BAB 9

"Suami jenis apa kamu ni, Zakry?" Melengking bunyi suara Tan Sri Muda menerjah masuk ke telinga Zakry sebaik sahaja dia menolak daun pintu rumah.

"La, kenapa pa?" Zakry mendengus geram. Masalah di pejabat belum pun habis, masalah di rumah pula datang.

"Mila mengandung. Zak tak tahu ke?" Tan Sri Muda bercekak pinggang.

"Mengandung?" Zakry mengerutkan muka.

"Habis tu, biar jelah dia mengandung. Ada masalah ke?" tanyanya pula.

Ayat Zakry serta-merta mengundang amarah dalam diri Tan Sri Muda. Kecil besar saja dilihat anaknya yang seorang itu. Eh, eh. Takkan tak gembira dengan khabar berita kehadiran zuriat?

"Papa nak Zak bagi lebih perhatian kepada Mila. Segala kerja di pejabat tu, biar orang lain uruskan," ujar Tan Sri Muda.

"Mana boleh, pa!" Zakry tidak bersetuju.

"Kandungan Mila lemah. Sebab tu papa nak Zak uruskan Mila." Suara Tan Sri Muda mengendur. Dia berharap agar sang anak memahami. Di dalam perut Mila, ada cucunya!

Zakry pula apabila melihat raut wajah tegang papanya, dia akhirnya akur. Tak apa, Mila. Mengandung ya? Tidak semena-mena, fikiran jahat menerpa otaknya. Tanpa sedar, dia menguntumkan senyuman sinis.

"Okeylah, pa. Zak akan jaga Mila 'macam permaisuri'." Senyuman jahatnya kian melebar.

Tunggu sajalah, Mila. Anak? Masih terlalu awal untuknya menjadi ayah. Lagipun, dia tak nak anak dengan Mila. Entah-entah, penyakit bodoh Mila menurun kepada anaknya pula. Minta simpang!


*****


Trisha memberhentikan keretanya di sebuah rumah usang di pinggir bandar. Belakang rumah tersebut merupakan hutan belantara. Aura seram menerpa diri. Namun, demi dendam, dia persetankan semua itu.

"Tok chai." Trisha mengetuk pintu bertalu-talu.

Setelah mendengar suara deheman daripada pemilik rumah, terus kakinya melangkah masuk. Seperti biasa, rumah bomoh Siam inilah yang ditujunya jika dia ada hajat besar.

"Trisha." Tok Chai Buang melirik ke arah tubuh seksi Trisha. Bergelora nafsunya melihat bentuk tubuh gadis itu.

"Aku datang ni ada hajat besar, tok," beritahu Trisha seraya mengeluarkan dua keping gambar berserta sekeping sampul surat besar.

"Cantik budaknya," komen Tok Chai Buang setelah melihat gambar tersebut.

"Aku nak perempuan ni mati. Yang lelaki tu pula, aku nak dia tergila-gilakan aku," beritahu Trisha sambil tersenyum sinis.

"Ni je ke pengerasnya?" Tok Chai Buang menjongketkan kening setelah melihat isi sampul surat. Mana cukup!

"Bukan ke jumlah ni je tok minta sebelum ni?" balas Trisha.

"Kali ni, kau suruh aku buat dua kerja berat," dengus Tok Chai Buang.

"Aku tak bawa duit lebih," cebik Trisha. Banyak songeh pula bomoh ini!

"Ingat, aku nak sihir ni berkesan secepat mungkin. Kalau berjaya baru aku bawa duit baki," sambungnya lagi.

Tok Chai Buang hanya mengangguk akur dengan arahan gadis seksi sekali gus pelanggan tetap di hadapannya. Cantik orangnya tapi sayang, hatinya sehitam arang.

Bukan sekali dua Trisha berjumpa dengannya untuk meminta khidmat santau, bahkan berkali-kali sampaikan dia sudah hafal apa yang dimahukan oleh gadis itu. Kerja kasi clean, katanya Trisha.

Tidak menunggu lama, Tok Chai Buang terus melakukan upacara pemujaan memanggil segala jin dan khadamnya untuk melakukan sihir guna-guna serta santau.

Mulutnya terkumat-kamit membaca mantera dalam bahasa Siam dan akhir sekali, dia menujukan santau tuju tersebut kepada orang yang ditujunya dengan bantuan jin.

"Dah siap dah," beritahu Tok Chai Buang. Kemudian, dia menghulurkan pula sebotol minyak guna-guna kepada gadis itu.

"Baik. Terima kasih, tok," ucap Trisha sambil tersenyum lebar. Puas hatinya!


*****


Hati Zakry berasa resah gelisah sebaik sahaja dia ingin melangkah masuk ke dalam bilik Mila. Perutnya juga berasa sakit memulas sampai ke tulang belakang. Semuanya berlaku secara tiba-tiba tanpa amaran.

Walhal, elok saja tadi dia bercakap-cakap dengan papa dan setelah kalah perang mulut tadi, dia merancang strategi baru untuk membuatkan Mila menuntut cerai. Jadi, kenapa dengan dia?

"... Rabbi najjini minal qaumiz zolimin..." Sayup-sayup, telinga Zakry menangkap bait-bait ayat al-Quran yang dialunkan oleh Mila dengan bantuan Ibu Yanti.

