BAB 5

Bosan. Itu yang dirasakan oleh Mila pagi ini apabila dia ditinggalkan keseorangan di dalam rumah agam tersebut. Ibu Yanti pergi ke pasar, Pak Yanto pula pergi ke pejabat untuk hantar Tan Sri Muda.

Baju t-shirt yang tersarung di tubuhnya dibetul-betulkan sebelum rambut panjang mengurainya diikat gaya bun roti. Kemudian, seluar tracknya pula dikemaskan sebelum perlahan-lahan, dia turun ke bawah.

"Aku perlu buat apa hari ni?" Mila menggumam sendirian.

Buku nota di tangannya dipandang dan aksara yang tertulis di dalamnya dibaca berkali-kali. Dia khuatir akan lupa tugasnya di rumah besar itu kalau tak catat. Jadi, semalam, bersungguh-sungguh dia menulis apa yang dia perlu buat hari ini.

"Mula-mula, mop lantai. Okey, mop lantai." Stor simpanan peralatan pencucian dituju lalu batang mop, penadah air dan sabun pencuci lantai dikeluarkan.

Ruang tamu ditujunya dengan membawa segala peralatan pencucian tersebut. Lantas, terus dia memulakan kerja menyapu debu tingkap, kipas, siling, rak dan segala jenis perabot. Kemudian, dia membuang segala sampah sebelum lantai rumah dimopnya sampai berkilat.

"Siap!" Mila tersengih gembira.

Namun, kegembiraan tidak lama apabila belum pun sempat dia melabuhkan punggung di sofa untuk melepaskan lelah, satu deheman suara dari belakang membantutkan niatnya. Pantas dia berpaling untuk melihat siapa yang menegurnya.

"A... abang." Terus hatinya kecut melihat wajah tersebut. Macam mana dia boleh ada di sini? Tak pergi ke pejabat ke?

"Dah siap cuci lantai?" Zakry menalakan pandangannya ke sekeliling.

Boleh tahan bagus isteri tak didendangnya membuat tugas bibik. Tapi, dia belum puas mengenakan gadis itu. Hatinya suka melihat Mila sengsara. Sementara papa tak ada di rumah, kenapa tidak dia mempergunakan Mila secukup rasa?

"Aku lapar. Pergi masak untuk aku," arahnya pula.

"Er... abang nak makan apa?" soal Mila. Pandangannya kekal menekur lantai.

"Americano dan spaghetti carbonara," jawab Zakry seraya menarik senyuman sinis. Rasakan, Mila!

Wajah blur isterinya dipandang sekilas sebelum dia melabuhkan punggungnya di sofa. Alat kawalan jauh televisyen turut dicapai lalu ligat tangannya mencari siaran yang dikehendaki. Setelah dapat, terus dia menaikkan tahap suara ke tahap tertinggi.

"Aku nak benda tu siap dalam masa setengah jam," katanya pula.

Mila pula apabila mendengar arahan tersebut, terus fikirannya bercelaru. Americano? Spaghetti carbonara? Oh Tuhan, macam mana dia nak masak benda tu? Dia tak pernah makan dan sejujurnya, dia tak pernah kenal pun macam mana rupa bentuk makanan tersebut.

"Kenapa tercegat dekat situ lagi? Pergilah masak!" herdik Zakry.

"B... baik!" Terkocoh-kocoh Mila bergerak ke dapur.

Melihatkan itu, sekali lagi Zakry menarik senyuman sinis. Memang mampuslah Mila sekejap lagi. Tengok ya tengok. Tengok apa dia akan buat dengan bini tak didendangnya nanti. Kali ini, perempuan itu tidak ada alasan lagi untuk memanggilnya dengan panggilan 'abang'.


*****


Ibu Yanti dan Pak Yanto berpandangan sesama sendiri apabila melihat dapur rumah tersebut berkecah dengan bahan tumisan dan air tumpah merata-rata. Di dalam hati, mendongkol geram jugalah melihatkan situasi itu. Siapa punya kerjalah ni?

"Ibu, bapak. Minta maaf. Nanti Mila bersihkan semua ni." Tiba-tiba, Mila muncul di depan mereka berdua. Pakaian gadis itu amat comot dengan sisa masakan.

"Mila buat apa ni?" Terburu-buru Ibu Yanti mendapatkan Mila dan meneliti 'masakan' gadis itu.

Mereka berdua baru balik dan masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang. Terus terkejut beruk mereka melihat keadaan dapur. Ingatkan siapalah yang buat kerja. Mila rupanya.

"Abang nak makan spaghetti carbonara dan Americano. Tapi, Mila tak tahu nak buat macam mana. Mila cuba jelah buat dengan tengok resepi." Mila menggaru-garu kepalanya.

Gundah hatinya apabila melihat jam. Aduh, semput sangat. Mana cukup masa setengah jam yang diberikan oleh Zakry kepadanya. Kalau dia normal macam gadis lain, tak apalah. Dengan keadaannya sekarang, memang ambil masa untuknya faham apa yang ditulis dalam resepi.

