana menghentak suara.

“Ya, betul, dulu kami memang kawan baik. Tapi tu time sekolah dulu. Dah jadi ancient history.

“Tipu!”

“Nak buat apa I tipu you? Satu sen pun I tak untung dengan menipu you, Yana!” Jawab Jeffri, berani.

“Ehem... izinkan saya menyampuk,” tergagap-gagap Encik Alwi bersuara. Dia menujah pandangan yang penuh tanda soal ke arah anak bujangnya dan juga Dayana. Pertelingkahan di ruang tamu itu bagaikan drama Melayu pula lagaknya.

“Pak Alwi, tolonglah saya. Suruh Jeff cari anak saya sekarang jugak!” Suara Dayana masih meninggi.

“Mustahil Jeff tak tahu ke mana Eiz pergi? Mana port Eiz selalu lepak? Mesti dia tahu tapi dia sengaja tak nak tolong saya. Saya tengah buntu ni, Pak Alwi!”

“Errr...macam ni ajelah, puan. Apa kata kalau puan balik dulu. Biar kami fikirkan macam mana caranya nak cari Eiz.” Tukas Encik Alwi untuk menyedapkan hati Dayana.

“Baiklah, Pak Alwi. Saya ucapkan terima kasih kerana sudi tolong saya cari anak setan tu!” Dayana terlepas cakap.

“Puan! Tak baik panggil anak sendiri dengan panggilan sebegitu. Kalau kita nak panggil anak, eloklah gunakan panggilan yang baik-baik. Begitu jugak kalau kita nak namakan anak-anak kita, seharusnya kita letak nama yang baik-baik.” Tegur Encik Alwi.

Dayana segera menutup mulutnya. Baru sedar akan keceloparannya.

“Err... saya... saya tak sengaja.” Kemudian matanya melekap semula ke wajah Jeffri.

“Jeff, you kena tolong I cari Eiz. I berharap sangat dengan you ni.” Pintanya.

Sekali lagi mata Encik Alwi membelingas ke arah anak bujangnya. Lain macam benar mereka berdua ni, bisik hatinya dengan rasa curiga.

“Insya-ALLAH, Puan Yana.” Jeffri bersuara.

Dayana tersenyum nipis. Tanpa banyak bicara dia terus meminta diri lalu keluar dari kediaman Encik Alwi sekeluarga.

“Ayah, kenapa pandang saya macam tu?” soal Jeffri.

“Lain macam aje kamu dengan Puan Yana tadi tu? Siap ber ‘I’, ber ‘you’! Apa maknanya tu?” Encik Alwi meluahkan apa yang bersipongang di hatinya sejak tadi. Pandangan curiga dilontarkan ke arah anak bujangnya.

Jeffri tersenyum kelat.

“Ala, ayah janganlah risau. Tak ada apa-apa.”

Encik Alwi menggeleng-gelengkan kepalanya. Sebagai seorang ayah, sudah tentulah dia berhak curiga. Daripada pemerhatiannya, sikap di antara anaknya dengan Dayana seketika tadi menunjukkan seolah-olah mereka berdua mempunyai hubungan yang istimewa. Tetapi malam ini, dia malas hendak memanjangkan cerita itu.

“Kamu rasa ke mana Eiz pergi?”

Jeffri mengeluh. Dalam dan pekat.

“Saya pun tak pasti kat mana Eiz berada sekarang ni, ayah. Tapi saya boleh cuba cari dia. Mungkin dia ada kat sana.” Jawabnya.

Dan Jeffri sendiri tidak sangka tekaannya tepat sekali. Hiba hatinya tatkala melihat keadaan Eizhan yang pernah suatu ketika dahulu menjadi sahabat karibnya. Dilihatnya Eizhan sedang tenggelam dalam kemabukannya. Tubuhnya terhoyong-hayang. Maruah dirinya sudah dilemparkan entah ke daerah mana.

Tiba-tiba dia lihat Eizhan diserang Jasmina. Mulanya dia hanya memandang dengan rasa tidak percaya. Dia tertanya-tanya kenapakah Jasmina tega memukul Eizhan dengan tas tangannya serta menendang-nendang tubuh lelaki itu tanpa sekelumitpun rasa kasihan? Pertunjukan percuma itu disaksikan oleh puluhan pengunjung disko itu.

Sebelum Eizhan dicederakan lebih teruk oleh girlfriendnya sendiri, Jeffri harus segera tampil untuk menyelamatkannya. Kemudian, dia terpaksa pula memapah tubuh sasa lelaki Eizhan ke keretanya seorang diri tanpa sesiapapun sudi membantunya.

Waduh, beratnya bukan main! Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia meninggalkan Eizhan di luar disko itu. Tetapi naluri kemanusiaan serta wajah sugul Dayana menghalangnya daripada berbuat demikian.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.