Home Novel Cinta PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
SITI ROZILAH
15/11/2014 10:21:25
144,975
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

4

BAIK-BAIK bawak skuter tu, Murni.” Lokman Azad mengingatkan gadis berusia 19 tahun itu.

“Yalah, Bang Azad! Murni tahulah abang tak nak orang yang bonceng kat belakang ni jatuh tergolek, kan?” usik Murni sambil mengekel-ngekel ketawa.

“Hisy, engkau ni Murni!” desis Nur Naziha yang sedang memperkemaskan ikatan tali topi keledarnya. Tidak cukup dengan itu, bahu Murni digetusnya kuat membuatkan Murni terjerit.

“Kak Ziha ni, macam semut apilah! Sakit tau tak!” dengus Murni.

Lokman Azad tergelak kecil melihatkan telatah mereka berdua. Tetapi memang betul kata Murni, dia tidak mahu perempuan yang telah mula mendapat tempat di hatinya itu jatuh skuter lalu cedera. Kalau boleh dia sendiri mahu menghantar Nur Naziha pulang, enggan melepaskannya membonceng skuter Murni. Tetapi bagaimana kalau ajakannya ditolak mentah-mentah oleh gadis itu? Kelak dia yang akan menanggung malu!

“Abang tak nak kau orang berdua jatuh skuter. Kalau kau orang berdua dah tersadai kat katil hospital nanti, siapa yang nak jaga farmasi?”

“Isy... abang ni! Tak patut betullah.” Gerutu Murni.

Lokman Azad ketawa. Matanya menoleh pula ke arah Nur Naziha yang sudah bertengger di belakang Murni. Wajah gadis itu juga menunjukkan riak kurang senang dengan kata-katanya seketika tadi.

Sorry, abang gurau ajelah. Dahlah tu, bawak skuter tu baik-baik. Assalamualaikum!”

Lokman Azad baru hendak berpaling untuk melangkah ke keretanya ketika terdengar Murni memanggil namanya.

“Bang, boleh pinjam RM20 tak? Kita orang berdua ni belum makan lagilah, bang.” Tingkah gadis berkulit hitam manis itu tanpa segan silu.

Lokman Azad tersengih panjang. Tanpa banyak bicara dia terus menyeluk walletnya lalu mengeluarkan dua helai wang kertas bernilai RM10 lalu dihulurkan ke arah Murni. Gadis itu menyambutnya dengan segala senang hati.

“Terima kasih ya, bang.” kata Murni sambil menghulurkan wang tersebut ke arah Nur Naziha.

“Eh, kenapa bagi akak duit ni?” Nur Naziha kelihatan ragu-ragu hendak mencapainya.

“Ala... Kak Ziha tolonglah simpankan. Apa gunanya beg tangan akak yang besar tu?” Murni membalas.

“Ada-ada ajelah Murni ni!” getus Nur Naziha sambil segera menyumbatkan dua helai wang kertas merah itu ke dalam beg tangannya.

Sebenarnya Nur Naziha segan dengan Lokman Azad. Dia malu untuk menerima pemberiannya walaupun mungkin Lokman Azad menganggap wang RM20 yang dihulurkannya itu seumpama mencurah setitik air di lautan luas.

Dan sekali lagi mata Lokman Azad jatuh ke wajahnya membuatkan Nur Naziha seolah-olah ingin menyuruh Murni segera memecut skuternya meninggalkan tempat itu.

“Dapat gaji nanti kita orang bayar balik ya, bang.” Kata Murni.

Lokman Azad menyengih.

“Ah, tak payahlah! Abang belanja.”

“Betul ke ni, bang? Isy, baiknya hati Abang Azad! Next time belanjalah lagi ya, bang.” Tingkah Murni, galak.

“Insya-ALLAH, boleh. Sebenarnya abang memang teringin nak belanja Murni dan Ziha makan tapi malam ni nampaknya tak boleh. Insya-ALLAH, malam esok kalau abang ada kelapangan kita keluar makan bertiga. Tupun kalau Murni dan Ziha sudi.”

“Ya ALLAH, baiknya hati abang. Dah tentulah Murni dan Kak Ziha sudi. Kata orang, rezeki jangan ditolak. Betul tak, Kak Ziha!”

“Err... tengoklah dulu macam mana. Ziha tak berani nak berjanji.”

“Hah, tengok tu! Ada orang yang tak sudi. Yalah... siapalah abang ni kan!” Lokman Azad pura-pura merajuk dengan kata-kata Nur Naziha seketika tadi.

“Ala... abang Azad janganlah merajuk. Kak Ziha malu-malu kucing aje tu, bang. Dalam hati sure mahu tu. Betul tak, Kak Ziha?”

Nur Naziha bengang sekali mendengar kata-kata yang terluah dari mulut Murni itu. Wajahnya tiba-tiba berasa panas. Seolah-olah buli-buli darah membusak ke mukanya. Mujurlah hari malam. Kebetulan pula tempat mereka berada hanya disirami cahaya neon yang samar-samar dari arah Jalan Ponniah. Kalau waktu siang sudah tentulah perubahan pada wajahnya ketara di mata Lokman Azad.

“Apa yang Murni melalut ni? Cepatlah! Sampai pukul berapa kita nak berborak kat tepi jalan ni?” Dia segera meluahkan ketidakpuasan hatinya ke arah Murni yang bercakap mengikut sesedap rasa sahaja.

“Kak Ziha marah ke?” Murni mengusik.

Sekali lagi Nur Naziha menggetus bahu Murni. Dan, Murni menjerit kesakitan.

