BAB 3

Bau roti bakar menusuk masuk ke rongga hidung. Harum sangat baunya sampaikan perut Zakry berkeroncong minta diisi. Tapi, dia pelik. Siapa pula bakar roti pagi-pagi buta ni?

Sut biru tua disarungkan ke tubuh. Setelah menyembur minyak wangi dan menilik penampilannya sekali lagi di cermin, dia melangkah keluar dari biliknya lalu menuju ke dapur.

"Bibik, mana air aku?" soal Zakry.

Matanya menangkap figura yang membelakanginya. Gadis tersebut sedang sibuk menyediakan air minuman dan sarapan pagi. Malas mahu buat hal pagi-pagi buta, Zakry menarik kerusi lalu melabuhkan punggung.

"Er... abang..."

Suara halus tersebut serta-merta membibitkan rasa pelik di dalam hati Zakry. Abang? Sejak bila pula dia ada adik? Sudahnya, dia mengangkat muka bagi melihat gerangan yang menyapa.

"Siapa kau?" tanya Zakry.

"Sayalah, Mila. Isteri abang. Abang tak ingat ke?" tanya Mila.

Sedih nada suaranya. Yalah, sejak petang semalam lagi suaminya tak balik ke rumah. Bila balik, dia sudah tidur. Mereka tidak duduk sebilik dek Zakry sudah pesan siap-siap kepadanya bahawa dia tak nak tidur sekatil dengan Mila.

"Kau? Isteri aku? Heh. Sejak bila aku ada isteri?" Zakry menjeling tajam kepada Mila.

Otaknya gagal berfungsi dengan baik pagi ini. Kalau tak sebab ada mesyuarat tergempar berkaitan kewangan syarikat, memang taklah dia nak berpagi-pagian ke pejabat.

Kepalanya masih pusing dek efek alkohol yang diteguknya semalam bersama Trisha. Kerana kecewa dengan perkahwinan paksanya, dia berseronok di kelab malam. Baginya, tempat itulah syurga bagi melempiaskan masalah.

"Sejak semalam..." Perlahan Mila menjawab. Gerun dia dengan pandangan tajam sang suami.

"Aku tak ada isteri selekeh macam kau. Kau tu sedar dirilah sikit. Dahlah hodoh, miskin pula," hina Zakry.

Pantas dia bangun dari kerusi lalu merentap kasar briefcasenya. Hatinya semak dengan penampilan gadis tersebut. Semalam, dia sudah pesan supaya jangan pakai t-shirt dengan kain batik di depannya. Takkan itu pun nak kena ulang banyak kali?

"Abang, makanlah sikit," ajak Mila walaupun takut-takut.

"Tak nak." Dingin Zakry menjawab.

"Ingat, aku tak ada bini macam kau. Kau tu layak jadi bibik je. Kain buruk buat lap kaki," hinanya pula.

"Sampah. Semak," tambahnya lagi.

Lantas, dia terburu-buru keluar dari dapur lalu menuju ke pintu utama. Dia berpapasan dengan papanya di ruang tamu, namun orang tua itu sedikit pun tidak dijelingnya. Amarahnya membara!


*****


"Mila, Zak buat apa dekat Mila?" tanya Tan Sri Muda.

Mila mengangkat kepala memandang bapa mentuanya. Figura lelaki berusia 65 tahun dipandang dengan senyuman manis sengaja dibuat-buat. Lara hatinya dihina oleh sang suami disimpan kejap jauh di sudut hati.

"Tak ada apa, papa. Abang sibuk, tak sempat nak sarapan," helah Mila.

"Betul ke?" Tan Sri Muda memandang lama wajah menantunya.

Hatinya berkata sebaliknya apabila melihat wajah sendu tersebut. Mustahil Zakry tidak mengapa-apakan Mila. Kalau tak, takkanlah gadis itu menangis? Tutuplah banyak mana sekalipun, dia tahu.

"Betul, papa." Mila mengesat hujung matanya lalu dengan roman muka lebih dimaniskan, dia bertanya kepada Tan Sri Muda.

"Papa nak makan apa? Duduklah, Mila buatkan sarapan."

