BAB 8

Mila termenung di birai katil mengenang nasib diri. Badannya yang masih berkain telekung ditenung sedih. Sesekali, esak tangisnya bergema di dalam bilik.

Sungguh hatinya pedih dengan kejadian tadi. Suaminya terlalu agresif, kasar dan kejam melebihi iblis. Jika tidak disebabkan Tan Sri Muda mengetuk pintu tadi, pasti lagi teruk dia dikerjakan oleh Zakry.

"Ya Allah Ya Rahim..." rintihnya perlahan.

Pedih di mata akibat dituang syampu masih tersisa. Sakit badannya masih berdenyut. Entah berapa banyak kesan lebam di badannya, dia sudah tidak mampu mengiranya.

"Aku hanya cuma nak secebis je rasa bahagia," ngongoinya pula.

Ya Tuhan, sadis sungguh hidupnya. Sejujurnya, dia mula mempersoalkan takdir. Dia tak minta dilahirkan ke dunia. Tapi apabila sudah lahir, teruk pula nasibnya.

Kenapa tidak dia dijadikan tanah je? Atau, burung ke? Atau lagi, pokok-pokok ke? Kalau jadi selain daripada manusia, dia tak perlu hadap seksa hidup.

'Astaghfirullah...' Teresak-esak Mila menangis.

Bunyi kuakan pintu bilik tidur dibiarkan sepi. Dia tahu siapa yang masuk kalau waktu pagi begini. Tak lain tak bukan, pasti Ibu Yanti.

"Mila..." Ibu Yanti duduk melutut di hadapan Mila lalu merangkul tubuh gadis itu ke dalam dakapannya.

Kesian. Itu perasaannya kepada menantu majikannya apabila gadis itu diseksa sedemikian rupa. Sungguh dia berasa tak berguna apabila dirinya sendiri tidak mampu membantu Mila.

"Mila rasa nak mati, bu," tangis Mila. Bahunya terhinggut-hinggut menahan sedih.

"Kenapa Tuhan tak ambil je nyawa Mila masa ibu Mila buang Mila di tepi tong sampah dulu?" soalnya lagi.

"Kenapa Mila kena hadap azab seksa hidup di dunia ni, bu?" Esakannya semakin kuat.

"Mila... Mila dah penat hidup, bu." Mukanya disembamkan ke bahu Ibu Yanti.

Ibu Yanti hanya mampu terdiam apabila luahan tersebut berterusan menerjah pendengarannya. Ya Allah, memang Mila sudah berada di tahap hidup tertekan.

"Mila, ujian tu tanda Allah sayang." Ibu Yanti mengelus perlahan rambut Mila.

"Allah nak angkat darjat Mila, sebab tu Allah uji Mila," pujuknya pula.

"Ia sangat berat, bu. Mila tak mampu..." ngongoi Mila.

"Allah tak uji melainkan ujian tu mampu dilalui oleh seseorang tu. Allah tahu Mila kuat," balas Ibu Yanti lembut.

"Banyakkan berdoa kepada Allah, Mila. Dekatkan diri kepada-Nya," ujarnya pula.

"Mila takut dengan abang, bu. Sakit..." rintih Mila lagi.

Sekali lagi, rintihan daripada Mila mengelukan lidah Ibu Yanti. Ya, macam mana dia nak bantu Mila keluar daripada belenggu kekejaman Zakry?

Kalau doa saja tanpa usaha, tak jadi. Usaha perlu seiring dengan doa. Tapi, bagaimana caranya mahu menolong Mila? Nak beritahu Tan Sri Musa? Haram majikannya itu nak percaya!

Semalam, kalau tidak disebabkan dia yang bersungguh-sungguh merayu kepada Tan Sri Musa supaya melihat apa yang terjadi di dalam bilik Mila, tak adanya orang tua itu nak hirau.

Pada Tan Sri Musa, anaknya si Zakry dah berubah. Walaupun masih tidur di bilik asing-asing dengan Mila, dia tak kisah. Maklumlah kena kahwin paksa, memang ambil masa untuk sesuaikan diri.

Tapi, kejadian semalam betul-betul menggeramkan diri Ibu Yanti. Sebaik sahaja pintu dibuka oleh Zakry, dengan muka tak bersalah, jantan itu berlagak seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Kita orang tengah berseronok dalam bilik air, pa. Takkan tak boleh kot? Itu ayat yang diberitahu oleh Zakry kepada papanya.

Walhal, terang lagi bersuluh Ibu Yanti nampak keadaan kusut masai Mila di dalam tab mandi dengan kepala berlumuran darah. Zakry memang sejenis suami yang tak guna!

"Bertenang, Mila. Ibu ada. Mila kuatkan semangat, ya?" pujuk Ibu Yanti lagi.

"Doa orang-orang teraniaya sangat mustajab. Banyakkan berdoa, Mila," sambungnya lagi.

"Mila... bluerk...!" Tanpa sempat Mila menghabiskan ayat, tiba-tiba tekaknya melugai dan perutnya terasa bergulung. Cepat-cepat dia menekup mulut lalu tengkuknya diurut perlahan.

