25
SENJA mula
menyerkup. Eizhan mendaki tangga menuju ke biliknya. Sementara menunggu masa
untuk turun makan, dia duduk di depan tv terlebih dahulu. Siaran tv yang entah
apa-apa itu langsung tidak menarik minatnya.
Fikirannya
menerawang. Kemesraan sebabak di antara mamanya dengan Jeffri petang tadi
menerbak semula ke ruang ingatan. Langsung dia tidak menduga yang mamanya kini
sedang berpacaran dengan Jeffri. Pengakuan itu muncul dari mulut mamanya
sendiri. Hanya pengakuan Jeffri sahaja yang masih belum diperolehinya.
Argh,
kenapa aku perlu pening-pening kepala memikirkan tentang mereka? Bisik hatinya.
Biarlah kalau mereka nak bercinta pun. Itu hak mereka. Yang membuatkan aku
sakit hati ialah sikap mama yang seringkali masuk campur urusan peribadiku.
Dia
merebahkan kepalanya ke bantal. Wajah Jasmina pula terbayang di ruang mata.
Mereka cukup gembira ketika menapak masuk ke perut disko yang bingit itu.
Beberapa orang teman rapat Jasmina juga ikut serta kerana kebetulan malam itu birthday Jasmina. Dia tidak kisah
walaupun ada di antaranya yang dia langsung tidak kenal nama. Mereka ke situ
dengan satu tujuan, ingin meraikan birthday
Jasmina bersama-sama.
“Baby, lain macam aje you malam ni?” soal
Jasmina.
“Pandai
you baca fikiran I. I memang tengah serabut ni. Krisis dengan mama.” Adunya
kepada kekasih hati sambil merebahkan kepalanya ke bahu Jasmina.
“You ni,
asyik perang aje dengan mama you. Dahlah, jangan fikirkan sangat pasal mama you
tu. Malam ni kita enjoy. Tapi make sure you jangan minum banyak sangat.”
Jasmina awal-awal lagi sudah memberikan amaran.
“Okey,
sayang. Don’t worry.” Dia memberikan
jaminannya.
Dia
menarik Jasmina ke dewan dansa, dan mereka menari mengikut irama rancak bagai
tidak ingat dunia. Selepas penat dan berpeluh-peluh, mereka menuju ke meja.
Ketika itulah salah seorang teman Jasmina menghulurkan minuman berbuih ke
arahnya. Dia meneguknya, rakus.
“Boleh I
pinjam Jas kejap?” kata lelaki yang masih tidak diketahui namanya itu.
Dan tanpa
menunggu dia memberikan keizinannya, lelaki itu terus menarik tangan Jasmina ke
dewan dansa. Dia memerhatikan sahaja kelibat Jasmina bersesak-sesak dengan pengunjung
lain di tengah-tengah dewan. Mereka kelihatan sungguh gembira, meliuk-lentukkan
badan mengikut irama lagu rancak. Jasmina kelihatannya tidak kisah kalau
sesekali pasangan tarinya itu memeluk pinggangnya.
Sendirian
di meja dengan hanya ditemani sebotol minuman beralkohol membuatkan dia terlupa
pesanan Jasmina. Habis segelas, dituangnya segelas lagi. Digogoknya dengan
rakus seolah-olah minuman itu adalah minuman berkarbonat. Dia yang memang
menghadapi masalah ketagihan alkohol mula lupa dunia.
Kata
Jeffri, Jasmina naik angin kerana aku ada terpanggil nama seorang perempuan
ketika aku sedang mabuk. Siapakah perempuan tu? Mana ada perempuan lain selain
Jas, bisik hatinya. Dia cuba mengingati satu per satu bekas teman wanitanya
sebelum kemunculan Jasmina dalam hidupnya. Kesemuanya tidak memberikan kesan
yang mendalam di hatinya. Kehadiran mereka di sisinya hanyalah untuk
berseronok-seronok sahaja, tidak lebih daripada itu.
Apa kata
kalau aku telefon Jas dan tanya dia sendiri? Isy, nak mati ke? Jasmina tu
garang macam singa. Hmmm... tak boleh jadi ni! Fikirannya yang bekerja keras
membuatkan kepalanya terasa pening. Dia mengambil keputusan untuk melupakan
sahaja perkara itu. Buat masa ini dia malas hendak ambil tahu tentang Jasmina.
Kalau
betullah seperti kata Jeff yang Jasmina sanggup melibas muka dan menendang aku
bagaikan aku ni nangka busuk ketika aku dalam keadaan tak berdaya, dia tak
layak untuk terus berada di sampingku.
