Home Novel Cinta PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
SITI ROZILAH
15/11/2014 10:21:25
142,719
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 22

22

Dayana melangkah masuk ke ruang banglo dengan hati yang lebih lega dan sedikit riang. Dia lega setelah Eizhan kini berada di rumah. Dia riang kerana baru seketika tadi dia menghabiskan masanya yang berharga bersama jejaka yang sudah mula menambat hatinya.

Hatinya yang dahulu sunyi, kini telah mula terisi. Walaupun mungkin hubungan di antara seorang perempuan dengan lelaki yang jauh lebih muda usianya masih lagi dianggap luar biasa dalam masyarakat Melayu tetapi dia bertekad untuk mengakhiri hubungan itu dengan menyerahkan dirinya sebagai isteri Jeffri suatu hari kelak. Lagipun jejaka itu sudah banyak menolong dirinya selama ini dalam hal yang berkaitan dengan Eizhan.

Langkahnya terhenti ketika melihat kelibat Eizhan di tangga. Renungan mata jejaka itu dirasakannya begitu tajam menikam ke wajahnya. Dia gelisah kerana gagal mentafsir renungan seumpama itu. Apakah Eizhan masih marah pada dirinya yang dianggap sebagai seorang mama yang suka mengongkong anaknya? Atau, Eizhan telah terlihat sebabak kemesraannya dengan Jeffri di laman seketika tadi? Dia lebih ngeri memikirkan situasi yang kedua daripada yang pertama. Dia masih belum bersedia untuk berterus-terang dengan Eizhan tentang hubungannya yang sedang terjalin dengan Jeffri.

Dengan segala susah payah dia melebarkan senyuman ke arah Eizhan. Langsung tidak berbalas.

“Eiz masih marah dengan mama?” Dia cuba untuk berkomunikasi dengan Eizhan walaupun belum tentu lagi jejaka itu mahu melayannya.

“Mama minta maaf, okey. Lepas ni, mama janji mama akan ubah sikap. Mama akan cuba untuk lebih memahami Eiz.” Dia menuturkannya walaupun belum tentu lagi dia akan mempraktikkannya.

Eizhan tidak menjawab. Dia melangkah turun lalu duduk di kusyen tenggelam punggung. Dayana mengekorinya lalu duduk di sisi Eizhan.

“Eiz, apa kata kalau kita berdua lebih memahami antara satu sama lain? Selama ni kita selalu bertengkar. Tapi kalau kita sama-sama mencuba, tentu hubungan kita akan bertambah baik. Cuma Eiz kenalah ubah sikap.”

“Apa aje yang Eiz buat tak kena di mata mama kan? Tapi apa yang mama buat semuanya betul!” sergah Eizhan sambil menuding jari ke arah Dayana.

“Eiz!”

“Apa hubungan mama dengan Jeff? Terangkan pada Eiz sekarang!” Eizhan menghentak soal.

“Err... hmm...” Dayana tergagap-gagap.

“Kat luar tadi, bukan main mesra lagi Eiz tengok? Dah pupus ke jantan yang usianya sebaya mama sampaikan dengan Jeff pun mama nak bermesra?”

“Eiz jangan salah sangka. Mama dengan Jeff tak ada apa-apa.”

“Macamlah mata Eiz ni dah buta. Oh, mama boleh bercinta dengan sesiapa aje yang mama suka walaupun lelaki tu sebaya usianya dengan anak mama ni? Eiz pulak dinafikan hak untuk mencintai perempuan yang Eiz suka?” Tinggi nada suara yang terlontar dari mulut Eizhan terhadap mamanya.

“Mama tak pernah halang hubungan Eiz dengan Jas. Go ahead, kalau Eiz dah ready sangat nak jadikan Jas isteri Eiz, bila-bila masa aje mama boleh masuk meminang dia!” Suara Dayana juga sudah mula meninggi. Sudah tidak tahan dia diherdik-herdik anaknya sendiri. Kalau diikutkan marahnya mahu sahaja disumbat masuk semula anak kurang ajar itu ke dalam rahimnya. Biar padan muka!

“Bukan Jas yang Eiz maksudkanlah!”

“Habis, kalau bukan Jas, siapa lagi? Ada perempuan lain ke selain Jas? Oh, begitu rupanya. Mama tak kisah, Eiz. Dengan siapa pun Eiz nak bercinta, mama tak kisah. Mama sanggup pinangkan kalau memang Eiz serius dengan dia.” Dayana memberikan jaminannya. Ternyata dia sudah penat bertelagah dengan anaknya sendiri.

Eizhan menarik nafas panjang. Dia malas hendak memanjangkan perbualan tentang hal dirinya. Ternyata itu taktik mamanya yang hendak mengelakkan dirinya daripada menjawab soalan tentang hubungannya dengan Jeffri.

“Mama jangan cuba nak mengelak lagi. Apa hubungan mama dengan Jeff?” soal Eizhan sambil memaparkan imej bosan pada wajahnya.

