Home Novel Cinta PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
SITI ROZILAH
15/11/2014 10:21:25
144,970
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 19

19

KAK Ziha tak patut buat Murni macam tu. Walaupun Anim tak berapa ngam dengan dia tapi rasanya Anim takkan sanggup buat macam yang akak buat pada dia. Cuba akak ceritakan pada Anim kenapa akak tak sukakan boy si Murni tu. Sebab dia budak punk ke, kak?”

Nur Naziha tidak menjawab. Sebaliknya dia membawa diri lalu duduk di belakang kaunter pembayaran. Duduk termenung sambil menopang dagu.

Dia masih terbayang-bayang wajah cemberut yang ditonjolkan Murni sejurus sebelum meninggalkan ruang Farmasi Nusantara tadi. Dia diekori rasa bersalah sebenarnya. Bersalah kerana telah masuk campur dalam urusan peribadi orang lain yang tidak harus dicampurinya.

Dia menilai sekepal hatinya. Kenapakah dia perlu berbuat begitu? Dia kemudiannya membayangkan pula wajah Firdaus, yang mungkin sedang cuba memikat Murni untuk dijadikan kekasihnya.

“Kenapa Kak Ziha langsung tak bagitau Murni yang Firdaus ada call ke mari cari Murni? Kenapa, kak? Akak cemburu ke? Kalaupun akak tak sukakan lelaki tapi janganlah buat Murni macam ni!” Suara Murni semakin meninggi menandakan hati yang bengkak diperlakukan sebegitu oleh Nur Naziha.

“Maafkan akak, Murni. Sebenarnya akak tak mahu kau dikecewakan lelaki. Mereka ni makhluk yang tak boleh dipercayai. Makhluk yang mudah memperdayakan kaum wanita. Akak buat begitu sebab akak tak mahu kau jadi mangsa seperti.... seperti akak. Kalaulah kau dapat menyelami hati akak ni, Murni. Kalaulah...” Nur Naziha bermonolog.

“Hey, kak! Kenapa diam aje?” Hanim menghentak pertanyaan. Dia menjadi pelik dengan tingkah laku Nur Naziha. Sikap gadis di belakang kaunter pembayaran itu yang terus-terusan membisu membuatkan Hanim hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Kak Ziha nak balik naik apa ni?” Hanim mengalih tajuk perbualan setelah beberapa lama mendiamkan diri. Matanya menyorot ke arah jarum jam yang sudah menuding ke angka 6.45 petang.

“Tengoklah. Tahan teksilah, kut.” Nur Naziha akhirnya menjawab.

Hanim tersengih panjang.

“Nak buat apa susah-susah, kak. Tumpang Abang Azad dan Tuan Haji ajelah. Mereka pun tak lama lagi keluarlah dari bilik tu. Abang Azad mesti suka kalau Kak Ziha yang tumpang Pajero dia tu.”

Nur Naziha menarik nafas panjang. Malas dia hendak menjawab kata-kata Hanim walaupun jelas dia tidak menyukainya. Hatinya masih sedih dengan perselisihan faham yang tercetus di antaranya dengan Murni tadi. Beberapa ketika kemudian, sesusuk tubuh melangkah merapati mereka berdua.

“Apa yang kecoh-kecoh kat luar ni tadi?” Lokman Azad menyoal. Pada sangkaannya Hanim dan Murni berkelahi lagi.

“Err... tak ada apa-apalah, bang.” Hanim menyahut.

“Murni mana?”

“Dia ada hal sikit, jadi dia keluar awal.”

Spontan mata Lokman Azad singgah ke wajah Nur Naziha.

“Kalau macam tu Ziha balik dengan kami ajelah, ya.” Dia bersuara lembut, selembut renungan matanya yang hinggap ke wajah ayu Nur Naziha. Pandangan mata kedua-duanya bertaut lagi untuk beberapa ketika. Nur Naziha tersenyum nipis sambil mengangguk beberapa kali.

“Bagus! Biar abang hidupkan enjin kereta dulu.” Getus Lokman Azad sambil melangkah pantas keluar dari perut farmasi itu.

SEJURUS sebelum jarum jam menuding ke angka 7.00, Pajero yang dipandu oleh Lokman Azad meredah gerimis yang tiba-tiba menyimbah bumi Mentakab lalu meluncur laju di jalan raya. Sesekali matanya mengintai cermin pandang belakang untuk menjilati lagi wajah Nur Naziha. Entah apa susuk yang dipakai gadis itu agaknya, semakin dipandang wajahnya kelihatan semakin menawan.

