BAB 13

Mila memandang tetamu dari bandar tersebut dengan senyuman lebar menghiasi wajah. Tanpa menunggu lama, terus badan wanita berusia separuh abad di depannya dirangkul erat.

"Datin..." senyum Mila. Pantas tangan wanita itu dicium penuh hormat.

"Mila sihat?" tanya Datin Robiah. Kepala Mila diusap penuh kasih.

"Sihat," balas Mila sepatah.

"Datin duduk dengan Mila dulu ya. Saya nak pergi buat air ni." Ustazah Latifah meminta diri. Bantuan daripada Mila untuk membantunya ditolak mentah-mentah.

"Eh, tak payah susah-susah ustazah. Saya datang ni kejap je pun," tolak Datin Robiah.

"Hish, susah apanya? Tetamu datang, kita kena raikanlah." Terus Ustazah Latifah menghilangkan diri ke dapur.

Kini, hanya tinggal Mila dan Datin Robiah sahaja di ruang tamu. Kedua-dua orang wanita itu diam sekejap melepaskan rindu sebelum masing-masing membuka mulut.

"Saya ada bawakan Mila tas tangan berjenama dari Itali. Harap Mila sudi terimalah." Datin Robiah meletakkan satu beg kertas besar di atas meja.

"Eh, apa ni datin?" Mila pula serba salah.

"Mila kena terima. Ni hadiah tau untuk Mila. Kalau tak sebab Mila ajar budak Nafisa tu baca al-Quran, sampai ke sudah budak tu tak pandai. Asyik nak mengelak je," ujar Datin Robiah.

"Ya Allah, datin. Saya ajar ikhlas." Dua kali Mila berasa serba salah.

Nafisa, remaja perempuan si anak Datin Robiah memang nakal orangnya. Hidup bebas dan liar di bandar. Masa mula-mula sampai di pondok ini, gaya gadis itu astaghfirullah...

Rambut perang, baju sendat, perangai tak boleh nak kata apa. Sekali dia jerit tak nak kena tinggal di pondok ni, boleh pecah speaker surau! Itu tak kira lagi dengan perangainya suka kacau remaja muslimin.

Datanglah berapa orang ustaz atau ustazah untuk mendidiknya sekalipun, semuanya tak jalan. Kecoh jugalah pondok itu setahun yang lepas angkara Nafisa. Ada-ada saja ulahnya yang membuatkan orang pondok pening kepala.

"Ikhlas tak ikhlas, tu belakang kira. Mila tahu tak? Lepas balik dari pondok ni, memang Nafisa berubah seratus peratus. Dah tak nakal, tutup aurat," ujar Datin Robiah lagi.

"Semua tu sebab Allah izinkan, datin." Mila tetap merendah diri.

"Sebab Allah izinkan Nafisa jumpa Mila jugalah, kan? Budak tu suka sangat-sangat dengan Mila. Rindu katanya apabila tak bersua muka," beritahu Datin Robiah.

Berita tersebut disambut dengan kuluman senyum oleh Mila. Hailah budak. Dalam ramai-ramai orang di sini, hanya Mila seorang sahaja berjaya mencuri perhatiannya.

Mila yang ketika itu masih bersedih dengan kematian suami terjumpa Nafisa sedang duduk sendirian di atas tunggul kayu. Keruh wajahnya dek tidak berpuas hati kebebasannya disekat.

Pada mulanya, gadis itu dingin dengannya. Diajak bercakap pun tak mahu. Tapi, lama kelamaan, Nafisa mula berasa selesa dengan Mila apabila setiap hari Mila memasakkannya makanan.

"Kenapa Fisa tak datang? Sekolah ke?" tanya Mila.

"Aah. Tahun ni dia SPM. Mila doakan ya semoga dia dapat result cemerlang," senyum Datin Robiah.

"Insya-Allah, datin. Ni jemput minum." Mila terus mempersilakan Datin Robiah meminum minuman yang dibawakan oleh Ustazah Latifah.

"Terima kasih," senyum Datin Robiah.

Entah kenapa, hatinya betul-betul berkenan dengan Mila. Sejuk hatinya melihat gadis itu di depan mata. Cantik dan lemah lembut saja perangainya. Jauh di sudut hati, dia berasa sangat dekat dengan Mila.

*****


Bunyi ketukan pintu pejabat mengganggu konsentrasi Zakry. Dia yang sedang meneliti fail projek pembangunan di pesisiran pantai terus mendongakkan kepala memandang si pengetuk pintu.

"Tuan, mesyuarat ahli lembaga pengarah dalam tiga minit lagi," peringat Johar.