“Sebenarnya kami... kami sedang bercinta.” Akhirnya terburai juga sebuah pengakuan dari mulut Dayana. Wajahnya kemerah-merahan menahan malu.

“Eiz! Eiz nak ke mana tu?” Dia terpanggil-panggil tatkala melihat Eizhan bingkas bangun lalu melangkah pantas ke arah pintu.

Walaupun tahu ke mana hala tuju anaknya tetapi Dayana tidak mampu berbuat apa-apa. Dia hanya menanti kepulangan Eizhan dengan dada yang bergemuruh dek debaran.

“JEFF!!!” Eizhan melaungkan nama itu. Tanpa peduli untuk mengucapkan salam kepada tuan rumah, dia melangkah masuk.

Di ruang tamu, dia lihat Jeffri sedang enak-enak mengadap kopi pekat dan bihun goreng dengan ibu serta adik perempuannya.

“Abang Eiz, marilah minum dengan kita orang.” Umaira bersuara.

“Ya, Eiz. Marilah minum.” Puan Habibah pula mempelawa. Sedangkan Jeffri hanya mendiamkan dirinya.

Melihatkan ibu dan adik Jeffri turut berada di situ, Eizhan cuba sedaya upaya untuk menenangkan hatinya. Dia tidak mahu bikin kecoh di depan mereka. Biarlah dia menyelesaikan hal itu dengan Jeffri sahaja.

Dia sengaja duduk di depan Jeffri. Tajam matanya merenung jejaka itu, jejaka yang kini sedang menjalin hubungan cinta dengan mamanya yang jauh lebih berusia. Dia seolah-olah tidak percaya akan pengakuan mamanya seketika tadi. Pelik pun ada! Macam mana mama sanggup bercinta dengan lelaki yang sebaya dengan aku?

Dia datang ke rumah itu untuk mendapatkan kepastian daripada Jeffri sendiri. Jeffri itu dulu merupakan kawan baiknya. Mereka pernah belajar satu sekolah dan dalam satu kelas. Macam manalah dia hendak menerima hakikat bahawa lelaki itu bakal menjadi bapa tirinya?

“Jemput makan, Eiz.” Pelawa Puan Habibah sambil menghulurkan pinggan kecil berisi bihun ke arahnya.

“Terima kasih, Mak Bibah.” Sahutnya sambil mencapai bihun yang dihulurkan itu.

“Sama-sama.”

“Abang Eiz nak rasa sambal bilis ni tak?” soal Umaira pula. Terlebih mesra.

Dia menoleh ke arah pinggan berisi sambal ikan bilis yang kelihatan merah menyelerakan itu. Tetapi seleranya terbantut sebaik sahaja melihat ketulan-ketulan petai di dalamnya. Dia tidak makan petai, busuk!

“Tak naklah.” Katanya.

“Abang tak suka petai, ya? Sedap tau sambal bilis campur petai ni.” Umaira galak bersuara.

“Maira, orang tak suka kita jangan paksa-paksa.” Puan Habibah menyampuk.

“Eh, kenapa tengok aje bihun tu, Eiz? Makanlah.”

“Yalah.” Sahut Eizhan sambil mengharapkan kedua-dua orang perempuan penyibuk itu segera berlalu dari situ dan meninggalkannya bersendirian dengan Jeffri.

Setelah lama menunggu, barulah Puan Habibah dan Umaira meninggalkan mereka untuk menuju ke dapur. Itulah saat yang ditunggu-tunggunya.

“Jeff, aku ada hal nak tanya kau ni,” katanya. Pinggan yang telah licin isinya diletakkan di atas meja kopi.

Jeffri menoleh ke arahnya.

“Apa halnya?”

“Assalamualaikum. Eh, Eiz pun ada kat sini?” Suara Encik Alwi kedengaran di muka pintu.

Eizhan mengeluh. Hajatnya untuk bertanya kebenaran hubungan di antara mamanya dengan Jeffri terbantut lagi.

“Ya, Pak Alwi. Eiz dah lama kat sini. Dah habis pun sepinggan bihun dan secawan kopi pekat. Eiz minta diri dululah, ya.”

“Eh, kenapa pulak cepat-cepat nak balik, ni? Pak Alwi baru aje sampai. Belumpun sempat berborak dengan Eiz lagi.” Sanggah Encik Alwi.

Jeffri melontar pandangan ke arah Eizhan. Dia juga naik pelik melihatkan kelakuan pemuda itu.

“Apa yang kau nak tanyakan pada aku, Eiz?” soal Jeffri.

“Ah, lain kali ajelah. Dinner malam ni mama yang masak. Kalau kau nak joinkami, datanglah.” Getusnya sambil tersenyum sinis ke arah Jeffri.

Usai mengucapkan kata-kata itu, dia melangkah pantas meninggalkan ruang tamu rumah keluarga Encik Alwi.

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.