"Tak apa, Mila. Biar ibu je yang buat. Mila cuma sediakan bahan." Cepat-cepat Ibu Yanti memberikan arahan kepada Mila.

Dia sudah masak dengan perangai kerek si tuan muda. Memang jauh beza antara anak dengan ayah. Kalau Tan Sri Muda sangat soft spoken dengan pekerja sepertinya, Tengku Zakry pula sangat bengis. Pantang ada silap, pasti kena sound. Cair tahi telinga jika dengar!

"Tak apa ke, bu? Abang bagi masa setengah jam je untuk Mila siapkan. Ada lagi masa 15 minit." Mila menggigit bibir. Sumpah dia gerun dengan cerlungan mata suaminya.

"Sempat je, Mila. Dah, kita buat sekarang. Yanto, tolong Mila." Segera Ibu Yanti mengarahkan Pak Yanto agar turut membantu.

Dia mengerti perasaan Mila. Sungguh tak patut Tengku Zakry melayani gadis itu seperti hamba sedangkan Mila ialah isterinya. Tapi, nak protes, dia takut akan dibuang kerja.

Sudahnya, dia hanya mampu diam sambil hatinya tak putus-putus berdoa semoga majikannya berubah suatu hari nanti. Amin.


*****


Masa yang diberikan olehnya kepada Mila untuk menyediakan sarapan telah pun tamat. Menggelegak hatinya apabila mendapati ada orang yang membantu gadis itu membuat makanan. Dasar!

"Jemput makan, abang," pelawa Mila takut-takut.

Zakry memandang hidangan di depan matanya dengan perasaan mendongkol geram. Kemudian, dia mengerling pula ke arah Mila yang tunduk menekur lantai.

Matanya difokuskan pula kepada Ibu Yanti dan Pak Yanto yang bersembunyi di sebalik dinding dapur. Sumpah dia rasa nak maki orang sekarang!

"Apa ni?" soal Zakry dingin.

"A... Americano dan spaghetti carbonara," jawab Mila perlahan.

"Apa dia? Aku tak dengar!" Suara Zakry naik seoktaf.

"A... Americano dan spaghetti carbonara," ulang Mila.

Zakry mencapai pinggan lalu garfu di tangannya dipusing-pusing di atas spaghetti. Lantas, makanan tersebut disuap ke mulutnya. Namun, sebaik sahaja spaghetti tersebut masuk ke mulut, cepat-cepat dia meludahkan balik makanan tersebut.

"Kau nak bunuh aku ke hah?" jerkah Zakry.

Pantas tangannya menolak pingan tersebut ke depan lalu air kopi di depannya pula diteguk laju. Namun, seperti tadi, belum pun sempat air tersebut melalui anak tekaknya, cepat-cepat dia meludahkan balik minuman itu.

"Bodoh!" herdiknya pula.

"Spaghetti tawar, air masin. Ini yang kau cakap spaghetti carbonara dan Americano? Kau ni memang bahlul!" Terus dia bangun lalu menepuk meja sekuat hati.

Bum!

Terenjut bahu Mila apabila dijerkah sebegitu rupa. Spaghetti tawar dan air pula masin? Mana mungkin? Dia sudah mencicipnya siap-siap tadi dan Ibu Yanti juga kata sedap. Tak ada masalah pun.

"Yanto!" laung Zakry.

"Ya, tuan muda." Terkocoh-kocoh Pak Yanto berlari mendapatkan Zakry.

"Bagi makanan ni kepada anjing liar. Makanan yang dimasak oleh betina ni tak layak masuk ke dalam perut aku." Zakry menarik senyuman sinis lalu mendepani Mila.

"Menangislah selagi boleh. Kau. Takkan. Bahagia. Dengan. Aku." Sepatah-sepatah, ayat berbisa lagi tajam tersebut dibisikkan ke telinga Mila.

"Berambus, betina sundal." Zakry menolak kasar bahu Mila lalu berlalu ke muka pintu.

Gedegang!

Bunyi pintu utama dihempas kasar terus membibitkan melodi walang di hati Mila. Terus air matanya mengalir laju membasahi pipi. Terduduk dia apabila mendengar kata nista daripada si suami. Ya Tuhan, sehina itukah dia di mata Zakry?

"Mila, sabar." Ibu Yanti memeluk erat badan Mila yang terhinggut-hinggut menahan esak.

"Mari, Mila. Ibu akan ajarkan Mila zikir penenang hati," ucapnya pula.

Tengku Zakry memang sudah melampau. Tapi, bukan kudratnya untuk melawan tuan rumah. Daripada terus menerus sakit hati, lebih baik Mila berdoa kepada Allah supaya hati sang suami dapat dilembutkan.

Lagipun, Mila tak pernah dilihat menunaikan solat. Mungkin, ini adalah ujian buat Mila untuk mendekatkan diri kepada Tuhan Yang Maha Kuasa. Semoga ada sinar bahagia buat Mila nanti. Itu doa Ibu Yanti kepada gadis itu.



Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.