24
LOKMAN
Azad sengaja menghantar Hanim terlebih dahulu sebelum menghala ke kediaman Nur
Naziha. Dia berbuat begitu kerana ingin berdua-duaan dengan Nur Naziha.
Walaupun menyedari niat yang tersembunyi di sudut hati lelaki itu tetapi Nur
Naziha tidak mampu bersuara. Dia hanya mendiamkan dirinya di sebelah Lokman
Azad.
“Esok sudi
tak Ziha makan tengah hari dengan abang? Abang belanja.” Pancing Lokman Azad
sambil menoleh sekilas ke arah gadis di sisinya.
“Ziha
minta maaf, bang. Esok Ziha nak kemas rumah.” Dia menolak pelawaan lelaki di
sisinya dengan baik.
Lokman
Azad mengeluh perlahan. Namun didengari dengan jelas oleh Nur Naziha.
“Tak
apalah. Orang tak sudi, nak buat macam mana?” Merajuk bunyinya.
Nur Naziha
menggelisah di tempat duduknya. Dia benar-benar terkepung di sisi lelaki itu.
Dia tahu, Lokman Azad lelaki yang baik. Tetapi dia tidak mempunyai sekelumit
pun perasaan terhadap lelaki itu.
Permintaan
Tuan Haji Saadun yang seolah-olah merayu dirinya agar menggantikan tempat arwah
Melissa di sisi Lokman Azad juga membuatkan dia berada dalam dilema. Haruskah
dia memaksa dirinya untuk menerima lelaki di sisi kalau hatinya telah lama
tertutup untuk mana-mana lelaki?
Dia serik
dengan lelaki. Serik!
Kalaulah
Abang Azad tahu kisah silam hidupku, lalu bagaimana agaknya? Apakah dia akan
memandang hina pada perempuan yang sedang dipuja-pujanya ini?
Huh,
lelaki memang sukar hendak dimengerti.
Tidak! Aku
tidak akan membuka pintu hatiku secara paksa semata-mata kerana kasihankan
Lokman Azad yang sudah kematian isterinya itu. Mustahil aku menerimanya sekadar
untuk menjaga hati Tuan Haji Saadun.
Mereka
tidak kenal siapa sebenarnya diri aku. Kalau ditakdirkan hijab yang menutup
wajahku ini terselak nanti, apakah penghinaan yang akan dilemparkan mereka ke
arahku?
Dia
terbayangkan pula wajah Hajah Hawa. Dia cukup sedar perempuan itu tidak
menyukai dirinya. Kalau ditakdirkan dia membuka hatinya untuk menerima cinta
yang dihulurkan oleh Lokman Azad, mahu tak mahu dia terpaksa berdepan dengan
Hajah Hawa. Sanggupkah dia berurusan dengan bakal ibu mentua yang membenci
dirinya?
Tidak! Aku
tidak sanggup berdepan dengan semua itu. Aku mahukan kehidupan yang tenang
setelah suatu ketika dahulu seluruh kehidupanku dilanda badai yang maha hebat.
Dia menoleh ke arah lelaki yang sedang memegang stereng di sisinya.
“Kalau
Ziha cakap sikit, abang jangan marah ya.” Getusnya perlahan. Dia harus berterus-terang
agar lelaki di sisinya tidak terus mengharap.
Lokman
Azad menoleh sekilas ke arahnya. “Cakap ajelah. Abang tak marah.”
“Ziha tahu
abang mula sukakan Ziha. Tapi, Ziha tak boleh terima.”
“Kenapa?
Ziha dah ada pilihan sendiri?” soal Lokman Azad dengan suara yang terkawal.
Nur Naziha
menggeleng.
“Buat masa
ni hati Ziha tertutup untuk insan bernama lelaki. Sekarang Ziha nak bersendiri.
Dulu Ziha pernah kecewa cinta. Ziha minta tolong pada abang, janganlah desak
Ziha lagi. Ramai lagi perempuan lain di luar sana, abang pilihlah mereka. Ziha
harap abang hormat pendirian Ziha ni.”
Lokman
Azad kelu dengan pengakuan berani gadis di sisinya. Dia cuba membuka mulutnya,
ingin merayu lagi agar diberikan peluang untuk mengubati luka di hati Nur
Naziha. Tetapi kemudiannya, dia mengambil keputusan untuk tidak memberikan
apa-apa komen.
Kedua-duanya
hanya mematung sehinggalah Nur Naziha melangkah turun dari Pajero Lokman Azad.
NUR NAZIHA
melangkah naik ke rumah sambil tersenyum. Rupa-rupanya tidaklah sukar sangat
hendak berterus-terang. Hatinya lebih lega selepas berterus-terang di depan
Lokman Azad seketika tadi. Dia berharap agar lelaki itu faham dan menghormati
keputusannya. Dia hanya ingin agar dirinya dibiarkan bersendiri.
“Ehem...”
Deheman
Puan Suzila yang sedang duduk di depan televisyen itu membuatkan langkah
kakinya terhenti. Menyedari yang dia masuk tanpa mengucapkan salam, dia segera
menuturkan ucapan itu ke arah Puan Suzila yang galak memandangnya.
“Ada orang
hantar baliklah malam ni. Siapa tu, Ziha?” soal Puan Suzila ketika Nur Naziha
melabuhkan punggung di atas kusyen berhampiran dengannya.
“Oh, tu
anak bos Ziha. Lokman Azad.” Jawabnya.
“Kenapa tak
kenalkan dengan acik?”
“Perlukah acik
kenal dengan dia? Ala, Ziha rasa tak payahlah.”
Puan
Suzila tersenyum sumbing. Ketika melihat imej bosan yang terpapar di wajah Nur
Naziha tahulah dia bahawa lelaki yang baru menghantarnya pulang seketika tadi
tidak memberikan apa-apa makna di hatinya. Dia kecewa sebenarnya.
“Ziha dah makan?”
Oleh itu, dia sengaja mengalih topik perbualan mereka.
Nur Naziha
angguk.
“Kebetulan
Ziha makan nasi ayam di rumah bos Ziha tadi. Tulah sebabnya Abang Azad terpaksa
hantar Ziha balik ni.”
“Murni tak
ikut sama ke?”
“Murni
keluar awal petang tadi. Dia ada date.”
“Wah,
hebat jugak Murni tu. Ingatkan dengan imej tomboy
dia tu, lelaki tak berapa berkenan.” Itulah komen awal Puan Suzila sebaik
sahaja mendengar cerita yang Murni ada date.
“Ziha
pulak macam mana? Bila agaknya nak keluar date
dengan teman lelaki?”
Nur Naziha
ketawa kecil. Bosan juga kalau seringkali diasak dengan soalan yang sama.
“Ziha akan
keluar date lepas acik kahwin. Boleh
gitu!”
“What? Oh... tidak!!!”Puan
Suzila terjerit. Mereka kemudiannya ketawa bersama-sama.
Dia
membawa dirinya ke bilik tidak lama kemudian. Kalau tanpa cinta hidupnya lebih
tenang dan bermakna, maka dia lebih rela dengan kehidupan yang begitu. Dia
tidak mahu hidupnya bercelaru seperti suatu ketika dahulu, ketika mana di
jiwanya ada cinta yang menggebu-gebu!