Apa kau
ingat aku ni tak laku ke Jas? Bisik hatinya, geram.
Selepas
puas membayangkan wajah Jasmina, muncul satu wajah yang lain pula di ruang
fikirnya. Dan wajah itu mampu membuat dia tersenyum.
Telefon
pintar dicapainya. Dia menghubungi gadis itu. Panggilan pertamanya terbiar,
tidak berjawab. Dia tidak cepat putus asa. Dicubanya sekali lagi. Akhirnya,
terdengar suara gadis itu menuturkan salam di hujung talian.
“Pergi
mana? Lambat jawab telefon?” Gerutunya.
“Uih,
macam tu ke caranya awak jawab telefon?”
“Kenapa?
Apanya yang tak betul?”
“Saya bagi
salam tadi kan? Kalau iya pun jawablah salam saya tu dulu.”
“Oh,
waalaikumussalam.”
“Macam
tulah...” Gadis di hujung talian ketawa. Mersik.
Terhibur
hati Eizhan mendengarnya. Mersik tawa itu bagaikan mengimbau nostalgia silam.
“Tadi masa
first time awak call, saya baru habis solat Maghrib. Tu yang tak sempat nak jawab. Awak
dah solat?”
“Solat?
Errr... okey.”
“Apanya
yang okey?”
“Yalah,
okeylah tu... awak rajin solat Maghrib. Bagus, dapat pahala.” Tingkah Eizhan.
“Solat
lima waktu kan tiang agama. Itu kewajipan yang harus kita tunaikan. Kalau tak
buat, berdosa.” Shazlynn berhujah.
“Betullah
apa yang saya cakap tadi kan, kalau buat dapat pahala?” sahut Eizhan.
Shazlynn
ketawa lagi.
“Hmm...
okeylah. Kenapa awak telefon saya ni?” soal gadis itu setelah tawanya terhenti.
“Kenapa?
Tak boleh ke?”
“Err...
bukan macam tu.”
“Lynn, sebenarnya
saya teringin nak jumpa awak lagi tapi malangnya malam ni saya ada dinner dengan orang lain,” tingkah Eizhan.
Dia semakin seronok berbual dengan gadis yang baru dikenalinya itu.
“Iya?
Beruntunglah perempuan tu.”
Eizhan
ketawa.
“Malam
esok awak free? Saya nak belanja awak
dinner.”
“Malam ni
awak dinner dengan orang lain, malam
esok awak nak dinner dengan saya
pulak?”
“Kenapa?
Tak boleh ke?” duganya.
“Saya tak
nak buat girlfriend awak jealous.” Shazlynn menjawab, kasar dan
terdengar dengusan di hujung kata-katanya.
Eizhan
tergelak besar dengan kepolosan gadis itu.
“Ada saya
cakap nak dinner dengan girlfriend? Cik Lynn, malam ni saya dinner dengan mama sayalah.” Akhirnya,
dia berterus-terang.
“Oh!”
“So, malam esok kita dinner berdua pulak, nak tak?” Dia mencuba nasib sekali lagi.
“Err...
tengoklah dulu. Kalau saya tak ada kerja sekolah dan dapat kebenaran ibu untuk
keluar dengan awak, hmmm... mungkin pelawaan awak akan dipertimbangkan.”
“Eh, awak
sekolah lagi ke? Tingkatan berapa? Enam?” Eizhan terkejut apabila mendengar
Shazlynn berkata hendak menyiapkan kerja sekolah.
“Takut ke
berkawan dengan budak sekolah?” Shazlynn menduga.
“Awak
janganlah main-mainkan saya. Betul ke awak ni sekolah lagi? Saya sebenarnya
malas nak ganggu budak sekolah ni, faham-faham ajelah.” Dia bertanya, ingin
mendapatkan kepastian daripada gadis yang sedang galak mentertawakannya itu.
“Eh, ibu
saya panggil tu. Nanti kita berbual lagi ya. Okeylah, bye.” Shazlynn sengaja mencari alasan untuk segera menamatkan
perbualan.
“So, esok macam mana? Jadi tak keluar dinner dengan saya? Lynn... Lynn!” dia terpanggil-panggil
tetapi gadis di hujung talian sudah pun menamatkan perbualan mereka.
Dia
mendengus. Telefon pintar dicampakkannya ke atas tilam. Betul ke Lynn tu budak
sekolah, hatinya tertanya-tanya.
