Home Novel Cinta PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
SITI ROZILAH
15/11/2014 10:21:25
144,970
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17

17

NUR NAZIHA mencapai kerusi putar lalu duduk di depan kaunter pembayaran yang ditinggalkan oleh Lokman Azad. Dalam pada itu telinganya masih dapat mendengar gelak ketawa Lokman Azad dan Murni yang saling bertingkah di sudut belakang farmasi dengan jelas sekali.

Dia terasa seolah-olah mereka berdua sedang membicarakan tentang dirinya. Sedang mempertikaikan tentang kebekuannya selama ini. Ataupun sedang mempersoalkan tentang kedinginannya yang tidak bertepi.

Lelaki, kenapa kau sering meletakkan aku dalam dilema? Aku hanya mahu agar diri ini dibiarkan sendiri. Untuk apa aku ditemani kalau kemudian kau dengan kejamnya mencapai pisau belati lalu merobek-robek sekepal hatiku ini sehingga aku sendiri tidak lagi kenal apakah itu rupanya hati yang pernah aku miliki!

“Acik tahu Ziha pernah kecewa suatu ketika dulu. Mungkin sebab tulah Ziha tak percaya pada ikatan perkahwinan tapi sampai bila? Takkan selamanya Ziha nak hidup solo macam ni? Takkan selamanya nak hidup keseorangan di dunia ni? Kalau lelaki tu pernah kecewakan Ziha, pernah sakiti Ziha, lelaki lain tak semestinya macam dia.” Kata-kata yang diungkapkan oleh Puan Suzila awal pagi tadi menerpa semula ke ruang fikirannya.

Betul tu Ziha, yang patah akan tumbuh. Yang hilang akan berganti. Bagaikan ada suara pula berbisik ke telinganya.

Dia segera menoleh ke sudut belakang di mana Lokman Azad dan Hanim sedang berbual. Perlukah aku membuka pintu hatiku ini secara paksa untuk membenarkan seorang lelaki lain melangkah masuk dan bertakhta di situ? Perlukah?

Tidak mungkin! Mana mungkin! Cinta bukanlah suatu paksaan. Hatinya menegaskan.

Kring!! Kringg!!!

Deringan telefon di depannya membuatkan dia benar-benar terkejut.

“Angkat telefon tu, Ziha!” Lokman Azad menegurnya setelah mendengar telefon itu berdering beberapa kali.

Nur Naziha segera memekapkan telefon itu ke telinganya.

Hello, Farmasi Nusantara. Boleh saya bantu?”

Hello, boleh saya bercakap dengan Cik Murni?” Satu suara lelaki kedengaran di hujung talian.

“Boleh saya tau siapa yang bercakap?”

“Saya ni kawan dia, Firdaus.”

“Err... Murni tak ada. Dia tengah solat.” Sahut Nur Naziha pantas walaupun dia tidak tahu apakah yang dibuat oleh Murni berlama-lamaan setelah memberi alasan untuk ke tandas tadi.

“Ni Kak Ziha, ke?”

“Err... iya, saya Ziha.”

“Hmmm kak, boleh tak tolong beritahu Murni saya nak jumpa dia petang ni. Tolong ya, kak.” Luahan berupa rayuan kedengaran dari mulut Firdaus.

“Firdaus, rasanya Murni tak dapat keluar dengan awak petang ni. Sebab lepas hantar saya balik nanti, dia ada hal di rumahnya. Faham-faham ajelah, hal keluarga.” Nur Naziha segera memekup mulutnya. Kenapa aku perlu berbohong pada pemuda di hujung talian ini, bisik hatinya.

“Iya ke? Alahai, saya berharap sangat nak jumpa dengan dia petang ni. Dah lama betul kami tak jumpa sejak habis sekolah dulu. Banyak benda yang saya nak ceritakan pada dia.” Suara jejaka di hujung talian kedengaran kecewa.

“Lain kali ajelah awak jumpa dia. Okeylah ya, Firdaus, saya sibuk ni!” Nur Naziha segera menghempaskan telefon ke gagangnya dengan rasa bersalah.

“Siapa yang telefon tu, Ziha?” tanya Lokman Azad yang masih berada di sudut belakang farmasi bersama-sama dengan Hanim.

“Tak ada siapa-siapa!” sahut Nur Naziha bersahaja.

Jawapannya itu membuatkan terburai gelak dari mulut Hanim.

“Tak ada siapa-siapa? Habis tu, hantu ke yang telefon?” Lokman Azad membalas.

“Hmmm... iyalah kut! Hantu kepala hitam.” Hanim segera menghangatkan suasana.

Hahaha... menghambur gelak dari mulut Lokman Azad dan juga Hanim.

“Abang Azad, betul tak kata Anim... penangan patin masak tempoyaklah tu!” suara Hanim menyelar telinga Nur Naziha.

Nur Naziha tidak menyambut kata-kata Hanim sebaliknya merenung tepat ke wajah Murni yang baru muncul di ruang yang sama. Dia rasa bersalah pada gadis itu. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia seolah-olah tidak menyukai pemuda bernama Firdaus yang hendak menghampiri Murni. Apakah aku cemburu kepada Murni dan Firdaus? Apakah aku tidak mahu kemesraan terjalin di antara Murni dengan Firdaus yang kelak bakal menyaksikan mereka berdua bertapak ke suatu daerah yang mengasyikkan yang dipanggil percintaan? Tidak mahu melihat Murni gembira? Enggan melihat Murni mengecapi bahagia?