Hai, nanar! Getus hatinya sambil cuba memberikan tumpuan kepada pemanduannya.

“Jalan licin tu, Azad. Pandu hati-hati sikit.” Tuan Haji Saadun yang duduk di sebelahnya bersuara. Sekadar mengingatkan. Dia menyedari tindakan anaknya yang asyik mengintai Nur Naziha di tempat duduk belakang.

Lokman Azad mengangguk.

“Ziha...” panggil Tuan Haji Saadun.

“Ya, Tuan Haji?”

“Awak belum pernah singgah ke rumah saya lagi kan?”

“Ya, belum pernah.”

“Hari ni saya nak jemput Ziha ke rumah kami. Lepas makan malam nanti Azad akan hantar Ziha balik. Anim pun.”

“Eeiii seronoknya! Malam ni mak long masak apa agaknya, pak long?”

“Selalunya kalau hari Ahad, dia masak nasi ayam.”

“Eeiii... sedapnya! Favourite Anim tu, pak long.” Hanim kelihatan terlebih seronok setelah mendengar jemputan Tuan Haji Saadun itu.

Nur Naziha menggetap bibirnya. Dia sebenarnya mahu cepat-cepat pulang ke rumah. Dahlah hati aku ni tak tenteram, lelaki di depan ni pulak asyik mengintai aku aje. Heei.... lemaslah! Lemas! Hatinya membentak.

LOKMAN Azad memandang sekilas ke arah ayahnya sebaik sahaja Tuan Haji Saadun mempelawa Nur Naziha singgah ke rumah mereka. Dia serasa ingin memeluk dan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada ayahnya kerana telah mencipta peluang dan ruang untuknya mendekati Nur Naziha; si kijang dara yang liar itu. Ayah memang best, cukup memahami isi hatiku, bisik hatinya.

Dia mengintai lagi wajah Nur Naziha melalui cermin padang belakang. Wajah itu kelihatan tegang, masam mencuka. Dia tersengih-sengih sendirian. Tak apalah duhai gadis, sekarang kau membenci aku. Sekarang kau mungkin tidak menyukai aku. Tetapi, suatu hari nanti aku pasti yang aku akan berjaya juga melembutkan sekepal hatimu yang keras membatu itu.

Sedangkan arwah Melissa yang asalnya berbangsa asing dan tidak seagama denganku itu mampu kujinakkan sehingga dia tega meninggalkan agama asal nenek moyangnya lantas memeluk Islam dan menjadi isteriku, inikan lagi kau... duhai gadis.

“Azad!” Tuan Haji Saadun terjerit apabila seekor kucing hitam tiba-tiba melintas di depan mereka.

Lokman Azad yang terkejut, segera memijak brek. Mujurlah dia tidak terlanggar kucing yang melintas tadi.

“Apa abang Azad ni! Macam tak reti bawak kereta aje!” komen Hanim yang terdorong ke depan ketika Lokman Azad memijak brek secara mengejut seketika tadi. Mujur kepalanya tidak terhantuk pada kerusi depan.

Namun, Nur Naziha tidak bernasib baik. Kepalanya terhantuk dengan agak kuat ke belakang kerusi pemandu sehingga dia mengaduh akibat rasa sakit dan terkejut.

“Maaf! Abang tak perasan kucing melintas tadi.” Lokman Azad bersuara. Dia memperlahankan pemanduannya.

Adoi... inilah akibatnya kalau memandu sambil berangan, gerutu hatinya. Dia insaf diri! Nasib baiklah tidak ada kenderaan di belakang mereka ketika dia membrek secara mengejut tadi. Kalau disondol dari belakang oleh kenderaan lain, tentu kemalangan yang lebih teruk akan berlaku.

“Kak Ziha okey ke?” Murni menyoal.

“Akak tak apa-apa.” Sahut Nur Naziha. Dia enggan mencipta suasana di dalam kenderaan itu walaupun telinganya berdengung juga ketika terhantuk ke kerusi pemandu tadi.

“Maafkan abang ya, Ziha.” Pinta Lokman Azad sambil mengintai lagi wajah gadis itu.

Wajah Nur Naziha semakin kelat.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.