DIA
melangkah turun setengah jam kemudian. Seperti yang dijanjikan, Dayana
menyediakan sendiri hidangan untuk malam itu. Hidangannya ringkas sahaja, mi
kari ayam. Mi kari adalah hidangan kegemaran mereka dua beranak.
Jam 8.30
malam mereka telah berada di meja makan. Pembantu rumah warga Indonesia sudah
berkurung di biliknya dan hanya akan keluar pada pukul 10.00 malam nanti untuk
mengemaskan meja serta membasuh pinggan-mangkuk.
Selain
daripada bunyi pendingin hawa yang menderu perlahan serta alunan muzik lembut,
selebihnya sunyi sepi. Ruang banglo itu bagaikan diserkup kesepian yang tidak
bertepi. Banglo itu harapkan sahaja besar tetapi penghuninya tidak ramai.
Walaupun dilahirkan sebagai anak tunggal kepada pasangan Muhammad Imran dan Dayana,
erti sunyi tidak pernah hadir dalam hidup Eizhan. Ini kerana ada Jeffri yang
membesar bersama-samanya di rumah itu.
Sejak dari
kecil lagi mereka telah berkawan baik dan jarang sekali berenggang. Cuma
hubungan mereka mula renggang sejak masing-masing meningkat dewasa.
“Bila mama
nak nikah dengan Jeff?” Terlontar soalan itu dari mulutnya sebaik-baik sahaja
mereka selesai makan.
“Kami
belum bincang lagi tentang tu.” Dayana menjawab.
“Hubungan
Eiz dengan Jas pulak macama mana?”
“Macam
tulah! Kami masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing.”
Dayana
tersenyum. Nampaknya komunikasi mereka malam itu berjalan dengan lancar tanpa
ada adegan serang-menyerang antara satu sama lain.
“Mama
dengan Jeff pun macam tu jugak. Kami baru nak kenal hati budi masing-masing.
Mama tak kisah, mama serahkan semuanya pada jodoh. Kalau ada jodoh kami nanti,
kami nikahlah. Tapi kalau boleh, mama nak tengok Eiz kahwin dulu. Mama dah lama
tak jumpa Jas. Dia apa khabar?” tanya Dayana.
Walaupun
tidak berapa menyukai Jasmina tetapi dia sanggup berlebih-kurang kalau benarlah
gadis itu dicintai anaknya. Dia tidak mahu bertelagah dengan Eizhan lagi dalam
hal-hal yang melibatkan girlfriend
anaknya itu.
Eizhan
membayangkan sekilas wajah Jasmina. Gadis berambut perang dan berwajah
pan-asian itu memang cantik, seksi serta menawan tetapi kalau naik angin
sikapnya berubah sama sekali.
“Dia
okey.” Sahutnya ringkas.
“Katakan
padanya yang mama nak jumpa dia. Ataupun, Eiz boleh jemput dia kemari.”
Eizhan
mengerut kening.
“Mama nak
jumpa Jas? Untuk apa?”
“Eh, kan
dia girlfriend Eiz? Dah tentulah mama
nak berbaik-baik dengan bakal menantu mama.” Dayana kelihatan amat
bersungguh-sungguh.
“Hmm...
tengoklah nanti. Jas pun asyik sibuk memanjang.”
Melihatkan
reaksi Eizhan yang acuh tak acuh itu, Dayana mengambil keputusan untuk
menamatkan perbualan mereka tentang Jasmina.
“Eiz,
kalau boleh mama mahu hubungan kita mesra macam dulu balik. Mama sedar, dulu
mama memang selalu marah-marah Eiz tapi semuanya untuk kepentingan Eiz jugak.
Tak terniat langsung di hati mama untuk kongkong Eiz.” Akhirnya terluah juga
kata-kata itu dari mulut Dayana.
Sesungguhnya
masa yang telah berlalu tidak boleh diundur kembali. Begitu juga dengan
peristiwa yang pernah mereka lakukan, tidak mungkin diperbetulkan lagi kerana
apa yang berlaku ketika itu sangat mengaibkan. Yang paling diutamakan sekarang
ialah masa kini dan masa hadapan. Mereka dua beranak harus berfikiran positif
dan mengatur hidup dengan lebih teratur.
Eizhan
tunduk merenung alas meja rona putih yang bercorak-corak.
“Ma, boleh
tak mama aturkan semula appointment Eiz dengan rehab centre tu?” Pintanya beberapa ketika kemudian. Rehabilitation centre yang
dimaksudkannya ialah pusat pemulihan bagi mereka yang ketagih alkohol.