"Bluerk!" Sekali lagi, loyanya menerjah. Lantas, cepat-cepat dia bangun lalu berlari ke bilik air lalu memuntahkan isi perut.

Sudahlah badannya sakit dan keadaan mentalnya pula ke arah tenat, kini keadaan bertambah lagi dengan kepalanya pula tiba-tiba berasa teramat sakit. Dalam keadaan itu, tiba-tiba Mila berasa tubuhnya melayang.


*****


Zakry meramas-ramas rambutnya sehingga kusut masai. Stres pula jiwanya apabila tender projek yang sepatutnya menjadi miliknya tiba-tiba dirampas oleh syarikat pesaing. Tak pasal-pasal dirinya dimarahi oleh ahli lembaga pengarah yang lain!

"Sayang..." Trisha masuk ke dalam pejabat Zakry dengan membawa secawan kopi. Lantas, bahu jejaka itu diurut lembut.

"Jangan stres-stres," pujuknya pula dengan suara lemah lembut. Sempat tangannya dilingkarkan pula ke leher dan bahu Zakry.

"Eh, kepala you luka." Lingkaran tangannya terhenti di belakang telinga kekasihnya.

"Sikit jelah." Zakry menepis kasar tangan Trisha. Rimas!

"Hei, kenapa ni? Takkan sebab tender tu you nak marah-marah?" Trisha agak tersentap dengan layanan Zakry hari ini.

"Kau keluar, Trisha. Aku serabut," arah Zakry dingin.

Mendengar arahan tersebut, Trisha mengetap bibir. Dia pasti ada sesuatu yang disembunyikan oleh lelaki itu daripadanya. Apatah lagi, dia perasan yang Zakry semakin berubah selepas Mila tinggal di rumahnya.

Sebelum kehadiran Mila, dia dilayan bak permaisuri baik ketika siang ataupun malam. Walau serabut mana pun Zakry dengan hal kerja, tak pernah sekali pun lelaki itu meninggikan suara kepadanya.

"You dah berubah." Trisha berdiri tepat di hadapan Zakry.

"Sebab Mila, kan?" tebaknya pula.

Entahlah. Hatinya sangat yakin yang Mila telah pun menguasai akal dan fikiran Zakry. Gadis itu teramat cantik. Mustahil sangat lelaki hidung belang macam Zakry tidak tergoda.

"Kenapa bangkitkan isu Mila pula?" Zakry bertambah bengang.

Otaknya sedang sesak berfikir macam mana nak hapuskan Mila dalam hidupnya tapi dengan cara halus. Bunuh? Dia belum cukup bodoh untuk cemarkan tangannya dengan darah mayat.

Untuk membolehkan aset papa diwariskan kepadanya dalam masa yang singkat, Mila yang mesti menuntut cerai. Tapi, macam mana caranya untuk membuatkan Mila meminta cerai? Perempuan itu bagaikan tidak lut walaupun diseksa berkali-kali!

"You sukakan Mila, kan?" Trisha semakin emosi. Sumpah hatinya sakit dengan gadis perampas kebahagiaannya.

"Kalau I sukakan dia pun, apa salahnya? Dia isteri I yang sah." Dek tercabar dengan Trisha yang meninggi suara dengannya, tanpa sedar Zakry terpecahkan rahsia.

"Is... isteri?" Trisha berasa tertampar.

"Habis, I ni apa? You sedar tak Zakry yang kita dah bersama selama 2 tahun? Gaya hidup kita dah macam suami isteri!" tempik Trisha. Kecewa! Hatinya retak dan pecah berkeping-keping!

"Siapa suruh kau percayakan aku? Kau yang bodoh serahkan badan kau kepada aku. Perempuan jalang!" marah Zakry.

Masalah syarikat, Trisha dan Mila jatuh bertimpa-timpa di atas pundaknya dalam masa sehari. Sumpah otaknya berserabut. Kenapa masalah datang serentak? Tak boleh ke hari lain? Ah, stres!

"Kau tak guna, Zakry." Trisha menyeka air matanya yang jatuh berguguran di pipi.

Ya, dia bodoh kerana percayakan Zakry. Patutlah lelaki itu sampai ke sudah tidak mahu masuk meminangnya sedangkan mereka telah pun bersekedudukan lebih daripada dua tahun. Rupa-rupanya, semuanya sebab Mila!

'Kau tunggu, Mila. Nanti kau. Kau rampas Zakry aku? Tak apa, tak apa. Aku akan buatkan hidup kau merana!' Dengan berang, Trisha menarik kasar tombol pintu lalu segera keluar dari bilik Zakry.

Lantas, meja pejabatnya sebagai setiausaha lelaki itu dituju lalu telefon pintar di dalam beg tangannya dikeluar. Setelah beberapa kali mencuba, nombor telefon yang didailnya berangkat.

"Sawadee, tok chai." Trisha menarik senyuman sinis.



Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.