Tanpa sepatah kata, terus Zakry mencapai kot lalu memakainya kemas. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, terus dia menonong keluar ke bilik mesyuarat. Johar yang mencicit mengejar langkahnya tidak dihiraukan.

Sebaik sahaja masuk ke dalam bilik mesyuarat, semua ahli lembaga syarikat telah pun mengambil tempat masing-masing. Zakry pula terus mengambil tempat di kerusi CEO.

"Encik Zakry, macam mana dengan progress pelan projek pembinaan sekolah swasta moden berorientasikan kehidupan Islamik tu? Pihak pondok setuju tak nak pinjamkan khidmat guru mereka?" tanya Encik Nuruddin, pengarah bahagian sumber asli.

"Saya pun ada soalan. Kita akan import guru dari Tanah Arab untuk mengajar di sekolah tu nanti. Soalannya, dari mana pula kita nak dapatkan guru-guru akademik yang betul-betul berkelayakan untuk ajar budak-budak kita?" tanya pula Puan Azimah, pengarah bahagian penyelidikan dan pembangunan.

Setelah itu, Zakry menerima pelbagai lagi soalan bertalu-talu daripada ahli lembaga pengarah lain. Namun, semuanya dapat dijawab dengan baik dan mereka berpuas hati dengan jawapan tersebut.

Pihak pondok sudah bersetuju secara lisan untuk meminjamkan kepada mereka beberapa orang guru untuk mengajar di sekolah itu nanti. Guru dari tanah Arab juga mudah dicari. Sama juga dengan guru akademik.

Selepas menjawab soalan daripada ahli lembaga pengarah, Zakry terus membentangkan pula konsep reka bentuk pengajaran dan pembelajaran sekolah yang didirikan di tanah sebelah Pondok Pengajian Agama al-Ilmi.

Perbincangan serius turut diadakan bagi mendapatkan persetujuan bersama dan seperti yang dijangka, mesyuarat tersebut mengambil masa lebih kurang tiga jam. Hanya selepas itulah baru Zakry betul-betul boleh menarik nafas lega.

"Tuan, Cik Carmen ajak lunch," beritahu Johar.

"Lunch?" Zakry menarik nafas lelah.

"Tolak. Aku nak rehat." Terus dia menolak pintu pejabatnya lalu menguncinya dari dalam.

Datanglah Carmen ke Caramel ke atau apa ke, persetankan semua tu. Dia dah tak larat nak buka mata. Bagilah masa untuk dia rehat sekejap sebelum petang ni, dia akan bermusafir jauh pula.

"Johar, pukul 4 petang sharp kita akan bertolak ke Negeri Sembilan," beritahunya kepada si pembantu peribadi sekali gus merangkap pemandu tak bertauliahnya.

"Baik, tuan." Ceria suara Johar di talian.

Mendengar suara itu, terus Zakry menarik senyuman nipis. Lantas, badannya yang kepenatan direbahkan ke sofa. Seketika, dirinya terasa walang tetapi apa boleh buat, kerja tetap kerja.

Dalam keadaan separuh sedar, fikiran Zakry menerawang lagi ke zon masa zaman jahiliahnya dulu. Astaghfirullah... betul-betul dia berdosa. Masih adakah keampunan Mila buatnya?

'Ya Allah, aku nak jumpa Mila. Aku nak mohon ampun dengan dia. Kalau perlu melutut merayu sekalipun, aku sanggup ya Allah...' rintih hati Zakry.

Apa khabar agaknya Mila? Sumpah dia tak tahu di mana gadis itu berada sekarang. Mila bagaikan ghaib ditelan bumi. Walau sekuat mana pun dia berusaha mencari bekas isterinya itu, hasilnya hampa.

Zakry menyentuh perutnya sendiri. Sakit halus mencucuk-cucuk sudah mula dirasai. Hari ini 15 hari bulan kalendar Hijri. Memang seperti dia jangka, bulan ini pun sama saja seperti bulan sebelum ini. Tapi bezanya, hari ini Ustaz Ilyas tiada di Malaysia.

'Ya Allah, aku memohon kekuatan daripada-Mu,' mohon Zakry lagi dalam hati.

Walaupun sakit setara mana pun, kerjanya harus dibereskan hari ini juga. Penangguhan hanya akan merugikan syarikat dan akan membuatkan ahli lembaga pengarah akan mempersoalkan kredibilitinya sebagai CEO.

Jadi, nak tak nak, dia harus bertahan untuk malam ini. Bertahan melawan sakitnya sendiri tanpa ada sesiapa pun boleh membantu. Semoga dirinya terus kuat menerima takdir Allah kepadanya.


Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.