Home Novel Cinta PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
SITI ROZILAH
15/11/2014 10:21:25
144,974
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

5

JARUM jam menuding ke angka 5.30 pagi. Hari masih lagi awal. Suasana di luar diselubungi kegelapan. Tapi di dalam biliknya, Nur Naziha telah lama terjaga. Sementara menunggu waktu solat Subuh tiba, biasanya dia akan mengisi masa itu dengan membaca al-Quran. Kalau tidak pun dia akan menyelak kitab tafsir 30 juzuk yang diterjemah dan diterbitkan oleh Yayasan Penyelenggara Pentafsir al-Quran, Jakarta, Indonesia. Walau kitab itu telah agak usang dan berusia tetapi dek kerana nilai sentimental yang terkandung di sebaliknya, dia enggan menggantikan kitab itu dengan yang baru.

Sebenarnya, kitab itu adalah pemberian daripada Ibu Hartini, pengasas merangkap Pengetua Teratak Damai, yang menjadi sumber kekuatannya selama ini. Kalau tidak ada Ibu Hartini yang sanggup menghulurkan tangan padanya di saat-saat dia hampir tenggelam, entahlah... dia tidak tahu apakah yang akan terjadi pada dirinya sekarang. Entah hidup entahkan mati. Dan, kalau hidup pun entah hidupnya serupa orang ataupun tidak.

Kalaupun dia tidak membaca al-Quran atau kitab tafsir, dia akan mengisi masa yang terluang itu dengan mencoretkan sesuatu di dalam diari tebal berwarna biru miliknya. Mencoretkan segala pengalaman sehari-hariannya.

Dia enggan untuk membiarkan masanya yang berharga itu terbuang begitu sahaja seperti yang pernah dilakukannya suatu masa dahulu bersama...

Argh! Dia mahu melupakan segala kenangan silam itu. Dia mahu mengambusnya sepertimana orang mengambus mayat. Biar mereput. Biar hancur ditelan tanah!

Dia mencapai diari biru kesayangannya. Apakah yang harus aku coretkan di dada diari ini, getus hatinya. Dia ingin sekali mencoretkan impian yang menggebu-gebu dalam dirinya. Ya, seorang perempuan muda sepertinya harus ada impian.

Impian? Argh, apakah orang sepertinya masih punya impian? Dia tergolong dalam golongan manusia malang yang sudah hilang segala-galanya. Sudah hilang impian. Sudah hilang harapan. Semuanya gara-gara dia!

Never knew that it would go so far

When you left me

On that boulevard

Come again you would release my pain

And we could be lovers again...

Argh, lagu itu lagi! Kenapa tengiang-ngiang semula di telingaku? Kenapa? Kenapa setiap kali aku ingin menghilangkan segala kenangan bersamanya, ia akan menjulur semula ke kotak ingatanku?

Just one more chance

Another dance

And let me feel it isn’t real

That I’ve been losing you

The sun will rise

Within your eyes

Come back to me

And we will be happy together

Damn you... damn!!!

Dia meraung, menjerit. Tapi raungan dan jeritannya bergaung di dalam hati sahaja. Dia tidak mampu meluahkannya. Dia tidak mahu jeritannya kelak mengganggu keheningan pagi dan bikin orang yang tinggal sebumbung dengannya mahupun jiran sebelah menyebelah terkejut lalu jatuh risau akan dirinya.

Dan, perasaan yang membusak serta hanya bergaung di dalam dirinya itu buat dia makin menderita. Makin sengsara!

Ya, ALLAH kenapa KAU uji aku dengan ujian yang tak mampu kutanggung ini ya, ALLAH? Kenapa KAU tak izinkan aku lupai dia, sedangkan dia adalah sumber kesengsaraanku selama ini? Ya RABB, kenapa KAU seksa aku sebegini?

Kenapa?

Allahhu akbar, allahu akbar

Asyhadualla illa haillallah...

Astaghfirullah hal adzim, dia beristighfar sebaik sahaja telinganya menangkap bunyi azan yang berkumandang menembus keheningan Subuh. Tangannya kiam ke dada yang berdegup kencang seketika tadi.

Sabarlah hati, bisiknya. Inilah dugaan yang kau harus tanggung. Sesungguhnya kau harus tabah apabila dirimu diuji dengan ujian sebegini. Orang lain pun diuji jugak, bisik hatinya. Dan sedikit demi sedikit ketenangan mula bertapak semula ke jiwanya.

“Kami tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala(daripada kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa(daripada kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): ‘Ya TUHAN kami, janganlah ENGKAU hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya TUHAN kami, janganlah ENGKAU bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana ENGKAU bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya TUHAN kami, janganlah ENGKAU pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. ENGKAUlah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.” (al-Baqarah: 286)

Ayat itu adalah motivasi yang paling ampuh; kerana ia dinukilkan dalam kalam ALLAH. Yang seharusnya dijadikan panduan oleh setiap mukmin yang sedang diujiNYA, daripada ujian yang seringan-ringannya kepada ujian yang seberat-beratnya.

Tidak payah beli buku dan tidak payah rujuk pakar motivasi atau pakar jiwa; segala-galanya ada termuat di dalam kalam ALLAH.

Tuk.. tuk... tuk! Ketukan di pintu. Seketika kemudian kedengaran namanya dipanggil dari luar. Nur Naziha segera bangkit lalu membuka daun pintu. Dia melemparkan senyuman manisnya ke arah Puan Suzila yang dipanggilnya Acik Su itu.

Tanpa dipelawa, Puan Suzila melangkah masuk ke biliknya lalu duduk di birai katil.

“Tak siap lagi, Ziha? Waktu Subuh dah masuk ni. Jomlah kita ke masjid.”

“Err... hari ni tak bolehlah. Ziha cuti.”

“Laa... dah cuti pulak dia. Nampaknya sorang ajelah acik ke masjid ni.”

Nur Naziha ketawa kecil. Ketawa yang nyata dibuat-buat sedangkan hatinya berladung duka. Dia mahu tampil ceria di depan Puan Suzila. Dia tidak mahu mata perempuan itu meneropong kesedihan yang ditanggungnya dan kemudian bersusah-payah pula melaporkannya kepada Ibu Hartini yang tinggal nun jauh di Selangor.

“Ala Acik Su ni, Ziha cuti bukannya lama. Seminggu aje. Lagipun takkan ada orang yang berani culik acik.” Dia mengusik sambil tergelak-gelak lagi.

Hmm... munafiknya aku ni, gerutu hatinya.

Puan Suzila turut ketawa bersamanya.

“Okeylah, acik pergi dulu. Jiha ada nak kirim apa-apa untuk sarapan tak? Boleh acik beli kat warung depan masjid tu.”

“Tak payahlah. Ziha ingat nak bersarapan dengan Murni aje nanti.”

“Acik Su pergi dulu, ya. Jangan lupa kunci pintu depan tau.” Pesan Puan Suzila.

“Emm... biar Ziha temankan Acik Su.”

Langkah Puan Suzila terhenti. Matanya mencerun ke wajah Nur Naziha.

“Tadi kata cuti?”

He... he... he! Nur Naziha tergelak.

“Ziha temankan acik sampai ke muka pintu ajelah.” Getusnya.

“Ada-ada ajelah Ziha ni!” getus Puan Suzila sambil mengherotkan bibirnya seolah-olah sedang merajuk.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.