Setelah orang tua itu duduk, Mila segera mencapai sekeping roti lalu mengoles madu ke roti tersebut. Lantas, air teh panas pula dihidangkan kepada bapa mentuanya. Padanya, dia mahu menjadi menantu terbaik buat orang tua itu.

"Mila ada apa-apa perancangan tak lepas ni?" tanya Tan Sri Muda sambil mengunyah roti.

"Tak ada, papa," jawab Mila. Jujur.

Betul, dia pun tak tahu nak buat apa selepas ini. Kerja sebagai tukang cuci pun, dia dah berhenti setelah disuruh oleh bapa mentuanya. Kini, memang dia bebas. Duit pun ada kalau tak nak bekerja seumur hidup pun.

"Kalau macam tu, Mila ikut papa ke pejabat. Cuba kenal Zakry dengan lebih dekat," putus Tan Sri Muda.

"Baik, papa." Mila hanya akur.


*****


Jam sudah pun menginjak ke angka tiga petang. Tan Sri Muda menapak masuk ke bangunan syarikat miliknya. Seperti mana berpengaruhnya syarikatnya di seantero negara, begitulah juga gahnya bangunan syarikat tersebut tersergam.

Mila hanya membuntuti dari belakang langkah bapa mentuanya. Langkahnya cuba dipanjangkan bagi menyaingi langkah orang tua itu, namun kasut tumit tinggi di kakinya agak membataskan pergerakan.

"Mila, cepat," gesa Tan Sri Muda.

Arahan tersebut segera dituruti tanpa banyak soal walaupun langkah kakinya agak pincang. Dengan dress labuh tersarung di tubuh, lagilah pergerakannya terasa terganggu. Ya Tuhan, susah sungguh pakai pakaian orang ada-ada.

Dia dan bapa mentuanya bersama beberapa orang staf syarikat masuk ke dalam lif. Destinasi mereka ialah tingkat lima di mana terletaknya bilik pengerusi syarikat. Di tingkat itu jugalah terletaknya bilik Zakry selaku CEO syarikat tersebut.

Sesampainya di tingkat lima, Mila dibawa ke ruangan kerja pekerja. Dia diperkenalkan oleh Tan Sri Muda sebagai ahli keluarga itu. Pekerja syarikat pula hanya menyambut berita tersebut seadanya sahaja dek beban kerja lebih menuntut perhatian.

"Mila, tu bilik Zakry," tunjuk Tan Sri Muda. Terpampang di pintu bilik tersebut tanda jawatan Ketua Pegawai Eksekutif.

"Nanti Mila bancuh kopi ni dan bawa ke bilik dia. Masa ni, selalunya dia minum kopi," suruh Tan Sri Muda.

"Baik, papa." Mila mengangguk faham.

Pintu bilik CEO yang tertutup rapat dikerling sekilas sebelum laju kakinya melangkah ke pantri. Sejujurnya, dia tak tahu apa reaksi suaminya apabila melihat kehadirannya di sini. Marahkah? Atau berlembut kerana mereka berada di tempat kerja?

Usai membancuh secawan kopi segera, Mila segera menatang cawan tersebut dengan berhati-hati ke bilik suaminya. Pintu bilik itu dipandang dengan pelbagai rasa menujah jiwa. Namun, tanpa berfikir panjang, dia segera mengetuk pintu bilik tersebut.

"Masuk!" laung suara dari dalam.

Tanpa berlengah, Mila segera menolak daun pintu. Lantas, dengan penuh cermat dan berhati-hati, dia menapak masuk. Namun, langkah kakinya terhenti apabila matanya terpaku pada pemandangan menjengkelkan di depan mata.

"Kau?" Zakry cepat-cepat menolak tubuh Trisha dari ribanya lalu bangun dan menuding jari ke arah Mila.

"Apa... abang buat ni?" Dada Mila terasa sesak.

Oh Tuhan. Siapa pula wanita seksi di atas riba suaminya tadi? Mereka berdua sedang bebas bergurau senda tanpa sekelumit pun rasa malu dalam diri. Berdua-duaan dalam di bilik kerja pada siang hari.

Kenapa tiada seorang pun melarang perbuatan tak senonoh itu? Ya Tuhan, hatinya hancur melihat kemesraan antara merpati dua sejoli tersebut. Hatinya sakit. Tanpa sedar, cecair jernih mengalir laju menuruni pipi Mila.




Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.