“Hmmm... okeylah. Kita gerak sekarang. Bye, Abang Azad! Malam esok abang belanja makan tau.” Murni terjerit untuk melawan ngauman enjin skuternya.

No problem... boleh aje.” Lokman Azad menjerit sambil menggeleng-gelengkan kepala melihat telatah kedua-dua orang gadis tersebut.

SETELAH memakir skuternya di tempat yang selamat, Murni dan Nur Naziha menyusuri Jalan Mok Hee Kiang. Para peniaga di situ sedang rancak berniaga di tapak pasar malam. Sepanjang jalan itu telah ditutup kepada lalu lintas sejak jam 5.00 petang tadi untuk memberikan laluan kepada para peniaga dan pengujung pasar malam berurusan dengan lebih selesa dan selamat.

Suasana ketika itu sangat meriah. Payung-payung penjaja yang pelbagai bentuk serta warna mengindahkan pemandangan. Pelbagai barangan seperti pakaian, kasut, minyak wangi jenama murah, sayur-sayuran, buah-buahan, kuih-muih serta makanan boleh didapati di pasar malam Jalan Mok Hee Kiang itu. Beberapa orang penduduk dari kampung berhampiran juga tidak ketinggalan menjajakan sayur-sayur kampung seperti pucuk ubi, ulam pegaga, daun turi, pisang muda, jantung pisang dan sebagainya untuk menambah hasil pendapatan keluarga.

Para peniaga riuh mulut dan berlumba-lumba untuk melakukan barang-barang mereka. Melayu, Cina dan India; masing-masing sibuk dengan urusan mereka sendiri. Walaupun mereka dibezakan oleh warna kulit, budaya dan agama yang berbeza namun mereka mampu bergaul dan membeli belah dengan aman. Itulah warna-warna Malaysia yang sebenarnya. Penuh dengan uniti dan kesatuan!

“Kak Ziha nak makan apa?” soal Murni.

Semerta wajah seseorang menerpa ke jiwa Nur Naziha. Sudah tentulah wajah cinta hatinya, si dia yang telah mengisi penuh setiap inci ruang dalam jiwanya. Hingga kadangkala orang lain begitu sukar untuk menyelit masuk mahupun berkongsi tempat dengannya.

Dia suka makan nasi ayam, getus hatinya. Nasi bubur kalau dicampur dengan isi ayam pun dia suka! Hatinya berbisik lagi.

“Hoi, Kak Ziha!”

Nur Naziha terkejut. Dan wajah si dia yang dirinduinya bercempera entah ke mana apabila tiba-tiba namanya dijerit dan tangannya direntap kasar oleh seseorang. Murni terkekeh-kekeh melihat dia terkulat-kulat memandang.

“Kenapa akak ni?” sergah Murni setelah tawanya reda.

Nur Naziha hanya memandang kosong ke arahnya.

“Hah, tengok tu! Heee... selambanya muka dia. Buat-buat blur pulak dah! Apa yang akak angankan, hah? Kejap tadi Murni tengok akak macam dah tak berada kat atas Jalan Mok Hee Kiang ni, entah dah ke planet mana akak merantau?” bebel Murni.

“Eh, tak adalah! Kaki akak masih berpijak di bumi nyata.” Nur Naziha membela diri.

“Eeee... geramnya Murni!” Gadis lincah lagi ceria itu segera menarik Nur Naziha ke tepi agar mereka tidak menghalang laluan pejalan kaki yang lain.

“Cuba akak cerita dengan Murni, apa sebenarnya yang akak fikirkan sampai termenung jauh kejap tadi?”

Nur Naziha termangu. Perlukah dia membuka hijab yang menyelubungi dirinya selama ini kepada gadis bernama Murni? Dia tahu selama empat bulan mengenali gadis itu, dia terlalu banyak berahsia dengan Murni. Sedangkan Murni tidak pernah berahsia apa-apa pun dengannya. Itu kan tidak adil namanya!

“Ni mesti pasal lelaki kan?” Tekaan Murni itu membuatkan seulas senyum meleret di bibir Nur Naziha.

“Siapakah lelaki malang tu, Kak Ziha?”

“Isy, Murni ni, mana ada!”

“Abang Azad ke? Atau ada lelaki lain yang Murni tak kenal?”

“Mengarutlah. Eee... dahlah, akak malaslah nak cerita tentang hal ni. Akak dah lapar ni. Akak rasa macam nak makan nasi ayamlah malam ni.” Nur Naziha memilih untuk terus berahsia.

Murni tahu tiada gunanya dia terus memaksa Nur Naziha bercerita. Dia segera meminta wang yang diberi Lokman Azad tadi. Dia mengambil wang RM10 dan menyimpannya di dalam saku seluar jeansnya sementara bakinya dihulurkan semula ke arah Nur Naziha.

“Tak payahlah, Murni. Akak ada duit. Akak guna duit akak sendiri.”

“Kenapa pulak? Abang Azad belanja kita berdua ni. Ambillah duit ni, kak. Nanti apa pulak kata Abang Azad?” Murni terus-terusan mendesak agar Nur Naziha menerima wang itu.

“Tak payahlah mengadu kat dia. Kalau dia tak tahu takkan dia nak berkecil hati pulak.” Nur Naziha terus berkeras.

Murni mengeluh perlahan. Dia tahu tiada gunanya terus-terusan memaksa Nur Naziha menerima wang tersebut.

Ah, peduli apa! Kalau orang tak sudi, aku ajelah yang rembat! Getus hatinya sambil merancang untuk menukar purse lamanya yang sudah koyak.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.