Tidak! Itu bukan aku. Sudah tentu aku mahu melihat gadis yang sudah aku anggap sebagai adikku sendiri itu menikmati kegembiraan dan kebahagiaannya. Cuma, aku tak mahu dia bertapak ke suatu daerah yang dipanggil cinta dengan pemuda bernama Firdaus.

Tapi, apa kurangnya Firdaus?

Tidak ada apa-apa yang kurang dengan dirinya. Cuma penampilannya dengan rambut bercacak tak ubah seperti duri landak, serta pakaiannya yang ruggeditu buat aku tidak percaya pada kejujurannya terhadap Murni. Murni gadis yang polos. Murni mempunyai hati yang suci. Dan, aku tidak mahu pemuda bernama Firdaus menyodok keladak ke sudut hatinya. Yang bakal menyaksikan Murni hilang kepolosan. Hilang kesuciannya!

Ziha, kenapa kau menilai peribadi seseorang itu melalui rambutnya dan cara dia berpakaian? Apakah orang yang berserban itu bagimu sebaik seorang wali? Apakah orang yang berpakaian kemas dan segak itu semuanya baik dan berhati mulia? Seperti Lokman Azad, contohnya?

Atau, jejaka itu? Jejaka yang pernah menghancurlumatkan hatimu dan memusnahkan masa depanmu?

Nur Naziha segera memekup mulut dengan kedua-dua telapak tangannya. Ini hal peribadi Murni. Kenapa aku harus masuk campur, hatinya bersoal-jawab. Fikirannya bercelaru!

“Kenapa, kak?” soal Murni lembut menusuk telinganya.

“Err... tak ada apa-apa.” Nur Naziha menjawab.

Mana mungkin dia mendedahkan pada Murni bahawa seketika tadi seorang pemuda bernama Firdaus telah menelefon, mencari Murni. Dan, dia pula memandai-mandai memberikan alasan bahawa Murni tidak dapat bertemu dengan pemuda itu petang ini.

“Kau pergi mana tadi, Murni? Bertapa ke dalam jamban tu? Sembelit ke?” suara Hanim kedengaran melaung dari sudut belakang.

“Wei, mulut busuk macam tong sampah!” jerit Murni pula.

“Cukup-cukuplah tu!” suara Lokman Azad kedengaran membidas.

“Sepupu abang tu asyik menyakitkan hati kita orang aje sejak tadi, kalau abang nak tahu!” Murni mengadu.

Lokman Azad melangkah keluar dari belakang rak lalu menghampiri kaunter pembayaran. Hanim juga memberanikan dirinya keluar dengan mengekori langkah Lokman Azad.

“Buah hati kau telefon masa kau tengah memerut tadi!” Hanim bersuara setelah dia berdiri di sisi Nur Naziha.

“Buah hati? Kau jangan nak menipu ya, mulut tong sampah! Aku mana ada buah hati?”

“Tanya Kak Ziha. Betul kan, kak? Tulah... lain kali kalau masuk jamban janganlah bertapa lama-lama.”

Nur Naziha semakin serba-salah apatah lagi setelah melihat renungan Murni mencerun ke wajahnya.

“Betul ke ada orang telefon Murni, kak?” Murni meminta penjelasannya.

Nur Naziha menggeleng pantas.

“Mana ada!”

“Wei, kau jangan cari pasal dengan aku, ya. Buku lima aku naik ke muka kau nanti, baru kau tau!” Murni menuding jari telunjuknya ke arah Hanim. Hanim juih bibir dan bikin muka selamba.

Nur Naziha pula berpura-pura sibuk menyelak sebuah buku besar yang digunakan untuk mengisi senarai nama para pelanggan yang pernah berurusan dengan Farmasi Nusantara. Dalam pada itu hatinya ligat berfikir, kalau pembohongan yang aku buat tadi terbongkar apakah buku lima Murni akan melayang ke pipiku?

“Kau orang berdua ni jangan asyik bertengkar aje!” Lokman Azad menghentakkan suara. Jelas kedengaran ketegasan dalam nada suaranya.

“Lain kali abang tak nak dengar pertengkaran macam ni lagi. Macam budak-budaklah kau orang berdua ni!”

“Anim yang mulakan, bang! Bukan Murni!” Murni segera menjawab.

“Betina ni yang kurang ajar dengan Anim, bang!” Hanim pula membalas.

“Diam!!!” Lokman Azad terpekik dan menghempaskan buku limanya sehingga bergegar meja pembayaran itu menerima hentaman tersebut.

Suasana hening seketika. Hanya bunyi sebatang pen yang terpelanting dari genggaman Nur Naziha sahaja masih kedengaran berputar di lantai simen.

“Mulai hari ni abang tak nak dengar lagi Murni atau Anim bergaduh atau bertengkar. Cuba berbaik-baik antara satu sama lain. Atau, abang akan adukan pada Tuan Haji.” Lokman Azad mengugut.

“Murni minta maaf, bang.” Murni bersuara perlahan.

“Anim?”

“Err... Anim pun minta maaf jugak, ya bang.”

“Okey, abang maafkan. Lepas ni jangan buat lagi. Belajarlah untuk jadi dewasa, betul tak Ziha?”

Nur Naziha membelingas ke arahnya setelah mendengar namanya disebut Lokman Azad. Dia mengangguk perlahan. Dalam sibuk-sibuk bebelkan Murni dan Anim, sempat jugak Abang Azad ni sekolahkan aku, bisik hatinya.

Sebelum berlalu meninggalkan mereka bertiga, Lokman Azad sempat memungut pen yang terjatuh di lantai lalu diletakkan di depan Nur Naziha. Mata mereka berdua sempat bertaut untuk seketika. Namun seketika cuma.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.