Seketika, langkahnya terbejat. Entah kenapa, pipinya seperti tertampar apabila mendengar terjemahan ayat al-Quran yang dibaca. Ia bermaksud: Ya Tuhanku, selamatkanlah aku daripada orang-orang yang zalim.

Namun, dalam keadaan itu, hatinya tetap keras. Bacaan ayat al-Quran tersebut bagaikan hinaan terhadap dirinya. Ayat itu seolah-olah mengatakan bahawa dialah orang zalim yang dimaksudkan oleh Mila.

"Hoi!" jerkah Zakry.

Cepat-cepat dia masuk ke dalam bilik lalu menarik kain telekung Mila. Gadis yang sedang duduk bersimpuh membaca al-Quran itu juga ditariknya sampai terbangun.

"Kau kata aku zalim?" Zakry mencengkam kuat kedua-dua belah bahu Mila.

"Bi... bila masa?" Terkejut Mila dengan kehadiran tiba-tiba sang suami. Hati yang beransur tenang terus diselimuti ketakutan.

"Jangan macam ni, tuan muda. Lepaskan Mila." Ibu Yanti turut bangun lalu berusaha menarik tangan Zakry daripada menggoncang badan Mila. Mila sedang mengandung. Kalau terjatuh, bahaya!

"Kau diam, bibik!" Jerkahan Zakry bergema kuat memenuhi ruangan bilik.

"Kau." Zakry mencerlung mata kepada Mila.

"Ayat Quran yang kau baca tadi tu, kau hina aku kan? Kau nak cakap aku kejam?" tengkingnya pula.

"Tak, bang. Tak..." Mila cuba melepaskan diri namun gagal. Cengkaman Zakry terlalu kuat!

"Astaghfirullahalazim. Mengucap, tuan muda." Ibu Yanti masih tidak berputus asa meleraikan pergaduhan tersebut.

"Kau nak cakap aku kejam? Jahat?" tempiknya pula tanpa mempedulikan Ibu Yanti.

"Tak, bang." Pantas Mila menggeleng.

Air matanya mulai merembes laju dek ketakutan dan kesedihan semakin menguasai diri. Menggeletar badannya melihat amukan si suami.

"Perempuan sial. Entah-entah anak dalam kandungan tu pun, anak haram!" hina Zakry lagi.

"Astaghfirullah..." Semakin lebat air mata Mila apabila dirinya dituduh berzina.

Ya Tuhan, apa lagi ujian yang harus dihadapinya? Wallahi, dirinya tidak pernah berzina. Tiada siapa pun yang pernah menggauli dirinya kecuali Zakry, suaminya yang sah!

"Kau kan sundal? Jalang!" marah Zakry lagi.

Amarahnya meruap-ruap sampaikan tidak boleh lagi dikawal. Masalah pejabat sudah cukup membuatkan otaknya serabut. Kemudian, Trisha pula sudah tahu rahsianya telah berkahwin. Kini, masalah anak pula. Serabut!

"Pergi mati jelah kau!" tempik Zakry seraya menolak Mila ke lantai sekuat hati.

"Abang!" jerit Mila.

Belakang pinggangnya terhantuk di bucu meja lalu tanpa sempat berpaut di mana-mana, punggungnya jatuh menghempas lantai. Ya Allah, sakitnya tidak terperi lagi.

Di situ juga dia meraung deras apabila tiba-tiba, dapat dirasainya ada cecair likat keluar dari celah kelangkangnya lalu membasahi lantai. Anak dia... anak dia!

"Ya Allah!" tempik Ibu Yanti.

"Apa kau dah buat ni, Zakry?" Satu suara halilintar turut membelah ruangan atmosfera bilik Mila.

Tan Sri Muda terkedu dengan semua yang berlaku di depan matanya. Jadi, selama ini, betullah kata-kata Pak Yanto yang mengatakan bahawa Zakry berkasar dengan Mila? Tapi sebab dia percayakan Zakry, dia pekakkan telinga.

'Ya Allah, apa aku dah buat?' Hatinya bertempik nyaring.

"Mila? Mila?" Suara Ibu Yanti segera memusatkan matanya ke arah menantu tuannya yang kelihatan semakin lembik dengan darah membanjiri lantai.

"Yanto! Yanto!" Cepat-cepat dia melaung memanggil Pak Yanto. Dia harus segera membawa Mila ke hospital.

Uhuk! Uhuk!

Suara batukan daripada Zakry menarik perhatiannya pula. Sumpah dia rasa mahu terajang saja anaknya yang seorang ini. Lelaki tak guna! Sejak bila dia ada anak berperangai syaitan? Ya Tuhan, dia gagal mendidik anaknya dengan baik!

"Zakry!" Suara Tan Sri Muda memetir lagi.

Pantas dia mendepani Zakry lalu bersedia mahu menghayunkan penumbuk. Namun, belum pun sempat layangannya hinggap di muka anaknya, tiba-tiba tindakannya terbejat. Pemandangan ngeri di ruang mata menggugah atmanya.

"Zak... kenapa dengan kau?" Matanya terbuntang luas.



Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.