Mata Dayana
tajam merenung anak tunggalnya. Terkejut dia. Bukankah baru dua bulan lepas Eizhan
menamatkan rawatannya di pusat penagihan alkohol yang terletak di Cheras itu?
Apakah semua rawatan yang telah dijalaninya di pusat itu selama ini hanya
sia-sia? Kalau rawatan itu gagal, bermakna duit beribu-ribu yang aku laburkan
untuk mempastikan anak aku bebas daripada pengaruh alkohol, lebur begitu
sahaja.
Dia
menggigit bibirnya. Kesal!
“Eiz mula
minum balik?” Dia bertanya. Suaranya kedengaran bergetar.
Eizhan
terus tunduk merenung alas meja rona putih yang bercorak-corak.
“Kan mama
dah kata, Jas tu cuba pengaruhi Eiz ke jalan yang negatif. Sejak daripada mula
lagi mama dah tak setuju Eiz rapat dengan dia. Kenapa Eiz sayang sangat pada dia,
hah? Bukan tak ada perempuan lain lagi di KL ni, Eiz!” Dayana mula melepaskan
peluru berpandunya.
Suasana di
meja makan yang tadinya tenang-tenang sahaja, kini berkocak semula. Sebagai
seorang ibu, Dayana sukar hendak menerima hakikat bahawa anak tunggalnya
menghidapi masalah ketagihan alkohol. Alkohol juga sama bahayanya seperti
dadah. Jika diambil dalam kuantiti yang berlebihan, ianya bukan sahaja boleh
memudaratkan kesihatan tetapi mampu meragut nyawa peminumnya.
Dia
mengimbas ke masa silam dan mencari-cari bilamanakah hidup Eizhan mula
kucar-kacir. Dia teringatkan dirinya yang pernah kematian suami tersayang.
Sendu hatinya melihat anak tunggalnya yang terpaksa kehilangan kasih sayang
seorang ayah yang menjadi idolanya dalam usia yang masih terlalu mentah; 14
tahun.
Sayang,
kenapa terlalu cepat kau pergi dan meninggalkan aku sendiri untuk menghadapi
segala masalah ini? Dia bermonolog, seolah-olah sedang berbicara dengan arwah
suaminya.
“Ma,
jangan sesekali salahkan Jas. Anak mama ni yang lemah. Anak mama ni yang gagal
mengawal dirinya!” Eizhan menjawab.
“Eiz hanya
minta pertolongan mama untuk daftarkan Eiz ke rehab centre tu balik. Susah sangat ke permintan Eiz, ni?”
Dayana
ingin menjawab begini: Kau tahu tak berapa banyak duit yang aku dah habiskan
untuk mengubati tabiat ketagihan kau tu, Eiz, dengan harapan sebaik-baik sahaja
kau keluar dari pusat tu, diri kau akan pulih 100 peratus? Tapi, belum pun
sampai setahun keluar dari pusat tu, kau dah sentuh balik benda haram jadah tu!
Aku benar-benar kecewa dengan kau, Eiz. Kecewa!
Tetapi dia
segera mengurut-ngurut dadanya yang rasa sebu.
“Mama
kecewa dengan anak mama ni kan?” getus Eizhan perlahan, seolah-olah dapat
membaca fikiran mamanya.
Dayana
menarik nafas panjang dan kemudian menghempaskannya perlahan-lahan. Akhirnya,
ketenangan dapat dirasainya.
“Duit
bukanlah segala-galanya di dunia ni, Eiz. Mama sanggup buat apa aje untuk
memulihkan tabiat ketagihan Eiz tu. Eiz kan anak mama. Esok mama akan telefon
Doktor Wong untuk set temujanji yang baru.” Dia memberikan kata putusnya.
“Thank you, ma.” Ucap Eizhan. Dayana
hanya tersenyum nipis.
Bunyi
loceng pintu membuatkan mereka dua beranak berpandangan seketika. Siapa pula yang
bertandang malam-malam begitu?
“Mungkin
Jeff agaknya, ma. Biar Eiz bukak pintu.” Kata Eizhan. Dayana hanya mengangguk.
Eizhan
melangkah ke muka pintu. Pintu kayu itu dikuaknya.
“Hello, Eiz!” tegur lelaki di depannya
itu ketika melihat Eizhan hanya tercegat memandang.
“Siapa
yang datang tu, Eiz?” Suara Dayana kedengaran dari jauh.
“Takkan
tak nak jemput aku masuk?”
Eizhan
menyisih ke tepi untuk membenarkan tetamu mereka itu melangkah masuk ke ruang
tamu.